Introducing San Francisco

Tuesday, February 10, 2015

SOKONGAN KELUARGA BANTU PESAKIT KRONIK



Sokongan keluarga bantu pesakit kronik
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

SELURUH keluarga akan resah jika ada saudara yang mengalami penyakit serius kerana pesakit berkenaan memerlukan penjagaan rapi yang lama, mungkin memakan masa berbulan-bulan, bahkan ada yang bertahun-tahun.

Tetapi, jika keluarga itu mempunyai pengetahuan asas untuk membantu saudara mereka yang menghadapi penyakit maut atau penderitaan yang panjang seperti lumpuh, sekurang-kurangnya kemahiran dimiliki itu akan dapat meringankan beban mereka.

Bagi pesakit yang menghadapi maut atau lumpuh, keluarga atau penjaga mestilah memberi harapan kepada pesakit. Maksudnya, harapan untuk hari yang lebih baik atau pesakit dapat menikmati kehidupan bermutu meskipun menderita penyakit kronik.

Ahli keluarga juga perlu lebih berhati-hati jika pesakit berkenaan menunjukkan tiada harapan seperti hilang kawalan ke atas diri. Contohnya tidak mahu memakan ubat atau lebih cenderung untuk membunuh diri.

Perunding Pusat Barah Singapura, Dr Rosalie Shaw, berkata keluarga memainkan peranan penting untuk memberi harapan kepada ahli keluarga yang menghidap penyakit maut atau menderita lumpuh.
Katanya, ahli keluarga sepatutnya risau jika pesakit merasa dirinya tidak mempunyai harapan untuk sembuh dan sebaiknya berperanan membantu memberi harapan untuk pesakit meneruskan kehidupan
.
“Bagi ahli keluarga yang lumpuh, jangan bertumpu kepada perkara yang tidak boleh lagi dilakukan oleh pesakit ini, tetapi berfikir apa yang boleh dilakukannya walaupun lumpuh atau menghadapi maut. Ahli keluarga patut membawa pesakit ini berjalan-jalan ke taman, menghadiri kenduri, menziarahi saudara ketika hari raya atau membenarkan rakan melawat pesakit dan bersembang.

“Mereka boleh berbual mengenai apa saja isu seperti berita politik dalam negeri atau antarabangsa, bencana alam seperti gempa bumi atau kemalangan kapal terbang dan sebagainya,” katanya ketika membentang kertas kerja pada Seminar Penjagaan Sekarang dan Masa Depan, di Ipoh, baru-baru ini.
Seminar sehari itu disempurnakan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah. Hadir sama Presiden Perak Palliative Care Society (PPCS), Dr Koh Wai Keat.

Bertemakan ‘Belaian Kasih Asas Kebahagiaan Keluarga’, seminar itu dihadiri hampir 200 ahli persatuan, organisasi berkaitan kesihatan dan orang awam.

Dr Shaw yang tinggal dan bekerja di Singapura sejak 1992 berkata, antara peranan yang patut dimainkan oleh keluarga jika mempunyai ahli atau saudara menghidapi penyakit maut atau lumpuh ialah memberinya harapan.

Sebagai contoh, katanya, ahli keluarga memberi harapan kepada penghidap barah yang dikatakan boleh membawa maut seperti berharap penyelidikan terkini akan berjaya menemui ubat baru yang boleh menyembuhkan penyakit itu.

Beliau berkata, ahli keluarga juga boleh membantu pesakit dengan memintanya mencuba kaedah rawatan alternatif seperti ayurveda, herba, ubat tradisional atau urutan tenaga.

“Jika harapan yang diberikan keluarga berkesan, pesakit akan menunjukkan tanda sembuh. Tanda ini boleh dilihat menerusi perubahan positif sama ada secara fizikal atau semangatnya semakin kuat untuk terus hidup walaupun badannya lemah,” katanya.

Selain perunding, Dr Shaw juga dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Asia Pasific Hospice Palliative Care Network, pertubuhan yang diwujudkan sejak 1999 bagi membangunkan program penjagaan pesakit (paliatif) di Asia.

Di samping memberi harapan, katanya, ahli keluarga mestilah membantu saudara mereka yang menderita penyakit maut atau lumpuh untuk hidup sebagai orang biasa sedaya yang boleh. Ini membantu pesakit untuk mengekalkan kawalan ke atas diri sendiri atau menjadi orang yang berdikari sedaya mungkin meskipun ada kekurangan.

