Jauhi
Tiga Jenis Perbuatan yang akan dilaknat Allah SWT
Segala puji bagi Allah, Tuhan
sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW
keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga
ke hari kiamat.
Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud: "Ada tiga macam orang yang terkena laknat Allah SWT iaitu
seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan
sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia
menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang
mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan
hasutan-hasutannya". (Hadis Riwayat Ad Dailami daripada Umar r.a)
Berdasarkan hadis di atas
terdapat tiga macam manusia yang akan mendapat laknat Allah SWT iaitu :
Pertama : Seorang yang
membenci kedua ibu bapanya.
Kedua : Seseorang yang
berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut
dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya.
Ketiga : Seseorang yang
berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara
sesamanya dengan hasutan-hasutannya.
Huraiannya :
Pertama : Seorang yang
membenci kedua ibu bapanya.
Menurut Al Qurthubi, derhaka kepada
kedua ibu bapa ialah menyalahi perintah keduanya, sebagaimana bakti keduanya
bererti mematuhi perintah mereka berdua. Berdasarkan ini jika keduanya atau
salah seorang dari mereka menyuruh anaknya, maka anaknya wajib mentaatinya,
jika perintah itu bukan maksiat. Meskipun pada asalnya perintah itu termasuk
jenis mubah (harus), begitu pula bila termasuk jenis mandub (sunat). Jika
melanggar perintah kedua ibu bapa sudah dianggap derhaka apatah lagi membenci
keduanya terutama ketika mereka berdua telah tua dan memerlukan bantuan dan
pembelaan.
Dalam sebuah hadis dijelaskan, Rasulullah
SAW bersabda: Dari Abdullah bin Amr, ia berkata: seorang lelaki datang kepada
Rasulullah, lalu berkata: "Wahai Rasulullah, aku datang untuk berjihad
bersama baginda kerana aku ingin mencari redha Allah dan hari akhirat. Tetapi
aku datang kesini dengan meninggalkan ibu bapaku dalam keadaan menangis".
Lalu sabda baginda: "Pulanglah kepada mereka. Jadikanlah mereka tertawa
seperti tadi engkau jadikan mereka menangis". (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Jadi perintah ibu atau bapa yang
bukan bersifat maksiat atau mempersekutukan Allah, maka kita wajib mentaatinya.
Namun jika perintah nya bersifat melawan kehendak dan hukum agama, maka
tolaklah dengan cara yang baik.
Di dalam Islam orang yang derhaka
dan membenci kepada kedua ibu bapanya termasuk ke dalam kategori dosa besar
setelah mensyirikkan Allah, dan akan di masukkan ke dalam neraka. Firman Allah
SWT maksudnya: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan
menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan
sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai
berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, sekali-kali janganlah kamu mengatakan
kepada keduanya perkataan ah (uff) dan janganlah kamu membentak mereka dan
ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia". (Al Isra' 23)
Orang yang tidak menghormati ibu
bapa akan dilaknat oleh Allah SWT.dan hidupnya di dunia ini tidak akan ada
keberkatan kerana reda Allah SWT bergantung kepada reda kedua ibu bapa kepada
anaknya.
Dalam hadis yang lain Nabi SAW
bersabda yang bermaksud : “ Barangsiapa membuat ibu bapanya gembira (memberi
keredaan), maka sesungguhnya ia membuat reda Allah. Barang siapa menyakitkan
hati ibu bapanya, maka sesungguhnya ia membuat kebencian Allah” (Hadis
riyawat Bukhari )
Anak derhaka tidak akan mencium bau
syurga dan haram baginya untuk memasuki syurga Allah SWT.
Nabi SAW memberi wasiat kepada
Sayyidina Ali k.wj : "Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu syurga
yang berbunyi "Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil
(kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang
suka mengadu domba (mengasut)."
Nabi SAW bersabda, “Aku beritahukan
kepadamu tiga macam dosa yang paling besar, yakni: Mengada-adakan sekutu bagi
Allah SWT, tidak patuh kepada kedua orangtuamu, dan memberikan kesaksian
palsu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kedua : Seseorang yang berusaha
menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia
menggantikannya sebagai suaminya.
Salah satu sifat orang fasik adalah
suka kepada isteri orang dan dia berusaha untuk menceraikan pasangan suami
isteri tersebut. Mungkin bermula apabila wanita tersebut mengadu kepadanya
bahawa dia mempunyai masaalah dengan suaminya. Sepatutnya sebagai seorang
mukmin dia menasihatkan wanita tersebut supaya kembali mentaati suaminya dan
melupakan perbalahan kecil urusan rumah tangga bukannya menggalakkan wanita
tersebut meminta cerai kepada suaminya dengan itu dia akan berpeluang
mengawininya. Akhlak lelaki seperti ini cukup buruk dan akan mendapat laknat
Allah SWT di dunia ini dan di akhirat akan mendapat azab yang besar.
Perlu diingatkan kepada para wanita
yang sudah berkahwin kalian perlu berhati-hati apabila meluahkan masaalah rumah
tangga kepada lelaki yang kalian tidak kenal sepenuhnya hanya kenal di alam
maya ini kerana ramai lelaki mempunyai "penyakit hati" dan akan
mengambil kesempatan untuk "meneguk di air keruh" dan dikira berdosa
kerana membuka aib suami kepada orang yang tidak berkenaan. Tetapi jika kalian
berhajat mendapatkan khidmat nasihat maka dapatkanlah daripada ustazah atau
ustaz atau pakar kaunseling maka hubungilah mereka yang berpengalaman dalam
menyelesaikan masaalah rumah tangga.
