Sunday, January 11, 2015

Pertunangan Mengikut Syariat.



PERTUNANGAN YANG MENGIKUT SYARIAT 

Assalammualaikum…..
Sebelum seorang lelaki ingin menghantar pinangan, utuskanlah wakil untuk meninjau latar belakang peribadi wanita pilihannya itu. Begitu juga sebaliknya bagi pihak keluarga wanita dalam membuat keputusan untuk menerima bakal menantunya.

Hendaklah diselidiki dahulu diri lelaki yang hendak meminang itu tentang agamanya, fahamannya dan soal-soal hubungan dengan Tuhan sebagai pokok utama.

Pertama; adakah fardhu ain si lelaki benar-benar beres sebab suamilah tunjang yang bakal untuk
mengajar anak-anak dan isteri bila telah mendirikan rumahtangga kelak. Memerhatikan
perlaksanaan ibadah lelaki yang meminang itu seperti sembahyang secara individu dan
secara berjemaah. Memerhati matlamat perniagaan dan perusahaan atau matlamat dalam pekerjaan lelaki berkenaan.

Orang sekarang tidak lagi memandang soal-soal hubungan dengan Allah sebagai pokok utama
sejahteranya rumahtangga. Setiap kali berlangsungnya majlis merisik perkara utama yang
akan ditanya ialah hal-hal kemewahan keduniaan saja syarat yang akan mensejahterakan dan
mengukuhkan rumahtangga.

Tidak hairanlah bila lepas kahwin kehidupan anak- anak dan isteri terbiar tanpa bimbingan dan tunjuk ajar yang sewajarnya. Akhirnya anak-anak tidak taat kepada ibubapa dan isteri jadi ‘Queen Control’ kepada suami. Akhirnya, suami hilang hemahnya di dalam mentadbir
rumahtangga menurut hukum Islam.

Ibubapa tidak boleh menolak pinangan seseorang lelaki itu semata-mata kerana darjat yang rendah.Sebaliknya, mestilah menolak pinangan seseorang lelaki itu apabila diketahui bahawa lelaki berkenaan berakhlak buruk seperti tidak sembahyang atau suka berfoya-foya, berjudi sekalipun dia berpangkat dan mempunyai harta.

Rasulullah saw pernah bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang mengahwinkan akan perempuannya dengan lelaki yang fasik maka sebenarnya dia telah memutuskan silaturrahim dengan anaknya.”
Rasulullah saw bersabda lagi: “Jika datang kepada kamu pinangan daripada
seseorang lelaki yang kamu redha terhadapnya agama dan akhlaknya, hendaklah kamu terima.

Kalau kamu menolaknya, padahnya adalah fitnah dan kerosakan di muka bumi.”
Setelah membuat perbincangan, wali wanita ada hak menentukan samada mahu menerimanya atau tidak, cuma secara beradapnya eloklah ditanya kepada empunya diri terlebih dahulu.
Mana-mana wanita yang tidak pandai membuat keputusan, eloklah memberi keputusan kepada
walinya dalam membuat keputusan. Sebab pilihan walinya tentu tepat kerana seseorang bapa tidak akan sanggup menzalimi anaknya. Wali yang baik akan memilih lelaki yang beragama dan
berakhlak mulia.

Akan tetapi kalau si anak itu mempunyai pilihan sendiri yang agak lebih baik agamanya dari pilihan bapanya itu, bapa hendaklah menghormati hasrat anaknya itu.

Untuk mendapat keberkatan Allah, dari awal majlis peminangan lagi kita mesti jaga iaitu tidak
berlakunya percampuran di antara lelaki perempuan. Keberkatan Allah ini tidak dapat
hendak kita gambarkan sebab hati yang akan terasa ketenangan itu. Kesannya bukan seminggu
dua tetapi sampai ke hari tua.

Contohnya, orang di zaman salafusaleh, rumahtangga mereka berkat sebab dari awal
peminangan lagi majlisnya sudah dijaga.

