Tanggungjawab seorang
suami yang paling utama ialah melayan isteri dengan penuh kebaikan. Seorang
suami wajib melayani isterinya dengan tingkah laku yang baik dan menuruti
kehendak isteri dalam perkara yang sesuai dan munasabah mengikut syarak.
Terdapat banyak arahan dan suruhan di dalam ayat al-Quran dan
hadis Rasulullah SAW mengenai kewajipan ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bergaullah kamu
dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” – surah
al-Nisa’ ayat 19.
Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu
semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang
yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.”
- hadis riwayat al-Tirmizi.
Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: “Orang yang
paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan yang
paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.” -
hadis riwayat al-Tirmizi.
Setiap suami juga dituntut agar berlaku adil terhadap isterinya dengan menunaikan segala haknya dalam setiap perkara selari dengan kehendak syarak.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.” – surah al-Nahl ayat 90.
Allah SWT menjanjikan ganjaran yang hebat kepada suami yang berlaku adil terhadap isterinya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah nanti akan ditempatkan di atas mimbar-mimbar yang diperbuat daripada cahaya dari sebelah kanan al-Rahman 'Azza wa Jalla (Allah) lalu Nabi mengangkat tangan kanannya. Orang-orang yang termasuk golongan itu (sebelah kanan Nabi) adalah orang yang adil dalam pemerintahannya, adil terhadap isterinya dan tidak menyimpang.” - hadis riwayat Muslim.
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan.” – surah al-Nisa’ayat 34.
Setiap suami juga dituntut agar berlaku adil terhadap isterinya dengan menunaikan segala haknya dalam setiap perkara selari dengan kehendak syarak.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.” – surah al-Nahl ayat 90.
Allah SWT menjanjikan ganjaran yang hebat kepada suami yang berlaku adil terhadap isterinya seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah nanti akan ditempatkan di atas mimbar-mimbar yang diperbuat daripada cahaya dari sebelah kanan al-Rahman 'Azza wa Jalla (Allah) lalu Nabi mengangkat tangan kanannya. Orang-orang yang termasuk golongan itu (sebelah kanan Nabi) adalah orang yang adil dalam pemerintahannya, adil terhadap isterinya dan tidak menyimpang.” - hadis riwayat Muslim.
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan.” – surah al-Nisa’ayat 34.
Saya yakin ramai yang
arif dan maklum dengan maksud ayat ini. Ya! Lelaki merupakan pemimpin bagi
wanita. Namun begitu, perlu diingat!! Allah SWT menetapkan suami sebagai
pemimpin bukan sebagai tiket atau lesen bagi para suami untuk bersikap seperti
seorang diktator, zalim, sombong serta berkeras terhadap isteri.
Hakikat sebenarnya, kekuasaan yang diberi oleh Allah SWT itu menuntut agar seorang suami bersikap bertanggungjawab, bijaksana, adil, sabar dan mampu untuk mengendali segala permasalahan atau bebanan yang timbul di dalam rumahtangga. Dalam erti kata lain, status kepimpinan suami itu adalah dalam rangka untuk merealisasikan perintah Allah SWT bagi melayan isteri dengan sebaik mungkin.
Maksud layanan yang
baik bukan sekadar tidak memukul atau menampar tetapi layanan yang baik seperti
yang dikehendaki di dalam Islam malah undang-undang perkahwinan agama lain juga
ialah suami perlu menjaga hati dan perasaan isteri agar tidak dilukai dan
disakiti. Isteri berhak dilayan dengan penuh kemesraan, kelembutan dan dengan
penuh kasih sayang. Suami juga perlu berusaha memupuk kasih sayang isteri
seperti di dalam kes perkahwinan paksa.
Saya teringat ulasan seorang hakim ketika saya mengendalikan kes
fasakh seorang klien: menjadi tanggungjawab suami untuk memupuk kasih sayang
isteri yang dikahwininya secara paksaan oleh ibu bapa si gadis. Sekiranya
memujuk kasih isteri adalah kewajipan suami apatah lagi memupuk dan menyuburkan
kasih yang sedia ada.
