Saturday, August 16, 2014

Pengalaman menghadapi musibah dalam kehidupan.... satu realiti


Assalmualaikum Warahmatullah Hirwabarakatuh
dan Selamat Sejahtera.

Para pengunjung yang dihormati,

Bermula pada hari ini saya akan berkongsi sama pengalaman saya dalam meneruskan kehidupan ini dengan pengalaman perit getir semenjak saya belajar di sekolah menengah pada tahun 1967 lagi, bagaimana saya menghadapi kesakitan lutut kanan semasa di tingkatan dua hingga ke tingkatan tiga, dan menjalanai peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) di hospital, dan setelah lulus saya tidak dapat meneruskan pelajaran untuk ke tingkatan empat dan limat, d iberi cuti sakit selama setahun, dan selepas itu masih tidak sihat sakit lutut, ketinggalan dalam pelajaran lebih empat tahun, dan mengambil inisiatif sendiri untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Melaysia pada tahun 1972 sebagai calon persendirian, bagaimana saya membahagi masa dan mentelaah pelajaran secara kendiri dalam tempoh enam bulan sebelum menduduki peperiksaan, Alhamdulilah dengan kegigihan dan semangat yang tinggi serta di izinkan Allah saya berjaya dapat sijil Pangkat Dua SPM pada tahun
972, dan memasuki Sekolah Menengah Swasta untuk ke tingkatan Enam sebelum menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP) pada tahun 1974  dan memperolehi 4 Prinsipal dan meneruskan pengajian di peringkat Peringkat Ijazah dalam bidang Perumahan Bangunan dan Perancaang, memperolehi Bsc. Hon pada tahun 1980.

Saya rasakan pengalaman ini boleh di kongsi bersama kerana apa yang saya lalui ini adalah agak berbeza dengan pelajar-pelajar lain kerana saya dalam masa yang sama menghadapi masalah sakit lutut yang kronik yang memerlukan rawatan di hospital setiap masa.

Paparan ini saya ingin share pengalaman saya menghadapi kesusuhan dalam menimba ilmu kerana sakit dan terus gigih untuk mencapai cita-cita dalam kehidupan.

Setelah bekerja dan berkahwin pula saya di uji oleh Allah dengan kesakitan lutut kanan yang lebih serious, meyebabkan saya terpaksa bertugas dengan bertongkat. sungguhpun begitu dengan izin Allah dapat juga saya memperolehi pengesahan dalam jawatan dalam tempoh satu tahun sahaja selepas berkhidmat.

Selanjutnya saya meneruskan kerjaya di pelbagai jabatan Kerajaan Negeri dan juga pernah di pinjamkan ke Jabatan Persekutuan sebagai Pensyarah Kanan di Institute Pentadbiran Awam Malaysia, Wilayah Timur.

Seterusnya saya melanjutkan pelajaran untuk Master Degree, di masa ini pula diuji dengan suasana is teri yang alahan kerana mengandung dan saya terpaksa bertungkus lumus untuk menjaga keluarga dan juga menjalankan pengajian di U.

Setelah  memperolehi Ijazah Sarjana  saya balik bertugas dengan Kerajaan Negeri.  dan setelah hampir lima tahun bertugas, saya membuat permohonan pencen pilihan untuk menceburi diri dengan sektor swasta.

Di sektor swasta pula setelah bertugas lebih dua tahun saya dijadikan kambing hitam oleh pihak-pihak tertentu dalam kemeluk politik dan perubutan kuasa bisness oleh beberapa orang ahli politik. Begitu juga dengan kemeluk krisis kepimpinan di sebuah organisasi swasta.

Saya di fitnah oleh pihak-pihak tertentu kerana memberi sokongan kepada Pengarah Urusan yang cuba di gulingkan dan di singkirkan semasa beliau bercuti haji selama 45 hari. Kemelut ini melibatkan orang korporat dan politik yang berkepentingan peribadi dan kroni.

Saya cuba membantu Pengarah Urusan yang menjadi korban fitnah oleh mereka yang rakus kuasa. (mereka ini merupakan kawan akrab Pengarah Urusan sebelum ini). ,,,,,,,untuk mendapat  cerita selanjutnya apa terjadi terhadap episod Perebutan Kuasa Korporat ini, ikutilah post yang akan saya muatkan di bolgger saya dari masa ke semasa. Insya Allah.




