Wednesday, December 31, 2014

CIRI-CIRI MERTUA YANG AKAN MEMUSNAHKAN KEHARMONIAN ANAK MENANTU



Ciri-ciri Mertua Perusak Rumah Tangga
Menjadi niat pasangan suami isteri apabila mereka berumah tangga adalah untuk menjadikan rumah tangga mereka sebagai mahligai yang bahagia untuk seisi keluarga. Kebahagian ini akan hanya tercapai jika suami dan isteri sering menunaikan tanggung jawab masing-masing denggan sebaik-baiknya.

Sungguhpun begitu kebahagian rumah tangga akan berkecai jika ada pihak ketiga yang campurtangan dan cuba menjadi pengarah dalam sesebuah rumah tangga supaya mengikut cara dia mengendalikan rumah tangganya. Ini kerap berlaku kepada ibu mertua (ibu kepada lelaki) yang sering mengah anaknya supaya mengikut telunjuknya setiap masa. Si anak lelaki pula kebiasaannya akan akur kepada arahan ibunya kerana takut dikatakan “mendurhaka” kepada ibu dan tidak akan masuk syurga.

Tak semua mertua boleh menjalin hubungan baik dengan menantunya. Ramai wanita yang sudah berkahwin mengeluhkan  tentang hubungan dengan mertuanya. Jika hubungan mertua dan menantu tidak baik, maka boleh menimbulkan pertengkaran dengan suami. Bahkan, hubungan rumah tangga boleh runtuh akibat hubungan yang tidak baik dengan mertua.

Sebenarnya ada beberapa cara agar Anda boleh menjadi seorang menantu yang disayang oleh mertua. Cara yang boleh Anda lakukan, diantara lain memperhatikannya, sering berbual dengannya, dan lain-lain tindakan yang disukainya.

Tetapi, terkadang mertua tetap juga tidak mahu  menerima Anda seadanya. Jika sudah begitu keadaanya,  maka berhati-hatilah dan teruslah bersabar. Mertua yang seperti itu boleh menyebabkan hubungan rumah tangga Anda dan suami menjadi hancur dan berantakan.
\
Selain itu, ada ciri-ciri lain mertua yang boleh  merusakkan kebahagian rumah tangga Anda. Berikut disenaraikan  ciri-ciri mertua perusak rumah tangga:

1. Menganggap menantu salah
Apapun yang Anda lakukan, selalu dianggap salah oleh  mertua. Meskipun Anda sudah berusaha keras untuk memberikan yang terbaik, namun mertua tetap menunjukkan rasa tidak suka. Akibatnya anda selalu diritik dan diceritakan keburukan kepada suami anda dan keluarga..

2. Terlalu banyak menasihati
Ciri lain iaitu seorang mertua terlalu banyak menasihati kehidupan rumah tangga Anda. Mertua selalu masuk campur perhal rumah tangga anda setiap kali Anda dan suami mengunjungi rumahnya. Padahal, semua itu adalah hal peribadi anda dan suami yang selayaknya di uruskan oleh anda berdua sahaja.

3. Selalu masuk campur
Si mertua selalu masuk campur urusan anak dan menantu dalam segala hal. Bahkan, urusan pribadi antara Anda dan pasangan pun  mertua ingin selalu mengetahuinya dan berusaha untuk mencarikan penyelesaian mengikut kaca mata dan seleranya sendiri. Sedangkan dalam hakikat kehidupan cara hidup di zaman ini jauh berbeza dengan cara hidup di zaman mertua anda muda-muda dahulu. Pastilah cari mengursnya adalah amat berbeza.

4. Ingin selalu diutamakan
Si mertua ingin selalu diutamakan. Apapun yang dikatakan atau keinginannya itu harus didahulukan tanpa mementingkan orang lain. Selain itu, terkadang si mertua juga lebih manja pada suami Anda agar mendapatkan perhatiannya. Menyebabkan suami anda menjadi serba salah dan rasa terkonkong untuk mengurus rumah tangga sendiri. Situasi ini membolehkan suami anda menjadi stress dan lama-kelamaan akan menjadi perhubungan anda dan suami tidak bahagia. Sumi di hambat oleh bayang-bayang ibunya dan anda pula tersa tidak tenteram kerana rumah tangga selalu di campur oleh mertua.

5. Suka gosip
Mertua suka menceritakan hal buruk menantu pada semua orang yang dikenalnya. Termasuk, para kerabat, tetangga, bahkan orang yang dipercayainya. Jika Anda mendengar hal-hal yang tidak baik mengenai diri sendiri, maka berhati-hatilah. Boleh jadi bualan dari orang lain tentng anda itu berasal dari mertua Anda sendiri.

