HIKMAH BERBAKTI
KEPADA KEDUA IBU BAPA
|
Pada
suatu hari Nabi Allah Sulaiman telah menerima wahyu daripada Allah supaya pergi
ke tepi pantai untuk menyaksikan suatu benda yang ajaib yang akan ditunjukkan
kepada Nabi Sulaiman. Setelah bersiap sedia, Nabi Sulaiman berangkat ke tepi
pantai yang di nyatakan di dalam wahyu. Baginda di iringi oleh kaum jin,
manusia dan binatang.
Setibanya
di pantai, Nabi Sulaiman terus mengintai-ngintai untuk mencari sesuatu seperti
yang dikatakan oleh Allah. Setelah lama mencari ,baginda belum lagi menjumpai
apa-apa. Kata salah seorang daripada mereka "Mungkin tersalah
tempat". Tetapi baginda menjawab "Tidak, di sinilah tempatnya".
Nabi Sulaiman mengarahkan Jin Ifrit supaya menyelam ke dalam laut untuk meninjau
apa-apa yang pelik atau ajaib. Jin Ifrit menyelam agak lama juga barulah ia
kembali kepada Nabi Sulaiman dan memaklumkan bahawa dia tidak menjumpai apa-apa
benda yang ajaib. Tanya Nabi Sulaiman "Apakah kamu menyelam sehingga dasar
laut" Jawab Jin Ifrit "Tidak". Nabi Sulaiman pun mengarahkan Jin
Ifrit yang kedua supaya menyelam sehingga ke dasar laut. Setelah puas menyelam
dan mencari benda-benda yang di katakan oleh Nabi Sulaiman, Jin Ifrit yang
kedua juga tidak menjumpai apa-apa yang ajaib dan ia melaporkan kepada Nabi Sulaiman.
Perdana
Menterinya yang bernama Asif bin Barkhiya telah berbisik ke telinga Nabi
Sulaiman dan memohon kebenaran untuk menolongnya. Setelah mendapat izin Nabi
Sulaiman, dia membaca sesuatu dan terus menyelam ke dalam laut. Tidak lama
kemudian Asif menjumpai sebuah kubah yang sangat cantik. Kubah tersebut
mempunyai empat penjuru, setiap penjuru mempunyai pintu. Pintu pertama
diperbuat daripada mutiara, pintu kedua diperbuat daripada zamrud berwarna
merah, pintu ketiga diperbuat daripada jauhar dan pintu keempat diperbuat
daripada zabarjad. Pintu-pintu tersebut terbuka luas, tetapi yang peliknya air
tidak masuk ke dalam kubah tersebut walaupun pintunya terbuka luas.
Dengan
kuasa yang diberikan oleh Allah, Asif dapat membawa kubah tersebut naik ke darat
dan diletakkan di hadapan Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman melihat kubah tersebut
dengan penuh takjub di atas kebesaran Allah. Baginda berangkat untuk melihat
kubah tersebut, setelah menjenguk ke dalam di dapati ada seorang pemuda berada
di dalamnya. Pemuda tersebut masih belum sedar walaupun kubahnya telah diangkat
ke darat kerana asyik bermunajat kepada Allah. Nabi Sulaiman memberi salam
kepada pemuda tersebut. Pemuda tersebut menyambut salam dengan perasaan
terkejutnya apabila melihat orang ramai sedang berada di situ. Nabi Sulaiman
memperkenalkan dirinya kepada pemuda itu bahawa beliau adalah Nabi Allah
Sulaiman. Pemuda itu bertanya "Dari manakan mereka ini dan bagaimana
mereka datang?". Pemuda itu merasa hairan dan setelah menjenguk keluar dia
mendapati bahawa kubahnya telah berada di darat. Nabi Sulaiman memberitahu
pemuda itu bahawa mereka datang kerana diperintahkan oleh Allah untuk melihat
keajaiban yang dikurniakan Allah kepadanya.