Friday, August 15, 2014

HIKMAH DI SEBALIK MUSIBAH PENYAKIT








 Hikmah Di Sebalik Musibah Penyakit

Penyakit yang menimpa adalah antara ujian dari Allah SWT. Namun dalam tidak sedar, ujian penyakit yang kita hadapi itu adalah guru yang mengajar dan mendidik kita agar kita menjadi manusia yang lebih baik. Jangan sesekali kita berburuk sangka kepada Allah SWT di atas musibah yang menimpa.

Kita seringkali mendengar keluh kesah pesakit yang menderita penyakit-penyakit kronik. Ada yang  bertanyakan kenapa agaknya suratan kehidupan mereka sebegitu. Sudahlah jatuh, ditimpa tangga. Penyakit yang dideritai hadir di saat kehidupan mereka yang kian kesempitan.  Ada antaranya menyatakan rasa iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan memperolehi kesenangan dan kesihatan secara berterusan.

Hakikatnya, inilah asam garam kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran. Sebagai hamba-Nya, harus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan dan musibah perlu dihadapi dengan bijak, tenang serta berserah tanpa kompromi kepada Allah SWT.
\
Firman Allah Taala yang bermaksud :
“Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” - Surah al-Baqarah : 155-157

Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah ditempuhi dengan sabar, redha  dan bertawakal kepada-Nya. Terus menerus berusaha mencari penawar dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan rahmat agar keadaan penyakit yang dihadapi akan lebih baik daripada sebelum ini.

DERITA NABI AYYUB A.S
Di dalam Al-Quran ada merakamkan kisah penderitaan penyakit yang terpaksa ditanggung oleh Nabi Ayyub. Di dalam Kitab Duratun Nasihin, pada bab kisah kesabaran Nabi Ayyub. Secara ringkasnya, Nabi Ayyub a.s merupakan seorang Nabi Allah yang dikurniakan nikmat kekayaan, kesihatan serta anak pinak. Beliau tidak pernah lupa untuk mensyukuri atas segala nikmat yang telah Allah SWT kurniakan.

Dengan izin Allah, kesabaran Nabi Ayyub a.s. diuji apabila Iblis membakar rumah, harta benda dan anak-anak Nabi Ayyub a.s. Iblis belum berpuas hati lantaran melihat ketabahan dan kesabaran Nabi Allah Ayyub. Lalu sekali lagi Nabi Ayyub di uji dengan jangkitan penyakit kulit yang kronik sehinggakan masyarakat di sekeliling merasa jijik melihatnya. Isteri-isterinya meninggalkan beliau kerana tidak mampu lagi menanggung malu dan kesengsaraan hidup. Yang tinggal hanyalah Nabi Ayyub bersama Siti Rahmah salah seorang dari isterinya yang solehah menemaninya walaupun keadan beliau yang serba dhaif. Selama 7 tahun Nabi Ayyub menderita, namun tidak lekang dari mulutnya berzikir memuji Allah SWT. Siti Rahmah juga akhirnya berjaya dihasut oleh iblis seterusnya meninggalkan Nabi Ayyub keseorangan.

Dalam pada itu, bermunajat Nabi Ayub a.s merintih pada Allah SWT sebagaimana firman-Nya :

"(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang". - Surah Al-Anbiya’: 83

Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, Allah tidak membiarkan Nabi-Nya sepi sendirian. Maka Allah mengabulkan rintihan Nabi Ayub. Allah menyuruhnya agar menghentakkan kaki ke tanah, lalu keluarlah air yang sejuk dingin lalu diminum, dimandikan sebagai penawar. Firman Allah SWT :

“Maka kami pun memperkenankan seruannya itu, lalu Kami lenyapkan penyakit yang ada padanya dan Kami kembalikan keluarganya kepadanya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat dari sisi Kami dan untuk menjadi peringatan bagi semua yang menyembah Allah”. - Surah Al-Anbiya’: 84

Dengan izin Allah SWT, Nabi Ayub a.s telah kembali sihat seperti sedia kala, bahkan Allah mengurniakan zuriat lagi ramai, berganda-ganda dari yang hilang dan Allah juga mengembalikan kemewahan kepada Nabi Ayub a.s. sebagai tanda rahmat dan kasih sayang Allah.