6. Memaksakan kehendak
Si mertua selalu memaksakan keehendaknya tanpa melihat atau menerima keputusan Anda ataupun pasangan. Mertua seperti ini biasanya tak boleh untuk diajak berbincang  dan ingin menang sendiri. Lebih mementingkan diri sendiri sahaja. Ini membolehkan suasan tertekan kepada suami anda dan anda. 

7. Menjadi pemicu pertengkaran
Perrtengkaran yang terjadi di rumah tangga Anda salah satu pemicunya adalah mertua. Misalnya, pasangan mendapat cerita yang tidak baik dari ibunya tentang Anda. Lalu, pasangan akan memarahi Anda dan membenarkan perkataan ibunya.

Itulah ciri-ciri mertua perusak rumah tangga. Jika mempunyai mertua yang seperti itu, maka seboleh mungkin Anda harus tetap bersikap baik dengannya. Hadapilah sikap mertua yang menyakiti kehidupan anda  itu dengan cara yang tepat agar kehidupan rumah tangga bisa berjalan harmoni.

Mertua perlu ingat terlampau masuk campur tentang hal rumah tangga anak menantu adalah satu tindakan yang amat bertentang dengan ajaran agama. Tindakan kita menjaga tepi kain anak menantu, membuat gosip, mementingkan diri sendiri dan memaksa anak kita mengikut kehendak kita adalah perkara yang boleh meruntuhkan rumah tangga anak menantu kita. Sedangkan semasa kita mengatur perkahwinan mereka dahulu adalah satu usaha murni yang di anggap membina sebuh masji, jadi adakah anda tergamak mengaggu gugak kehidupan mereka suami isteri ibarat cuba meruntuhkan sebuah masjid. Bukankan itu satu tidakan yang kurang bijak dan akan merosakkan keharmonian dan masa depan anak cucu kita juga.. Perlu di ingat jika suami isteri bercerai berai maka yang menjadi mangsa adalah anak-anak mereka yang juga dalah cucu-cucu kita. 

Walahu alam.


 Sumber: CiriCara.com

Pas dan Umno perlu berkerjasama untuk memulihkan Negeri Kelantan yang musnah akibat banjir.



Bersatulah Pas, Umno demi rakyat! – Dato’ Dr Hussamuddin Yaacub
31 Disember 2014

  • KERAJAAN campuran Pas - Umno Kelantan. Mungkin ia alergik bagi sesetengah orang, namun bagi Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, hanya itu jalan yang ada untuk memastikan kelancaran usaha membina semula negeri yang seakan sudah menjadi 'ground zero' setelah dilanda banjir paling dahsyat kali ini.

    Bagi Hussamuddin, inilah masanya untuk mereka membuktikan keikhlasan bahawa perjuangan mereka berpaksikan rakyat, bukan kepentingan diri. Inilah masanya untuk mereka menunjukkan kesanggupan untuk berkorban demi rakyat.

    Sebabnya, rakyat akan terus sengsara di tengah-tengah pertelagahan dua kuasa sedangkan mereka amat memerlukan pembelaan. Ikuti kupasan lanjut cetusan idea tokoh korporat yang mewakili anak-anak Kelantan di perantauan.


    Banjir  di Pantai Timur kali ini terutama di Kelantan sangat luar biasa. Sebahagian besar negeri itu musnah. Kehidupan rakyat terjejas teruk. Selain masa, kos diperlukan untuk membina semula Kelantan  sangat tinggi. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?

    Benar seperti yang dikatakan, banjir kali ini amat teruk. Umur saya 60 tahun. Sebagai anak Kelantan, saya rasa ini paling teruk sepanjang memori saya. Tak pernah seingat saya sampai tiga tingkat bangunan tenggelam.

    Di Kuala Krai, Pasir Mas dan malah di Kota Bharu, sesetengah tempat tak pernah naik air, sekarang dah naik air. Kalau tengok kerosakan kenderaan, rumah, bangunan, prasarana, jambatan, kedai-kedai dan sebagainya, saya yakin nilainya bukan RM500 juta tapi berbilion ringgit.

    Selama ini, orang Kelantan memang terkenal dengan sifat mandiri dan ramai yang berjaya dalam perniagaan. Dari segi pemilikan hartanah, kita tengok banglo-banglo yang kalau di Kuala Lumpur bukan milik orang Melayu tetapi di Kelantan, itu rumah orang Melayu.

