SAMBUTAN
MAULID NABI MUHAMMAD S.A.W.
Sambutan Maulid Nabi merupakan
amalan yang sering dilakukan oleh umat Islam sejak berkurun lama di seluruh
pelusuk dunia Islam. Perbicaraan mengenai keharusannya juga telah lama
dibicarakan sehingga ramai ulama’ telah menulis secara lengkap dalam kitab-kitab
mereka tentang keharusan dan galakan majlis ini diadakan. Namun sehebat itu
pula pihak yang bertopengkan ulama’ mencemuh majlis seperti ini dengan alasan
ia merupakan perkara bid’ah kerana tidak terdapat pada zaman Rasulullah s.a.w.
Lantaran dari itu, terdapat
dikalangan mereka yang mencemuh majlis ini dengan menggunakan kata-kata yang
kesat dan biadab, seolah-olah mengadakan majlis maulid Nabi hanya mengundang
maksiat dan dosa.
Berkemungkinan kerana inilah,
seorang pemuka bid’ah pada zaman ini yang bertugas sebagai tenaga pengajar di
Masjid Nabawi, iaitu Abu Bakar al-Jazairi mengatakan sembelihan yang dilakukan
untuk menyediakan makanan orang ramai pada hari sambutan Maulid adalah lebih
haram daripada daging khinzir.
Malah lebih dari itu, bekas Mufti
Arab Saudi al-Marhum Abdul Aziz bin Baz hampir-hampir mengkafirkan orang-orang
yang mengadakan majlis Maulid yang diadakan sebagaimana yang dinyatakan di
dalam kitab mereka ‘ al Siyanah al-Insan’ H: 233. Tidak dinafikan, hampir semua
umat Islam di seluruh dunia mengadakan sambutan majlis maulid Nabi. Ini
bermakna Abdul Aziz bin Baz hampir mengkufurkan seluruh umat Islam melainkan
pengikut-pengikut ajaran mereka sahaja.
Syeikh Soleh bin Fauzan al-Fauzan
seorang anggota Majlis Ulama’ Besar Arab Saudi menyebut dalam kitabnya bahawa
banyak khutbah-khutbahnya yang mengandungi amaran dari mengadakan majlis
sambutan maulid Nabi s.a.w.
Beliau menulis di dalam kitabnya
‘al-Khutub al-‘Asriyyah’ yang dibaca dan sering diulang-ulang oleh sebahagian
khatib, “Wahai hamba Allah! sesungguhnya perkara-perkara bid’ah hanyalah
merupakan perkara baru di dalam agama yang menukarkan agama Islam kepada agama
yang lain. Ia adalah suatu belenggu yang membuang masa, membazirkan harta,
meletihkan badan, menjauhkan dari syurga dan mendekatkan kepada neraka, yang
pastinya mengundang kemurkaan Allah tetapi orang-orang yang sesat tidak
memahaminya, tidaklah amalan mereka tersebut bertambah tetapi sebenarnya mereka
menjadi semakin jauh dari Allah dan tidaklah ijtihad mereka dan penat lelah mereka
mendapat balasan dan pahala melainkan hanya mengundang kemurkaan Allah.
Golongan Wahabi, mengidupkan isu
pengharaman majlis ini hanya dengan satu alasan yang lapuk dan rapuh yang
sememangnya tidak boleh diterima pakai lagi. Malah telah berkali-kali alasan
mereka tersebut dijawab dengan panjang lebar oleh sebilangan besar ulama’ Islam
tetapi mereka masih tetap dengan pendapat dan kedegilan mereka. Ini
memberi kefahaman yang jelas kepada kita, bahawa mereka sebenarnya bukan mencari kebenaran tetapi mencari perpecahan dan mengajak umat Islam membenci syiar-syiar kebesaran Islam.
memberi kefahaman yang jelas kepada kita, bahawa mereka sebenarnya bukan mencari kebenaran tetapi mencari perpecahan dan mengajak umat Islam membenci syiar-syiar kebesaran Islam.
