Saturday, January 10, 2015

Majlis Perkahwinan Perlu Mengikut Syariah,



Majlis Perkahwinan perlu mengikut syariah.

Islam merupakan agama yang mudah dan tidak membebankan. Membicarakan isu majlis kenduri kahwin (walimah) daripada konteks Islam adalah mudah. Isu Islam sebagai agama yang mudah dapat difahami berdasarkan hadis yang berbunyi : “Dari Abu Hurairah r.a, katanya Nabi SAW bersabda maksudnya : “Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Barangsiapa memperberat-berat, maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh kerana itu, kerjakanlah (agama itu) menurut mestinya, atau mendekati mestinya, dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala), serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam." (Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, majlis kenduri kawin (walimah) daripada konteks Islam tidaklah memberati para penganutnya dalam urusan pelaksanaannya. Islam menggalakkan penganutnya untuk mengadakan walimah berdasarkan kemampuan. Walaubagaimanapun, Islam begitu mencela perbuatan yang membazir dalam setiap perkara yang dilakukan berdasarkan ayat firman Allah SWT maksudnya :“Berikanlah kepada kaum-kerabat haknya masing-masing dan kepada orang miskin dan orang musafir dan jangalah engkau membazir(boros) dengan melampau (Surah al-Isra' ayat 26)
Terdapat banyak perkara-perkara bertentangan dengan ajaran Islam semasa di adakan majlis kenduri kawin di dalam masyarakat kita. Sebagai seorang muslim-mukmin yang beriman dan bertakwa kita perlulah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang bertentang dengan ajaran Islam. Jika boleh di elakkan maka elakkanlah semoga kita mendapat keredaan Allah SWT.

Oleh kerana majlis kenduri kawin adalah sebagai satu ibadah (meraikan tetamu dengan majlis jamuan) selepas majlis akad nikah dijalankan, maka perlulah kita berwaspada supaya ibadah yang kita baru tunaikan tidak dicemari dengan kemugkaran dan mendapat kemurkaan Allah SWT.
Perkara-perkara yang bertentangan tersebut adalah seperti berikut :

Pertama : Adakah hantaran belanja termasuk di dalam ajaran Islam?
Setelah merujuk dalil berkenaan perkara ini, sememangnya hantaran belanja tidak termasuk dalam ajaran Islam. Islam hanya meminta seorang lelaki yang ingin mengahwini seorang perempuan untuk membayar maskahwin sahaja. Maskahwin ini boleh terdiri dari emas, wang ringgit atau sekadar bacaan dari al-Quran.

Maskahwin adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan. Firman Allah SWT. yang bermaksud : " Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu maskahwin mereka ". ( Surah An-Nisaa' ayat 4 )

Sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud : "Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi ." ( Hadis Riwayat Bukhari )

Dari hadis di atas nyatalah bahawa maskahwin boleh dijadikan daripada apa sahaja asalkan benda itu berguna dan berfaedah sama ada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanfaat sebagaimana diberitakan Rasulullah SAW pernah mengahwinkan seorang lelaki yang tiada memiliki sesuatu pun untuk dijadikannya maskahwin lalu baginda bertanya kepada lelaki itu, adakah pada engkau (hafaz ) sedikit daripada ayat al-Quran, lelaki itu menyahut bahawa ia mengingati beberapa surah kemudian Nabi SAW pun mengahwinkan lelaki itu dengan bermaskahwinkan surah yang diajarkan kepada perempuan yang bakal menjadi isterinya.

Maskahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikit, jadi untuk menentukan banyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut dan hukum syarak tidak menggalakkan maskahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: " Sebaik-baik maskahwin ialah yang lebih rendah ". ( Hadis Riwayat Abu Daud )

Dan sabda Rasulullah SAW. yang bermaksud: "Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya ". ( Hadis Riwayat Ahmad )

Maskahwin ini yang bakal diterima oleh bakal isteri menurut ulama tidak boleh diambil oleh ibu bapa wanita atau oleh bakal suaminya. Maskahwin ini tidak boleh digunakan untuk majlis jamuan makan kenduri kahwin tanpa kebenaran anak perempuan yang berkahwin.

Hantaran belanja yang kini mencecah belasan ribu ringgit Malaysia adalah tambahan adat Melayu yang bukan untuk memudahkan proses berkahwin tetapi sebenarnya adalah untuk menyusahkan orang yang ingin berkahwin.