    Kebanyakannya pula dibeli atau dibina tanpa hutang bank. Tetapi kali ini (banjir) saya kira akan terjadi satu hakisan besar dalam pemilikan kekayaan oleh orang Melayu Kelantan. Jadi ini masalah mega, bukan masalah biasa.

    Sekarang orang bercakap tentang nak hantar makanan (kepada mangsa banjir) tetapi kita perlu fikirkan juga apa yang akan berlaku selepas banjir surut? What’s next?

    Selepas ini, apabila air surut, kita akan tengok rumah-rumah, perabot, semua harta rosak. Kerosakan yang akan kita lihat selepas ini amat luar biasa. Saya bukan nak perkecilkan Kerajaan Kelantan tetapi saya rasa mereka tak mampu nak kendalikan semua ini.

    Selepas banjir juga akan timbul pelbagai penyakit, terutama kolera. Jadi saya kira ini satu krisis yang besar. Bukan senang untuk Kerajaan Negeri tangani.  Kita tak perlu salahkan sesiapa tetapi dalam pengamatan saya, banjir buruk ini berlaku kerana dua perkara.

    Pertama, kerana bukit-bukit kita dah tebang balak sejak 50 tahun lalu. Puncanya kerana kita yang mengganggu alam seperti titah Tuanku Sultan Kelantan. Itulah punca bencana ini berlaku. Kedua, sistem perparitan di Kelantan amat teruk, aliran air tersumbat menyebabkan banjir kali ini amat teruk.

    Jadi saya rasa langkah pemulihan itu perlukan satu program yang dirancang rapi untuk segera dilakukan, program jangka sederhana, jangka panjang dan jangka lebih panjang.


    Jadi sekarang Datuk lihat apa yang kita perlu lakukan, sebab kebergantungan rakyat sekarang adalah pada kerajaan?

    Ya, sebab masalah ini besar, perlukan dana yang banyak dan kita perlu pemikir-pemikir yang ramai untuk merancang program pembangunan semula jangka sederhana dan panjang.

    Biasanya selepas sesuatu tragedi, mesti ada satu benda yang kita panggil ‘lesson learned’, iaitu apa yang kita belajar daripada tragedi itu. Jadi kita mesti pastikan kita ambil langkah yang betul supaya tragedi ini tidak berulang.

    Menghindarkan banjir dan sebagainya tetapi ini perlukan perancangan dan dana. Masalahnya sekarang dengan keadaan negeri Kelantan diperintah oleh kerajaan Pas, dan Kerajaan Persekutuan adalah BN, langkah-langkah ini sukar untuk dilakukan.

    Sudah berpuluh-puluh tahun rakyat Kelantan tersepit sehingga kita terpaksa berhijrah disebabkan oleh pertelingkahan antara dua kerajaan.

    Jadi saya rasa untuk pulihkan Kelantan bagi jangka masa pendek dan panjang, perlu sebuah kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat yang betul-betul jujur.

    Maknanya, kedua-dua belah pihak dapat bekerjasama erat dalam erti kata yang sebenar kerana kita nak semua perkara yang dirancang berjalan lancar. Dengan hubungan sekarang seperti yang kita tengok pada rekod-rekod yang lepas, setakat kerjasama sahaja tak akan jadi (tidak mencapai matlamat).dan rakyat Kelantan akan sengsara.

    Sebab itu saya sebagai seorang rakyat Kelantan yang menjadi perantau, dan saya juga terima banyak maklum balas daripada usahawan dan tokoh Kelantan mengenai perkara ini, kami mahukan kedua-dua Pas dan Umno Kelantan untuk berhenti berpolitik. Sudah 40 tahun orang Kelantan menderita kerana Pas dan Umno asyik berpolitik.

    Jadi sekarang sudah sampai masa pemimpin Pas dan Umno, saya tak bercakap di peringkat Pusat, tapi di peringkat negeri Kelantan, mereka perlu berhenti berpolitik, demi rakyat, untuk bangunkan balik Kelantan

    . Kerana masalah yang kita hadapi ini adalah malapetaka yang amat besar dan perlu menggembleng semua sumber yang ada sepenuhnya untuk pulihkan, kalau tidak rakyat akan lebih sengsara.

    Dulu semua perkara tidak lancar di Kelantan kerana hubungan tak baik antara kerajaan Persekutuan dan negeri, tetapi orang Kelantan boleh hidup walaupun negeri mundur.

    Tetapi sekarang harta mereka, perniagaan semua sudah rosak, ranap, punah. Jadi mereka perlukan bantuan daripada satu pihak yang betul-betul mempunyai kuasa yang jelas dan mutlak. Itu sebab saya rasakan sudah sampai masanya untuk kerjasama ini.

