Introducing San Francisco

Wednesday, August 13, 2014

CONTOHI RASULULLAH BILA BERMESRA DENGAN ISTERI



BAGAIMANA RASULULLAH SAW BERMESRA DENGAN ISTERI

Sabda Rasulullah SAW: Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

Ketika kita menempuh bahtera rumah tangga, ketika kita sedang menjalankan perintah Allah dan Rasul-Nya, kita dianjurkan untuk melihat kembali kecintaan kita kepada keluarga Nabi. Dalam memperkuat kecintaan kita kepada keluarga Nabi di dalam mengayuh bahtera keluarga, kita diwajibkan meneladani perilaku kehidupan keluarga Rasulullah, baik perilaku terhadap isteri mahupun anak.

Dalam menggauli dan memperlakukan isteri-isteri Baginda, Rasulullah s.a.w. senantiasa menghormati dan menjaga perasaan isteri-isterinya melebihi suami-suami yang lainnya. Satu saat ketika Rasulullah hendak melaksanakan solat malam, beliau dekati isterinya Aisyah sampai Aisyah berkata: Di tengah malam beliau mendekatiku dan ketika kulitnya bersentuhan dengan kulitku beliau berbisik, “Wahai Aisyah, izinkan aku untuk beribadah kepada Tuhanku.”

Kita bayangkan betapa besar penghormatan Rasulullah kepada isterinya sampai ketika beliau hendak melakukan solat malam, beliau terlebih dahulu meminta izin kepada isterinya pada tengah malam, di saat isterinya memerlukannya. Pada izin Rasulullah itulah tergambar kecintaan dan penghormatan terhadap isterinya.

Nabi adalah sosok yang sangat sabar dalam memperlakukan isterinya. Hal ini terlihat ketika suatu hari ada salah seorang isterinya datang dengan membawa makanan untuk dikirim kepada Rasulullah yang sedang tinggal di rumah Aisyah. Aisyah dengan sengaja menjatuhkan kiriman makanan itu hingga piringnya pecah dan makanannya jatuh berderai. Rasulullah hanya mengatakan, “Wahai Aisyah, kifaratnya adalah mengganti makanan itu dengan makanan yang sama.”

Rasulullah mengecam suami-suami yang suka memukuli isteri-isterinya sampai Rasulullah berkata, “Aku hairan melihat suami-suami yang menyeksa isterinya padahal dia lebih patut disiksa oleh Allah SWT.”

Nabi pun mengecam suami-suami yang menghinakan isteri-isterinya, tidak menghargainya, tidak mengajaknya bicara, dan tidak mempertimbangkan isterinya dalam mengambil keputusan. Nabi bersabda, “Tidak akan pernah memuliakan isteri kecuali lelaki yang mulia dan tidak akan pernah menghinakan isteri kecuali lelaki yang hina.” Kerana itu marilah kita berusaha menjadi suami yang mulia yang menempatkan isteri pada tempat yang mulia.

Kemesraan pasangan adalah penting untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga dan Rasulullah s.a.w. telah mencontohkan kemesraan tersebut dengan isteri-isteri baginda.

Tidur dalam satu selimut bersama isteri
Dari Atha’ bin Yasar: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. dan Aisyah r.a. biasa mandi bersama dalam satu bejana. Ketika baginda sedang berada dalam satu selimut dengan Aisyah, tiba-tiba Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya, “Mengapa engkau bangkit?” Jawab Aisyah, “kerana saya haid, wahai Rasulullah.” Sabda Rasulullah, “Kalau begitu, pergilah, lalu berkainlah dan dekatlah kembali padaku.” Aku pun masuk, lalu berselimut bersama beliau.” (Hadis Riwayat Sa’id bin Manshur)