Cebisan kisah Nabi Ayyub a.s. ini memberi pengajaran kepada kita bahawa  musibah penyakit adalah ujian dari-Nya sebelum Allah mengurniakan rahmat kasih sayang-Nya. Allah SWT ingin menilai kesabaran dan keteguhan iman dan cinta kita kepada-Nya. Jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar rintihan hamba-hambanya yang soleh. Percayalah, akan tiba masanya jika tidak di dunia, pasti di akhirat kelak akan terbit sinar kebahagiaan dan rahmat-Nya menerangi kehidupan, berkat kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian.

Di sebalik setiap musibah yang menimpa manusia itu sebenarnya mempunyai hikmah yang tertentu. Musibah bukan sahaja datangnya sesuatu penyakit tetapi apa-apa dugaan yang Allah SWT menduga kita seperti masalah rumah tangga, masalah kewangan, masalah di tempat kerja, masalah pembelajaran anak-anak, masalah politik negara, banjir besar, tsunami, gempa bumi, kemarau dan sebagainya. Antara hikmah yang boleh kita ambil dari musibah yang dihadapi antaranya :
  • Mengangkat Darjat
Musibah yang menimpa seseorang merupakan jalan untuk Allah SWT meninggikan darjat seorang hamba-Nya.  Kisah Nabi Ayub merupakan contoh yang terbaik. Nabi Ayub mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah SWT, namun masih mampu berbaik sangka kepada-Nya . Sudahlah dirinya ditimpa penyakit.  Isteri-isterinya juga menjauhkan diri. Namun Nabi Ayub tetap bersabar menerimanya sehinggalah Allah SWT mengembalikan semula kesihatan dan ditinggikan pula darjat di sisi-Nya. Sesungguhnya, kesabaran Nabi Ayub dalam melalui ujian Allah berkenaan mempunyai hikmah yang besar. Ujian dari Allah SWT datang kepada manusia-manusia yang Allah pilih sahaja. Kita hendaklah bersyukur sekiranya musibah datang kepada kita sebab kita di antara hamba-hamba Nya yang Allah SAW pilih untuk diduga.
  • Tanda Cinta
Musibah adalah tanda kecintaan Allah SWT kepada hamba-Nya, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya besarnya pahala yang  kita perolehi bergantung besarnya dugaan, dan Allah SWT apabila mencintai suatu kaum, maka Allah akan menguji mereka. Barang siapa yang redha, maka ia akan mendapatkan keredhaan-Nya dan barang siapa yang kesal terhadapnya, maka ia akan mendapatkan kemurkaan-Nya.” - (HR. Ahmad dan Tirmidzi).
Justeru itu, janganlah disesali akan musibah yang dihadapi, malah seharusnya disyukuri.
  • Belajar Erti Sabar
Yakinlah bahawa Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kesanggupannya dan kemampuannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT mencintai orang-orang yang sabar dan sentiasa bersama-sama mereka, sebagaimana firman-Nya :
“Dan ingatlah Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar". - Surah Ali 'Imran : 146
  • Pembersihan Dosa
Sebagai manusia biasa, sudah tentu kita tiada terlepas daripada melakukan kesalahan sama ada secara sengaja atau tidak sengaja. Hakikatnya iblis dan syaitan senantiasa menggoda nafsu kita agar terus menerus melakukan dosa. Sedangkan dosa itu menjauhkan diri kita dengan Allah SWT. Hikmah diturunkan kesakitan itu adalah sebagai cara untuk membersihkan diri kita terhadap dosa-dosa lalu. Ia bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :
"Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya." - (HR. Bukhari dan Muslim)
  • Memberi Keinsafan
Kita mesti bersyukur segala nikmat kesenangan yang diberi oleh Allah SWT. Dengan kehendak-Nya juga, nikmat kesenangan itu boleh hilang dalam sekelip mata. Janganlah dicela andai musibah menimpa. Ketahuilah bila anda sakit atau ditimpa sesuatu musibah, hakikatnya Allah SWT sedang memberikan perhatian kepada anda. Bukankah itu satu kemuliaan?