Beliau berkata, kawalan ke atas diri juga bermakna mereka boleh merancang apa yang akan dilakukan dan ahli keluarga boleh membantu dengan memberi maklumat sebanyak mungkin kepada pesakit itu.

“Untuk menjaga pesakit kronik atau lumpuh, bentuk hubungan dengan pesakit sangat penting sama ada hubungan kekeluargaan atau hubungan profesional seperti antara pesakit dengan kakitangan hospital atau pusat penjagaan. Pesakit perlu digalakkan bercakap dan menzahirkan ideanya seperti orang biasa selain meneruskan minatnya seperti hobi menghias rumah, terus bekerja atau berbual mengenai isu antarabangsa.

“Jangan mengehadkan perbualan kepada perkara rasmi dan membosankan seperti teguran biasa atau formal antaranya ‘Selamat Pagi’ atau ‘Apa khabar’,” katanya.

Dr Shaw berkata, selepas semua usaha itu dilakukan, pesakit dan ahli keluarga mestilah bertolak-ansur dengan realiti. Mereka harus menerima hakikat hidup adalah keadaan yang tidak menentu dan mereka akhirnya akan menghadapi maut.

Malah, katanya, pesakit dan ahli keluarga mestilah menguruskan hal perundangan membabitkan harta-pusaka dan menyelesaikan urusan kewangan lain.

“Selepas itu, biarlah pesakit mencari dimensi spiritual seperti mencari makna kehidupan. Ahli keluarga jangan sekali-kali memusnahkan harapan dengan tidak berkomunikasi dengan pesakit atau komunikasi yang tidak berkesan atau tidak menghormati pesakit.

“Mereka juga tidak sepatutnya mengatakan pesakit itu sudah tiada harapan seperti tidak perlu mendapatkan lagi rawatan kimoterapi,” katanya.

Beliau yang pernah bertugas sebagai jururawat satu ketika dulu berkata, harapan kepada pesakit boleh berubah mengikut masa, tetapi mereka mestilah dibenarkan menikmati kehidupan hingga ke akhir hayat kerana hari terakhir dalam hidup boleh jadi sangat bermakna kepada individu itu.
Sementara itu, Raja Dr Nazrin dalam ucapan pelancarannya bertitah, setiap keluarga perlu mempunyai pengetahuan asas untuk menangani saudara mereka yang menghadapi penyakit maut atau penderitaan yang panjang seperti lumpuh.

Titahnya, ada juga ahli keluarga yang mengalami penderitaan yang menyebabkan menjadi kurang upaya dan memerlukan bantuan orang lain menguruskan keperluan harian.
“Bagi pesakit yang membawa maut, hospital biasanya melepaskan mereka bagi mengosongkan katil untuk kegunaan pesakit yang ‘boleh dirawat’. Bagi pesakit yang pulang ke rumah, ahli keluarga mereka sukar menerima tanggung jawab menguruskan pesakit itu kerana tugas ini memerlukan tenaga fizikal dan kekuatan emosi.

“Jika ahli keluarga lain mempunyai pengetahuan asas mengenai penjagaan pesakit serius, ini akan membantu mereka menangani cabaran berkenaan,” titahnya.
Raja Nazrin memuji langkah PPCS menganjurkan seminar itu yang akan memanfaatkan ahli keluarga dan mengurangkan penderitaan pesakit.

Baginda bertitah, seminar itu akan memberi ilham kepada orang lain untuk membantu pesakit yang serius dan memberi perkhidmatan yang lebih baik, sekali gus menjadikan masyarakat negara ini lebih penyayang dan prihatin kepada kesusahan orang lain.

Ahli keluarga yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai betapa pentingnya harapan boleh mendapatkan buku Viktor Franki bertajuk Mans Search for Meaning.

RAHSIA ANAK PINTAR DARI PERSPEKTIF ISLAM



Rahsia Anak Pintar dari Perspektif Islam :
Amalkan kita juga akan pintar.