Layanan yang baik juga bermakna isteri perlu diperlakukan
seperti seorang manusia merdeka, bukannya hamba yang menurut segala arahan
tuannya yang membabi buta. Seorang isteri perlu dipanggil dengan ucapan yang
menunjukkan kasih sayang seperti nama manja isteri ataupun apa jua panggilan
yang menggambarkan betapa suami menyintai dan menghargai isteri.
Seorang isteri tidak
berhak menerima kata-kata seperti bodoh, otak singkat atau apa juga panggilan
yang menyakitkan hati. Fikirkan, sekiranya kata-kata tersebut dikembalikan
kepada suami, apa pulak yang suami akan rasa? Bukan sahaja isteri atau suami
malahan tidak ada seorang pun yang bernama manusia yang waras di dunia ini,
suka dipanggil sebegitu.
Sebenarnya, panggilan
di dalam sesebuah perkahwinan juga merupakan faktor penyumbang ke arah
kebahagiaan atau sebaliknya. Sekiranya kita memanggil isteri atau suami dengan
panggilan yang elok maka baiklah jadinya. Begitu juga sekiranya kita
menggunakan panggilan yang tak elok maka buruklah jadinya. Saya akan bincangkan
dengan lebih terperinci di dalam bab Komunikasi Unggul.
Layanan yang baik juga bererti isteri berhak mengetahui ke mana
perginya suami sekiranya di luar waktu kerja. Bukan memohon izin isteri tetapi
sebagai makluman dan pengetahuan. Bayangkan sekiranya seorang isteri tidak tahu
ke mana suaminya pergi. Tiba-tiba, semasa ketiadaan suami di rumah, isteri
menerima berita penting yang perlu disampaikan segera kepada suami ataupun
seseorang mencari suami, bagaimana? Tentu terpalit muka apabila terpaksa
mengatakan tak tahu suami ke mana.
Saya akui, sememangnya kita mempunyai sistem telekomunikasi
canggih dan terkini tetapi bukankah lebih berbahasa dan menyenangkan hati
isteri apabila mengetahui ke mana suaminya pergi. Takkan gugur keegoan suami
hanya dengan memberitahu isteri ke mana anda pergi. Yang peliknya, semasa
bercinta, segalanya ingin diceritakan hatta makan apa pun, ingin dicakapkan
kepada teman wanita. Kenapa bila dah dimiliki, sering saja hatinya kau sakiti
dan kau lukai?
Apakah kerana anda dah dapat cintanya? Wajarkah berubah bila dah
dapat? Teringat saya kata-kata Shahruk Khan, hero Hindi yang terkenal di
dalam filem Chalte Chalte ketika ditegur oleh Rani, si isteri yang menegur
sikap suaminya yang berubah: “dahulu kita bercinta tetapi sekarang kita dah
berkahwin...”, cam tu ler lebih kurang maksud ayatnya. Perkara yang nak saya
tekankan di sini ialah memang kebanyakan suami berpendirian sedemikian. Waktu
bercinta, boleh ler nak romantik, nak kasi hadiah, nak selalu ucap sayang. Dah
kawin, memang dah confirm si dia aku yang punya, tak perlu lagi ler semua tu.
Benarkah? Jangan lupa, sebelum ada adalah tiada dan selepas ada juga boleh ada
tiada. Faham maksud saya?
Sebenarnya, cinta dan kasih sayang bukan sesuatu yang tegar dan
keras seperti batu malah batu juga boleh pecah dan hancur hanya oleh titisan
air yang berulang kali. Sama juga dengan cinta dan kasih sayang. Seorang lelaki
dan seorang perempuan perlukan cinta untuk bersama sebagai suami isteri. Untuk
terus kekal sebagai suami isteri juga perlukan cinta.