Jika hantaran tidak terlalu tinggi dan bersesuaian dengan keadaan semasa dan pihak lelaki berkemampuan membayarnya tidaklah menjadi satu kesalahan dan ianya diharuskan.


Kedua : Adakah bersanding merupakan ajaran Islam?
Setelah dikaji dari sumber yang sahih dari hadis dan sunnah, sememangnya adat ini juga tidak bersumber dari ajaran Islam. Ia lebih bersumberkan ajaran dari agama Hindu. Malahan adat tepung tawar , beras kunyit yang berasal dari ajaran Hindu masih lagi dikekalkan pada hari ini
.
Apa yang berlaku semasa majlis bersanding ini lebih kepada pembaziran dan sesungguhnya didalam al-Quran , Allah SWT menyatakan bahawa orang yang membazir adalah saudara syaitan. Kerana kos yang tinggi akan digunakan untuk menyiapkan pelamin dan peralatannya sedangkan wang tersebut tidak perlu dibazirkan di atas perkara yang tidak berfaedah.

Walaupun niat kita mengadakan upacara persandingan dengan niat yang baik iaitu untuk meraikan pasangan pengantin, namun sekiranya upacara itu dicemari oleh unsur-unsur yang bertentangan dengan agama Islam, maka secara tidak langsung upacara tersebut salah disisi agama.

Menurut Prof. Yusof Qardhawi di dalam bukunya Fatwa Mu'asirat dan Halal dan Haram fil Islam, halaman 36. : “Niat yang baik tidak akan menghalalkan yang haram"

Jika terdapat majlis makan berdamai semasa majlis kenduri kahwin di antara pengantin lelaki dan perempuan dan keluarga kedua-dua pihak maka majlis seperti ini dibolehkan kerana mendatangkan kebaikan untuk mengeratkan silaturahim di antara dua keluarga yang baru berkenal-kenalan.

Berinai adalah salah satu amalan semasa majlis perkahwinan. Inai bagi perempuan dibolehkan kerana tiada larangan dan wanita-wanita di zaman salaf berinai dan Nabi SAW tidak menegahnya, malah menyuruhnya, dari Aisyah ra : "Nabi SAW melihat tangan di sebalik tirai dan berkata, "Apakah ini tangan lelaki atau perempuan?" maka dikatakan itu tangan perempuan, maka Nabi SAW pun bersabda maksudnya : " Jika kamu seorang perempuan, pasti kamu akan mengubah warna kuku kamu (dengan inai)." (Hadis RiwayatAbu Daud, 4166) dan (Hadis Riwayat Nasa'i 5092)

Walau bagaimanapun berinai dengan daun inai atau sebagainya, pada dua tangan dan kaki, bagi kaum lelaki hukumnya adalah haram. Di antara dalil yang mengharamkan lelaki berinai ialah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim: Daripada Anas dia berkata: “Bahawa Nabi SAW melarang kaum lelaki memakai za'faran (kuma-kuma)." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Ketiga : Wajarkah menyediakan tepak sirih dan sirih junjung?
Pada zaman dahulu rombongan pengantin lelaki membawa tepak sirih dan sirih junjung adalah bertujuan semoga semua ahli rombongan dan pihak tuan rumah dapat bersama-sama makan sireh, maklumlah majoriti orang zaman dahulu memang makan sireh. Apa perlunya pada zaman sekarang? Beli sireh, upahkan orang menyusunnya, usung ke hulu dan ke hilir sebagai tontonan dan akhirnya dibuang begitu sahaja! Adalah jauh lebih baik rombongan pengantin lelaki membawa makanan atau buah-buahan sebagai hadiah kepada pihak pengantin perempuan. Sirih junjung dikira sebagai barang membazir dan menyusahkan sahaja.


Keempat : Apakah sebenarnya tujuan pengantin perempuan bersolek (berlebih-lebihan) di majlis perkahwinan ini?

Di samping itu, perbuatan andaman yang berbentuk “li tadlis" mengabui atau merubah kecantikan yang sebenar juga dilarang sama sekali dalam Islam malah ianya adalah haram. Antaranya yang disebut oleh al-hadis riwayat Muslim. Dari Abdullah Ibn Mas'ud r.a katanya : "Allah melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah."