    Saya percaya ramai rakyat Kelantan tak berani nak bersuara tetapi saya akan bersuara bagi pihak mereka. Umno Kelantan dan Pas Kelantan harus bergabung dalam sebuah kerajaan campuran untuk mengendalikan krisis ini, sekurang-kurangnya untuk dua tahun. Kita adakan moratorium, gencatan politik.

    Kalau bekerjasama saja tak jadi, mesti akan bergaduh juga. Sekarang Umno Kelantan dan Pas Kelantan harus bergabung dalam satu kerajaan campuran untuk pulihkan kembali negeri.Tidak ada jalan lain lagi.


    Bagaimana idea itu, jika direalisasikan dapat memberi kebaikan kepada rakyat Kelantan?

    Kalau kita tengok, kerana hubungan tak baik selama ini, banyak perkara tersangkut. Sekarang ini bantuan untuk mangsa banjir pun dipolitikkan, tetapi kalau sudah bersama dalam satu kerajaan, sama-sama mentadbir, isu politik sudah tidak timbul.

    Semua perkara negatif akan diketepikan kerana sekarang ini kita kena fikir masalah rakyat, kepentingan rakyat. Jangan fikir kepentingan politik masing-masing saja.

    Saya kira pengorbanan ini harus dibuat oleh semua pemimpin tak kira Pas atau Umno di Kelantan, khusus di negeri itu kerana saya bercakap sebagai orang Kelantan dan Kelantan paling teruk dalam banjir kali ini.

    Kalau mereka masih nak berpolitik, rakyat akan bangun menentang kedua-dua pihak Pas dan Umno. Cadangan saya ini, saya yakin akan disokong oleh ramai rakyat Malaysia. Ramai tokoh-tokoh sudah bisik kepada saya untuk bantu kedepankan isu ini.

    Maknanya pemimpin politik di Kelantan harus bergabung dalam sebuah kerajaan campuran walaupun untuk pembangunan semula Kelantan selepas banjir ini sahaja. Kita tak payah cerita di peringkat nasional lagi.

    Ini adalah isu kerajaan campuran semasa darurat. Umno perlu menerima yang mereka akan jadi rakan kongsi yang kecil dalam Kerajaan Kelantan jika cadangan ini direalisasikan.

    Apa yang kami mahu adalah mereka (Umno) jadi sebahagian daripada kerajaan kerana selepas itu sudah tidak timbul isu ini adalah Kerajaan Pusat atau negeri kerana Umno dan Pas sudah sama-sama duduk dalam Kerajaan Negeri.

    Apabila ini berlaku, dengan sendirinya bantuan, pelaksanaan, perancangan akan jadi lancar. Kalau kita tak belajar lagi, kalau kita masih berpolitik lagi, rakyat Kelantan pasca banjir ini akan lebih sengsara. Kita tak boleh tolong sesiapa.

    Pasal bantuan pun bergaduh, sebab itu banyak badan bukan kerajaan dan syarikat hantar dan uruskan bantuan sendiri untuk mangsa banjir. Contohnya Sinar Harian hantar 70 kenderaan 4x4 untuk pergi terus dari Kuala Lumpur ke kampung-kampung di Kelantan melalui jalan kecil untuk hantar bantuan kerana banyak bantuan tidak sampai, yang sampai ke pusat-pusat pemindahan sahaja.

    Kita hantar terus ke rumah-rumah. Jadi bayangkan kalaulah kerajaan ini bersatu, insya-ALLAH saya rasa banyak program jangka sederhana dan jangka panjang dapat dilaksanakan untuk kepentingan rakyat.

    Tetapi kalau mereka berdolak-dalik lagi, mereka sebenarnya memang nak main politik, bukan berjuang untuk rakyat.


    Dari segi mekanisme, bagaimana kerajaan campuran ini boleh direalisasikan?

    Bagi saya, senang saja. Pas Kelantan dan Umno Kelantan kena bersetuju untuk menubuhkan sebuah kerajaan campuran dan kerana Pas Kelantan adalah majoriti, Umno kena terima mereka adalah rakan kongsi kecil.

    Kerusi menteri besar masih aripada Pas, mungkin timbalan menteri besar daripada Umno. Exco kerajaan, mungkin tiga daripada Umno.

    Dan tiga itu perlu pegang portfolio yang banyak berkait dengan Persekutuan untuk mudahkan bantuan itu sampai kerana bagi saya, RM500 juta yang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak umum itu untuk seluruh negara.

    Kelantan sahaja perlukan berbilion ringgit, sekurang-kurangnya RM2 bilion untuk bina balik jalan yang rosak, jambatan yang pecah, ganti rumah mangsa banjir yang musnah terutama orang miskin. Orang yang lebih kaya mungkin perlukan bantuan jangka pendek.