BUKAN sedikit ibu bapa yang mengidamkan anak seperti Sufiah Yusof, 24, yang memasuki universiti pada usia 13 tahun dan Adi Putra Abdul Ghani yang mengejutkan ramai pihak kerana kemampuan menyelesaikan masalah matematik. Tidak kurang juga yang mengidamkan anak seperti Muhammad Ahmad Zahid yang bergelar hafiz muda pada usia 13 tahun.

Semua pasti mahukan zuriat yang pintar kerana inilah ‘tiket’ kepada masa depan lebih cerah. Penat lelah membesarkan mereka seakan berbaloi apabila si anak membawa pulang kejayaan. Namun, apakah mereka ini pintar, berbakat, genius atau pun prodigy? Jangan keliru kerana inilah takrifan sebenar keupayaan mereka berdasarkan istilah psikologi.

Seperti kata-kata ‘serupa tapi tak sama,’ pakar linguistik dan Pengasas PTS Publications and Distributors Sdn Bhd, Ainon Mohd, berkata masih ramai yang tidak dapat membezakan istilah sebenar ini.

“Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka. Ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak”

Fadzilah Kamsah – Pakar motivasi

“Aspek berbakat, pintar dan genius adalah antara perkataan yang kerap digunakan untuk menggambarkan kebolehan seseorang anak kecil mengatasi usia tanpa menyedari ia sebenarnya merujuk kepada makna yang kurang tepat.

“Genius adalah individu normal, tetapi mempunyai kebolehan menyelesaikan masalah teknikal yang sukar atau tidak dapat diselesaikan pakar lain. Contoh paling tepat menggambarkan seseorang yang dianggap genius ialah Albert Einstein dalam bidang sains fizik manakala Thomas Edison dalam bidang elektrik,” katanya yang berkelulusan ijazah sarjana muda linguistik Universiti Malaya dan sarjana dalam bidang sama Leeds University.

Beliau yang pernah mengikuti kursus kedoktoran dalam bidang psikologi, berkata seseorang itu disebut genius apabila dapat menyelesaikan masalah yang tidak mampu diselesaikan mereka yang normal. Justeru Einstein dan Edison layak digelar genius disebabkan mereka berjaya menyelesaikan masalah yang gagal diselesaikan saintis dan jurutera lain.

“Kanak-kanak yang layak digelar genius adalah kanak-kanak dapat menyelesaikan masalah yang gagal diselesaikan orang dewasa. Jika tidak, mereka setakat digelar berbakat atau pintar, bukan genius. Mereka yang dapat menghafal al-Quran pada usia tujuh tahun adalah berbakat, bukan genius.

“Istilah genius tidak boleh digunakan kepada kanak-kanak kerana belum ada kanak-kanak dapat menyelesaikan masalah setaraf orang dewasa. Einstein menyelesaikan masalah teori relativiti pada usia 25 tahun, selepas lulus universiti,” katanya.

Ainon mendakwa, disebabkan genius adalah pakar dalam sesuatu bidang, tiada kanak-kanak genius kerana anak kecil itu tidak mempunyai kepakaran ilmu. Oleh itu, baginya, tiada kanak-kanak genius dalam bidang sains, kejuruteraan, kedoktoran ataupun perfileman atau yang bergelar pakar bedah.

Satu lagi istilah ‘prodigy’ yang merujuk keupayaan kanak-kanak melakukan perkara yang hanya dapat dilakukan orang dewasa.

“Kanak-kanak pada usia lapan tahun yang dapat mengikuti pelajaran matematik peringkat universiti atau mencipta muzik seperti pemuzik dewasa, selayaknya digelar ‘prodigy.’ Mereka ini hanya ada dalam dua bidang iaitu matematik dan muzik. Kanak-kanak prodigiy mempunyai kepintaran orang dewasa dalam bidang matematik ataupun muzik saja. Dalam lain-lain hal, mereka adalah kanak-kanak seperti budak lain,” katanya.

Persoalannya, apakah ada sebarang petua mendapatkan anak pintar ini? Pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, berkata ini terletak kepada usaha ibu bapa mencari dan memperbaiki kelemahan diri terlebih dulu selain mengamalkan doa dan ajaran berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

“Doa adalah senjata umat Islam dan sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan bacaan surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah. Bapa juga perlu mengambil tanggungjawab membaca surah berkenaan dan dihembuskan ke perut isteri.

“Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran. Apabila hati terang dan lapang, anak mudah menerima pelajaran. Ibu juga digalakkan membaca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur,” katanya.