Apa yang jelas dari bersolek adalah satu dosa kerana termasuk dalam "Tabarruj" dan melakukan sesuatu untuk mendapat pujian adalah riak. Semua perkara ini adalah perbuatan mungkar yang membawa dosa dan dilarang oleh Allah SWT . Jika bersolek sekadarnya dan tidak nampak bedak yang tebal dan tiada perhiasan yang berlebihan tidaklah dilarang.


Kelima : Apakah tujuan membuat majlis kenduri kahwin ini?
Berdasarkan Islam, sepatutnya majlis perkahwinan ini dilakukan bertujuan:

Mengadakan majlis walimah untuk pernikahan sepasang pengantin merupakan anjuran dan sunnah Rasulullah SAW kerana dengan adanya majlis walimah, sesuatu perkahwinan itu boleh diumumkan kepada khalayak, demikian juga para tetamu undangan boleh menghadirinya sambil bersilaturrahim dan mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin. Ia juga sebagai satu tanda kesyukuran kepada

Allah SWT kerana diberikan rahmatnya iaitu seorang menantu dan tanda kesyukuran ini ialah dengan menjamu tetamu makan terutama sekali yang miskin.

Islam mengajarkan umatnya untuk mendahulukan orang fakir miskin. Hal ini dijelaskan Rasulullah dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Seburuk-buruk makanan ialah makanan dari majlis kenduri kahwin yang hanya dijemput orang kaya, orang fakir dan miskin tidak diundang untuk makan bersama."

Pada masa kini, majlis perkahwinan diserikan lagi dengan berbagai hiburan, hiburan di dalam Islam dibolehkan berdasarkan hadis riwayat Bukhari daripada Aisyah r.ha bahawa seorang wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda maksudnya : "Wahai Aisyah! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan."

Dalam hadis yang bertaraf 'hasan' yang diriwayatkan oleh al-Nasai dan al-Tirmizi, baginda bersabda maksudnya :" Perbezaan antara yang halal dan yang haram adalah kompang dan suara dalam perkahwinan. Maksudnya perkahwinan yang halal dilakukan secara terbuka dan diisytiharkan. Berbeza dengan perzinaan."

Berdasarkan dalil-dalil ini, dapatlah diketahui bahawa Islam tidak melarang bentuk hiburan. Hiburan dalam Islam dilihat sebagai suatu keizinan untuk menenangkan diri dan menghiburkan hati yang gundah-gulana. Hiburan yang tidak bertentangan dengan Islam adalah alunan nasyid yang memuji kebesaran Allah SWT dan berbentuk doa dan mempromosikan akhlak Islam. Hiburan yang berbentuk karaoke campuran lelaki dan perempuan adalah dilarang.
Sahabat yang dimuliakan,
Islam menyarankan majlis kenduri kahwin (walimah) hendaklah diadakan cara yang sederhana tetapi meriah. Tidak membebankan kedua-dua pihak lelaki dan perempuan. Jika kurang berkemampuan adakan majlis yang sederhana sahaja dan perlu mengundang saudara mara yang terdekat , jiran tetangga dan sahabat-sahabat yang rapat sahaja. Tidak perlulah berhutang dan bergolok bergadai semata-mata untuk mencari kemegahan dan riak sedangkan cara seperti ini dilarang dan ditegah oleh agama.

Kenapa perkahwinan umat Islam sekarang ini tidak kekal dan berlaku penceraian walaupun umur perkahwinan tidak sampai setahun? Sedangkan kos perbelanjaan perkahwinan telah dihabiskan puluhan ribu ringgit. Puncanya adalah tidak terdapat keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT kerana terdapat banyak unsur maksiat dan dosa semasa dilangsungkan majlis perkahwian tersebut. Oleh itu perlulah kita buangkan adat-adat melayu lama yang bertentangan dengan syariat Islam seperti adat bersanding, hiburan yang mendatangkan dosa dan mengelakkan pembaziran dengan menyediakan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Majlis prkahwinan adalah ibadah, pastika kita tidak melaggar batas-batas syarak yang di benarkan oleh Allah SWT.