Cinta bukan sekadar perasaan yang disimpan lama tetapi cinta
perlu dihangatkan setiap masa dan ketika. Jika hanya mengharapkan luahan cinta
sejati di awal percintaan atau di awal perkahwinan, memang tidak memadai.
Kerana itulah tidak pelik atau hairan kenapa pasangan yang berkahwin atas dasar
cinta atau suka sama suka boleh berpisah akhirnya. Puncanya, cinta yang ada
dibiarkan membeku dengan pendirian cinta tersebut akan tetap hangat dan mekar
walau tanpa siraman kasih dan belaian sayang.
Sebagai suami malah
isteri juga, rasa cinta perlu ditunjukkan setiap masa dan ketika. Pakar
psikologi pernah mengatakan, pengucapan cinta satu kali sehari akan
memanjangkan usia. Kenapa? Apa kaitan pengucapan cinta dengan panjangnya usia?
Sebenarnya, maksud pendapat tersebut ialah dengan ucapan cinta akan membuatkan
diri orang yang menerima ucapan tersebut rasa disayangi dan dihargai lantas
akan membuahkan seribu rasa kegembiraan dan kebahagiaan. Rasa gembira dan
bahagia pula membuatkan seseorang ingin terus hidup bagi terus menikmati
kebahagiaan tersebut.
Kepada para isteri
yang suaminya berubah sikap selepas perkahwinan malahan kepada para suami juga
yang isterinya berubah sikap… ada juga kes sebegini dan biasanya isteri berubah
dari segi penampilan… bila menyedari perubahan tersebut berlaku… luahkan rasa
tidak suka anda dengan perubahan tersebut.
Contohnya jika semasa bercinta suami sanggup menunggu lama
tetapi selepas kahwin terlambat seminit dah macam-macam bunyinya… luahkan
kenapa masa bercinta janji pukul 5, jam 4.30 dah sanggup tunggu depan tangga?
Jika masa bercinta tudung kelepet sikit dah kecoh nak betulkan di bilik air,
kenapa lepas kahwin berpakaian selekeh mengalahkan mak tani kat sawah… persoalkan
perubahan ini?
Kenapa perlu dipersoalkan? Kerana pendirian ‘dah dapat dah, ok
lah’ tidak wajar dipegang oleh sesiapa pun jua tak kira suami atau isteri.
Sebaliknya setiap suami dan isteri perlu menjadikan prinsip ‘dah dapat, akan
kupastikan kau milikku selamanya’ dan bagi memastikan dirinya yang kau cintai
dan sayangi menjadi milikmu selamanya, sewajarnyalah segala usaha sebelum
memilikinya dulu diteruskan malah sebaiknya ditambah lagi. Jika sebelum dapat,
sanggup habiskan ratusan ringgit sebulan untuk berbual dan menyatakan cinta,
bila dah di depan mata dan segalanya percuma, gunakan setiap ruang dan masa
yang ada untuk berkomunikasi dengannya. Jika masa bercinta sanggup belikan
hadiah untuk ulangtahun kelahirannya, bila dah sah menjadi milikmu, bawalah
pula bercuti ke mana-mana.
Ini bukan cadangan nak menghabiskan kewangan sesiapa tetapi
semua orang tahu, cinta perlukan pengorbanan dan pengorbanan cinta tidak tamat
selepas kahwin sahaja. Pengorbanan cinta juga bukan bererti perlu izinkan suami
menambah ‘cawangan’ semata. Pengorbanan cinta yang sebenarnya adalah sanggup
melakukan apa sahaja yang tidak melampaui batas syarak dan tatasusila moral
asalkan si dia tercinta tetap menyintai kita. Sesungguhnya, segalanya akan
indah belaka asalkan dapat bersama si dia tercinta dan ingatlah juga cintanya
akan malap jika kau terlupa menggilapnya!
Sumber Charmaine Nash
0 comments:
Post a Comment