Sekalipun majlis Maulid Nabi tidak
pernah diadakan pada zaman Nabi, tetapi amalan ini dianjurkan oleh Allah dan
RasulNya secara umum. Sekali pun tidak ada nas yang nyata menyebut mengenainya
tetapi secara tersirat Allah dan RasulNya menyuruh kita merayakan hari-hari
peringatan buat kita seperti hari Maulid , Isra’ Mikraj, Nuzul Quran, Hari
Asyura dan sebagainya.
Melihat dari sudut pengisian yang
diadakan di dalam majlis ini, semua ulama’ bersepakat mengharuskan
amalan-amalan yang diadakan. Misalnya, mengumpulkan umat Islam untuk mengingati
sirah Rasulullah s.a.w., memuji baginda, mengucapkan salawat dan sebagainya.
Mengadakan majlis untuk memberikan
peringatan dan mengambil pengajaran dari sirah Rasulullah s.a.w. merupakan
majlis ilmu yang menjadi salah satu dari method dakwah untuk melahirkan
kecintaan umat Islam terhadap Allah dan RasulNya. Ini secara tidak langsung,
menjana penghayatan umat Islam terhadap sunnah Rasulullah s.a.w.
Begitu juga dengan mengucapkan
kata-kata pujian dan salawat ke atas Baginda, sememangnya telah menjadi hak
Rasulullah s.a.w. Menyediakan makanan untuk orang ramai pula merupakan suatu
sedekah yang disunatkan, malah digalakkan kepada umat Islam. Majlis seperti
inilah yang sepatutnya dimanfaatkan sebaiknya, kerana memberi peluang keemasan
kepada umat Islam untuk melakukan berbagai-bagai kebaikan yang tidak ada pada
majlis-majlis yang lain.
Justeru, tidak ada sebab majlis
seperti ini menimbulkan keraguan bagi mereka yang mempunyai pemikiran yang
sihat sehingga dihukum sebagai bid’ah dan sesat.
Sekalipun, keharusan perkara ini
telah lama meniti di bibir ulama’ dan tinta-tinta pena serta tidak putus-putus
diperdengarkan kepada umat Islam saban waktu, saya kira masih ada manfaatnya
saya menyelitkan perkara ini di dalam artikel ini, memandangkan minat umat
Islam semakin merosot terhadap bahan-bahan bacaan ilmiah ulama’ muktabar.
MENURUT PERSPEKTIF ULAMA’
Ramai di kalangan ulama’ yang
menulis secara khusus mengenai keharusan maulid dalam kitab-kitab mereka.
Di antaranya Imam al-Hafiz
al-Suyuti. Ketika beliau ditanya tentang hukum mengadakan majlis Maulid Nabi
s.a.w. pada bulan Rabi’ul Awwal sama ada dicela atau tidak dan adakah diberikan
pahala bagi orang yang menyambutnya, beliau menjawab,” Amalan pokok yang
dilakukan di dalam majlis perkumpulan, bacaan ayat-ayat suci al-Qur’an,
kemudian dibaca sirah-sirah nabi dan kisah-kisah yang berlaku ketika
kelahirannya. Setelah itu, mereka makan bersama dan bersurai, tidak lebih dari
itu. Amalan seperti ini bid’ah hasanah (bid’ah yang baik) yang diberikan pahala
bagi orang yang melakukannya kerana dalam amalan ini terdapat suasana
membesarkan Nabi s.a.w. dan melahirkan rasa gembira di atas kelahiran Nabi
Muhammad s.a.w. yang mulia.
Beliau menceritakan bahawa corang
yang pertama menyambut Maulid Nabi s.a.w. ialah seorang raja yang adil di
negeri Irbil (berdekatan dengan Syam) bernama Malik Muzaffar Abu Said
al-Kukbari.
Beliau membelanjakan sebanyak 300
ribu dinar setiap tahun untuk menyambut Maulid Nabi s.a.w. Beliau merupakan
orang yang pertama mengadakan keraian ini secara besar-besaran pada tahun 604
Hijrah dengan dihadiri oleh rakyat jelata yang datang dari segenap tempat.