Sumber Gambar: Hafizudin Hamdan Photography

Jodoh pilihan keluarga




“Kita sangat perlu kepada redha atau restu ibu bapa dalam semua perkara termasuk dalam membina rumah tangga,” kata Ustaz Hj. Ahmad Shukri Yusoff, yang merupakan Ketua Unit Syariah dan Penerangan Khas, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, redha ibu bapa amat penting kerana ia membekalkan kita keyakinan untuk melangkah ke alam perkahwinan. Dan untuk mendapat redha ibu bapa, kita perlu menjaga hati mereka.
“Bayangkan kalau kita melangkah ke alam perkahwinan tanpa doa, restu atau redha ibu bapa, maka di hati kecil kita tidak akan ada keyakinan untuk menempuh alam yang baru itu,” ujar beliau.

Beliau berkata, perkahwinan merupakan satu proses untuk menyempurnakan agama. Tetapi, soal beliau, “Adakah sempurna agama jika sesuatu perkahwinan itu tidak mendapat restu ibu bapa?”

Katanya, perkahwinan yang dibina atas dasar cinta semata-mata umumnya tidak akan kekal lama. “Kalau berkahwin semata-mata kerana cinta, cinta boleh luntur. Kalau disebabkan dorongan seksual, ia juga boleh berkurang. Kalau berkahwin kerana duit, ini juga mungkin satu hari tidak stabil. Begitu juga kalau sebab kecantikan, kecantikan akan pudar akhirnya. Sebab itu Nabi s.a.w. menekankan bahawa perkahwinan itu adalah untuk menyempurnakan agama. Tanda kita betul-betul beragama, kita berkahwin mengikut sunnah Nabi,” jelasnya dalam temubual di kediamannya di Bandar Baru Bangi.

Dalam soal ini, katanya, ibu bapa umumnya lebih tahu menilai kesesuaian calon menantu kerana mereka melihat dari banyak aspek.

 Jika Tak Direstui
Kesan yang jelas bagi perkahwinan yang tidak direstui ibu bapa adalah gagal mendapat keberkatan. 
Ustaz Ahmad Shukri Yusoff berkata, hilangnya keberkatan menyebabkan timbul masalah silih 
berganti dan timbul rasa tidak yakin dalam menghadapi masalah akibat tidak mendapat doa dan redha ibu bapa tadi.

“Kalau ada restu ibu bapa, apabila menghadapi sesuatu masalah, kita rasa yakin boleh menyelesaikannya walaupun masalah itu nampak berat,” ujarnya.  Katanya, perkahwinan itu sesuatu yang membahagiakan tetapi tanpa redha ibu bapa maka lebih mudah berlaku huru-hara. Sebaliknya dengan keredhaan ibu bapa, perkahwinan terasa lebih menyeronokkan.

“Kita sering membaca kisah rumah tangga yang porak-peranda dan berlaku cerai-berai. Kalau dikaji, di hujungnya kita akan dapati perkahwinan itu dulunya tidak mendapat keredhaan ibu bapa. Ada yang disebabkan telah berlaku perkara tidak elok sebelum kahwin maka ibu bapa terpaksa setuju mereka berkahwin walaupun hati kecil mereka tidak meredhainya,” jelasnya.''
Ustaz Ahmad Shukri mengajak kita merenung perkahwinan orang-orang dulu yang jodoh mereka betul-betul atas pilihan ibu bapa.  “Kita tengok jangka hayat rumah tangga mereka lebih lama. Sekarang kahwin bermula dari cinta tapi peratus cerai tinggi. Hendak kata tak kenal, sudah kenal. Hendak kata tak cinta sudah cinta. Di situ sebenarnya peranan keredhaan ibu bapa. Keredhaan ibu bapa lebih kuat daripada cinta. Lafaz cinta tidak sekuat keredhaan ibu bapa,” ungkap Ustaz Ahmad Shukri.