Memberi wangi-wangian pada aurat
 Aisyah berkata, “sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila meminyaki badannya, baginda akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri baginda meminyaki bahagian lain tubuh Rasulullah s.a.w. (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Meminta isteri meminyaki badan
Dari Aisyah r.a, beliau berkata, “Saya meminyaki badan Rasulullah s.a.w. pada hari Raya ‘Aidil Adha’ setelah beliau melakukan jumrah aqabah.” (Hadis Riwayat Ibnu ‘Asakir)

Mandi bersama isteri
Dari Aisyah r.a. beliau berkata, “Aku biasa mandi bersama Nabi s.a.w. menggunakan satu bejana. Kami biasa bersama-sama memasukkan tangan kami (ke dalam bejana tersebut).” (Hadis riwayat Abdurrazaq dan Ibnu Abu Syaibah)

Disikatkan oleh isteri
Dari Aisyah r.a, beliau berkata, “Saya biasa menyikat rambut Rasulullah s.a.w, ketika itu saya sedang haid.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Rasulullah S.A.W. bersabda bermaksud: Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya lebih baik dari isteri itu mengerjakan haji dan umrah

Minum bergantian pada tempat yang sama
Daripada Aisyah r.a., dia berkata: “Saya biasa minum dari cawan yang sama walaupun ketika haid. Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat saya meletakkan mulut, lalu Baginda minum, kemudian saya mengambil cawan tersebut dan lalu menghirup isinya, kemudian Baginda mengambilnya dari saya, lalu Baginda meletakkan mulutnya pada tempat saya letakkan mulut saya, lalu Baginda pun menghirupnya. ” (Hadis Riwayat Abdurrazaq dan Said bin Manshur)

Membelai isteri
“Adalah Rasulullah s.a.w. tidaklah setiap hari melainkan beliau mesti mengelilingi kami semua (isterinya) seorang demi seorang. Baginda menghampiri dan membelai kami tetapi tidak bersama sehingga Baginda singgah ke tempat isteri yang menjadi giliran Baginda, lalu Baginda bermalam ditempatnya. ” (Hadis Riwayat Ahmad)

Mencium isteri
Dari Aisyah r.a, “bahawa Rasulullah s.a.w. biasa mencium isterinya setelah mengambil wuduk, kemudian Baginda bersembahyang dan tidak mengulangi wuduknya.” (Hadis Riwayat Abdurrazaq)
Dari Hafshah, puteri Umar r.a., “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. biasa mencium isterinya sekalipun sedang berpuasa.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Berbaring di pangkuan isteri
Dari Aisyah r.a., “Nabi s.a.w. biasa meletakkan kepalanya di pangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian beliau membaca Al-Quran.” (Hadis Riwayat Abdurrazaq)

Memanggil dengan panggilan mesra
Rasulullah s.a.w. biasa memanggil Aisyah dengan beberapa nama panggilan yang di sukainya seperti Aisy dan Umairah (pipi merah delima).

Menyejukkan kemarahan isteri dengan mesra
Nabi s.a.w. biasa memicit hidung Aisyah jika dia marah dan Baginda berkata, “Wahai Uwaisy, bacalah doa: Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku dari fitnah yang menyesatkan. ” (Hadis Riwayat Ibnu Sunni)

Membersihkan titisan darah haid isteri
Dari Aisyah r.a., dia berkata, “Aku pernah tidur bersama Rasulullah s.a.w. di atas satu tikar ketika aku sedang haid. Apabila darahku menitis di atas tikar itu, Baginda mencucinya pada bahagian yang terkena titisan darah dan baginda tidak berpindah dari tempat itu, kemudian beliau sembahyang di tempat itu pula, lalu Baginda berbaring kembali di sisiku. Apabila darahku menitis lagi di atas tikar itu, Baginda mencuci pada bahagian yang terkena titisan darah itu saja dan tidak berpindah dari tempat itu, kemudian baginda pun sembahyang di atas tikar itu.” (Hadis Riwayat Nasai)