Bukan sahaja lelaki yang merosakkan
rumah tangga orang lain akan mendapat laknat daripada Allah SWT tetapi wanita
tersebut yang tertarik dengan lelaki yang menghasutnya juga tidak akan masuk
syurga kerana meminta cerai tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya :
“Mana-mana wanita yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang
dibenarkan oleh syarak maka haramlah baginya bau syurga”. (Hadis Riwayat
Abu Daud dan Tarmizi)
Ketiga : Seseorang yang berusaha
agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya
dengan hasutan-hasutannya.
Menghasut, mengadu domba, atau
memprovokasi, dalam Islam disebut namimah.
Nabi SAW bersabda maksudnya :
''Sesungguhnya, orang-orang yang suka menghasut tidak akan masuk syurga.''
(Hadis Riwayat Bukhari-Muslim).
Hakikat namimah ialah menyebarkan
rahsia, mengadu domba dan mengumpat. Tidak seharusnya setiap keadaan yang tak
disukai disampaikan ke orang lain, kecuali jika ditujukan untuk kemaslahatan
kaum muslimin atau menolak kemaksiatan, seperti kesaksian di pengadilan.
Selain ancaman tidak masuk syurga,
penghasut dikecam sebagai manusia paling buruk perilakunya. Nabi SAW bersabda
maksudnya : ''Maukah aku beritahukan kepada kalian tentang orang yang paling
buruk perilakunya di antara kalian? Yaitu, orang yang berjalan di atas muka
bumi seraya menghasut, yang merosak di antara orang-orang yang tadinya saling
mencintai, dan hanya ingin memceritakan aib orang-orang yang tidak
bersalah.''
(Hadis Riwayat Ahmad).
Menghasut sangat berbahaya jika
dibiarkan berlaku di dalam kehidupan sosial.
Pertama, munculnya benih saling
mencurigai di antara sesama muslim.
Kedua, jatuhnya nama baik dan
martabat seseorang.
Ketiga, terciptanya kekacauan,
ketakstabilan, dan ketidakharmonian dalam hubungan sosial.
Rasulullah SAW mengecam orang-orang
munafik di Madinah kerana perilaku kotornya yang suka menghasut ketika baginda
berhijrah. Kebiasaan menghasut sepertinya sudah menjalar dan meluas di negeri
kita pada masa ini. Melahirkan banyak bloger-bloger politik yang tidak bermoral
dan sanggup menabur fitnah, maki hamun dan memecahbelahkan perpaduan umat
Islam.
Dari Al-Zuhri bahawa Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Tidak akan masuk syurga bagi yang
memutuskan silaturahim".
(Hadis Riwayat Muslim)
Nabi SAW bersabda maksudnya : “Tidak
ada dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya di dunia, dan apa yang
dipersiapkan Allah baginya di akhirat daripada tindakan kezaliman dan
memutuskan hubungan silaturrahim”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Tarmizi)
Nabi SAW bersabda maksudnya :
"Sesungguhnya lelaki yang paling dibenci Allah ialah yang paling gigih
dalam permusuhan." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Abi Hurairah r.a, dari
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam baginda bersabda : "Seorang muslim
adalah seorang yang apabila orang lain terselamat daripada lidahnya dan
tangannya dan seorang mukmin adalah seorang yang apabila orang lain berasa aman
daripadanya terhadap jiwa dan harta benda mereka". (Hadis Riwayat
an-Nasaie)
Oleh itu jauhilah daripada segala
bentuk perbuatan, percakapan, tulisan dan amalan yang suka
memecahbelahkan perpaduan umat Islam dengan memutuskan silaturahim, mengadu
domba, menghasut, memfitnah, mengumpat dan menimbulkan permusuhan bukan sahaja
mendapat dosa besar tetapi akan mendapat laknat Allah SWT dan tidak akan
mencium bau syurga.
Marilah sama-sama kita menjauhi diri
kita daripada tiga jenis manusia yang akan mendapat laknat Allah SWT di dunia
dan akhirat seperti hadis di atas. Untuk menjauhi daripada laknat Allah SWT
perlulah kalian melakukan;
Pertama, mengasihi kedua ibu bapa
kalian jangan menderhakainya dan berbaktilah kepada mereka jika mereka masih
hidup dan jika mereka sudah meninggal dunia doakan mereka dan buatlah amal
soleh untuk mereka.
Kedua, jauhilah dan jangan cuba
untuk mendekati wanita yang sudah berkahwin dengan tujuan-tujuan yang tidak
bermoral, jika terdapat ruang-ruang fitnah cubalah menutupnya. Jika
berhajat untuk mencari pasangan hidup carilah janda atau gadis yang masih belum
berpunya dan gunakanlah cara-cara yang diizinkan oleh syarak.
Ketiga, janganlah sekali-sekali
memecah belahkan perpaduan umat Islam. Jadikanlah diri kita sebagai penyelamat
umat, pendakwah yang jujur dan ikhlas dan berjuang semata-mata mencari keredaan
Allah SWT bukannya untuk mendapatkan nama, pujian dan kedudukan dalam
masyarakat.
Wallahu alam.
Sumber :ms my
fb
0 comments:
Post a Comment