Apabila Ibu Bapa Diam 
Diam ibu bapa dengan pilihan jodoh anaknya mungkin menandakan mereka tidak bersetuju, cuma mereka tidak menyuarakannya secara terus-terang. Menjelaskan perkara ini, Ustaz Ahmad Shukri Yusoff berkata, “Diamnya itu mungkin tanda tidak setuju dengan pilihan anak tetapi dia tidak kata tidak setuju sebab tidak mahu melukakan hati anak.”
Dalam hal ini, katanya, si anak hendaklah cuba memahami isi hati ibu bapa dan menjaga hati mereka.Walaupun diam ibu bapa mungkin juga menandakan mereka berfikir dan bersetuju tetapi si anak perlu bertanya secara berhemah untuk memastikan ibu bapa betul-betul merestui pilihannya.  Katanya, lazimnya jika ibu bapa redha dengan pilihan anaknya, mereka akan iringi dengan nasihatdan kata-kata semangat.
“Tapi jika tiada respons atau hambar saja, anak kena pastikan betul-betul untuk menjaga hati mereka,” ujarnya. Beliau berkata, ada ibu bapa yang menuruti pilihan calon pasangan anaknya setelah didesak atau dipujuk walaupun hati kecil mereka tidak benar-benar meredhainya.
Bawa Berbincang
Hati sudah suka, pasangan ‘ideal’ sudah ditemui tapi ibu bapa pula tidak bersetuju. Bagaimana? Jalan terbaik ialah bawa berbincang, kata Ustaz Ahmad Shukri Yusoff.'

“Itu perlunya syura atau perbincangan. Tetapi apa yang berlaku hari ini adalah pertengkaran, bukan perbincangan. Pertengkaran tidak mendatangkan natijah yang baik.” Katanya, banyak masalah yang nampaknya berat dan tidak boleh diselesaikan tetapi apabila dibawa berbincang, ia selesai akhirnya. Begitu juga dengan masalah pilihan calon pasangan.

“Syura yang diadakan dalam keadaan hati bersih dan baik, insya-Allah natijahnya baik,” katanya sambil menambah, bukan ibu bapa saja perlu mendengar pandangan anak tapi anak juga perlu bersikap terbuka dalam mendengar pandangan ibu bapa.  Ustaz Ahmad Shukri berkata, sikap 
berterus-terang perlu ada dalam berbincang dan kalau perlu, si anak boleh meluahkan perasaannya.
“Ada kes ibu bapa sayang pada anaknya tapi kadang-kadang hendak kawal anaknya dalam semua perkara… Bagi anak, dia rasa dikongkong. Dalam soal ini, ayah atau ibu jangan terlalu ketat sebab Sayidina Ali k.w. menyarankan agar kita mendidik anak mengikut zamannya. Minat dan citarasa tak sama. Bagi si anak, dia juga perlu cuba memahami ibu bapa, kerana niat ibu bapa adalah untuk menjaga demi kebaikan anaknya.”

Menurutnya, jika si anak merasakan ada kongkongan dalam memilih calon pasangan, dia perlu meluahkan isi hatinya tetapi dengan cara yang tertib dan tenang. “Kalau anak diam dan simpan, tidak selesai masalah juga. Memendam perasaan tidak boleh selesaikan masalah. Kena ada proses berterus-terang. Kalau dipendam hingga rasa tertekan, nanti kita akan sakiti hati ibu bapa pula apabila merasakan ibu bapa tidak memahami,” tambahnya.  Katanya, setiap masalah ada penyelesaiannya tapi cara menyelesaikannya perlu betul.
Jaga Hati Mereka Sampai Bila-bila

Hati ibu bapa tetap perlu dijaga sampai bila-bila walaupun seseorang itu sudah ada tanggungjawab lain dalam rumah tangga yang dibina, kata Ustaz Ahmad Shukri Yusoff.

Katanya, bagi seorang wanita yang sudah berkahwin misalnya, tanggungjawab untuk mentaati suami tidak mengurangkan hak ibu bapanya untuk ditaati dan dijaga hati mereka.  “Ada kes anak perempuan yang bila sudah berkahwin, tidak balik jenguk ibu bapa dan tidak hubungi mereka dengan alasan mentaati suami. Tidak dinafikan perlunya taat pada suami tapi dalam masa yang sama dia ada tanggungjawab pada ibu bapa yang hatinya perlu dijaga,” terang beliau.

Beliau menambah, tanggungjawab yang dipikul sebagai isteri atau suami tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabai dan melukakan hati ibu bapa dengan tidak membantu, menghubungi dan mengambil tahu kehidupan mereka. Pendek kata, menurutnya, si anak tidak boleh mengambil sikap, “Saya dah jadi isteri orang atau suami orang, tanggungjawab pada ibu bapa dah kurang.”

“Dalam hidup ini, setiap sesuatu akan dibalas. Jika kita menyakiti hati ibu bapa, apakah kita sanggup satu hari nanti anak kita melakukan perkara yang sama pada kita pula?” soal beliau.


SUMBER : PAKARCINTA
Powered by Blogger.