Pandangan Ulamak Berkaitan Sambutan Maulid Rasul SAW
Saat kelahiran pembawa rahmat buat
seluruh alam, selepas hari-hari berlalu tanpa panduan ilahi, selepas
wanita-wanita hidup sebagai hamba pemuas nafsu, pihak yang lemah sentiasa
ditindas, agama samawi disonsangkan mengikut hawa dan cita rasa, ditambah penyakit-penyakit
kefasadan meratapi tubuh masyarakat, seolah tiada solusi buat mereka.
Masyarakat ketika ini umpama liabiliti tiada empayar yang mahu menawan negara
ini, kerana tiada kebaikan jika menjajah mereka.
Tanda cinta dan kasih Sang Pencipta
pada manusia diutuskan seorang Rasul pembawa risalah ilahi, penyebar cinta buat
insani, Pada bulan Rabie’ Al-Awal, Rasulullah SAW dilahirkan dari sebuah
keluarga yang mashur akan kebaikannya dari generasi ke generasi. Kelahiran ini
mengembirakan bumi dan seisinya malah Abu Jahal yang menjadi musuh Islam adalah
orang yang paling gembira dalam menyambut kelahiran Rasulullah SAW. Inilah
tanda kasih ilahi tidak membiar masyarakat terpesong dari pedoman lalu mengutus
Nabi sebagai utusan.
Rasulullah SAW Lahir Berapa Hari Bulan?:
Ahli sejarah dan para ulamak
bersepakat bahawa Rasulullah SAW dilahirkan pada hari Isnin, bulan Rabie’
Al-Awal dan pada tahun gajah, tetapi berselisih dalam menetapkan hari bulan
kelahiran baginda, ada pendapat yang mengatakan 2,8,10,12,17 atau 22. Mashur
masyarakat mengatakan 12 hari bulan,tetapi ahli falak membuat pengiraan bahawa
hari Isnin pada bulan Rabie’ Al-Awal ketika tahun itu bersamaan dengan 2,9,16
dan 23 hari bulan, bukanlah 12 hari bulan.
Walaubagaimana pun, perbezaan tarikh
ini bukan satu isu pokok yang menjadi perbalahan malah perbahasan dan
perdebatan berkenaannya tidaklah membuahkan amal, ditambah pula tiada dalil
atau asas yang kukuh bagi setiap pendapat yang dikemukakan. Maka terpulang
kepada sesiapa sahaja untuk menerima mana-mana tarikh dan menolaknya.
Ia Juga Bulan Kewafatan Baginda SAW.
Bulan Rabie’ Al-Awal juga bulan
kewafatan nabi saw, selepas selesai melaksanakan tugas yang ditaklifkan oleh
Allah swt. Semua para sahabat tidak mampu menahan linangan air mata kesedihan
daripada jatuh membasahi janggut apabila kekasih dipanggil pulang bertemu
Pencipta. Tergiang-giang dibenak sahabat akan kebaikan dan kecintaan Rasulullah
SWT terhadap mereka. Sehingga ada atsar dari sahabat menyebut “Laula Murabbi Ma
‘araftu Rabbi”- Sekiranya tiada murabbi aku tidak kenali Rabbku.
Malah ada sahabat ketika mengajar
para tabien tentang hadis nabi, apabila menyebut sahaja “Qala Al-Habib
Rasulullah SAW”- telah berkata Kekasihku Rasulullah SAW, lalu jatuh pengsan
kerana kecintaan terhadap baginda. Baginda wafat pada hari Isnin bersamaan
dengan 12 Rabie’ Al-Awal pada tahun 11 Hijrah.
Sambutan Maulid Nabi SAW Bid’ah?
Sebahagian daripada para ulamak
mengharamkan sambutan maulid Rasulullah SAW secara mutlak tertutamanya ulamak
daripada Hijjaz antaranya Imam Ibn Bazz, Sheikh Hassan, Ibn Utsaimin dan
lain-lain ulamak.
Mereka berpendapat sambutan ini
adalah bid’ah kerana berdalilkan beberapa tafsiran:
1. Sambutan ini tiada asas dalam
Islam, malah tidak dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA seperti
mana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW maka perkara ini adalah bid’ah yang
ditolak dan menyesatkan:
“Ke atas kamu sunnahku dan sunnah
khulafa’ ar-rasyidin yang diberi petunjuk selepas aku, berwaspadalah kamu akan
perkara-perkara baru (dalam agama), maka setiap perkara baru itu bida’ah dan
setiap bid’ah itu adalah kekesatan” (Riwayat
Ahmad 4/126, Tirmizi bil. 2676)
2. Sambutan maulidul rasul
menyerupai penganut Kristian, penganut kristian mempunyai perayaan tersendiri
dalam menyambut sambutan kelahiran Nabi Isa AS, sedangkan Rasulullah SAW
melarang umatnya menyerupai kaum kafir malah mengarahkan agar berbeza dengan
mereka. Rasullah menyebutkan dalam dua buah hadis:
“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu
kaum maka dia sebagian daripada mereka”
(Riwayat Imam Ahmad 2/50, Abu Daud 4/314)
“Berbezalah kalian dengan
orang-orang musyrik” (Riwayat Muslim Bil. 259, 1/222)
3. Mereka juga berpendapat bahawa
menghidupkan bid’ah dalam sambutan maulud akan membuka pintu untuk melaksanakan
bid’ah-bid’ah yang lain serta membuatkan umat islam bermalasan dalam
sunah-sunah rasululullah saw.
