Introducing San Francisco

Friday, August 22, 2014

ROMANTIK ITU SUNNAH NABI




Rasulullah Sollahhu ‘Alaihi Wasallam (SAW) adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik. Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat ke-4 yang bermaksud : “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.”
Sifat-sifat yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menempatkan baginda sebagai tumpuan hati. Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda.

Isteri Sebagai Bukti
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah serikandi rumahtangga baginda. Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
Walaupun Rasulullah SAW seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah-olah sedang menghayati novel cinta romantik.

Mandi Bersama
Diberitakan bahawa Rasulullah SAW pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa  Aisyah berkata bahawa : ”Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.

Hantar Isteri Keluar Rumah
Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata :
“Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu).” [Hadis Bukhari dan Muslim]
Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta.”

Bukakan Pintu Kereta
Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.

Bawa Isteri Jalan-Jalan
Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa ”Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya.”
Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim)

Suapkan Makanan
Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya. Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.” Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan?

Belaian & Bermanja
Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa :
“Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian.”
Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid.”
Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW. Aisyah berkata ”Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku.”
Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa :
“Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW”. (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.

Pengubat Hati 
Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda bukanlah sekadar pemerhati. Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa :
“Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim)
Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.

Bergurau Senda
Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) ke rumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk di antara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau diatas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata :
“(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu.”
Saodah menolak dengan berkata : “Aku tidak akan memakannya.”
Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya)
Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan.

Panggilan Manja
Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar merah”. Ia membuatkan ikatan itu lebih intim.
Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.

Jangan Malu Jadi Romantik
Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluang masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.
Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang suami; adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet?
Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.



Sumber; Iluvislam

KELUARGA BAHAGIA ( Cinta Sampai Ke Syurga) : SENTIASA MEMBENTUK SIFAT POSITIF DAN ISTIMEWA



          Sentiasa membentuk sifat positif dan istimewa.

Kebenarannya telah terbukti, dimana saya telah mengamalkannya dengan mengambil beberapa tindakan yang boleh memberi keyakinan kepada isteri bahawa suaminya adalah seorang yang “istimewa” kerana mempunyai keistemewaan tersendiri.

Saya telah melakukan beberapa tindakan berikut untuk menonjolkan diri sebagai seorang suami yang amat istimewa di kaca mata isteri. Sebenarnya perkara ini bukan dirancang, tetapi telah menjadi perangai peribadi saya semnjak remaja lagi.

“Ayang paling respect abang, kerana  tidak merokok’. Luah isteri kepada saya semasa kami dalam mood ‘Berbulan Madu’ dulu.

Sememangnya saya ditakdirkan tidak merokok, kerana bagi saya merokok adalah merugikan dan perbuatan sia-saia. Mana tidaknya mulut berbau, boleh menyebabkan penyakit paru-paru seperti batuk, dan lebih serius kanser. Lagipu mengikut pandangan ulamak merokok adalah makruh, malah ada yang memfatwakan merokok adalah “haram” di sisi Islam.

Bila sebut tentang rokok. Di minda saya sering teringat satu peristiwa yang menyayat hati, dimana pada suatu hari berkebetulan saya pergi ke hospital untuk menziarahi sahabat yang sakit. Semasa di dalam lif saya tersempak dengan seorang kawan lama. Kawan serumah sewa semasa kami menutut di sekolah menengah tahun 60an dulu. Aziz namanya.

“ Assalamualaikum, you aziz bukan” saya menegerunya. Dia agak terperanjat.
“ Waalaikumussalam. Nik ke, tak perasan tadi”. Dia membalas teguran saya denga memberi isyarat tangan kerana suaranya tidak kedengaran dengan jelas.
“ Kenapa dengan you ziz”. Saya cuba dapat penjelasan.
“ I dah lama sakit kanser kerongkong, doktor telah buang sebahagian dari kerongkong saya”. Sambil tangannya menunjukkan kearah tengkak yang berbalut dengan plaster.
“ Kotak suara saya dah rosak” suaranya bunyi perlahan seperti orang berbisik dan parau.
Saya menganggukkan kepala tanda faham dengan apa yang di cakapkannya. Saya masih ingat di masa kami tinggal serumah sewA dahulu dia adalah di antara perokok tegar. Hisab rokok lebih sekotak (20 batang) sehari. Sekarang ini telah dapat kesanya yang amat perit untuk di tanggung. Tapi apa boleh buat semuanya telah berlaku, terpaksalah dia menanggung akibatnya.