Memberikan hadiah
Dari Ummu Kaltsum binti Abu Salamsh, ia berkata, “Ketika Nabi s.a.w. menikah dengan Ummu Salamah, Baginda bersabda kepadanya, “Sesungguhnya aku pernah hendak memberi hadiah kepada Raja Najasyi sebuah pakaian berenda dan beberapa botol minyak kasturi, namun aku mengetahui ternyata Raja Najasyi telah meninggal dunia dan aku mengagak hadiah itu akan dikembalikan. Jika hadiah itu memang dikembalikan kepadaku, aku akan memberikannya kepadamu.” Dia (Ummu Kaltsum) berkata, “Ternyata keadaan Raja Najasyi seperti yang disabdakan Rasulullah s.a.w. dan hadiah tersebut dikembalikan kepada Baginda, lalu Baginda memberikannya kepada masing-masing isterinya satu botol minyak kasturi, sedang sisa minyak kasturi dan pakaian tersebut Baginda berikan kepada Ummu Salamah.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Segera menemui isteri apabila tergoda
Dari Jabir, sesungguhnya Nabi s.a.w. pernah melihat wanita, lalu Baginda masuk ke tempat kediaman Zainab, untuk melepaskan keinginan Baginda kepadanya, lalu keluar dan bersabda, “Wanita kalau menghadap, ia menghadap dalam rupa syaitan. Apabila seseorang di antara kamu melihat wanita yang menarik, hendaklah ia mendatangi isterinya kerana pada diri isterinya ada hal yang sama dengan yang ada pada wanita itu.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Begitu indahnya kemesraan Rasulullah s.a.w. kepada para isteri Baginda, memberikan gambaran betapa Islam sangat mementingkan sikap kerana sikap dan perbuatan baik cara yang paling efektif menyatakan rasa cinta, kasih dan sayang antara suami dan isteri. Inilah teladan yg perlu dicontohi.

Berkhidmat pada isteri
Salah satu ibadah yang paling besar di dalam Islam adalah berkhidmat kepada isteri. Rasulullah bersabda, “Duduknya seorang lelaki dengan isterinya kemudian membahagiakan isterinya, pahalanya sama dengan orang yang itikaf di masjidku.”

Kita dapat saksikan para jemaah haji ketika tinggal selama seminggu di sana mereka berusaha melakukan itikaf dengan sebaik-baiknya di masjid Nabawi. Kita akan memperoleh pahala yang sama seperti itikafnya para jamaah haji kalau kita duduk bersama isteri dan berusaha membahagiakan, memberikan ketenteraman dan keselesaan kepadanya.

Begitu pula bagi para isteri. Mereka haruslah menjadi seorang isteri seperti Khadijah Al-Kubra. Khadijah adalah sosok isteri yang sangat dicintai oleh suaminya. Selama Rasulullah menikah dengannya, Rasulullah tidak pernah memikirkan the other women beside her, wanita lain di samping Khadijah. Rasulullah hidup dalam suasana yang penuh dengan kecintaan dan kasih sayang.

Cinta kasih Nabi terhadap Khadijah tergambar dalam riwayat berikut ini: Setelah Khadijah meninggal dunia, Rasulullah menikah dengan Aisyah. Suatu hari Rasulullah sedang berada di depan rumah. Tiba-tiba Rasulullah meninggalkan Aisyah menuju kepada seorang perempuan. Rasulullah memanggilnya dan menyuruh perempuan itu duduk di hadapan-nya kemudian mengajaknya berbicara.

Sabda Rasulullah S.A.W. – Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki.

Aisyah bertanya, “Siapakah perempuan tua ini?” Rasulullah menjawab, “Inilah sahabat Khadijah dulu.” Lalu Aisyah berkata, “Engkau sebut-sebut juga Khadijah padahal Allah telah menggantikannya dengan isteri yang lebih baik.”