Tetapi kalau dalam majlis peminangan itu, awal- awal lagi kita tidak dapat menjaga syariat dan
peradapan menurut Islam. Sampai akhir hayat pun mungkin rumahtangga itu nampak tak cantik, tak bahagia. Ada saja kusut masainya. Hati pun kadang-kadang tidak tenang untuk tinggal di
rumah dan inilah yang banyak berlaku hari ini.

Sebab itulah amat penting dijaga suasana majlis ini. Biarlah bersusah-susah sedikit asalkan syariat Allah dapat kita jaga dengan baik.

Seperkara lagi, jangan dibebani rombongan peminangan dengan berbagai-bagai hantaran yang
mahal-mahal. Contohnya pakaian, makanan, buah- buahan, alat solek, beg tangan, kasut, cincin
bertunang, cincin nikah dan cincin hadiah. Memadai dngan sebentuk cincin saja sudahlah.
Malah ajaran Islam tidak pernah menyusahkan umat Islam dengan cara demikian. Bila hantaran terlalu tinggi hilang keberkatan rumahtangga.

Harus diingat, yang paling layak dalam menentukan mas kahwin ini ialah diri wanita itu sendiri, kerana mas kahwin itu memang haknya. Walau bagaimanapun sekarang ini semua negeri sudah
menetapkan berapa mas kahwin untuk wanita tersebut bila berkahwin, boleh kita terima, tetapi
sekiranya diri wanita tersebut hendak menetapkan berapa mas kahwinnya, kita perlu hormati.
Begitulah kehendak syariat.

Sebab itulah dalam soal ini, Rasulullah memaklumkan kepada umat Islam bahawa mas kahwin yang paling baik yang terendah. Sabda Rasulullah saw:
“Bermula yang terbaik perempuan itu iaitu yang terlebih murah mas kahwinnya.”

Sabda Rasulullah saw lagi:
“Sebesar-besar berkat pernikahan ialah yang paling sediki mas kahwinnya.”
Bersabda Baginda lagi:
“Setengah daripada berkat permpuan itu iaitu segera dipersuamikan dan segera rahimnya itu
kepada beranak dan murah mas kahwinnya.”

Kita patut mengetahui setengah daripada mas kahwin isteri Rasulullah saw itu hanya sepuluh
dirham saja; sama nilainya dengan harga batu pengisar tepung atau sebiji tempayan atau sebiji
bantal di rumahnya.

Setengah daripada para sahabat berkahwin dengan mas kahwin hanya seberat sebiji buah kurma (lebih kurang lima dirham)

Manakala Said Ibnu Musayyab mengahwinkan anak perempuannya dengan Abu Hurairah berbekalkan mas kahwin sebanyak dua dirham sahaja.

Sayidina Umar sangat melarang jika ada wali-wali perempuan yang menaikkan mas kahwin anak gadis mereka. Katanya:

“Tiada berkahwin Rasulullah dan tiada mengahwinkan ia anaknya yang perempuan dengan
isi kahwin yang lebih daripada empat ratus dirham.”

Mas kahwin bukanlah semestinya hanya dengan wang atau emas permata, ayat-ayat Al Quran juga boleh dijadikan mas kahwin. Contohnya ayat dalam surah Al Fatihah atau Al Ikhlas, tidak kiralah seberapa banyak yang dikehendaki.

Akan tetapi apa yang dinamakan sebagai hantaran tidak wujud dalam Islam. Hantaran itu merupakan adat yang sepatutnya sudah lama ditinggalkan. Ini adalah kerana hantaran itu sebenarnya akan digunakan oleh pihak keluarga wanita untuk persiapan majlis perkahwinan.

Kalau begitu halnya, hantaran tidak patutlah diminta kepada bakal menantunya. Kecuali bakal
menantu hendak memberi hantaran, boleh kita terima, inilah cantiknya ajaran Islam dan ada
hikmahnya.

Pada hari pertunangan, hendaklah ia menggalakkan tunangnya agar memperluatkan agamanya dan bersikap zuhud (bukan buang dunia, tetapi hati tidak terpaut kepada dunia). Hendaklah bersama-sama berazam di atas satu dasar hidup iaitu qanaah, memadai dengan apa yang
telah ada tanpa rasa tamak.