    Tetapi kita tengok rumah-rumah di Gua Musang, satu kampung sampai 30 rumah harus dibina balik. Nak cari duit dari mana kalau kerajaan tak bantu?

    Jadi kerajaan Pas harus berhenti berpolitik dan orang Umno di Kelantan harus berhenti politik, sanggup bekerjasama dengan Pas. Kalau tidak rakyat akan bangun tolak kedua-duanya  sudah bosan dengan politik. Kelantan negeri yang sudah terlebih berpolitik dalam masa 40 tahun ini.

    Sekarang kita nak hidup, kita nak 'survive'. Kita kena sediakan infrastruktur. Masjid harus dibaiki.

    Apabila kerajaan campuran hanya dibuat di peringkat negeri sedangkan kedua-dua parti terikat pada keputusan jawatankuasa atau Majlis Tertinggi masing-masing di peringkat Pusat, cadangan ini sudah tentu akan melalui fasa yang agak sukar.

    Saya melihat begini, dulu orang Kelantan tak sesusah ini, dan orang Kelantan kata mereka sanggup bersusah kerana nak masuk syurga kerana itu yang digambarkan. Tetapi sekarang mereka nak makan pun dah tak boleh, tempat berteduh pun tak ada.

    Jadi mereka harus fikir untuk hidup dahulu, masalah survival yang lebih penting. Kita sayang dengan Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am Pas) tapi zaman Tok Guru sudah lepas.

    Sekarang menteri besar baharu, Datuk Ahmad Yakob, jadi beliau yang bertanggungjawab atas apa yang berlaku di Kelantan, bukan Tok Guru lagi. Datuk Ahmad Yakob harus bertanggungjawab. Beliau kena berani ambil satu pendirian demi rakyat Kelantan.

    Beliau harus korbankan sementara perjuangan politik. Sekarang perjuangan nak hidup. Sebab itu saya gunakan perkataan gencatan politik, mungkin dua tahun untuk bina balik Kelantan selepas banjir.

    Tok Guru pun harus fikir masalah ini. Jangan fikir lagi masalah dendam dengan Umno. Maaflah Tok Guru tetapi bagi saya, saya orang jahil, sepatutnya kita orang Islam ini saling memaafkan.

    Lagipun orang-orang yang terlibat tahun 70-an (semasa Pas disingkir daripada BN) sudah tidak ada. Kita kena tunjuk contoh kita maafkan demi kepentingan rakyat.
    Kerajaan campuran yang dicadangkan ini di peringkat negeri saja kerana krisis ini, jika tidak aniayalah orang-orang yang rumah mereka tenggelam.

    Maknanya kita kena betul-betul ada kesungguhan di peringkat Pas untuk menerima Umno dan Umno pula untuk lupakan cita-cita nak ambil Kelantan. Kongsilah kuasa demi rakyat.

    Politik ini sebenarnya perjuangan untuk rakyat. Saya sarankan cepat-cepat sebuah kerajaan campuran ditubuhkan. Apabila melibatkan Umno dalam Kerajaan Kelantan, dengan sendirinya apabila Kerajaan Negeri itu bercakap dengan Kerajaan Pusat, kita boleh tuntut sebab sudah tiada pembangkang lagi. Saya yakin kalau ada kerajaan campuran, golongan profesional dan usahawan Kelantan akan beri sokongan penuh pada kerajaan ini.

    Sekarang ramai yang takut untuk memihak. Kalau kerajaan campuran ditubuhkan, mereka akan balik bantu dan lagi cepat proses pemulihan negeri dapat dilakukan. Masalah bagaimana nak bina semula itu hal yang berbeza, tetapi sekarang kita lihat apa yang kita belajar daripada bencana ini.

    Contohnya Acheh selepas tsunami, GAM (Gerakan Acheh Merdeka) yang sudah bergaduh berpuluh tahun pun dengan kerajaan Pusat Indonesia, tetapi mereka bergabung dan bina semula negeri mereka.

    Di Acheh juga, mereka belajar daripada kesilapan dulu. Mereka tak bina lagi rumah di tepi laut tapi buat langkah pencegahan, tanam pokok bakau.

    Perkara seperti ini perlu perancangan dan pakar-pakar ini banyak dalam Kerajaan Persekutuan. Ramai anak Kelantan tersepit antara dua kerajaan ini. Jika dapat selesaikan perkara ini, Kelantan akan maju. Macam sekarang kita tengok nak buat lebuh raya, sudah berapa lama? Kami sekarang perlukan lebuh raya, jalan, longkang. Kalau nak jadi Serambi Mekah, patut bandar kita (Kota Bharu) bersih.

