SEDUTAN
KHUTBAH JUMAAT:
‘JANGAN
TINGGAL SOLAT”
اَلْحَمْدُ ِللهِ الْعَلِيِّ
الْكَبِيْرِ، اَللَّطِيْفِ الْخَبِيْرِ، اَلْحَسِيْبِ عَلَى كُلِّ نَفْسٍ بِمَا
كَسَبَتْ وَالْمُجَازِى لَهَا بِمَا عَمِلَتْ، َأَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَـهَ إِلاَّ
اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَالأَمْرُ تَبَارَكَ
اللهُ رَبُّ الْعَالَمِيْنَ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ
وَرَسُوْلُهُ. بَعَثَهُ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ بِإِذْنِهِ
وَسِرَاجًا مُنِيْرًا. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ
الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ،
اتَّقُوا اللهَ أُوصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ
الْمُتَّقُوْنَ.
قال الله
تعالى، أعوذ بالله من الشيطان الرجيم،
( الحشر
18 )
Yang bermaksud: Wahai orang-orang
yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan
meninggalkan laranganNya), dan hendaklah setiap kamu melihat dan memerhatikan
apa yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari esok (hari Akhirat) dan
bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan apa yang
kamu kerjakan.
marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan kita
mentaati segala titah perintahNya, dan dalam masa yang sama kita meninggalkan
setiap larangan dan tegahanNya. Mudah-mudahan kita diberikan kejayaan dan
keselamatan hidup di dunia dan juga di akhirat.
Firman Allah dalam ayat 1 dalam
Surah Al-Isra’;
Yang bermaksud : Maha suci Allah
yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid
Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati
sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan
kebesaran) Kami, Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha
mengetahui.
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah
merupakan satu peristiwa agung yang berlaku ke atas diri Baginda Nabi Muhammad
SAW. Baginda Nabi SAW telah diisra’kan dengan jasad Baginda menurut pendapat
yang sahih bermula dari Masjid Al-Haram di Makkah ke Bait Al-Maqdis di Palestin
dengan menunggang Buraq serta ditemani oleh Jibril AS. Kemudiannya Baginda SAW
dimi’rajkan pada malam itu juga dari Bait Al-Maqdis ke langit dunia sehinggalah
Baginda naik mengadap Allah SWT. Lalu hampirlah Baginda dengan Allah SWT
seolah-olah hampirnya dua busur panah atau lebih hampir dari itu. [1][1]
[1]
Lalu Allah mewahyukan kepada hambaNya apa yang mahu diwahyukan.
Difardhukan kepadanya 50 solat. Setelah itu Baginda Nabi pun pulang sehingga
bertemu dengan Nabi Musa AS, lalu Nabi Musa AS bertanya kepada Baginda;
“Apakah yang disuruh kepadamu?”, Baginda menjawab, “50 waktu solat”, kata Musa AS, “Sungguh
umat kamu itu tidak mampu melakukannya, kembalilah dan mintalah kepada Tuhanmu
agar diberi keringanan kepada umatmu”, lalu Nabi pun berpaling kepada
Jibril AS seolah-olah meminta pandangan darinya, lalu Jibril AS mengiakan
cadangan Nabi Musa AS. Lantas mereka berdua pun naik bertemu dengan Allah SWT
lalu Allah mengurangkan sepuluh darinya.
Kemudian turunlah Nabi Muhammad SAW
sehingga bertemu kembali dengan Nabi Musa AS lalu diceritakan kepada Musa AS
tentang apa yang diperolehinya. Lalu Musa AS berkata, “Kembalilah kepada
Tuhanmu dan mintalah keringanan dariNya”.
Lalu sentiasalah Nabi berulang alik antara Nabi Musa dan Allah SWT
sehingga akhirnya Allah menetapkan hanya 5 waktu sahaja sehari semalam ke atas
kita umat Nabi Muhammad SAW. [2][2]
Syeikh Daud Abdullah Al-Fathoni RH
di dalam kitabnya “Munyatul Musolli” pada “Bab Meninggal Sembahyang
Lima Waktu Dosa Besar” menjelaskan
bahawa,
“Meninggalkan sembahyang adalah
semungkar-mungkar perkara yang mungkar, sebesar-besar dosa yang ada dan sekeji-keji
benda yang haram. Pihak pemerintah menanggung beban kerja yang berat dan dosa
yang besar jika rakyat jelata tidak menghiraukan pekerjaan agama lebih-lebih
lagilah sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat sebagaimana yang
diperintahkan oleh syara’”.[3][3]
Firman Allah SWT dalam Surah
Al-Muddassir ayat 42-45,
Yang bermaksud : (setelah melihat orang-orang yang bersalah
itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam
(neraka) Saqar?", orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak
termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang;, "Dan kami tidak pernah memberi makan
orang-orang miskin;, "Dan Kami dahulu selalu mengambil bahagian
memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya.
Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa
orang-orang yang meninggalkan solat akan dikumpulkan di akhirat nanti bersama
tokoh-tokoh penderhaka kepada Allah. Jika dia meninggalkan solat kerana
disibukkan oleh harta kekayaannya, maka dia akan dikumpulkan bersama-sama
Qarun. Jika dia meninggalkan solat kerana sibuk dengan kekuasaan atau
pemerintahannya atau kerajaannya maka dia akan dikumpulkan bersama-sama dengan
Firaun. Jika dia meninggalkan solat kerana sibuk dengan urusan pentadbiran atau
parlimennya maka dia akan dikumpulkan bersama-sama dengan Haman. Jika dia
meninggalkan solat kerana sibuk dengan urusan perdagangannya, maka dia akan
dikumpulkan bersama-sama dengan Ubay bin Khalaf yang merupakan seorang pedagang
kafir yang berjaya di Makkah. [4][4]
Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa
tersebut di dalam keterangan hadis bahawa orang yang mengerjakan solat, maka
Allah SWT akan memuliakannya dengan lima perkara;
1. Dibebaskannya daripada
kehidupan yang susah
2. Dibebaskannya
dari seksaan kubur
3. Buku catatan
amalnya diberikan Allah dan diterima olehnya dengan tangan yang kanan
4. Dia akan
melalui titian sirath laksana kilat
5. Dia akan masuk
ke syurga tanpa hisab
Manakala mereka yang meninggalkan
solat maka Allah SWT menjanjikan untuknya lima belas seksaan. Lima seksaan
dikenakan ketika di dunia iaitu;
1. Dicabut
keberkatan umurnya
2. Tidak ada
tanda-tanda orang yang soleh di wajahnya
3. Segala amal
lain yang dilakukannya tidak akan diberi pahala
4. Doanya tidak
diangkat ke langit
5. Dan tidak ada
untuknya bahagian dari doa-doa orang yang soleh
Kemudian tiga jenis seksaan
menjelang kematiannya;
1. Matinya dalam
keadaan yang hina
2. Matinya dalam
keadaan lapar
3. Matinya dalam
keadaan dahaga dan jika diberi minum kepadanya sebanyak air di lautan sekalipun
pasti tidak akan dapat menghilangkan dahaganya
Kemudian tiga jenis seksaan ketika
di dalam kuburnya;
1. Kuburnya
menjadi sempit sehingga remuk tulang-tulang rusuknya
2. Dibakar di
dalam kuburnya siang dan malam
3. Akan
diserahkannya kepada seekor ular yang bernama ‘Syuja’ Al-Aqra’’ , mata
ular tersebut menyemburkan api, suaranya kuat laksana petir yang menyambar dan
dia akan berkata, “Aku mendapat perintah dari Tuhan untuk mengajarmu kerana
kesalahan kamu mensia-siakan solat Subuh sehingga terbit matahari. Aku
diperintah menyeksamu kerana kamu telah mensia-siakan solat Zohor sehingga
Asar. Aku diperintah menyeksamu kerana kamu mensia-siakan solat Asar hingga
Maghrib. Aku diperintah menyeksamu kerana kamu telah mensia-siakan solat
Maghrib hingga Isya’. Aku diperintah menyeksamu kerana kamu telah mensia-siakan
solat Isya’ hinggalah terbitnya Fajar”. Setiap kali dipatuk oleh ular tersebut
maka terbenamlah dia ke dalam perut bumi sedalam 70 hasta. Maka diseksa dia di
dalam kubur sehinggalah kepada hari kiamat.
Manakala seksa ketika bangun dari
kubur;
1. Dia akan melalui suasana hisab atau perhitungan yang amat
berat
2. Dia akan mendapat kemurkaan Allah SWT
3. Allah tidak memandangnya dengan pandangan rahmat
4. Akhirnya diseret dia untuk dihumban ke dalam api neraka
Diceritakan oleh sebahagian ulama’
dahulu bahawa ada seorang perempuan yang mati lalu dikebumikan oleh saudaranya.