Manakala Imam Abu Shamah (guru Imam
al-Nawawi) menyatakan,”Di antara perkara baik yang dilakukan pada setiap tahun
di zaman kami ialah bersepakat pada hari maulid Nabi s.a.w memberikan sedekah,
melakukan kebajikan, dan melahirkan kegembiraan dan kesenangan. Dari hal yang
demikian, selain dari dapat melakukan kebaikan kepada fakir miskin di dalam
majlis tersebut, ia juga diisi dengan rasa kasih terhadap Nabi s.a.w,
membesarkannya dan bersyukur kepada Allah di atas kurniaanNya yang telah
mengutuskan seorang Rasul yang diutuskan sebagai rahmat bagi sekelian alam”.
Dari pendapat ulama’ di atas,
dapatlah difahami bahawa bid’ah hasanah (baik) dan bid’ah sayyi’ah (buruk).
Mengadakan majlis Maulid Nabi termasuk di dalam kategori bid’ah hasanah kerana
majlis yang sangat baik ini diadakan untuk membangkitkan kecintaan kepada Nabi
s.a.w. dari rasa kasih ini, seseorang akan lebih terangsang untuk mengikut
jejak langkah Rasulullah s.a.w. Justeru, ia merupakan suatu amalan yang
mendatangkan kebaikan dan diberikan pahala apabila mengerjakannya.
Al Hafiz al-Sakhawi menyatakan bahawa
amalan maulid ini mula dilakukan selepas kurun ketiga dan sentiasa diteruskan
oleh umat Islam di seluruh pelusuk dunia dan bandar-bandar besar. Mereka
bersedekah pada malamnya dengan pelbagai jenis sedekah dan membaca maulid. Maka
dari keberkatan majlis ini, terpancar ke atas mereka pelbagai kemuliaan dan
kelebihan.
Imam Jalaluddin al-Suyuti menyebut
di dalam kitabnya al-Hawi li al-Fatawa bahawa Imam al-Baihaqi telah
meriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w melaukan ‘aqiqah
untuk dirinya selepas dilantik menjadi Nabi. Sedangkan, telah datang hadith
menyatakan bahawa datuknya Abdul Muttalib telah melakukan ‘aqiqah untuk Baginda
s.a.w pada hari ketujuh keputeraan Rasulullah s.a.w.
Tidak ada di dalam syariat, aqiqah
dilakukan dua kali bagi seseorang. Oleh yang demikian, berkemungkinan apa yang
dilakukan oleh Rasulullah s.a.w adalah untuk melahirkan tanda syukur kerana
Allah telah menjadikannya sebagai rahmat bagi sekelian alam dan pembawa
syariat.
Oleh itu, Imam al-Suyuti menyatakan
bahawa adalah sunat juga bagi kita melahirkan tanda kesyukuran di atas
kelahirannya dengan mengadakan perkumpulan, jamuan makanan dan sebagainya yang
kesemuanya adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan untuk melahirkan
tanda kegembiraan di atas kelahirannya.
Ini menunjukkan keraian yang
diadakan adalah sebagai melahirkan tanda syukur kepada Allah di atas nikmatNya
yang tidak ternilai. Tanda kesyukuran ini boleh dilahirkan dengan
bermacam-macam cara yang sealiran dengan syariat seperti mengadakan berbagai-bagai
ibadat secara berjemaah.
Manakala Imam Abul Qasim Junaid
al-Baghdadi menyatakan bahawa sesiapa yang hadir di dalam majlis Maulid Nabi
s.a.w dengan niat untuk membesarkannya, maka akan mendapat keamanan.
Oleh kerana itu, hukum mengadakan
majlis sambutan Maulid Nabi s.a.w adalah harus dan disyariatkan di dalam agama.
Malah ia menjadi sunat selagi sambutan tersebut tidak bercampur dengan
perkara-perkara yang diharamkan oleh syariat Islam. Sekiranya berlaku sedemikian,
maka hukumnya bertukar menjadi haram.
Sayyid Muhammad bin ‘Alawi
al-Maliki, sependapat dengan pendapat di atas. Beliau telah menulis sebuah buku
khas mengenai tajuk ini dengan lebih lanjut di dalam ‘Haula Ihtifal bi
al-Maulid al-Nabawi al-Syarif’.