    Jadi mesti ada kesungguhan Kerajaan Pas untuk duduk bersama pembangkang, Umno untuk libatkan mereka dalam kerajaan supaya sudah tak ada pembangkang. Hubungan dengan Kerajaan Persekutuan akan lebih baik dan rakyat Kelantan akan dapat semua kemudahan.

    Cuma Umno kena terima kedudukan mereka sebagai rakan kongsi minoriti, tetapi tetap menjadi rakan kongsi dalam membuat keputusan dan juga pelaksanaan. Dengan adanya sebuah kerajaan, semua pelaksanaan akan lebih cepat.

    Krisis kali ini terlalu besar, melebihi jangkaan. Kalau nak bangunkan semula Kelantan, kena selesaikan isu kerjasama parti politik ini dahulu. Cuma Pas harus berkongsi kuasa dan Umno harus menerima ia menjadi rakan kongsi kecil demi rakyat.

    Kemudian mesti ada moratorium (gencatan) politik, tak ada lagi ceramah politik sepanjang tempoh itu. Semua Adun perlu bekerjasama dalam satu kerajaan kerana nak bina semula negeri yang sudah rosak memerlukan masa yang panjang, usaha dan kewangan yang banyak serta idea yang bernas.


    Untuk laksanakan idea ini, Kerajaan Persekutuan perlu komited, berikan bajet khas dan mesti dapat sokongan daripada Ahli Parlimen?

    Ya mereka kena bagi. Kelantan sudah tertinggal 40 tahun jadi kita harus buat sesuatu yang radikal. Mungkin kita tidak terfikir, mana boleh duduk semeja Umno dan Pas. Kali ini memang kena duduk sama.

    Ini malapetaka yang menyebabkan mereka perlu duduk semeja, bekerjasama, lupakan politik buat sementara. Kalau lepas berlaku tragedi seperti ini pun masih nak berpolitik, saya yakin rakyat akan tolak kedua-dua parti.


    Datuk ada cadangan nak bawa idea ini terus kepada Perdana Menteri?

    Saya rasa ini adalah seruan terbuka.

    Sepatutnya mereka semua boleh baca (wawancara ini dalam Sinar Harian). Kalau mereka tak faham lagi, maknanya mereka bukan pejuang rakyat, tapi memperjuangkan kepentingan peribadi.

    Kalau betul berjuang untuk rakyat, harus praktikal sebab masalah nak bangunkan semula Kelantan ini, Kerajaan Pusat sahaja tak boleh selesaikan, kerajaan negeri pun tak boleh selesai.


    Kalaulah pemimpin-pemimpin Pas Kelantan dan pemimpin Umno Kelantan berani, mereka akan berjuang untuk perkara ini, jumpa pemimpin Pusat masing-masing dan beritahu ini demi rakyat Kelantan, kita tak boleh berpolitik lagi.

    Lupakan Putrajaya sekejap, rakyat tengah sengsara. Saya rasa Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kena mainkan peranan, duduk berbincang dan jumpa pemimpin.

    Kita perlu tubuhkan kerajaan campuran ini kerana ada keperluan mendesak dan pemimpin parti perlu sokong. Pas kena setuju, kalau PR tak setuju pun Pas Pusat perlu setuju, demi rakyat.


    Tidak adakah alternatif lain selain penyatuan dua parti ini dalam satu kerajaan campuran untuk selesaikan isu rakyat di Kelantan?

    Bagi saya ia tidak akan berkesan kalau kerjasama dalam bentuk lain, kita dah cuba banyak kali dah. Kedua-dua parti mesti ada dalam sebuah kerajaan.
    Itu satu-satunya cara, kalau tidak mesti akan ada halangan.

    Maknanya selagi Pas Kelantan dan Umno Kelantan tidak bergabung dalam sebuah kerajaan, Adun Pas atau Umno di negeri itu akan terus dengan politik masing-masing dan apabila ada agenda politik masing-masing, akan ganggu kelancaran kerjasama ini.

    Tetapi jika mereka bergerak sebagai satu kerajaan di bawah seorang menteri besar, saya rasa apa yang dirancang semua akan dilaksanakan walaupun Exco itu daripada Umno kerana itu kerajaan mereka, dalam satu pasukan.

    Itu yang saya rasa kenapa untuk selesaikan krisis amat besar ini kita perlukan kerajaan campuran. Sekarang kita mungkin lihat isu air banjir naik tetapi saya lihat mengenai Kelantan tiga tahun, lima tahun, 10 tahun dan 30 tahun dari sekarang.