Ketika itu marahlah Nabi sampai bergoncang rambut di atas kepalanya. Lalu beliau berkata, “Demi Allah, tidak ada yang dapat menggantikan Khadijah. Dialah yang memberikan kepadaku kebahagiaan ketika orang menghinaku. Dialah yang menghiburku dalam penderitaan ketika semua orang membenciku. Dialah yang memberikan seluruh hartanya kepadaku ketika semua orang menahan pemberiannya. Dan dialah yang menganugerahkan kepadaku anak ketika isteri-isteri yang lain tidak memberikannya. ” Mendengar itu Aisyah tidak dapat memberikan jawaban. Hadis ini diriwayatkan dalam Shahih Bukhari dan Muslim.

Dalam ucapan Rasulullah itu, selain terkandung kecintaan Rasul terhadap Khadijah, juga terkandung kebaktian Khadijah terhadap suaminya. Khadijahlah yang menghibur suaminya ketika dalam perjuangan dilanda berbagai penderitaan. Khadijahlah yang mengorbankan seluruh hartanya ketika suaminya memerlukan. Khadijahlah yang mendampingi suaminya dalam suka dan duka. Sehingga Rasul berkata, “Tidak ada seorang pun yang dapat menggantikan Khadijah.”

Kepada para isteri, jadilah seperti Khadijah yang setiap saat rela mengorbankan apa pun demi kebahagiaan suami. Yang di saat-saat suami ditimpa duka dan kesusahan siap berdiri di sampingnya, memberikan hiburan dan kebahagiaan kepadanya dengan seluruh jiwa dan raga.

Kebaktian kepada suami di dalam Islam dianggap ibadah yang utama. Sampai Rasulullah bersabda, “Kalau seorang perempuan memberikan setitis minum kepada suaminya atau memindahkan barang dari rumahnya ke tempat yang lain untuk membahagiakan suaminya, maka pahalanya sama dengan melakukan ibadah satu tahun.” Oleh sebab itu, hormatilah suami. Berikan kepadanya penghormatan yang sepenuhnya dan berikanlah kecintaan yang sepenuhnya. Insya Allah, Tuhan akan berkati keluarga yang seperti demikian.

APA KATA RASULULLAH TENTANG WANITA DAN ISTERI

1. Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan iaitu wanita (isteri) yang solehah.
(Riwayat Muslim)
2. Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi, agar mereka mencium bau harumnya,maka ia  adalah perempuan zina, dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina. (Riwayat Ahmad,Thabrani dan Hakim)
3. Dikahwini wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka carilah yang kuat beragama, nescaya kamu beruntung.
4. Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (RiwayatAhmad Ibnu Hibban, Thabrani, Anas bin Malik)
5. Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias bukan untuk suaminya dan muhrimnya adalah seumpama gelap gelita di hari khiamat, tiada nur baginya.(Riwayat Termizi)
6. Apabila lari seorang wanita dari rumah suaminya, tidak diterima sembahyangnya sehingga ia kembali dan menghulurkan tangan kepada suaminya (meminta maaf). (Riwayat dari Hassan)
7. Wanita yang taat pada suami, semua burung-burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristighfar baginya selama ia masih taat pada suaminya dan diredhainya serta menjaga sembahyang dan puasanya. (Riwayat Muaz bin Jabal)
8. Mana-mana wanita yang berdiri di atas kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka. Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya di dalam urusan agama, maka Allah memasukkannya dalam syuga lebih dahulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan menghadapnya.
Ya Fatimah, jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya dan memotong misainya dan mengerat kukunya, memberi minum Allah akan dia sungai syurga, diiringi Allah baginya sakaratul maut dan akan didapati kubur menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta mencatatkan Allah baginya kelepasan dari neraka dan selamatlah ia melintasi titian Siratul-mustaqim. (Riwayat Muaz bin Jabal)
9. Mana-mana wanita yang berkata kepada suaminya “tidak pernah aku dapat dari engkau satu kebajikan pun”. Maka Allah akan hapuskan amalannya selama 70 tahun, walaupun ia berpuasa siang hari dan beribadah pada malam hari.
10. Apabila wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan. Apabila wanita mulai sakit untuk bersalin, Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah. Apabila wanita melahirkan anak keluarlah dosa-dosa darinya seperti keadaan ibunya melahirkannya.
Betapa besarnya peranan wanita yang ditetapkan oleh Islam, wanita solehah yang taat perintah agama dan taat kepada suami pada setiap masa , dijanjikan syurga oleh Allah SWT.