Ibnu Taimiyyah sendiri tidak pernah
mengharamkan sambutan Maulid Nabi s.a.w. yang telah sekian lama berlaku di
dalam masyarakat umat Islam. Malah beliau turut memberikan pendapatnya di dalam
permasalahan ini bagi menunjukkan persetujuannya terhadap keharusan majlis
Maulid Nabi s.a.w. yang diadakan oleh umat Islam. Antara lain, beliau
menyatakan “Membesarkan maulid Nabi dan menjadikannya sebagai suatu musim
perayaan kadangkala diadakan oleh sebahagian manusia. Mengingatkan maksudnya
yang baikdan tujuannya untuk memuliakan Rasulullah s.a.w, adalah layak dalam
hal ini mereka memperolehi ganjaran pahala yang besar”.
Al-Muhaddith Syeikh Abdullah
al-Harari menyatakan bahawa sambutan maulid yang diadakan oleh para pemerintah,
para masyaikh yang terdiri daripada ahli-ahli hadith, ahli feqah, ahli zuhud,
ahli ibadah dan orang-orang awam menjadi ijma’ fe’li (persepakatan dari segi
perbuatan) yang mengharuskan amalan ini. Malah ia mempunyai sandaran yang
menjadi dasar rujukan di dalam pengeluaran hukum mengadakan maulid sebagaimana
yang telah disebut oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan lain-lainnya.
Justeru, bersama siapakah puak
Wahabi mendokong fahamannya ini? Sedangkan mereka tidak sependapat dengan Ahli
Sunnah wa al-Jamaah, malah tidak juga sependapat dengan ketua mereka Ibnu
Taimiyyah.
KELEBIHAN MENYAMBUT MAULID NABI S.A.W
Di dalam artikel ini disebut
beberapa kisah kelebihan menyambut Maulid Nabi yang saya sedut dari kitab
I’anah al-Tolibin. Sekali pun kisah yang dipaparkan ini tidak boleh dijadikan
dalil yang qot’ei tetapi ia berperanan sebagai merangsang individu muslim
meraikan Maulid Nabi dalam usaha menambah kecintaan umat Islam kepada baginda
s.a.w.
Kisah-kisah tersebut bukanlah rekaan
semata-mata yang direka untuk kepentingan peribadi, tetapi kisah ini diselitkan
juga oleh ulama’ yang lain di dalam kitab mereka sebagai sumber pengajaran yang
boleh dimanfaatkan bersama.
Di dalam kitab I’anah al-Tolibin
disebut bahawa pada zaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rasyid, terdapat
seorang pemuda di Basrah yang tidak elok perangainya. Oleh kerana perangainya
yang buruk, maka penduduk Basrah memandang keji kepadanya. Tetapi, apabila
masuk bulan Rabi’ul Awwal, maka pemuda tersebut membersihkan pakaiannya,
memakai wangi-wangian dan pakaian yang cantik serta mengadakan kenduri kerana
menyambut maulid Nabi.
Pada setiap tahun, apabila tiba
bulan Rabi’ul Awwal ia akan melakukan sedemikian sehinggalah ke akhir hayatnya.
Setelah ia meninggal dunia, maka penduduk Basrah mendengar satu suara yang
berkata ” Pergilah wahai penduduk Basrah dan saksikanlah jenazah seorang wali
dari kalangan wali Allah ini kerana ia merupakan seorang yang mulia di
sisi-Ku,”. Maka penduduk Basrah pun pergi menziarahi jenazahnya dan
mengkebumikannya.
Pada malamnya, mereka bermimpi
melihat pemuda tersebut dipakaikan dengan pakaian sutera yang amat bernilai.
Lalu beliau ditanya “Dengan apakah kamu mencapai kemuliaan ini?” Jawabnya ”
Dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah saw.”
Diceritakan juga di dalam kitab
I’anah bahawa pada zaman pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan, terdapat
seorang pemuda yang tampan di Syam (Syria) yang asyik menunggang kudanya.