    Contohnya kenapa swasta lebih berjaya dalam sesuatu perkara? Kerana kuasa pelaksanaan mereka cepat. Kerajaan lebih lambat kerana kuasa pelaksanaan tersangkut-sangkut. Sekarang dalam sebuah kerajaan pun tersangkut-sangkut apatah lagi kalau dalam dua kerajaan berasingan.

    Sebab itu saya tegaskan mereka mesti bergabung dalam sebuah kerajaan campuran untuk menangani krisis ini supaya apa sahaja halangan kita minimumkan. Jadi kalau kita masih bergerak dalam dua parti politik memang mereka akan ada agenda masing-masing.

    Mesti ada arahan jelas di pimpinan Pas Kelantan dan Umno Kelantan yang tiada seorang pun boleh cerita politik dalam dua tiga tahun ini. Buat kerja, selamatkan rakyat. Kalau dah selesa selepas itu, mungkin kita boleh bawa aturan ini kepada tahap lain.


    Walaupun kerjasama dicadangkan ini antara Pas dan Umno Kelantan, ia akan memerlukan persetujuan Pas dan Umno Pusat. Dengan melihat pendekatan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekarang, bagaimana jangkaan penerimaan mereka?

    Bagi saya kedua-dua mereka tak ada pilihan, kalau mereka masih fikirkan kepentingan parti, mereka mungkin tolak tetapi, kalau mereka fikirkan rakyat, mereka akan buat dan sebagai pemimpin Islam, mereka harus bertanggungjawab terhadap kepentingan rakyat.

    Jadi mereka kena terima, mereka ada kuasa, mereka boleh terima kerana inilah saja cara untuk menyelamatkan ratusan ribu orang Kelantan yang sengsara akibat banjir kali ini.

    Maksudnya, masalah kali ini jauh berbeza dengan sebelum ini, dan cara biasa tidak boleh digunakan, perlu guna cara baru? Ya, kena guna cara ini saja kalau kita nak lepasi semua pita merah (red tape) kerana masalah terlalu banyak.

    Setiap daerah ada masalah, jadi kalau tak buat kerajaan campuran, mungkin Kerajaan Pusat hanya akan tumpu daerah yang mereka menang sahaja, dan Kerajaan Negeri pimpinan Pas akan tumpu daerah mereka sahaja. Tapi dengan kerajaan campuran tumpuan mereka adalah kepada Kelantan secara keseluruhan.

    Jika kerajaan Pusat nak buat bajet atau program khusus untuk Kelantan sahaja, tentu sekali semua Ahli Parlimen perlu sokong idea ini dan beri peluang Kelantan naik dulu? Saya rasa sudah tiba masanya sekarang ini untuk Malaysia berhenti berpolitik.

    Sekarang ini tabiat orang Malaysia adalah kita politikkan semua benda. Kapal terbang jatuh pun kita politikkan.

    Sedangkan di Kelantan sekarang ratusan ribu orang terjejas. Usahawan contohnya, banyak kedai-kedai yang tenggelam dan ada juga milik orang Cina, milik orang Melayu.
    Mereka semua perlu dibantu.

    Seluruh rakyat Malaysia tak kira parti apa pun kena sokong penyatuan ini. Kalau tidak, ia akan membantutkan usaha pemulihan. Kelantan tempat melahirkan ramai usahawan Melayu.

    Maknanya kalau mereka ini sengsara atau terbantut daripada segi pertumbuhan perniagaan, ia ada kesan kepada Malaysia juga. Di mana-mana negara pun perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menggerakkan ekonomi.

    Kelantan sebenarnya paling banyak PKS. Mereka ini sedang tenggelam dan perlu dibantu. Tetapi jika dua parti ini masih lagi nak berpolitik di peringkat ini, memang zalim. Mereka adalah ahli politik yang zalim. Maknanya kepentingan politik mereka mengatasi kepentingan rakyat.

    Saya orang Kelantan, saya membesar di Kelantan. Saya lihat bagaimana dulu banjir itu bagaikan pesta untuk kita. Tetapi kali ini bukan pesta lagi. Saya terima panggilan daripada orang di Kota Bharu, di tengah bandar yang merayu minta hantar makanan.

    Jadi saya rasa jika masih nak berpolitik selepas ini, ia bukan lagi perjuangan untuk bangsa, agama. Sekarang memang ada keperluan untuk buat moratorium politik di Kelantan. Jika mereka tak lakukan, mereka zalim.


    Adakah Datuk rasa orang Kelantan boleh terima cadangan ini?

