Saturday, January 3, 2015

UJIAN ALLAH APA HIKMAHNYA ?




UJIAN ALLAH APA HIKMAHNYA ?

Suka duka dalam kehidupan adalah perkara lumrah, setiap orang akan merasai saat yang paling gembira dan juga ada kalanya merasai saat yang menyakitkan hati dan berdukacita. Oleh itu ramai dikalangan kita bertanya kenapakah mereka diuji sedangkan mereka tidak berbuat salah apa-apa ?

Persoalan seperti itu tidak wajar keluar dari lisan seorang hamba yang menyerah diri dan mengerti tujuannya hidup di atas muka bumi ini. Iaitu untuk diuji !

Firman Allah SWT :

Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk : 2)

Hidup ini ialah untuk diuji lalu kenapakah kita mesti mempersoalkan mengapa Allah menguji kita dan mengaitkannya dengan kesalahan-kesalahan tertentu ? Apakah mesti ada kesalahan baru berhak diuji ? Adakah jika kita melakukan semua perintah Allah maka kita akan terselamat daripada diuji ?

Sedangkan baginda Nabi Muhammad SAW  menyebut bahawa yang paling teruk diuji ialah

الأنبياء ، ثم الأمثل فالأمثل ، يبتلى الرجل على حسب دينه

“Para nabi kemudian yang seperti mereka dan yang seperti mereka. Diuji seorang manusia itu berdasarkan kadar agamanya, jika dia seorang yang kuat beragama maka kuatlah pula bala yang diterimanya, dan jika seseorang itu lemah agamanya maka diuji hanya pada kadar agamanya. (tambahan dalam riwayat yang lain menyebut) Tidaklah hilang bala itu pada seseorang hamba sehinggalah dia berjalan di atas tanah dengan telah terhapus segala dosa-dosanya.” (hadith riwayat Ahmad, tirmidzi dan Ibn majah,).


Atau sebenarnya kita ingin memprotes dan mempertikaikan kenapa kita diuji kerana kita telah menunaikan solat, melaksanakan perintah Allah dan sebagainya lalu kita mengharapkan sepatutnya hidup kita tidak lagi diganggu oleh Tuhan dengan apa jua ujian agar kita boleh hidup dengan senang dan bahagia di atas muka bumi ini ?

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ankabut : “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja hidup senang-lenang) mengatakan: "Kami telah beriman", sedangkan mereka belum lagi diuji ?” (Al-Ankabut : 2)

Ujian yang datang daripada Allah membawa dua tujuan iaitu rahmat dan kebinasaan. 

Ianya memberikan rahmat apabila manusia berjaya mengharunginya dengan keimanan dan kesabaran serta lulus pada amal dan perbuatannya sesuai dengan apa yang Allah kehendaki. 

Ujian seperti ini meningkatkan/meninggikan kedudukan seseorang di sisi Allah SWT serta menghapuskan dosanya dan memberikan peluang kepadanya untuk mendapatkan syurga Allah SWT.

Sabda nabi Salallahualaihiwassalam,
إذا أحب الله قوما ابتلاهم
Maksudnya : “Apabila Allah mencintai sesuatu kaum maka Dia akan menguji mereka.” (riwayat Tirmidzi)

Manakala ujian yang kedua pula memberikan musibah dan penyebab kepada kehancurannya di dunia dan di hari akhirat. Iaitu ujian yang berbentuk menjauhkan seseorang daripada agama dan mengeluarkannya daripada jalan Allah.

Firman Allah SWT : “Mereka berkata: "Kami mendapat nasib yang malang, disebabkan kamu dan orang-orang yang bersamu." (Nabi) Soleh berkata: "Nasibmu adalah dari sisi Allah, (bukan kami yang menjadi sebab), tetapi kamu adalah kaum yang diuji."(An-Naml : 47)

Kita semua akan diuji kerana itu merupakan tujuan dan sebab kita diturunkan ke atas muka bumi ini iaitu untuk diuji agar dapat dilihat siapakah yang beriman dan siapakah yang tidak. 

Ujian ialah peluang dan tanda kita dipandang oleh Allah 

Firman Allah SWT : “Dan sungguh akan Kami memberikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah : 155)

Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah hanya menguji orang yang dikasihinya atau yang mahu diberikan peluang untuk mereka beramal manakala orang-orang yang kafir dibiarkan dan tidak dipeduli oleh Allah SWT sebaliknya ditangguhkan balasan ke atas kesalahan-kesalahan mereka agar dihukum di hari akhirat dengan hukuman yang berat. Sedangkan orang yang beriman akan diuji sehingga dosa dan kesalahan mereka terhapus lalu dibangkitkan pada hari akhirat dengan keadaan suci bersih dari dosa.