Pada suatu hari, ketika sedang
menunggang kudanya, tiba-tiba kuda tersebut menjadi liar dan tidak dapat
dikawal sehinggalah ia memasuki ke dalam kawasan larangan menunggang kuda dan
sampai di pintu rumah khalifah. Lalu kuda tersebut melanggar putera khalifah
sehingga menyebabkan putera khalifah tersebut meninggal dunia.
Setelah berita kematian putera
khalifah sampai kepadanya, maka pemuda tersebut diperintahkan mengadap. Ketika
tentera khalifah pergi menangkapnya, tiba-tiba terlintas dihati lelaki tersebut
untuk bernazar “Sekiranya Allah melepaskan aku daripada perkara yang buruk ini,
nescaya aku akan mengadakan kenduri yang besar untuk menyambut hari keputeraan
Rasulullah saw”.
Ketika pemuda tersebut sedang
mengadap khalifah, tiba-tiba kemurkaan khalifah reda dan hilang, malah baginda
tersenyum memandang pemuda tersebut. Maka khalifah pun berkata “Adakah kamu
mempunyai ilmu sihir?”, Jawabnya “Demi Allah, tidak wahai Amir al-Mukminin.
Maka khalifah berkata “Beta telah mengampunkan kamu, tetapi katakanlah kepada
beta apakah yang telah kamu katakan tadi. Maka katanya “Aku telah berkata
sekiranya Allah melepaskan aku dari peristiwa buruk ini, nescaya aku akan
mengadakan kenduri menyambut Maulid Nabi s.a.w “. Maka khalifah pun berkata
“Aku telah mengampunkan kamu dan ini wang sebanyak seribu dinar untuk kamu
mengadakan akan kenduri maulid tersebut, dan kamu telah aku halalkan dari darah
anakku.
Maka pemuda tersebut pun keluar. Ia
telah dibebaskan daripada hukumannya dan diberikan dengan seribu dinar dengan
keberkatan Nabi s.a.w.
Kegembiraan ilmuwan Islam meraikan
Maulid Nabi s.a.w. juga banyak dipaparkan. Di antaranya Hasan al-Basri pernah
berkata,” Sekiranya aku mempunyai emas setinggi bukit Uhud, nescaya aku akan
membelanjakannya untuk meraikan majlis membaca Maulidur Rasul s.a.w “.
Imam al-Junaid al-Baghdadi pernah
berkata,” Sesiapa yang menghadiri majlis Maulidur Rasul s.a.w dan membesarkan
kedudukan baginda, maka ia telah mencapai kejayaan iman “.
Ma’ruf al-Kurkhi berkata,” Sesiapa
yang menyediakan makanan sempena Maulidur Rasul s.a.w, lalu mengundang orang
ramai, menyalakan lampu-lampu, memakai pakaian yang baru, memakai wangi-wangian
dan berhias-hias kerana membesarkan kelahiran Rasulullah s.a.w., maka akan
dikumpulkannya oleh Allah s.w.t. pada hari kiamat bersama kumpulan pertama
golongan para Nabi ia berada di syurga ‘Illiyyin (tinggi)”.
Imam al-Yafi’e berkata.” Sesiapa
yang mengumpulkan orang ramai kerana menyambut Maulid Nabi s.a.w., menyediakan
makanan, memberikan tempat, melakukan kebaikan untuk mengadakan majlis membaca
kisah Maulidur Rasul s.a.w, akan dibangkitkan oleh Allah s.w.t. pada hari
kiamat bersama ahli siddiqin, syuhada’ dan solihin dan berada di dalam syurga
Na’im”.
Sirri al-Siqti berkata,” Sesiapa
yang pergi ke suatu tempat untuk membaca kisah Maulid Nabi s.a.w. maka
sesungguhnya ia telah pergi ke sebuah taman dari taman-taman syurga kerana
tidaklah ia menuju ke tempat-tempat tersebut melainkan lantaran kerana kasih
kepada Rasulullah s.a.w.,”.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w.
pernah bersabda,” Sesiapa yang mengasihiku maka ia bersamaku di dalam syurga,”.
