Saturday, July 26, 2014

PERKARA YANG PERLU DAN JANGAN DILAKUKAN SEMASA SAMBUTAN HARI RAYA IDILFITRI



Hari Raya Idilfitri :
Yang Perlu & Yang Jangan DiLakukan
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman www.zaharuddin.net

Asalamualaikum. Semasa saya mencari idea untuk sama-sama ingat mengimati tentang amalan sunnah di Hari raya idilfitri, tak semena-mena terbaca artikel di blog Dr Zaharuddin Abd Rahman yang bertajuk : Hari Raya Idilfitri : Yang Perlu & Yang Jangan Dilakukan. Isinya sungguh menarik dan banyak pengajaaran. Untuk faedah bersama saya paparkan artikel berkenaan:

Bulan Ramadhan, sudah hampir tiba ke penghujungnya. Bagi individu yang sedar serta menghayati ‘tawaran' bonus yang di berikan oleh Allah SWT dan RasulNya di bulan Ramadhan, mereka sudah pasti akan merasa sedih atau amat sedih dengan pemergiannya.

Sebaliknya orang yang tidak sedar atau tidak ambil endah tentang kelebihannya pasti bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan hebat ini.  Lebih malang lagi, pestanya yang dianjurnya adalah jenis pesta hiburan yang sememangnya bertentangan dengan ruh dan objektif Ramdhan.  

Seolah-olah individu yang berpesta maksiat di permulaan bulan Syawal ini ingin memaklumkan berkenaan ‘peperiksaan' Ramadhannya telah mendapat keputusan ‘gagal', malah telah berjaya terkena doa laknat oleh Malaikat Jibrail untuk mendapat 'kecelakaan', merbahayalah imannya pada bulan-bulan yang mendatang. Nau'zubillah.

Ahhh.. apa peduli apa !..Kata sebahagian mereka

Masalah pasti berterusan kerana sebahagian besar dari mereka yang berpesta maksiat ini tidak mempunyai ilmu bagi mengenal pasti perbezaan antara maksiat dan amal soleh, dosa dan pahala. Malah tiada minat langsung untuk mengetahuinya. 

"waste of time!!" katanya lagi.

Padahal di bulan Ramadhan yang juga digelar bulan Al-Quran, Allah SWT mengarahkan kita merujuk Al-Quran yang fungsinya adalah sebagai Al-Furqan (Pemisah antara yang benar dan yang salah). 

Malang bagi mereka yang masih tidak mahu bernaung dengan petunjuk Al-Quran dan Al-Hadis dalam kehidupan hariannya sejurus selepas Ramadhan ini.
Sebagaimana kata-kata hukama :-

الْقُرْآَنُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ فَمَنْ جَعَلَهُ إِمَامَهُ قَادَهُ إلى الْجَنَّةِ وَمَنْ جَعَلَهُ خَلْفَهُ سَاقَهُ إلى النَّارِ
Ertinya : "Al-quran itu boleh memberi syafaat, barangsiapa yang mengambilnya sebagai pemandu (kehidupannya) nescaya ia akan membawa ke Syurga dan barangsiapa yang meletakkannya di belakangnya, nescaya ia akan mengheret orang itu ke Neraka" ( Riwayat At-Tabrani, Ibn Hibban, 1/331 ; Ia sukar untuk dianggap sebagai hadis kerana perawinya Al-Rabi' bin Badr yang dinilai Matruk ; Majma Az-Zawaid, 7/164)

BOLEHKAH BERSUKARIA DI MUSIM RAYA?

Jika demikian, adakah Muslim di tegah untuk bersuka ria di hari raya dan hanya bersedih sahaja ?.
Jawapannya, bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam. 

Nabi SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :
دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد
Ertinya : "Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" ( Riwayat Al-Bukhari)
 
Mukmin sebenar akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada Allah s.w.t atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan di bulan Ramadhan. 

Sudah tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW : 


من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ

Ertinya "Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )
Selain mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadhan, bergembira juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh' dari godaan Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa "Puasa itu benteng" (Riwayat Al-Bukhari). 

Kerana itu mereka menyambutnya dengan kegembiraan.

MENGAPA ORANG MUKMIN TULEN BERSEDIH?
 
Jika tadi disebut mukmin gembira, kali ini mengapa pula mukmin bersedih dengan pemergian Ramdahan?. 

Secara ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah :- 

1) Peluang untuk meraih ke Syurga yang terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan Syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya. 

2) Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan. 

3) Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan pemergian Ramadhan. 

4) Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT. 

5) Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. (Rujuk artikel lepas) 

Hasil dari sebab inilah, kita dapati ramai ulama silam disifatkan amat sedih dengan pemergian Ramadhan, terutamanya apabila memikirkan samada akan dapat bertemu lagi pelaung sehebat Ramadhan di tahun hadapan. 

TAMATNYA SIRI YANG DIMINATI
 
Bagi sesiapa yang ingin memahaminya dengan lebih lagi. Cuba anda bayangkan anda meminati sebuah rancangan drama di televisyen yang disiarkan tepat jam 5-6 petang setiap hari. 

Rancangan yang tidak pasti akan ada ulangannya atau tidak ini, sudah anda ikuti siri-sirinya sejak sekian lama, tiba-tiba dengan sebab jem yang teruk di jalanan, anda terlepas dari menyaksikannya. Anda juga tidak pasti bagaimana atau samada anda boleh mendapatkan rancangan ulangannya. Demikian juga anda pasti merasakan sedih kerana rancangan kegemaran anda sudah hampir berakhir. Sedangkan anda masih belum puas menontonnya dan menikmatinya. 

Sebagaimana perasaan hiba dua ibubapa yang ingin berpisah dengan anak kesayangannya setelah selesai musim cuti hariraya. 

Dan sebagaimana sedinya ibubapa En Jazimin dan isterinya berpisah dengan buah hati mereka Al-Marhumah Nurin Jazlin buat selama-lamanya.

Demikianlah para mukmin soleh dengan Ramadhan, tamatnya siri hebat ramadhan ini amat memilukan bagi mereka yang hatinya bersinar dengan cahaya iman. 

RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA
 
Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :- 

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .
Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya". 

2) Menjamah makanan sebelum keluar.
Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..." 

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;
Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;
Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalallahu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".
Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك
Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya  dan aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )

5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;
Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.
Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam). 

6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;
Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari) 

7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik (ukhuwwah) sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.

Nabi pernah bersabda :

 مَن سَرّه أن يُبسط له في رزقه ، وأن يُنسأ له في أثره ؛ فَلْيَصِل رَحِمَه
Ertinya : Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim) 


RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA
Dalam pada masa yang sama, secara amat ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-

1) Sentuhan ; Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.

2) Aurat & Ipar ; Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3) Wangian Wanita ; Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram. 

4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin) 

6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.

7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.


ZAKAT FITRAH ( KEWAJIPAN DAN HIKMAHNYA)


Bersempena dengan ketibaan bulan Ramadhan Al-Mubarak, maka umat Islam dituntut juga untuk menunaikan, salah satu daripada rukun Islam yang lima, iaitu menunaikan zakat. Di dalam kitab-kitab fiqah, para fuqaha' telah membahagikan zakat kepada 2 bahagian iaitu :

i. Zakat Harta : ditunaikan sepanjang tahun, setelah cukup syarat-syaratnya.

ii. Zakat Badan : dikenali dengan zakat fitrah, ditunaikan dari 1 Ramadhan hingga sebelum solat sunat Id-Fitri 1 Syawal.

Zakat fitrah ertinya zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu samada lelaki ataupun perempuan, yang kecil mahupun yang besar, merdeka mahupun hamba, dari kalangan orang-orang Islam, dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Ianya jelas dinyatakan oleh Rasulullah ( s.a.w ) di dalam satu hadithnya, yang bermaksud :

"Rasulullah s.a.w telah memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadhan ke atas manusia dengan mengeluarkan satu gantang kurma atau satu gantang syair (sejenis gandum) atas tiap-tiap lelaki dan perempuan, kecil mahupun besar samada merdeka mahupun hamba daripada orang-orang Islam"
( Riwayat Bukhari & Muslim )

Di antara syarat-syarat yang mewajibkan zakat fitrah ditunaikan ialah :
i. Islam

ii. Mempunyai lebihan makanan dan harta untuk keperluan sekeluarga beserta tanggungan, bagi 1 Hari Raya termasuk malamnya.

iii. Anak yang lahir sebelum jatuh matahari pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.

iv. Seseorang yang memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramdhan dan berkekalan Islamnya.

v. Seseorang yang meninggal dunia selepas terbenam matahari pada akhir Ramdhan.
Walaupun kadar zakat fitrah yang dikenakan ke atas setiap individu muslim itu adalah kecil, namun ganjaran dan hikmahnya adalah amat besar. Ini jelas kepada kita melalui sebuah hadith Rasulullah, yang bermaksud :