Setelah
mendapat izin dari pemuda itu Nabi Sulaiman meninjau ke dalamnya untuk melihat
benda yang ajaib yang dihiasi di dalamnya. Keindahan yang terdapat di dalam
kubah itu sungguh menakjubkan. Nabi Sulaiman bertanya kepada pemuda tersebut
bagaimana dia boleh berada di dalam kubah ini yang terletak di dasar laut. Pemuda
tersebut menceritakan bahawa dia telah berkhidmat kepada kedua ibu bapanya
selama 70 tahun. Bapanya seorang yang lumpuh manakala ibunya pula seorang
yang buta. Suatu hari ketika ibunya hendak meninggal dunia, ibunya
memanggilnya dan memaklumkan bahawa ibunya telah rela di atas khidmat yang
diberikan olehnya. Ibunya berdoa kepada Allah supaya anaknya dipanjangkan
umur dan sentiasa taat kepada Allah. Setelah ibunya meninggal dunia, tidak
lama kemudian bapanya pula meninggal dunia. Sebelum bapanya meninggal dunia,
bapanya juga telah memanggilnya dan memaklumkan bahawa dia juga telah rela di
atas khidmat yang diberikan olehnya. Bapanya telah berdoa sebelum meninggal
dunia supaya anaknya di letakkan di suatu tempat yang tidak dapat diganggu oleh
syaitan.
Doa
kedua dua orang tuanya telah dimakbulkan oleh Allah. Pada suatu hari
ketika pemuda tersebut bersiar-siar di tepi pantai ia terlihat sebuah kubah
yang sedang terapung-apung di tepi pantai. Ketika pemuda tadi menghampiri kubah
tersebut .
Ada
suara menyeru supaya pemuda itu masuk ke dalam kubah tersebut. Sebaik sahaja ia
masuk kubah dan meninjau di dalamnya tiba-tiba ia bergerak dengan pantas dan
tenggelam ke dasar laut. Tidak lama kemudian muncul satu lembaga seraya
memperkenalkan bahawa dia adalah malaikat yang di utuskan Allah. Malaikat itu
memaklumkan bahawa kubah itu adalah kurniaan Allah kerana khidmatnya kepada
orang tuannya dan beliau boleh tinggal di dalamnya selama mana dia suka, segala
makan dan minum akan dihidangkan pada bila-bila masa ia memerlukannya. Malaikat
itu memaklumkan bahawa dia diperintahkan Allah untuk membawa kubah tersebut ke
dasar laut. Semenjak dari itu pemuda tersebut terus bermunajat kepada Allah
sehingga hari ini.
Nabi
Sulaiman bertanya kepada pemuda itu "Berapa lamakah kamu berada di dalam
kubah ini" Pemuda itu menjawab "Saya tidak menghitungnya tetapi ia
mula memasukinya semasa pemerintahan Nabi Allah Ibrahim a.s lagi". Nabi
Sulaiman menghitung ". Ini bermakna kamu telah berada di dalam kubah ini selama
dua ribu empat ratus tahun". Nabi Sulaiman berkata "Rupa mu tidak
berubah malah sentiasa muda walaupun sudah dua ribu empat ratus tahun
lamanya". Nabi Sulaiman bertanya pemuda itu samada dia mahu pulang
bersamanya". Jawab pemuda tadi "Nikmat apa lagi yang harus aku
pinta selain daripada nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada ku ini". Nabi
Sulaiman bertanya"Adakah kamu ingin pulang ke tempat asal mu" Jawab
pemuda itu "Ya, silalah hantar aku ke tempat asalku". Nasi Sulaiman
pun memerintahkan Perdana Menterinya membawa kubah tersebut ke tempat asalnya.
Setelah
kubah tersebut diletakkan ke tempat asal, Nabi Sulaiman berkata kepada kaumnya
"Kamu semua telah melihat keajaiban yang dikurniakan oleh Allah. Lihatlah
betapa besar balasan yang Allah berikan kepada orang yang taat kepada orang
tuanya dan betapa seksanya orang yang menderhaka kepada kedua ibu
bapanya". Nabi Sulaiman pun berangkat pulang ke tempatnya dan bersyukur
kepada Allah Taala kerana telah memberi kesempatan kepadanya untuk menyaksikan
perkara yang ajaib.
Wallahu alam
Sumber : Harmoni
0 comments:
Post a Comment