Telah menjadi naluri setiap insan
ingin megakhiri hidup bujang mereka dengan mendirikan ruamah tangga bersama
pasangan pilihan mereka. Bagi teruna akan membuat perkiraan untuk berumah
tangga apabila ianya telah mempunyai pekerjaan tetap dengan pendapatan yang
dikira mampun untuk menampung perbelanjaan asas bagi sebuah keluarga.
Kebiasaan masyarakat kita apabila
disebut persediaan menjadi suami, mereka beranggapan apabila telah memiliki sijil pengajian tinggi, paling kurang
diploma. Telah memiliki kerjaya dengan gaji bulanan minima RM2500, diikuti
dengan sebuah rumah dan kereta serta telah mempunyai sijil kursus kahwin.
Tidak ketinggalan, wang tunai
berjumlah RM30,000 untuk urusan perkahwinan seperti duit hantaran,
dulang-dulang hantaran, cincin dan belanja kenduri kahwin. Jika seorang lelaki
belum memiliki semua ini, dia belum layak untuk bergelar suami.
Namun dalam Islam, ukuran persediaan
untuk menjadi suami bukanlah seperti tanggapan kebanyakan masyarakat Melayu. Persediaan
untuk menjadi suami lebih tertumpu kepada kualiti lelaki tersebut dari segi
persediaan ilmu agama dan keupayaan menjadi pemimpin dan pembimbing kepada kepada
isteri dan anak-anak yang bakal dilahirkan supaya menjadi umat yang soleh dan
solehah. Berhubung dengan rezeki hanyalah berpada dengan bakal suami mempunyai
pekerjaan yang mampu memberi nafkah asas kepada keluarga setiap bulan.
Selebihnya Allah akan kurniakan rezeki berdasarkan keperluan setiap akan yang
akan dilahirkan nanti.
Ciri-ciri yang perlu untuk menjadi
suami mengikut Islam antara lain:
1. KEPIMPINAN
Persediaan terpenting ialah bakal
suami perlu mengetahui bahawa dia memiliki tanggungjawab sebagai pemimpin ke
atas keluarganya.
Allah berfirman:
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan
pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah
melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang
perempuan.” [al-Nisa’ 4:34]
Sebagai pemimpin, bakal suami
hendaklah memiliki ilmu rumahtangga, akhlak yang boleh menterjemahkan teori
kepada praktikal, disiplin yang tinggi serta wawasan yang luas. Jika sebelum
ini pernah menjadi pemimpin, seperti pemimpin kelab, persatuan, rombongan atau
jabatan, maka ia adalah pengalaman yang boleh dikembangkan dalam kepimpinan
rumahtangga.
Bagi yang belum pernah, maka alam
rumahtangga adalah suasana yang baik untuk mula melatih diri menjadi pemimpin.
Terasa sukar? Jangan bimbang. Lantiklah isteri anda menjadi timbalan pemimpin
untuk bersama-sama saling membantu mengemudi bahtera rumahtangga. Anda juga
perlu meningkatkan ilmu kepimpinan dengan bertanya kepada mereka yang arif dan
tahu.
Suami juga perlu menjadi pemimpin
yang di teladani. Dimana anda perlu megamalkan segala perkara yang wajib
seperti solat lima waktu tepat pada masanya dan juga lain-lain akhlak yang
mulia anda perlu menjadi contoh kepada isteri dan keluarga.
Di sini perlu diingatkan bahawa
kepimpinan anda sentiasa dicatit markahnya oleh malaikat di bahu kanan dan
kiri. Oleh itu berwaspadalah, jangan menjadi pemimpin yang ego dan zalim.
Setiap langkah dan ciri kepimpinan anda akan dipersoalkan semula oleh Allah
pada Hari Akhirat kelak.
2. KETEGASAN
Lanjutan dari ciri seorang pemimpin,
bakal suami hendaklah tegas dalam membimbing isteri. Kelak apabila
dianugerahkan cahaya mata, suami juga hendaklah tegas dalam membimbing
anak-anak.
Allah mengingatkan:
“Wahai orang-orang yang beriman!
Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi
musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka.
Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan
kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Taghabun 64:14]
Oleh itu dalam institusi
perkahwinan, suami adalah pemimpin dan bukan yang dipimpin, penjaga dan
bukannya dijaga serta pengawal dan bukannya dikawal. Namun ketegasan bukanlah
bererti bengis dan menakutkan, sebaliknya hendaklah bersikap memaafkan dan
tidak marahkan mereka serta mengampunkan kesalahan mereka.
3. PEMELIHARA DARI API NERAKA
Suami merupakan pemelihara agar ahli
keluarga tidak masuk ke dalam api neraka.
Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman!
Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan
bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh
malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada
Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap
melakukan segala yang diperintahkan.” [al-Tahrim 66:06]
Justeru anda perlu melengkapkan diri
dengan ilmu-ilmu agama dan seterusnya mendidik ahli keluarga serta memastikan
mereka mempraktikannya. Lebih penting, anda hendaklah paling kehadapan dalam
mempraktikkan ilmu-ilmu agama tersebut. Jangan sekadar menyuruh ahli keluarga
mendirikan solat tetapi anda tidak solat, jangan sekadar menyuruh ahli keluarga
menutup aurat tetapi anda mendedahkan aurat.
Allah memberi amaran: “Wahai
orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak
melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu
yang kamu tidak melakukannya.” [al-Saff 61:2-3]
4. MEMBERI NAFKAH
Termasuk persediaan menjadi suami
ialah kesedaran bahawa anda merupakan sumber kewangan rumahtangga. Justeru anda
bertanggungjawab menyediakan nafkah tempat tinggal, keperluan asas dalam tempat
tinggal, pakaian, makanan dan minuman kepada ahli keluarganya. Anda juga
bertanggungjawab ke atas kesihatan dan perubatan ahli keluarga seandainya
mereka jatuh sakit.
Meskipun nafkah rumahtangga berada
di atas bahu suami, ini tidaklah bererti suami mesti memiliki pendapat minima
yang tertentu jumlahnya. Setiap suami memiliki kemampuan kewangan yang berbeza
dan setiap suami berbelanja untuk ahli keluarganya pada kadar kemampuannya.
Tidak ada nilai minimum atau maksimum untuk kadar nafkah ini.
Allah berfirman:
“Hendaklah orang (suami) yang mampu
memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya,
maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya
(sekadar yang mampu).” [al-Thalaq 65:07]
Demikianlah beberapa kualiti yang
perlu ada pada seorang lelaki untuk dia menjadi seorang suami. Perhatikan
bahawa kualiti-kualiti ini tidak ada ukuran minimum dan maksimum atau batasan
tertentu bagi menentukan layak atau tidak.
Ia adalah kualiti yang nilainya
relatif, ia akan bertambah apabila anda berusaha untuk memperbaikinya dan akan
berkurang apabila anda mengabaikannya. Justeru, lelaki yang sudah bersedia
menjadi suami ialah lelaki yang mengetahui kualiti-kualiti ini, memilikinya dan
berazam untuk terus memperbaikinya. Anda juga perlu memiliki sifat ikhlas,
kreatif, bermotivasi tinggi serta sabar dalam melayari bahtera rumah tangga.
Kerana di sepanjang tempoh itu andak akan menghadapi pelbagai ujian dan dugaan
dari Allah swt dan juga adanya rintangan dari persekitaran yang akan membantut
perancangan anda. Namun anda tidak boleh berputus asa kerana Allah sentiasa
bersama orang-orang yang bertaqwa dan sabar.
Wallahu ‘alam.
Sumber: Hafiz
Firdaus
0 comments:
Post a Comment