Katanya, satu perkara perlu diingati oleh semua ibu bapa iaitu semua anak dilahirkan pintar cuma cara merangsang yang membezakan impaknya. Ini wujud dalam bentuk pakej iaitu mesti membetulkan hati, otak, makanan, persekitaran dan didikan.

Beliau menegur sikap kebanyakan ibu bapa yang tidak mempunyai misi jelas dalam usaha memulakan keluarga.

“Semua anak dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka. Bagi tujuan itu, ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad membentuk masa depan anak sebagai doktor misalnya. Ibu dan bapa perlulah memupuk minat anak menjadi doktor dengan membaca buku berkaitan perubatan sejak hamil.

“Wanita Yahudi misalnya, mendidik anak sejak dalam kandungan. Sebaik hamil, mereka akan membuat latihan matematik, mendengar muzik dan bermain muzik untuk merangsang perkembangan anak. Ia terbukti berkesan dan jangan hairan jika anak-anak Yahudi dilahirkan bijak. Kita juga boleh berbuat demikian. Malah sebagai orang Islam kita mempunyai 1,001 cara untuk membentuk anak menjadi pintar dan soleh pada masa sama,” katanya.

Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkata, dia sendiri pernah bertemu dengan seorang wanita yang tidak pernah lalai membaca sehingga satu juzuk al-Quran setiap hari sepanjang hamil.

“Jika dia keletihan, suaminya akan menyambung membaca dan pahala dihadiahkan kepada bayi dalam kandungan. Anak itu dilahirkan dan membesar menjadi seorang lelaki yang bijak, pintar dan tinggi akhlaknya. Ini bukti betapa ayat Quran dan doa cukup berkesan dalam usaha membentuk anak pintar. Jika tidak berkesempatan mendidik anak dari dalam perut, belum terlambat untuk berbuat demikian walaupun mereka sudah menjejak alam persekolahan,” katanya.

Malah, baginya, antara saat paling mustajab mendidik anak ialah ‘hypnagogic moment’ iaitu masa antara anak berada dalam keadaan antara sedar dan tidak ketika hendak tidur.

“Ketika itu, mereka seolah-olah terpukau dan apa saja yang disebutkan ketika itu akan meresap masuk ke dalam hati. Rebut peluang untuk membisikkan kata-kata nasihat, pujian dan pesanan ketika mereka dalam keadaan itu dan Insya-Allah anak-anak akan menurut apa yang dikatakan.

“Waktu lain yang turut memberi impak besar kepada usaha ibu bapa memberi didikan ialah sebelum anak-anak tidur, sedang tidur dan baru bangun tidur. Ambil masa seminit, dua untuk membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat,” katanya.

Beliau turut menegur tindakan ibu bapa yang selalu terlanjur mengeluarkan perkataan negatif ketika marah.

“Kata-kata itu satu doa. Anak boleh dimarah dan kena dimarah tetapi biarlah marah itu berunsurkan positif. Jangan sesekali keluarkan perkataan degil, keras kepala kepada anak. Sebaliknya jika mereka melakukan sesuatu kesilapan, katakan kepada mereka: “Kamu anak baik. Kamu anak bijak. Mengapa lakukan perkara itu,” katanya.

‘Formula Adi Putra berasaskan kiraan Islam’

IMPIAN untuk bertentang mata dengan Adi Putra Abdul Ghani, 11, tidak kesampaian kerana dia berada di kampung neneknya yang baru meninggal dunia. Namun peluang bertemu ayahnya memberi kesempatan mengenali siapa sebenarnya Adi Putra yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dan sehingga kini sudah mencipta 228 formula menyelesaikan masalah matematik.

Kisah kepintaran Adi Putra menyelesaikan masalah matematik sudah terlalu banyak diperkatakan tetapi kali ini penulis dihidangkan dengan sisi lain budak cerdik itu.

Menerusi paparan cakera padat, Adi Putra hanya menonjol dalam matematik tetapi pelbagai bidang lain yang melampaui usia sebenarnya.

“Ia satu anugerah Allah yang wajar kita syukuri. Ia juga satu bukti kehebatan Allah yang mampu memilih sesiapa saja untuk diberikan keistimewaan biarpun makhluk itu semuda Adi Putra,” kata Abdul Ghani ketika ditemui baru-baru ini.