Ini berdasarkan hadith daripada Anas ra yang menyebut bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda yang bermaksud apabila Allah menginginkan kebaikan kepada seorang hamba maka akan disegerakan hukuman terhadapnya di dunia dan jika Allah mengkehendaki keburukan kepada hambaNya maka dia akan menangguhkan hukuman terhadap dosanya agar dibalas pada hari kiamat.”(riwayat Hakim)

Sabda nabi salallahualaihiwassalam lagi,
من يرد الله به خيرا يُصِبْ منه
Maksudnya : “Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah dengan kebaikan maka dia akan ditimpakan dengan musibah.” (riwayat Al-Bukhari)

Manakala orang yang munafik dan tidak beriman, mereka diberikan kesenangan dan kelalaian sehingga menemui Allah SWT dalam keadaan sia-sia dan menderita akibat tidak beriman dan tidak beramal. 

Bahkan Allah menyebut di dalam Al-Quran, yang bermaksud : “Dan tidakkah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, dan mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran?” (At-Taubah : 126) Kata Imam Ibn Katsir, yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah orang-orang munafik diuji dengan kelaparan dan penyakit setahun sekali atau dua kali. Menandakan sangat sedikit mereka diuji sehingga menimbulkan kelalaian dan keangkuhan dalam diri mereka. 

Apabila Allah menguji hamba-hamba-Nya itu bermaksud Dia masih memberikan peluang dan kesempatan untuk kita bertaubat dan kembali kepadaNya serta mengambil pelajaran. Oleh itu jangan dipandang bahawa orang yang hidupnya tiada masalah, sempurna dan selesa itu sebagai orang yang bertuah atau mendapat rahmat sebaliknya mereka itulah orang yang telah diabaikan dan terlepas peluang dari mendapat rahmat daripada Allah SWT. Oleh itu apababila kita di uji oleh Allah dengan keperitan dan penderitaan, maka kita hendaklah banyak bersabar dan cepat-cepat bertaubat kepada-Nya. Di samping itu kita menghisbah diri tentang apakah kesalahan yang pernah kita lakukan sebelum ini semoga kita bertaubat dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Sepatutnya kita bersyukur kerana di uji oleh Allah kerana kita sebenarnya di sayangi oleh-Nya. Dan bersabarlah semoga pada satu masa akan datang nikmat yang kita tidak sangka-sangka oleh Nya. Ujian itu tanda cinta  Allah kepada kita.


Wallahu alam.


Sumber : pandangan seorang ustaz

Friday, January 2, 2015

CIRI-CIRI ISTERI SOLEHAH



 
PERNIKAHAN merupakan permulaan kepada sebuah hidup yang dipenuhi dengan tanggungjawab sebagai suami dan isteri dan juga tanggungjawab sebagai ibu dan bapa. Sekiranya kita bijak melayari bahtera rumahtangga, kita akan belayar di lautan yang tenang dan membahagiakan. Bukan badai, ombak besar atau ribut taufan yang diharapkan, tetapi cukuplah sekadar ombak kecil yang akan lebih merapatkan hubungan mesra penuh kasih sayang dan meningkatkan kefahaman antara pasangan.

Dibawah ini merupakan kata-kata yang diucapkan oleh Umamah binti Harith kepada anak perempuannya yang bakal bernikah dengan Raja dari Yaman, Al-Harith bin Amru.

”Wahai puteriku, aku ingin memberitahumu sepuluh perkara sebagai pedoman dan panduanmu dalam melayari alam rumahtangga nanti”

1) "Jalinkan hubungan dengan suamimu penuh ketaatan, perhatikan tempat menjadi kesenangannya dan jangan sampai dia melihat kepada sesuatu yang buruk atau tercium sesuatu yang busuk" .

Jangan melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh suami. Malaikat akan melaknat si isteri sehingga waktu subuh seandai si suami tidur dalam keadaan marah terhadapnya.

2) "Hendaklah kamu sentiasa membanggakannya kerana ini akan membuatkannya bertambah kasih padamu".

Selalulah melakukan perkara yang disukainya, pasti suami akan bertambah sayang. Kalau suami suka makan asam pedas, masaklah asam pedas, jangan masak gulai tempoyak pula. Kalau suami suka warna biru, berhiaslah dengan warna biru, jangan berhias dengan warna kelabu pula.

3) "Benarkanlah segala pendapat dan sikapnya nescaya dia akan bersikap lembut terhadapmu".