Setelah bertunang, janganlah mengenakan sesuatu tempuh yang agak lama jaraknya dengan
penikahan. Sebaik-baiknya dilaksanakan pernikahan itu secepat mungkin agar terhindar dari
berbagai fitnah manusia.

Elakkan pertemuan yang sia-sia semasa dalam pertunangan. Islam tidak memberikan kebebasan
bergaul selepas meminang kerana menjaga maruahm wanita dan lelaki itu sendiri. Pertunangan yang dibuat bukanlah sebagai tiket yang membolehkan seseorang lelaki itu untuk bergaul atau berdua- duaan dengan bakal isterinya.

Lelaki hanya diberi peluang melihat dan meneliti wanita itu dalam ruang yang aman daripada fitnah sosial dan kerosakan maruah. Walau bagaimanapun, pertemuan dengan tunang
diharuskan sekiranya mengikut syariat.

Lelaki hanya dibolehkan melihat pada muka dan kedua pergelangan tangannya sahaja dan tidak
melihat bahagian aurat tunang.

Perbualan hanya sekadar menanya khabar, memberi maklumat, menerima maklumat dan memberi nasihat. Perbualan yang tidak berfaedah memadu kasih, berjanji mesra, bercinta asmara dan sebagainya sangat dilarang atau haram hukumnya.

Pergaulan yang melibatkan tunang samada waktu melihat atau berbual hendaklah bersama
muhrimnya. Di larang melihat tunang secara bersendiri. Rasulullah saw telah mengingatkan kita
di dalam sabdanya:

“Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian maka jangnlah sekali-kali menyendiri
dengan seorang perempuan yang tidak disertai oleh mahramnya, sebab nanti yang jadi orang ketiganya adalah syaitan”

Rasulullah saw bersabda lagi yang maksudnya:
“Tidak boleh sekali-kali seorang lelaki menyendiri dengan perempuan yang tidak halal baginya,
kerana orang ketiganya nanti adalah syaitan, kecuali kalau ada muhramnya.”

LARANGAN DALAM PERTUNANGAN

Bertunang adalah janji untuk perkahwinan dan boleh membawa fitnah dengan mudah. Kedua-dua mereka tetap dalam kongkongan ajnabi dan dilarang serta diharamkan berdua-duan atau bertemu tanpa ditemani oleh anggota keluarga mahram saperti bapa, abang atau bapa saudara gadis tersebut.

Bergaul mesra dan berdua-duan (khalwat) antara pasangan yang bertunang sebelum akad nikah adalah haram serta tidak diredhai oleh Allah swt. Dalam satu hadis, Rasullah saw bersabda yang bermaksud ”Tidak boleh sama sekali lelaki dan perempuan berkhalwat (duduk berdua-duan secara sunyi) melainkan mahram ada bersama mereka”.[1][28]

Daripada Jabir r.a., katanya Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud ”Barangsiapa beriman kepada Allah swt dan hari kemudian maka janganlah sekali-kali menyendiri dengan seoarng perempuan yang tidak disertai oleh mahramnya, sebab nanti yang jadi orang yang ketiganya adalah syaitan”

Daripada ’Amir bin Rabiah, katanya Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud ”Jangan sekali-kali seorang lelaki menyendiri dengan perempuan yang tidak halal baginya, kerana orang ketiganya nanti adalah syaitan, kecuali kalau ada mahramnya”[2][29].

Perempuan yang berakal dan cerdik ialah perempuan yang tidak memperlihatkan dirinya di hadapan tunangnya sehinggalah selesai akad nikah. Ini kerana dia mesti memikirkan masa depannya dan mengambil kira kemungkinan yang mungkin berlaku yang mesti dihadapi. Dia juga perlu memikirkan jika pertunangannya terputus, lelaki lain tidak akan meminangnya lagi setelah mereka mengetahui perhubungannya dengan bekas tunangnya.




Sumbur :   mencari redha -mu




0 comments:

Powered by Blogger.