Alhamdulilah sifat saya yang tidak merokok telah menjadikan ikutan anak-anak sehingga kini, ke empat-empat orang anak lelaki saya memang tidak merokok. Ini adalah satu keistimewaan keluarga kami. Malah dua orang menantu saya yang merokok pun tidak akan merokok apabila datang ke rumah kami. Jika mereka ingin merokok mereka akan keluar rumah dan hisap secara bersembunyi.


Satu lagi keistemewaan yang saya tunjukkan kepada isteri ialah sering membantu beliau memasak di rumah. Membantu memasak pelbagai manu masakan untuk keluarga adalah hobi saya semenjak masih remanja lagi. Ini adalah kerana saya suka membantu ibu memasak di dapur, terutamanya pada hari “pasar minggu” dimana ibu sibuk melayan pelanggan di kedai runcit kami, jadi sayalah disuruh  masak nasi dan lauk untuk makanan adik-adik.

“ Han tolong masak nasi’. Arah ibu kepada saya pada satu hari minggu.
“ dah jam 3 petang ni, che tak sempat, ramai pelanggan”.
“ orang tak reti masak”. Saya menyahut suruhan ibu.
“ Nanti che tunjukkan caranya”. Sambil ibu mengambil beras dari dalam bekas simpanan.
“ basuh beras beberapa kali, bila dah bersih, masukkan air kedalamnya dan pastikan air tidak banyak sangat, setakat hujung jari ini, ok lah” sambil ibu menunjukkan cara memasak nasi kepada saya satu masa dahulu.

Semenjak dari peristiwa itu,saya boleh memasak nasi dengan sempurna
“ Siapa masak nasi ni” tanya ayah.
“ siapa lagi, anak jantan abang seorang tulah” ibu menjawab sambil senyum memerhati kearah saya. Saya senyum. Terdetik di hati “ aku dah pandai masak nasi sekarang”. “Nanti akan buktikan bahawa lelaki pun boleh masak” timbul ego diri  bila di puji.

Saya rasa begitu gembira sekali kerana pandai memasak, lebih-lebih lagi bila di puji oleh ibu dan ayah .Begitu jugalah dengan memasak lauk-pauk. Saya masih ingat bagaimana mula belajar masak ikan singgan.
“ Han, tolong che masak ikan singgan” ibu meminta saya memasak.
“ orang tak reti” jawab saya.
“ nanti che ajar” ibu memberi respon.
“ Masukkan ikan, bawah puteh dua ulas, asam gelugur 2 keping, lengkuas se inci di hiris, garam secukupnya dan sedikit gula” ibu mengajar saya masak ikan singgan pada tahun 70an dulu.
Pada kali pertama saya masak garam agak terlebih sikit.
“ huh masin sikit singgan ni” ayah bersuara semasa makan.
“ orang masak tak pandai’. Saya menyapuk sambil tunduk malu.
“ tak apa baru belajar, bila dah biasa nanti sedaplah tu” ibu cuba memberi keyakinan kepada saya.
“ Insya Allah” jawab ku. Ayah kelitan tersenyum.

Ibu  sentiasa memberi tunjuk ajar kepada saya sehingga saya mampu memasak pelbagai manu masakan. Terima kasih ibu yang mengajar saya sehingga pandai memasak.

Kini talent memasak pelbagai menu masakan telah menjadi idola kepada anak menantu dan cucu saya. Telah menjadi kelaziman apabila mereka  hendak pulang ke kampong, mereka akan telefon lebih awal supaya “Tok Ayah” sediakan masakan serperiti nasi arab, nasi goring ikan masin,ikan patin masak cili api tempoyak dan sebagainya.

“ Dady, petang ni along akan balik kampong,  tolong masakan nasi arab, abang Shah nak makan, Hari Raya tempoh hari dia tak sempat makan”. Along telefon saya.
“ok lah” jawab saya.
Lantas saya bergegas ke dapur untuk menyediakan masakan yang di ‘oder’ oleh along.

Suasana sebegini boleh dikatakan rutin bagi saya setiap kali anak-cucu pulang bercuti di kampong. Lebih-lebih lagi akhir-akhir ini setelah saya pencen dari jawatan inggal di rumah sepenuh masa.Sememangnya hobi saya adalah memasak.