Dibenarkan Sambut Maulid Rasul SAW:
Terdapat juga beberapa ulamak yang
menganggap sambutan ini bukanlah bid’ah dholalah tetapi adalah harus
dalam islam antara yang berpandapat seperti ini ialah Ibn. Hajar Al-Asqolani,
Dr. Ahmad Toyyib, ulamak-ulamak azhari, Habib Umar dan ramai lagi.
Para ulamak yang berpandangan boleh
juga mempunyai beberapa hujah, antaranya:
1. Berdalilkan beberapa hadis yang
menunjukkan betapa pentingnya untuk mencintai Rasulullah SAW dan sambutan
maulidur rasul merupakan salah satu cara mengesprasikan kecintaan terhadapa
baginda SAW:
“Demi Zat yang diriku berada dalam
kekuasaan-Nya, tidak sempurna iman seseorang daripada kalangan kamu sehinggalah
aku lebih dia cintai daripada orang tua dan anak-anaknya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat yang lain:
“Tidak beriman seseorang itu
sehinggalah ia mencintai aku lebih daripada orang tuanya, anak-anaknya dan
manusia seluruhnya” (Riwayat Bukhari)
2. Terdapat hadis menceritakan
berkenaan Rasulullah SAW berpuasa pada hari Isnin, apabila ditanya oleh para
sahabat lalu baginda berkata pada hari itu aku dilahirkan dan turunnya wahyu
pertama. Hal ini mengambarkan bahawa Rasulullah saw sendiri memperingati
hari-hari kelahirannya dengan berpuasa pada hari Isnin.
“Dari Abi Qatadah al-Ansori RA,
sesungguhnya Rasulullah SAW ditanya mengenai puasa isnin, lalu baginda
menjawab: pada hari itu aku dilahirkan dan wahyu diturunkan kepadaku.”
3. Sambutan maulidur rasul telah pun
dilaksanakan oleh ulamak-ulamak yang terdahulu malahan berlalu generasi ke
generasi, sekiranya sebahagian mengatakan bid’ah yang sesat, maka sebahagian
itu telah menyesatkan beberapa generasi yang sebelum ini. Amalan ini adalah
selaras dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
“Apa-apa yang dipandang oleh umat
Islam sebagai suatu amalan yang baik, maka ia adalah baik di sisi Allah, dan
apa-apa yang dipandang keji oleh umat Islam sebagai suatu amalan yang keji maka
ia adalah keji disi Allah”
Kesimpulan: Jangan Biar Bermusim
Setelah diteliti kedua-dua pendapat,
saya secara peribadi melihat bahawa pendapat yang mengharamkan secara mutlak
melihat isu ini sebagai isu akidah dan ibadah selaras dengan sebuah kaedah
fikhiyah Al-Aslu fi Ibadah Muharamah (Asal dalam Ibadah Haram) manakala
pendapat yang bertentangan melihat hukum ini dari sudut cara memperingati
Rasulullah saw. Isu ini sudah lama dibincangkan oleh para ulamak, kebanyakkan
membenarkan.
Secara peribadinya juga, saya
melihat sambutan ini dibenarkan dalam Islam dan memperingati kekasih SAW
sepatutnya dijalankan setiap hari dengan kita mengamalkan sunnah-sunnah
Rasulullah SAW, tetapi dalam menghadapi zaman yang penuh dugaan dan serangan
jahiliyah, sambutan-sambutan ini dilihat sebagai satu stesyen kepada umat Islam
dalam memperingati Rasulullah SAW agar umat islam terus sedar.
Tambahan juga perlu dilihat apa yang
diisi dalam sambutan tersebut sekiranya syarie tidak bertentangan dengan syara’
maka ia dibenarkan, tetapi jika ia diisi dengan kemaksiatan seperti percampuran
antara lelaki dan perempuan maka haram sambutan tersebut. Sebagai penutup,
seorang muslim sepatutnya hari-hari adalah hari memperingati kelahiran
Rasulullah SAW, tidak bermusim, kecintaan terhadap nabi sentiasa berkembang mekar
dalam jiwa sanubari. Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke
atas Nabi, Wahai orang-orang beriman berselawatlah ke atas Nabi. Allahumma
Solli ‘ala Muhammad. Wallahu ‘Alam.
Rujukan:
- Ar-Rahiq Al-Makhtum, Imam Mubarakfuri
- Fil Bidayah Wa An-Nihayah, Imam Ibn Katsir
- Al-Hawi li Al-Fatawa, Imam As-Suyuthi
- Sulthon Al-Ulamak, Syeikh Izz Ad-Din Bin Abd. Salam
- Fatawa Ibn Bazz
Posted by: Mukhlis Nasri
0 comments:
Post a Comment