   Pengubat Kepada "Ego"

Sakit menjadikan kita beringat akan nikmat sihat yang Allah SWT kurniakan hanyalah pinjaman semata-mata.  Segala yang kita miliki adalah milik mutlak Allah SWT. Sakit adalah petanda bahawa kita adalah makhluk yang lemah. Didatangkan sakit atau apa-apa musibah, adalah untuk kita beringat bahawa kita ini hamba Nya dan kita tidak patut bersifat sombong dan bongkak kepada Allah SWT. Sesungguhnya musibah itu adalah pengubat kepada “ego” kita.
  • Lebih Dekat Dengan Tuhan
Dalam keadaan sakit, kita lebih mudah mengingati Allah. Merasa kelemahan dan ketidakmampuan di hadapan-Nya. Bila kita sakit kita akan bersungguh-sungguh memohon perlindungan kepada Allah SWT. Mungkin selama ini kita lalai. Keadaan ini akan mengingatkan kita kepada nikmat kesihatan yang dikurniakan oleh Allah. Jarang orang merasakan nikmat ketika sakit. Namun, bagi orang yang banyak bersyukur dan bersabar dalam menghadapi kesakitan, ia akan memperoleh nikmat.
  • "Turning Point" dalam Kehidupan
Bila kita terlalu leka dalam hal-hal duniawi, kita selalu lupa kewajipan kita untuk beribadah kepada Allah SWT.  Hal-hal duniawi lebih penting dari hal-hal akhirat. Turunnya penyakit memberi keinsafan dan mula mendekatkan diri dengan Allah SWT. Sakit adalah ‘signal’ yang Allah SWT sangat mengasihi kita agar menjadi hambanya yang bertaqwa dan tidak terus lalai dan leka kerana matlamat sebenar kita adalah kehidupan abadi di akhirat kelak, bukan kehidupan dunia yang bersifat sementara.
  • Membersih Hati
Manusia yang tidak diuji dengan musibah menjadikan ia ujub dan takabbur. Hatinya menjadi kasar dan jiwanya beku. Musibah dalam bentuk apapun adalah rahmat Allah SWT. Ia dapat membersihkan jiwa dan menyucikan iman seseorang. Itulah ubat dan penawar kehidupan yang diberikan Allah SWT kepada setiap orang beriman. Ketika hati menjadi bersih dan suci maka sirnalah penyakitnya, martabatnya diangkat dan jiwanya dimuliakan.

Sesungguhnya nikmat kesihatan yang kita perolehi pada ketika ini wajiblah kita syukuri. Seandainya ditimpa musibah penyakit maka mohonlah kesembuhan kepada-Nya. Perbanyakkan amal ibadah, dekatkan diri dengan Al-Quranul Kareem kerana di situ ada penawar kesembuhan dari segala macam penyakit dengan Izin Allah. Firman Allah SWT :

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” - Surah Al-Isra’:82




Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, kami hanya boleh memberi panduan rangkaian ayat-ayat Al-Quranul Kareem untuk pesakit-pesakit amalkan tetapi kuasa penyembuhan mutlak adalah dari Allah SWT. Setiap rangkaian ayat yang diamalkan itu ibarat sebagai ubat panawar kepada penyakit yang dialami. Maka berdoalah kepada Nya dan mohon keredhan dan keampunan semoga segala musibah penyakit yang diturunkan akan segera sembuh kembali, Inshallah.

Thursday, August 14, 2014

KELEBIHAN DAN KEBAIKAN MAKAN BERSAMA KELUARGA



MELUANGKAN masa makan bersama seisi keluarga sekurang-kurangnya sekali sehari memberi kesan besar kepada kesejahteraan minda dan emosi anak-anak. Memang tidak dapat dinafikan dalam kesibukan kita, amat sukar untuk mencari masa makan bersama terutama pada waktu siang tetapi rasanya kita boleh berkumpul sekeluarga pada waktu makan malam.
Waktu makan bersama bukan saja menjadi saat penting untuk membina ikatan keluarga, malah tanpa anda sedari ia turut mempunyai manfaat besar terhadap kesihatan. Antara kelebihan yang boleh anda peroleh ketika makan bersama ialah:

·  Tabiat makan anak menjadi lebih baik - Ia dapat mengekang masalah berat badan berlebihan di kalangan anak-anak. Bagaimana? Biasanya ketika makan bersama, ibu bapa akan berusaha menyediakan sajian seimbang yang secara tidak langsung boleh merangsang anak-anak untuk mendapat khasiat pemakanan yang diperlukan. Paling penting, sajian yang disediakan di rumah jauh lebih rendah kandungan lemak, gula dan garam berbanding makanan segera.