Sumber: :Kisah Teladan

Tuesday, August 12, 2014

BAGAIMANA MEMPERBAIKI SIKAP ?



Bagaimana Memperbaiki Sikap Anda ?

Sikap anda melambangkan segala-galanya. Ia menunjukkan bagaimana anda melihat perkara-perkara di sekeliling anda, bagaimana anda menghadapi sesuatu situasi, dan bagaimana anda berfikir mengenai hidup ini. Perbezaan antara sikap yang positif dan negatif boleh dianggapkan sebagai perbezaan antara kehidupan yang positif dan yang negatif.
Panduan berikut adalah ringkas dan sangat efektif. Amalkannya hari ini dan lihatlah perbezaannya serta merta.

1. Bangun Awal!
Bangun awal dan berjalan-jalan pada waktu pagi adalah cara yang sangat baik untuk memulakan hari anda. Lima belas atau dua puluh minit sudah cukup untuk menikmati udara pagi yang segar.

2. Esok Adalah Hari Baru
Apabila perjalanan hidup anda menjadi sukar, ingatlah bahawa masa yang berlalu membawa bersama kesedihan anda. Mungkin agak sukar untuk anda bayangkan bahawa keadaan akan menjadi lebih baik, tetapi yakinlah.

3. Kawal
Satu-satunya orang yang boleh memberi anda sikap yang baik ialah anda sendiri. Apa yang lebih menarik lagi ialah, ia boleh berlaku bila-bila sahaja yang anda mahu. Anda boleh bangun esok hari dengan azam dan semangat yang baru. Mengapa? Ini kerana sikap anda adalah di bawah kawalan anda sendiri. Anda tidak perlu minta izin dari sesiapa untuk mengubahnya.

4. Rakan-rakan
Anda mungkin cuba untuk bersikap positif, tetapi rakan-rakan dan teman sekerja anda pula mempunyai sikap negatif, lantas menyebabkan anda mula hilang keyakinan. Orang di sekeliling anda boleh mempengaruhi sikap anda. Jarang kita lihat seorang yang berfikiran positif berada di dalam kumpulan orang yang bersikap negatif. Sikap negatif boleh berjangkit, oleh itu pastikan anda jauhi situasi yang negatif.

5. Pemakanan yang sihat
Anda mungkin telah mendengar perkara ini beribu-ribu kali, tetapi dengarlah sekali lagi. Pemakanan yang betul adalah penting untuk mengekalkan tenaga, kepekaan dan sikap yang positif. Tanpa sumber tenaga yang mencukupi, badan anda tidak boleh berfungsi dengan sempurna. Jika anda berasa letih atau bersikap negatif, tanya diri anda, “Sudahkah saya makan hari ini?”

6. Tidur
Tidur yang cukup sama penting dengan pemakanan yang sihat. Ianya sangat jelas, tetapi masih ramai orang yang tidak cukup tidur pada waktu malam. Tanpa rehat yang cukup, badan dan minda menjadi letih, gusar dan tidak bermaya sepanjang hari. Kesan yang sama juga boleh berlaku jika anda terlebih tidur. Pastikan anda mendapat tidur yang cukup setiap malam.

7. Hobi Sebagai Penyelamat
Adalah penting bagi anda mempunyai hobi atau aktiviti yang boleh anda lakukan apabila berhadapan dengan masalah atau hari yang panjang dan meletihkan. Bersukan, membaca, mengumpul barang-barang aktik dan sebagainya adalah cara yang baik untuk lari daripada kesibukan dan untuk berseronok.