    Kalau kita tengok sekarang ini, semua orang dari seluruh Malaysia bersemangat nak bantu orang Kelantan. Pemimpin tak boleh asyik berpolitik lagi. Ini kerjasama ahli politik di peringkat negeri tetapi perlu kelulusan Pusat, maknanya Najib dan Abdul Hadi kena sokong, pastikan idea ini menjadi.

    Exco negeri kena berkorban dengan ikhlas. Kalau dia tahu memang tak boleh tolong, bagi ruang pada orang lain. Saya yakin rakyat akan hargai pengorbanan mereka. Jangan sesiapa gagalkan idea ini kerana kepentingan peribadi.

    Kalau kita betul-betul berjuang untuk rakyat, biarlah perjuangan ini datang betul-betul daripada hati, bukan di bibir sahaja. Sekarang rakyat dah buka mata. Sekarang perlu bina semula Kelantan, bukan sahaja daripada segi infrastruktur tetapi daripada segi kehidupan rakyat Kelantan sendiri.

    Sekarang Kelantan adalah 'ground zero'. Kalau isu politik ini diselesaikan dan Kelantan diurus secara profesional, ditambah pula dengan faktor mandiri orang Kelantan, kita akan dapat percepatkan proses pemulihan ini. Mungkin apa yang berlaku ini ada hikmah. Mungkin Kelantan akan lebih maju, macam Jepun selepas serangan bom atom.
PENDAPAT PERIBADI SAYA:

Saya berpendapat cadangan yang di kemukakan oleh Ybhg Dato’ Dr Hussamuddin ini perlu di teliti semasak-masaknya oleh kedua pemimpin Kerajaan Pas Negeri Kelantan dan Kempimpinan UMNO Negeri Kelantan. Kerana pandangan yang dibuat  oleh beliau selaku anak Kelantan adalah satu cadangan ikhlas yang inginkan pemulihan sepenuhnya Negeri Kelantan dari segi ekonomi, infrastruktur dan juga sosial. Pemulihan ini perlulah dirancang secara holistik untuk tempoh jangka sederhana, Panjang dan Lebih Panjang. Inilah cara yang paling strategik untuk membangunkan Negeri Kelantan yang telah di kenali sebagai tempat kelahiran ramai korporat Melayu di Malaysia. 

Kita perlu rasional melihat kelebihan rakyat Kelantan dalam serba serbi yang telah dibuktikan selama ini. Mereka ini gigih untuk meningkatkan ekonomi walaupun mempunyai kesukaran dalam segala aspek. Tetapi telah dibuktika kegigihan mereka telah memperolehi kejayaan yang boleh dibanggakan.Alhamdulillah.

Saya juga mempunyai pengalaman semasa berkhidmat dengan kerajaan Negeri Kelantan mulai tahun 1980 ( semasa di tadbir oleh UMNO) dan juga semasa di bawah pemerintahan Pas  sehingga lah saya pencen pada tahun 2008. Bagi saya UMNO lebih terserlah dalam merancangan pembangunan di Negeri Kelantan, kerana ianya mempunyai sokongan kuat dari Kerajaan Pusat. Dan segala di rancang dalam dilaksanakan serta lebih pratikal. Namun begitu dari segi pembangunan ugama dan perlaksanaan Islam di dalam perntadbiran agak kurang berkesan kerana segala perancangan yang di kemukakan selalu di KIV oleh pihak Persekutuan. 

Inilah masanya para pemimpin Pas dan Umno untuk membuktikan keikhlasan mereka untuk membina semula Negeri Kelantan yang hampir musnah di landa banjir besar pada tahun ini. Kerjasama ini bila di realisasikan akan mendapat sokongan seluruh seluruh rakyat Kelantan tanpa mengira fahaman politik kepartian masing-masing.

Mungkin ada hikmah di sebalik musibah yang berlaku ini. Allah Maha Mengetahui di atas segala yang berlaku ini. Juga inilah masanya untuk memulakan kerjasama Pas dan Umno ke arah menrealisikan rancangan Untuk Meguat Kuasakan Hudud di Kelantan yang di cadangkan oleh Kerajaan Pas Kelantan. Kerana sokongan sepenuhnya dari Umno perlu bagi membolehkan ianya jadi kenyataan. Bersama-sama lah kita berdoa semoga padangan yang dikemukan oleh Dato Dr Hussamudin ini akan menjadi kenyataan demi untuk kebaikan rakyat Kelantan. Semoga kita semua yang mendokung idea ini akan mendapat ganjaran pahala Allah di akhirat kelak. Amin.


Powered by Blogger.