" Puasa Ramadhan seseorang itu ( puasa yang tidak sempurna ), akan tergantung di antara langit dan bumi, dan ianya tidak akan naik melainkan disempurnakan zakat fitrah"

Daripada hadith ini, jelas kepada kita bahawa, sekiranya amalan puasa yang kita laksanakan di sepanjang bulan Ramadhan, hanyalah sekadar menahan lapar dan dahaga, sedangkan pancaindera kita yang lain masih lagi melakukan perkara-perkara yang mencacatkan puasa tersebut, maka dengan menunaikan zakat fitrah, yang di umpamakan pembersih mahupun menampal segala kekurangan dan kekotoran yang dilakukan selama sebulan Ramadhan tersebut.

Dalam satu hadith lain, Rasulullah menegaskan melalui sabdanya yang bermaksud :

"Rasulullah s.a.w telah memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadan untuk menyucikan bagi orang yang berpuasa daripada segala perkataan yang keji dan sia-sia dan untuk memberi makanan bagi orang-orang miskin"

Hadith ini pula menjelaskan kepada kita, betapa ibadah zakat fitrah ini, mempunyai hubungan yang rapat dengan perihal kemasyarakatan. Di mana golongan yang kurang bernasib baik akan merasakan juga kegembiraan dan kebahagian khususnya dalam menyambut Id-Fitri. Mereka ini juga akan merasakan bahawa, masyarakat tidak akan melupakan, bahkan bersama-sama untuk membantu mereka dalam mewujudkan suasana tolong-menolong pada hari yang berbahagia itu. Ini bersesuaian dengan satu hadith Rasulullah yang bermaksud :

"Cukupkanlah mereka ( orang yang meminta-minta ) pada hari itu ( Id-Fitri )"
Dewasa ini , kebanyakan masyarakat mengambil kesempatan untuk menunaikan ibadah zakat fitrah ini, dengan mengambil waktu afdhal iaitu sebelum sembahyang sunat hari raya. Namun demikian dikhuatiri fanomena seperti ini akan memberikan kesulitan kepada para amil, khususnya diwaktu hampir ingin mendirikan sembahyang sunat Id-Fitri. Sehubungan dengan itu, Rasulullah telah menjelaskan dalam satu hadithnya yang bermaksud :

"…Maka sesiapa yang mengeluarkan zakat fitrah sebelum sembahyang Hari Raya, maka itulah yang diterima dan sesiapa yang mengeluarkannya sesudah sembahyang Hari Raya, maka ianya hanyalah merupakan sedekah sahaja"

Para ulama' fiqah telah mengkelaskan waktu-waktu dalam menunaikan zakat fitrah ini, iaitu :

i. Waktu wajib : setelah terbenam matahari akhir Ramadhan sehingga terbit fajar Hari Raya Id-Fitri.
ii. Waktu Afdhal : selepas Subuh pada Hari Raya hingga sebelum sembahyang sunat Id-Fitri.
iii. Waktu Harus : sepanjang bulan Ramadhan bermula dari awal Ramadhan.
iv. Waktu makruh : selepas sembahyang sunat Id-Fitri hingga terbenam matahari pada 1 Syawal.
v. Waktu haram : jika dita'khirkan sehingga terbenam matahari 1 Syawal.

Masyarakat Islam setempat juga, diseru agar dapat menunaikan ibadah zakat fitrah ini melalui amil-amil zakat fitrah yang dilantik. Ini kerana bagi menjamin keberkesanan pengagihan yang akan dibuat oleh pihak berkuasa Agama Negeri contohnya kalau di Negeri Sembilan ialah Baitul Mal, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Walaupun sebahagian ulama' berselisih pendapat berhubung dengan penyerahan terus zakat fitrah ini kepada yang berhak, namun adalah lebih baik diserahkan melalui amil-amil yang dilantik kerana ini akan membolehkan ianya diagihkan dengan lebih menyeluruh kepada asnaf yang berhak di seluruh negeri, berbanding dengan hanya seorang sahaja yang menerima.