8. Layan Orang Lain Dengan Baik
Memang benar, anda dapat apa yang anda berikan. Apabila anda melayan orang lain dengan positif dan hormat, anda juga akan menerima layanan yang sama. Alihkan tumpuan dari diri sendiri kepada orang lain dan jadikan semangat memberi sebagai alasan anda memperbaiki pandangan anda terhadap dunia ini.

9. Gambaran Yang Lebih Besar
Apabila anda melihat dunia ini secara keseluruhannya, kesukaran dan halangan yang berlaku dalam hidup anda kelihatan tidak seburuk yang anda fikirkan. Anda mungkin merasakan hidup anda sukar, tetapi ada lagi orang lain yang mempunyai nasib lebih teruk dari anda. Anda harus bersyukur dengan apa yang ada.

10. Cuba Sesuatu Yang Baru
Jika anda merasa tertekan dan memerlukan jalan keluar, cubalah sesuatu yang baru. Main alat muzik yang baru, cuba sukan yang baru, atau kenalpasti bakat yang terpendam dalam diri anda. Ini dapat menambah keseronokan dan keceriaan dalam hidup anda.

11. Bukti                                                                                                     
Ada orang yang telah berjaya melakukan apa yang anda sedang cuba lakukan, dan kerana itulah anda harus bersikap positif terhadap masa depan anda. Tidak kira apa yang ingin anda capai, ada orang yang telah berjaya melakukannya. Ini bermakna anda juga boleh melakukannya. Kita semua manusia, dan kita semua mempunyai 24 jam sehari. Jika mereka boleh melakukannya, anda juga boleh.
\
12. Berhenti
Jika hari anda bermula dengan teruk, carilah jalan untuk mengubahnya. Akui bahawa anda tidak gembira dan atasilah masalah yang dihadapi. Permulaan yang buruk boleh bertukar menjadi penghujung yang menggembirakan.

13. Anda Memerlukan Hari Yang Buruk
Tidak mengapa jika anda mempunyai hari yang buruk. Ada orang yang tidak boleh menerima kenyataan ini. Mereka fikir satu hari yang buruk tidak boleh diterima, dan membuatkan situasi bertambah buruk. Setiap orang pasti akan menghadapi hari yang buruk. Apa yang penting ialah pastikan kita memperbaiki hari esok. 

14. Tuliskan
Inginkan sikap positif? Terangkan sikap anda dalam bentuk tulisan. Rancangan anda akan menjadi lebih mudah untuk dicapai jika anda tahu apa yang anda mahu. Walau bagaimanapun, tidak cukup dengan hanya mengetahui bahawa anda mahukan sikap yang lebih baik. Tulis dengan terperinci, rancangkan kerja anda, dan jalankan rancangan anda.

15. Bantuan
Sokongan rakan-rakan dan keluarga adalah penting untuk anda terus berada di jalan yang betul. Beritahu rakan-rakan anda mengenai keinginan anda mempunyai sikap yang lebih baik dan minta mereka beritahu anda apabila anda mula bersikap negatif. Anda mungkin tidak mahu mengaku bahawa anda mempunyai sikap negatif, tetapi rakan-rakan anda pasti akan memberitahu anda.

16. Jadi Si Optimis
Menjadi seorang yang optimis dapat membantu anda melihat hidup anda dari sudut yang positif. Apabila seorang rakan datang mengadu tentang masalahnya, ingatkan diri anda bahawa anda sedang cuba memperbaiki sikap anda dan cubalah sedaya upaya untuk memberikan nasihat yang positif. Tidak perlu banyak, tetapi ia hendaklah mempunyai unsur-unsur positif.

Gunakan panduan di atas, dan anda akan dapati diri anda berubah menjadi seorang optimis sebenar!


Sumber : Jason Gracia


Powered by Blogger.