Sekarang ini saya amat bersyukur kerana keistimewaan pandai memasak itu, telah memudahkan kerja saya seharian untuk menyediakan masakan untuk keluarga setelah isteri sakit lumpuh. Mungkinkah ini sebagai bukti bahawa Allah tidak membebankan hamba-Nya.Setiap kejadian dan dugaan-Nya adalah sepadan dengan kemapuan hamba-Nya. Allahu  Akbar.
Seperti mana firman-Nya :
لاَ يُكَلِّفُ اللّٰهُ نَفْسًا اِلاَّ وُسْعَهَا‌ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ‌ رَبَّنَا لاَ تُؤَاخِذْنَاۤ اِنْ نَّسِيْنَاۤ اَوْ اَخْطَاْنَا‌ۚ رَبَّنَا وَلاَ تَحْمِلْ عَلَيْنَاۤ اِصْرًا كَمَا حَمَلْتَه عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِنَا‌‌ۚرَبَّنَا وَلاَ تُحَمِّلْنَا مَا لاَ طَاقَةَ لَنَا بِه‌ ۚ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا اَنْتَ مَوْلٰنَا فَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكٰفِرِيْنَ
Artinya : “Allah tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan batas kemampuannya. Baginya ganjaran untuk apa yang diusahakannya, dan ia akan mendapat siksaan untuk apa yang diusahakannya. Dan mereka berkata, Ya Tuhan kami, janganlah Engkau menghukum kami jika kami lupa atau kami berbuat salah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau membebani kami tanggung jawab seperti Engkau telah bebankan atas orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami janganlah Engkau membebani kami apa yang kami tidak kuat menanggungnya; dan ma’afkanlah kami dan ampunilah kami serta kasihanilah kami kerana Engkaulah Pelindung kami, maka tolonglah kami terhadap kaum kafir.” (Al Baqarah : 287)

Satu lagi keistimewaan yang saya dapat tunjukkan kepada isteri ialah apabila dia bersalin, saya akan mempastikan aktiviti untuk menjaga bayi semasa dalam pantang dilakukan olih saya sendiri. Ini telah saya lakukan semenjak kelahiran anak pertama kami pada tahun 1981 lagi.

“Abang tolong mandikan baby boleh tak, ayang takutlah nanti terseliuh” minta isteri .
“ Boleh, tak jadi masalah, abang dah biasa jaga anak saudara dua tiga orang” jawab ku pantas demi meyakinkan isteri.
“ Pandailah abang mandi baby,pegang sebelah tangan je” puji isteri semasa saya memandikan baby.
“ Eh, tengok sapa pulak, ni kan abang yang serba boleh” saya cuba meyakinkan isteri disertai dengaa perasaan ego lelaki. Isteri melihat dengan senyuman sinis gelagak saya yang cakap besar tu.
Semenjak hari itu, saya akan ruangkan masa utuk pulang ke rumah memandikan baby pada jam 10 pagi, saya ambil masa minum tea pejabat setiap hari. Mujurlah kuaters yang kami diami berhampiran dengan pejabat, lebih kurang 3 minit berjalan kaki sahaja jaraknya.

Tindakan ini telah menyebabkan timbul keintiman  hubungan suami isteri. Isteri begitu terhutang budi kepada saya yang sanggup membantunya untuk menjaga bayi dalam tempoh pantang selepas melahirkan anak.  Isteri begitu bangga mempunyai suami yang rajin membantunya melakukan kerja rumah.

“ ayang sangat terima kasih kepada abang, susah nak dapat suami yang perihatin macam ni” isteri memuji saya sebaik sahaja saya selesai memandikan baby.
“ usah puji sangat nanti naik daun pulak”.
“ Betul ni bang, ikhlas ”

Saya hanya menganggukkan kepada sambil tersenyum sahaja. Dalam minda terbit perasaan bahwa memang dah menjadi tanggung jawab suami melakukan itu semua, jika tidak mampu lakukan sendiri mestilah mencari pembantu rumah untuk melakukannya.. Itulah yang di ajar oleh Islam, tapi ramai suami yang tidak ambil peduli perkara ini, lagipun budaya masyarakat Melayu yang menetapkan bahaw semua urusan rumah dilakukan oleh isteri. Apa lagi lelaki ambil kesempatanlah.

Tindakan saya membantu isteri semasa dalam pantang itu amat memberi kesan mendalam kepada isteri memandangkan majoriti suami di Malaysia tidak akan membantu kerja isteri di rumah. Lebih menyedihkan lagi masyarakat Melayu menganggap lelaki yang membantu kerja rumah adalah seorang yang dayus atau dikatan sebagai “queen control”.

