Setiap individu baik remaja, dewasa
atau orang tua, sudah semestinya pernah menghadapi masalah dalam hidup. Kata
orang hidup tanpa masalah bukan hidup namanya. Berlegar dari masalah yang
paling besar hinggalah masalah yang paling kecil, semuanya tetap dinamakan masalah.
Cuma masalah yang dihadapi oleh seseorang itu berbeza. Bagaimana cara untuk
mengatasinya juga adalah juga satu masalah. Namun hakikatnya setiap masalah
pasti ada jalan keluarnya. Biasanya sebelum masalah itu selesai kita akan
berasa sangat tertekan, hampir putus asa kerana tidak tahan menghadapinya.
Antara masalah yang wujud di
persekitaran kita ialah masalah
kemiskinan, kehilangan orang tersayang, masalah cinta, pertengkaran dengan ibu
bapa, corot dalam peperiksaan serta beribu-ribu masalah lagi. Masalah juga
boleh menyumbang kepada masalah yang lain, contohnya masalah remaja yang tidak
tahan dengan leteran ibubapanya boleh membawa remaja itu kepada masalah lepak,
pergaulan bebas, dirogol, diculik dan juga mungkin dibunuh. Masalah yang kecil
apabila tidak ditangani dengan baik boleh membawa kepada mudarat yang amat
besar.
Setiap hari kita tidak akan terlepas
dilanda dengan masalah, sekiranya bukan kita yang bermasalah, orang lain pula
yang mendatangkan masalah. Oleh itu kita perlu bersedia menghadapi permasalahan
tersebut dan cuba mencari kaedah untuk mengatasinya. Sempena kedatangan bulan
Ramadhan dan Syawal yang mulia ini, mari kita renung sejenak apa sebenarnya maksud
setiap masalah itu, kaedah untuk mengatasinya serta panduan menghadapi masalah
dengan tenang.
UJIAN IMAN
Masalah sebenarnya adalah ujian
Allah kepada kita untuk mengukur sejauh mana tahap keimanan dan ketakwaan kita
terhadap-Nya. Sebab sebagai manusia kita sering terlupa serta lalai dengan
tanggungjawab kita sebagai hamba Allah apabila hidup kita sentiasa dilimpahi
kesenangan dan kemewahan. Lebih-lebih lagi ketika usia remaja, hidup penuh
dengan keseronokan dan sentiasa ingin mencuba sesuatu yang baru walaupun
perkara itu jelas haram di sisi agama dan menyalahi undang-undang dunia,
contohnya mengambil dadah dan hanyut dengan maksiat, dengan adanya ujian
seperti ini, ia akan kembali mengingati
apakah hidup kita selama ini mengikuti peraturan atau landasan yang
telah ditetapkan oleh Allah ataupun telah jauh menyimpang.
Setiap masalah, kesukaran, kesakitan
dan apa jua yang menyeksa jiwa adalah merupakan ujian dari Allah untuk menguji
sejauh mana iman kita. Iman perlu kepada ujian. Ini jelas sebagaimana maksud
firman Allah :
"Adakah manusia itu menyangka
bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman,"
sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji
orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang
yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang
berdusta." ( al-Ankabut: 2 -
3)
DARJAT DI SISI ALLAH
Ujian atau dugaan yang datang adalah
dari Allah, sama ada ujian itu sebagai ‘kifarah’ dosa yang telah kita lakukan atau
untuk mengangkat darjat kita di sisi-Nya. Allah juga tidak menduga
hamba-hamba-Nya tanpa mengambil kira kesanggupannya atau keupayaan mereka untuk
menghadapinya, ujian dan dugaan yang diturunkan Allah kepada hambanya adalah
seiring dengan keupayaan individu itu untuk menyelesaikan masalahnya. Ini
bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah:286 yang bermaksud“
Allah tidak membebankan seseorang
melainkan dengan kesanggupannya”.
Oleh itu sekiranya kita berhadapan dengan masalah,
cubalah bawa bertenang, bersabar dan setkan dalam minda bahawa kita
sedang diuji oleh Allah, orang yang melepasi ujian itu adalah orang yang
berjaya dan mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah.
"Sesungguhnya Allah telah
membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan
Syurga untuk mereka." (
at-Taubah: 111)
CARA MENGATASI MASALAH
1.Sandarkan Harapan Pada Allah
Setiap ujian yang datang
sebenarnya mempunyai banyak hikmah di sebaliknya. Yakinlah bahawa setiap
kesusahan yang kita tempuhi pasti akan diganti dengan kesenangan. Ini
bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Nasyrah ayat 1hingga 8 yang
antara lain maksudnya “ …Sesungguhnya selepas kesulitan itu pasti ada
kemudahan….”
"Cukuplah Allah bagiku. Tidak
ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya
kepada-Nya aku bertawakal."( At-Taubah: 129)
kepada-Nya aku bertawakal."( At-Taubah: 129)
2.Minta Pertolongan Dari Allah
"Dan mintalah pertolongan
(kepada Allah) dengan jalan yang sabar dan dengan mengerjakan solat; dan
sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang
khusyuk." ( al-Baqarah: 45)
3.Jangan Sedih dan Kecewa
"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman." ( al-Imran:139)
Yakinlah dengan janji Allah itu dan
jangan cepat putus asa dengan masalah yang dihadapi sebaliknya tingkatkan usaha
dan kuatkan semangat untuk mengatasinya, lihat maksud firman Allah di bawah:
“ ...dan
janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa
dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir”( Yusuf : 12)
4.Luahkan masalah tersebut pada
teman-teman yang dipercayai, walaupun dia mungkin tidak dapat membantu, tetapi
sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban yang kamu tanggung.
5.Bandingkan masalah kita dengan
masalah orang lain, mungkin masalah orang lebih besar dari masalah kita,
perkara ini juga boleh membuatkan kita lebih tenang ketika menyelesaikan
masalah.
Penutup
Ujian yang datang juga tandanya Allah sayangkan kita. Jadi
ambillah masa untuk menilai diri dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah
dalam apa jua yang kita lakukan. Lakukanlah untuk mencari redha Allah. Fikir
dengan positif bahawa setiap dugaan datang dari Allah dan pasti ada hikmah yang
tersendiri.
"Boleh jadi kamu membenci
sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu
padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak
mengetahui." – (al-Baqarah: 216)