Telah berkata Sultan Ahli ‘Arifin
Jalaluddin al-Suyuti di dalam kitabnya,” Tidak ada suatu rumah atau masjid atau
tempat yang dibacakan di dalamnya mengenai Maulid Nabi s.a.w. melainkan
malaikat mengelilingi ahli tempat tersebut dan Allah menebarkan rahmatNya
kepada mereka”.
Katanya lagi,” Tidak ada seorang
muslim yang dibacakan di dalam rumahnya Maulid Nabi s.a.w. melainkan Allah
mengangkat kemarau, waba’, kebakaran, bala, hasad dengki dan dijauhkan pencuri
dari ahli rumah tersebut. Maka apabila ia mati, Allah akan mempermudahkan
baginya menjawab soalan Munkar dan Nakir,”.
Di dalam kitab al-Kawakib
al-Durriyyah diriwayatkan bahawa di Basrah terdapat seorang lelaki yang
mengadakan majlis Maulid Nabi pada setiap tahun. Berdekatan dengan rumahnya
hidup sebuah keluarga Yahudi.
Pada suatu hari, isteri Yahudi
tersebut bertanya kepada suaminya “Apakah halnya dengan jiran muslim kita itu,
setiap tahun ia akan membelanjakan wang yang banyak sepertimana yang
dibelanjakannya pada bulan ini?” Maka kata suaminya “Mereka percaya bahawa pada
bulan ini nabi mereka dilahirkan”.
Sedang mereka tidur pada malamnya,
isterinya bermimpi melihat seorang lelaki yang cukup hebat, penuh kebesaran,
kehormatan dan cahaya. Ia berada di antara sahabat-sahabatnya yang
mengelilinginya seolah-olah lelaki tersebut seperti bulan. Maka perempuan
tersebut berkata kepada salah seorang dari sahabat-sahabat tersebut, “Siapakah
orang yang mempunyai cahaya yang memancar-mancar ini?” Mereka menjawab,”Dia
adalah seorang nabi berbangsa Arab yang dipilih oleh Allah”. Perempuan itu
bertanya lagi,”Adakah ia akan bercakap denganku apabila aku bercakap
dengannya?” Mereka berkata,”Dia bukanlah seorang yang sombong atau meninggikan
diri”. Lalu perempuan itu berkata,”Wahai Muhammad s.a.w!” Maka Rasulullah s.a.w
menjawab dengan mulut yang manis,”Labbaika (Ya, aku menyahut seruanmu)”. Maka perempuan
itupun berkata,”Kamu menjawab panggilan orang sepertiku ini dengan ‘labbaika’
sedangkan aku bukannya berada di atas agama kamu”. Maka Rasulullah s.a.w pun
berkata, “Tidaklah aku berkata kepadamu seperti sebentar tadi melainkan setelah
aku mengetahui bahawa sesungguhnya Allah telah memberikan petunjukNya kepada
kamu. Maka perempuan itu berkata,”Sesungguhnya kamu adalah nabi yang mulia dan
kamu mempunyai akhlak yang mulia. Hulurkanlah tanganmu, maka aku naik saksi
bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa engkau Muhammad adalah pesuruh
Allah”.
Kemudian perempuan tersebut
bernazar, apabila siang menjelang, ia akan mensedekahkan segala harta yang
dimilikinya kerana merasa gembira di atas keislamannya dan akan dibelanjakannya
untuk meraikan Maulid Nabi s.a.w.
Apabila bangun dari tidur, ia
mendapati suaminya telah bersedia untuk mengadakan kenduri dan pada pagi itu
suaminya kelihatan begitu berhemah tinggi. Maka ia pun berkata kepada
suaminya,”Aku melihat kamu berada di dalam keazaman yang cukup baik”. Maka
suaminya berkata,”Ini adalah kerana orang yang kamu masuk Islam ditangannya
semalam”. Kata isterinya, “Siapakah yang telah membukakan bagimu akan rahsia
ini dan memberitahumu?” Jawabnya “Orang yang telah mengislamkan aku dengan
tangannya selepas mengislamkan kamu semalam”.
Sumber :
Laman Nurani
0 comments:
Post a Comment