Berlembutlah dengan suami. Kalau berlaku pertengkaran, selesaikan dengan berhemah. Jangan sampai periuk belanga di dapur yang menjadi mangsa. Kalau suami terkhilaf, tegurlah dengan hikmah kerana lelaki mempunyai ego, tidak mahu dilihat lemah dihadapan perempuan. Oleh itu, berlembutlah.

4) "Kamu hendaklah menguruskan hal ehwal rumah tangga dengan sempurna dan baik".

Kerana itulah seorang isteri itu lebih digalakkan untuk berada di rumah. Rumah merupakan tanggungjawab isteri. Dialah yang akan menjadikan suasana sesebuah rumah itu seperti syurga dunia atau neraka dunia. Bayangkan, jika si isteri bekerja sehingga lewat malam, pasti dia tidak akan mempunyai masa untuk menguruskan rumahtangga dengan baik dan ini boleh menimbulkan perbalahan.

5) "Sentiasalah memelihara diri, keluarga dan kehormatannya".

Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.
(al-Nisa’: 34)

Ketika suami keluar bekerja, peliharalah maruah dirimu. Jangan menjemput orang asing ke rumah sesuka hati. Apabila kita berkahwin, kita bukan hanya berkahwin dengan pasangan kita tetapi juga berkahwin dengan keluarganya. Peliharalah maruah diri suami dan keluarganya. Jangan menceritakan aib mereka kepada orang lain.

6) "Simpankan segala rahsianya dengan baik, jangan kamu sesekali membantah suruhannya kerana ini akan melukakan hatinya".

Orang perempuan, memang suka bercerita tetapi hati-hati jangan sesekali menceritakan tentang suami kita kepada orang lain. Khuatir ada yang jatuh cinta dengan suami kita pula. Kalau suami kita menyuruh kita melakukan sesuatu, taatilah dia selagi mana permintaannya itu tidak melanggar hukum syarak.

7) "Jagalah waktu makannya dan waktu beristirahat kerana apabila perut lapar akan membuatkan darah cepat naik. Begitulah juga dengan tidur yang tidak cukup akan menyebabkan keletihan".

Air tangan seorang isteri mampu memikat hati suami. Jagalah makan minumnya, jangan sampai dia keluar mencari makan di kedai mamak.

8) "Andainya suamimu nanti sedang bergembira, janganlah kamu menunjukkan kesedihan pula, tetapi kamu hendaklah pandai menyesuaikan keadaan dan bijak mengikut suasana hatinya".

Bersama-samalah suami dalam senang dan susah. Jika dia bergembira, anda perlulah menunjukkan anada juga gembira. Dan jika dia bersedih, pujuklah hatinya agar tenang semula supaya dia tahu anda akan selalu bersamanya.

9) "Kamu hendaklah sentiasa menghiasi dirimu selalu supaya suamimu nanti berasa senang apabila menatap wajahmu".
Isteri yang baik adalah isteri yang berhias dan bersolek cantik ketika berada di rumah. Bukannya bersolek dan berhias sakan ketika berada di luar rumah. Ada isteri yang kurang prihatin, apabila dia berada di rumah, badan berbau bawang dan rambut kusut-masai. Suami yang penat bekerja, bertambah penat melihat sikap si isteri. Anehnya, bila keluar ke pasar...amboi, cantiknya mengalahkan Miss Universe. 

10) "Jadikanlah dirimu sebagai amah kepadanya, nescaya nanti suami akan menjadi penolong pula pada dirimu".
Syurga seorang isteri dibawah tapak kaki suami. Teringat kisah ketika zaman Rasulullah SAW, terdapat seorang wanita pada zaman itu yang dikatakan akan mendahului puteri nabi, Fatimah ketika masuk ke syurga. Wanita itu akan berjalan dihadapan Fatimah kerana beliau yang akan memegang tali kuda yang ditunggangi puteri Nabi itu. Ia merupakan ganjaran baginya kerana mentaati suaminya.

Demikianlah 10 petua daripada Umamah binti Harith untuk anak perempuannya yang boleh dijadikan panduan oleh wanita yang berazam mahu menjadi isteri yang solehah.

Sabda nabi SAW :

“Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya : Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau suka”.

Allahu'alam, apa yang penting suami isteri perlu tahu peranan masing-masing dalam hidup berumahtangga. Sikap bertolak ansur dan saling memahami akan mewujudkan sebuah keluarga yang bahagia, harmoni dan melimpah ruah dengan rasa kasih sayang.


Sumber : Ayie Abas

Powered by Blogger.