·  Tabiat makan ibu bapa juga menjadi lebih baik - Pada ketika inilah ibu bapa perlu menunjukkan tabiat pemakanan yang baik supaya boleh menjadi teladan atau ikutan anak-anak. Ini termasuklah makan sayur, buah-buahan dan minum air kosong.

·  Belajar adab sopan - Kalau anda perhatikan, adab di meja makan kini semakin hilang terutama di kalangan generasi muda. Ramai anak-anak lebih suka menikmati makanan di depan televisyen. Jika makan di meja, ada yang tergesa-gesa menghabiskan makanan kerana mahu menonton rancangan kegemaran mahupun sambung mengadap permainan komputer.

Ketika inilah anda boleh menetapkan disiplin atau peraturan di meja makan. Ini termasuklah mengajar anak-anak menyiapkan meja makan, makan perlahan-lahan (dan kunyah makanan hingga lumat sebelum ditelan) serta melatih mereka mengemas selepas siap makan. Pastikan anda suami isteri juga mematuhi peraturan yang anda tetapkan.

Tahukah anda, perlakuan anak-anak sebenarnya mencerminkan perlakuan kita di rumah? Justeru itu, janganlah kita mempamerkan tingkah laku yang kurang menyenangkan kerana ia akan ditiru dan dipaparkan anak-anak di depan orang.

·  Nikmati masa berkualiti dengan anak-anak - Waktu makan adalah waktu yang tenang dan menyeronokkan. Ketika inilah anda boleh berinteraksi dengan anak-anak. Antara topik yang boleh anda tanyakan ialah peristiwa menarik di sekolah pada hari itu, perkara yang menggembirakan atau menyedihkan anak-anak atau mengenai kawan rapatnya.

Cara ini secara tidak langsung akan merangsang anak berinteraksi dan dapat meluahkan pandangan mereka dengan lebih baik. Bahkan ketika inilah juga anda secara rahsia boleh mengesan pergerakan harian anak-anak terutama yang sudah masuk usia remaja.

·  Kajian menunjukkan lebih kerap keluarga makan bersama, lebih rendahlah kemungkinan anak-anak untuk terbabit dalam gejala sosial seperti merokok, minum minuman keras, mengambil dadah, berasa murung, menjauhi seks sehingga tiba waktu sesuai dan mengalami masalah pemakanan. Pada masa sama emosi mereka akan bertambah baik, menunjukkan prestasi baik di sekolah, belajar perkataan baru dan tahu mengenai adab di meja makan.

Menurut pakar antropologi di Universiti Rutger di New Jersey, Robin Fox, makan bersama keluarga adalah cara untuk membentuk adab sopan kepada anak-anak. Ia adalah cara mengajar mereka menjadi anggota masyarakat yang berbudaya dan berhemah.

·  Anak-anak mempunyai pandangan negatif positif terhadap ibu bapa mereka - Masa makan juga adalah masa terbaik untuk memuji anak-anak dengan berterima kasih kepada perlakuan baik dan kerajinan mereka membantu anda. Paling mudah anda boleh berterima kasih kerana mereka rajin ke sekolah dan belajar.

Anak-anak dari keluarga yang jarang makan bersama akan rasa tertekan apabila sesekali berpeluang berkumpul dengan ibu bapa. Apa yang lebih membimbangkan ialah kajian mendapati anak-anak ini berasa diri mereka tidak begitu penting dan tidak menjadi kebanggaan ibu bapa kerana jarang makan bersama.

·  Kemahiran berfikir dan bertutur anak-anak akan bertambah baik. Ini boleh dicapai kerana ada perbualan panjang antara ibu bapa dan anak-anak ketika makan.

·  Anak-anak lebih cepat belajar perkataan baru ketika perbualan di meja makan berbanding perkataan yang dikutip ketika ibu atau bapa membacakan mereka buku cerita.

·  Keakraban hubungan keluarga yang terbentuk daripada makan bersama seisi keluarga memberi kesan besar kepada kehidupan anak dan kesan positif ini akan mempengaruhi tabiat makan mereka. Tabiat pemakanan yang baik dipupuk dari kecil akan diamalkan sepanjang hayat.

·  Bagi remaja, kekerapan makan bersama keluarga bermakna akan berkuranglah pengambilan makanan segera dan minuman ringan yang mengandungi banyak lemak dan gula.


Sumber :myMetro
Powered by Blogger.