Rasulullah Sollahhu ‘Alaihi Wasallam
(SAW) adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari
tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik.
Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah
al-Qalam ayat ke-4 yang bermaksud : “Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi
pekerti yang agung.”
Sifat-sifat yang sempurna inlah yang
membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka
mencintai baginda. Menempatkan baginda sebagai tumpuan hati. Bahkan berapa
ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan
akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda.
Isteri
Sebagai Bukti
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan
di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti
satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah serikandi
rumahtangga baginda. Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama
Muhammad bin Abdullah tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan
akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
Walaupun Rasulullah SAW seorang
panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai
kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan
isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini
menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa
kelihatan bengis dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah
SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk
dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda
bersama isterinya seolah-olah sedang menghayati novel cinta romantik.
Mandi
Bersama
Diberitakan bahawa Rasulullah SAW
pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan
bahawa Aisyah berkata bahawa : ”Aku sering mandi bersama Nabi
Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi
bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah.
Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh
diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan
pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW
bermula dari sebelum keluar bekerja.
Hantar
Isteri Keluar Rumah
Sebagai contoh menghantar isteri
ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada
isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata :
“Jangan terburu-buru hingga aku
mengiringimu (menemani sampai ke pintu).” [Hadis Bukhari dan Muslim]
Bahkan Nabi SAW turut membantu
isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan
bahawa “Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda
menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas
lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta.”
Bukakan
Pintu Kereta
Bukankah ini sesuai dipraktikkan
dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun
sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang
menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar
salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Bawa
Isteri Jalan-Jalan
Apabila waktu cuti hujung minggu
atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari
seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW
bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim
bahawa ”Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama
Aisyah dan berbincang-bincang dengannya.”
Malah apabila baginda ingin keluar
baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah
Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu
ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan
di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama.
(Hadis riwayat Muslim)
Suapkan
Makanan
Untuk menambahkan romantis terhadap
isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya.
Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya
apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu
suapkan ke mulut isterimu.” Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian
nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu
tuntutan?
Belaian
& Bermanja
Belaian terhadap isteri dapat
memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata
bahawa :
“Rasulullah tidaklah setiap hari
melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang.
Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian.”
Adakalanya romantisnya Nabi SAW
sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan
isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa
“Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di
pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid.”
Bahkan amalan ini berlarutan
sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW. Aisyah berkata ”Ketika
maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku.”
Ada suatu hari ketika Aisyah sedang
asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi
SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah
menuturkan bahawa :
“Baginda mendirikanku di belakang
dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah
SAW”. (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat
kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.
Pengubat
Hati
Rasulullah bukan seorang yang kaku
dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian
baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala
isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan,
baginda bukanlah sekadar pemerhati. Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan
dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa :
“Nabi Muhammad SAW adalah orang yang
penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling
banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim)
Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para
isteri.
Bergurau
Senda
Baginda paling banyak bergurau senda
bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) ke
rumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk di antara Aisyah dan Saodah dan meletakkan
kaki beliau diatas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia
menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata :
“(Demi Allah), makanlah atau aku
akan mengotori wajahmu.”
Saodah menolak dengan berkata : “Aku
tidak akan memakannya.”
Lalu Aisyah mengambil makanan dan
disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh
Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori
wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya)
Kisah ini merupakan senda gurau Nabi
SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk
menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat
Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga
Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat
Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan.
Panggilan
Manja
Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir
dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya.
Suara indah memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai si putih
kemerah-merahan atau Mawar merah”. Ia membuatkan ikatan itu lebih intim.
Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah
dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau
menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang
huruf terakhir itu menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan
yang ditonjolkan dari Nabi SAW.
Jangan
Malu Jadi Romantik
Sesungguhnya bersikap romantis
sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat
memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini
suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan.
Romantik sesama suami isteri ini
semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan
bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti,
sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita
lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa
segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
Sebenarnya, gambaran seorang suami
yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak
mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin
rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih
menghormati. Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut
meluang masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari
diijabkabulkan.
Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk
Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana
datangnya sikap romantis seorang suami; adakah suami baru sahaja selesai
menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet?
Jawablah dengan manja. Romantis ini
bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.
Sumber; Iluvislam
0 comments:
Post a Comment