Semasa pengkebumian tersebut, saudaranya tidak sedar bahawa kantung yang berisi
duitnya atau dompetnya telah terjatuh ke dalam kubur tersebut sehinggalah
setelah semua orang bersurai barulah saudaranya tersebut sedar bahawa dompetnya
telah terjatuh ke dalam kubur tersebut. Lalu saudaranya kembali ke kubur
tersebut dan menggalinya semula kubur tersebut. Belum pun dalam dia menggali,
tiba-tiba terkeluar semburan api dari dalam kubur saudara perempuannya itu.
Lalu dia membatalkan niatnya untuk terus menggali, dan dia terus pulang ke
rumah untuk bertemu dengan ibunya. Dia bertanya kepada ibunya, “Wahai ibu,
ceritakan kepadaku tentang saudara perempuanku yang meninggal itu. Apakah yang
telah dia lakukan semasa dia hidup dahulu?”. Lalu ibunya bertanya, “Kenapakah
kamu bertanya sedemikian?”, lalu dia berkata, “wahai ibu, aku melihat semburan
api keluar dari lubang kuburnya sewaktu aku pergi untuk menggali semula
kuburnya”. Lalu ibunya berkata sambil menangis, “wahai anakku, saudara
perempuanmu itu selalu meringan-ringankan solatnya sehingga kadang-kadang
terkeluar dari waktunya”. [5][5] Firman Allah
SWT,
Yang bermaksud : Maka kecelakaan besar bagi orang-orang
ahli sembahyang , (laitu) mereka yang berkeadaan
lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;
Berkata Ibnu Abbas RA,
“Adapun yang dimaksudkan dengan
‘wail’ itu ialah satu wadi yakni kawasan yang dalam antara dua gunung di dalam
neraka jahannam. Wadi ini menjadi tempat kediaman buat mereka yang
melewat-lewatkan solat dari waktunya”. [6][6]
Demikianlah balasan untuk mereka
yang sengaja melewat-lewatkan atau menangguh-nangguhkan solatnya sehingga
terkeluar daripada waktunya. Bagaimanakah pula balasan azab seksaan untuk
mereka yang langsung tidak menunaikan solat?, sudah tentulah jauh lebih berat
dan jauh lebih dahsyat dari itu. Oleh yang demikian, jagalah solat dalam
kehidupan kita dan juga ahli keluarga kita. Letakkan solat ini sebagai satu
urusan yang terpenting dalam hidup kita. Jangan kerana sibuk dengan urusan
dunia maka solat diabaikan.
Wahai saudara-saudaraku yang
beriman!, beranikah lagi saudara meninggalkan atau mengabaikan solat lima waktu
dengan gambaran seksaan yang telah diceritakan di dalam Al-Quran dan
Hadis-hadis Nabi SAW?. Tidak seorang pun yang berani meninggalkan solat lima
waktu melainkan orang itu tidak mempunyai iman. [7][7]
Syeikh Daud Abdullah al-Fathoni di
dalam kitabnya ‘Munyatul Musolli’ menyatakan bahawa;
“Ada beberapa orang Sahabat dan
Salafus Soleh (yakni generasi awal orang-orang soleh) berkata;
“Aku tidak terdengar mana-mana
Sahabat yang berkata jika meninggalkan sesuatu amalan menjadi kafir, melainkan
meninggalkan solat”
Kata Syeikh Daud Abdullah Fathoni
lagi,
“Kita wajib memaksa ahli keluarga,
anak-anak dan orang-orang di bawah jagaan kita supaya mendirikan solat dan
jangan biarkan mereka menguzurkan diri. Dan bagi mereka yang tidak mematuhi
suruhan maka hendaklah kita menakutkan mereka, memaksa dan memarahi mereka
dengan bersungguh-sungguh seolah-olah mereka telah merosakkan harta benda milik
kita. Jika kita tidak bertindak demikian maka kita dikira sebagai orang yang
meringan-ringankan tuntutan Allah dan RasulNya. Sesungguhnya orang yang
mengabaikan tuntutan Allah lebih-lebih lagilah solatnya, maka orang ini tidak
ada kebajikan darinya serta tidak ada keberkatan untuk kita hidup bersama-sama
dengannya kerana mereka ini telah melanggar perintah Allah dan rasulNya”. [8][8]
[1]
Yang bermaksud : dan
perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah
engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu,
(bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. dan (ingatlah) kesudahan yang
baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. (Thahaa 132)
0 comments:
Post a Comment