Kefahaman ini adalah jauh tersasar dari ajaran Islam yang di bawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Rasulullah sentiasa membantu isteri-isterinya melakukan kerja rumah. Sepatutnya suami akan berbangga jika dia dapat membantu isteri membuat kerja rumah kerana perlakuan sedemikan adalah mengikut sunnah nabi. Gangaran pahala menanti di akhirat kelak. Alangkah beruntungnya bagi suami yang ringan tulang membatu isteri di rumah.

Dalam membina sikap positif di kalangan suami sebagai peneraju rumah tangga, suami mestilah tidak berputus asa apabila di uji dengan kerumitan dan kesulatan. Amalan saya dalam kes sebegini ialah sentiasa berlapang dada apabila di uji dengan kesusahan dan penderitaan. Umpamanya dalam mengharumi liku-liku kehidupan ini saya beberapa kali di timpa saat getir sepeti sakit lutut pada tahun 1984,  Saya difitnah sebagai dalang konspirasi penswastaan sebuah agensi kerajaan tahun 2000. Isteri mengalami lumpuh (sebelah tubuh) pada tahun 2001, saya dijadikan kambing hitam dalam episode perebutan kuasa di sebuah syarikat 2002 – 2006. Semua peristiwa getir itu saya lalui dengan hanya bergantung kepada ketentuan dan takdir Allah. Saya tidak pernah lemah semangat, malah akan cuba sedaya upaya untuk menghadapi segala cubaan dan ujian getir itu dengan penuh berlapang dada, saya tidak menyalahkan kepada orang lain dalam apa jua kerumitan yang saya alami itu, saya lebih menjurus kepada ketentuan Allah yang melakukan semua itu untuk menguji hamba-Nya yang serba kekurangan ini. Mungkin itu semua adalah kifarah Allah terhadap segala dosa-dosa saya di masa silam. Astarfirrulahhalazim.

Alhamdullilah sifat positif yang dapat saya bentuk dalam jiwa saya merupakan satu anugerah yang diberikan oleh-Nya kepada saya. Atau berkemungkinan kerana saya telah biasa menghadapi ujian sebegini semenjak kecil lagi, maka apa jua uijan yang dialamai dapat saya hadapi dengan penuh kesabaran dan ketenangan. Alhamdulillah .

Pengajaran dan iktibar:

1.    Setiap orang mempunyai potensi diri (kelebihan semulajadi anugerah Allah) jika potensi diri ini digunakan sebaiknya akan  menjadikanya seorang yang berjaya dalam kehidupan. Jika kita dapat mengcukil potensi diri yang positif untuk dijadikan perilaku yang baik dalam kehidupan seharian kita, ianya akan memberi impak yang amat baik kepada rakan dan masyarakat yang menganggap kita adalah seorang yang berperinsip dan berintergriti.

2.    Jika kita melakukan sesuatu dengan penuh keikhlasan dan penuh tanggung jawab, ianya tidak akan membebankan. Sebaliknya jika kerja itu berkaitan dengan membantu orang lain Allah akan beri  hidayah dan keberkatan. Aapabila kita sentiasa ringan tulang untuk membantu orang lain, Allah akan memberi kemudahan kepada kita untuk mengatasi sesuatu masalah yang dihadapi oleh kita, kerana akan ada insan lain yang akan membantu untuk atasi kesusahan kita itu. Begitulah ketetapan yang telah Allah janjikan, 

3.    Setiap kerja yang dilakukan dengan rela hati dan penuh keiklasan saban hari, lama kelamaan akan menjadi tugas rutin yang menyeronokkan. Bilai Susana sebegini  wujud dalam peribadi seseorang, kerja yang berat menjadi ringan, malah akan timbul persaan tidak selesa bila tidak  menjalankan kerja berkenaan.

4.    Jika suami  begitu rajin membuat kerja-kerja rumah akan memberi kesan kepada anak-anak terutamanya  anak perempuan menjadikan mereka mempunyai sikap malas. Oleh itu usaha kita membantu isteri lakukan kerja rumah perlu berpada-pada. Anak-anak juga perlu diberi tugas masing-masing untuk sama-sama mengurus rumah tangga. Perlu diadakan mesyuarat keluarga untuk mendapat persetujuan bersama, selapas itu akan dipastikan semua tugas dapat dilakukan dengan harmoni dan seikhlas mungkin. Lama kelamaan akan wujud budaya dikalangan ahli keluarga bahawa setiap orang ada tanggungjawab dan peranan masing-masing. Situasi persefahaman ini akan membentuk persekitaran keluarga yang bahagia. Insya Allah…
Powered by Blogger.