Menariknya mengenai Adi Putra ialah semua formula matematiknya berasaskan cara kiraan Islam 100 peratus dan cara penyelesaiannya berdasarkan cakerawala, peredaran bulan, matahari, bumi serta menggunakan semua ciptaan Allah SWT di muka bumi ini seperti bukit dan tidak ketinggalan mengguna pakai perkiraan orang dulu.

Abdul Ghani mendakwa, kaedah pengiraan itu diiktiraf pakar antarabangsa malah di luar negara satu formula Adi Putra dinilai bersamaan RM1 juta dan modul sifir yang dihasilkannya bernilai berbilion ringgit.

“Jangan anggap Adi Putra budak kecil kerana selain pintar dalam matematik, dia juga mampu mengajar, petah berbicara walaupun ketika ditemubual stesen televisyen antarabangsa malah tidak kekok bersama dengan pembesar negara,” katanya.

Katanya, anaknya itu juga diiktiraf memiliki pengetahuan ilmu matematik berusia 400 hingga 500 tahun dulu yang pernah dikuasai ilmuwan Islam. Adi Putra bukan hanya menguasai formula matematik sebaliknya mengkaji setiap nombor.

“Kita dianugerahkan jari dan pelbagai bentuk bantuan semula jadi untuk mengira. Adi Putra juga menggariskan tiga perkara yang merosakkan dan melemahkan minda umat Islam iaitu terciptanya kalkulator, Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan permainan video.

“Matematik dan sains tidak dimonopoli sesuatu bangsa sebaliknya terpulang kepada kita untuk menguasainya. Ilmuwan Islam terdahulu sudah membuktikan betapa kita sebenarnya menguasai matematik, bukan orang lain.

“Apa yang penting ialah bukan sekadar anak kita bijak tetapi juga kreatif. Adi Putra mengajar budak lain untuk turut kreatif mencari penyelesaian kepada masalah matematik dengan tempoh paling cepat,” katanya.

Malah, kata Abdul Ghani, salah seorang pelajarnya cuma mendapat satu markah daripada 50 soalan matematik dan selepas mengikuti kelas Adi Putra, dia mampu memperoleh 100 peratus selepas dua hari.

INFO: Tip untuk ibu bapa

Sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan baca surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah.
Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran.
Selepas bersalin, baca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur.
Waktu ketika anak antara sedar dan tidak. Rebut peluang bisikkan kata-kata nasihat, pujian dan pesanan. Ambil masa seminit, dua untuk membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat.
Doakan kejayaan anak, rakan anak mereka, anak rakan dan jiran.
FAKTA: Rahsia pemakanan ilmuwan Islam

Madu – Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat. Al-Quran mengiktiraf ia ‘shifa’ iaitu penyembuh penyakit. Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit dan boleh menghindarkan kepenatan kerja otak seperti berfikir, membaca, merancang dan bermesyuarat. Ia perlu diambil dua sudu teh (gunakan sudu plastik) pada waktu pagi dan malam.
Kismis – Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak. Adab memakannya ialah dengan mengadap Kiblat, membaca Bismillah dan selawat tiga kali diikuti doa penerang hati. Ia perlu dimakan seperti memakan gula-gula kerana dikatakan tidak berkesan jika dikunyah dan diambil satu persatu sebanyak 21 biji setiap hari.
Susu segar – Susu berguna untuk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal. Susu mengandungi tiga unsur semula jadi iaitu keju, lemak dan air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. Susu yang terbaik untuk ketajaman minda ialah susu kambing, biri – biri dan lembu yang segar. Ia diminum segelas pada sebelah pagi dan malam.
Telur – Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya. Ahli – ahli kesihatan mengakui ia adalah makanan yang lengkap dan berkhasiat. Telur yang terbaik ialah telur ayam kampung dan yang masih baru.
Halia – Ia sangat mujarab untuk menghindar masalah lupa. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa. Halwa ialah halia yang dijadikan Dimakan sedikit saja pada waktu pagi.
Buah Delima – Mujarab untuk penerang hati seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang memakan buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari.”





Sumber:
Rahsia Anak Pintar Dari Perspektif Islam
 Dato’ Dr.Fadzilah Kamsah



Powered by Blogger.