Dalam kita membicarakan zakat fitrah ini juga, aspek keikhlasan dan kepatuhan dalam menunaikan ibadah kepada Allah juga, hendaklah dititik beratkan. Ini kerana, terdapat juga segelintir masyarakat yang enggan menunaikannnya dan tidak kurang juga yang menunaikannya dalam keadaan terpaksa, seolah-olah ibadah zakat fitrah ini dianggap bebanan kepada mereka. Justeru itu, marilah kita sama-sama merenung sejenak, berapa banyakkah nikmat Allah yang telah kita perolehi ? Berapa banyakkah kemudahan yang disediakan oleh Allah, yang kita gunakan, yang telah memberikan manfaat kepada kita di muka bumiNya ini ? Lantaran itu, apalah sangat zakat fitrah yang hanya diwajibkan sekali setahun, kalau dibandingkan dengan nikmat Allah yang telah kita gunakan. Allah berfirman dalam Al-Quran, yang bermaksud :

"…janganlah hendaknya kamu batalkan pahala sedekah ( zakat ) kamu itu dengan rungutan dan kata-kata kesat ( menyakitkan ) kepada orang yang menerima"

Akhirnya, marilah kita sama-sama berazam untuk menunaikan ibadah zakat ini samada zakat fitrah mahupun zakat harta, demi melaksanakan satu ibadah yang bukan sahaja menyucikan diri manusia dari sudut peribadatan, malah ianya juga merupakan benteng kepada harta benda kita disamping, membuktikan tanda kesyukuran kita ke atas nikmat Allah yang maha luas ini. Rasulullah dalam satu hadithnya menyatakan, maksudnya :

"Bentenglah harta benda kamu dengan menunaikan zakat"


sumber: Ustaz Nor Azmi Hj Musa

ZAKAT FITRAH



Zakat Fitrah

APAKAH PENGERTIAN ZAKAT FITRAH
 ZAKAT FITRAH IALAH ZAKAT DIRI YANG DIWAJIBKAN KE ATAS SETIAP UMAT ISLAM LELAKI DAN PEREMPUAN YANG BERKEMAMPUAN DENGAN SYARAT-SYARAT YANG TELAH DITETAPKAN OLEH SYARAK.
APAKAH SYARAT WAJIB MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH
- INDIVIDU YANG MEMPUNYAI LEBIHAN MAKANAN ATAU HARTANYA DARI KEPERLUAN DIRI DAN TANGGUNGANNYA PADA SATU SYAWAL
-ANAK YANG LAHIR SEBELUM (URUF) MATAHARI AKHIR BULAN RAMADAN DAN HIDUP SELEPAS TERBENAM MATAHARI RAMADAN.
-MENGANUT ISLAM SEBELUM TERBENAM MATAHARI PADA AKHIR BULAN RAMADAN DAN BERKEKALAN ISLAMNYA SEHINGGA AWAL SYAWAL.
-SESEORANG YANG MENINGGAL DUNIA SELEPAS TERBENAM MATAHARI AKHIR RAMADAN.
BILAKAH WAKTU PEMBAYARAN ZAKAT FITRAH
WAJIB : AKHIR RAMADAN SEHINGGA TERBIT MATAHARI
SUNAT : SEPANJANG BULAN RAMADAN
MAKRUH : SELEPAS SOLAT HARI RAYA SEHINGGA TERBENAM MATAHARI PADA SATU SYAWAL
HARAM : SELEPAS TERBENAM MATAHARI PADA SATU SYAWAL ( HUKUMNYA BERDOSA TETAPI WAJIB DITUNAIKAN SEGERA ZAKAT FITRAH DAN DIKIRA QADA. 
APAKAH DALIL ZAKAT FITRAH
DARI RIWAYAT AL-BUKHARI BERMAKSUD 
" NABI S.A.W MEMFARDHUKAN ZAKAT FITRAH DENGAN KADAR SATU GANTANG DARIPADA TAMAR ATAU SATU GANTANG DARIPADA TEPUNG KE ATAS HAMBA DAN MERDEKA, LELAKI DAN WANITA, KANAK-KANAK DAN DEWASA DARIPADA ORANG ISLAM. "
ADAKAH WAJIB BERNIAT KETIKA MEMBAYAR ZAKAT FITRAH
ZAKAT FITRAH ADALAH MERUPAKAN SATU IBADAH , MENGIKUT PARA ULAMA BERSETUJU BAHAWA DIPERLUKAN NIAT DALAM MASALAH ZAKAT. INI BERDASARKAN SABDA NABI S.A.W :
" SESUNGGUHNYA AMALAN ITU DENGAN NIAT " (RIWAYAT AL-BUKHARI)
MAKA SETIAP PEMBAYAR ZAKAT ATAU WAKILNYA WAJIB  BERNIAT MENGELUARKAN ZAKAT FITRAH UNTUK DIRI SENDIRI DAN TANGGUNGANNYA ATAU SEBAGAI WAKIL.


Sumber : PZS
Powered by Blogger.