Thursday, July 10, 2014

MALAM 1,000 BULAN



Menghidupkan Malam 1,000 Bulan

Puncak kegemilangan Ramadan berada pada sepuluh malam terakhir yang merupakan detik-detik paling menentukan bagi tercapainya derajat beribadah 1,000 bulan kepada Allah. Antara Sunnah Rasul SAW ialah menghidupkan malam ini dengan beribadah. Bagi sesiapa yang mencintai Nabi SAW dan berpegang kepada Sunnahnya eloklah mengutamakan malam al-Qadar daripada urusan-urusan keduniaan yang melekakan. 

Malam ini tiada serinya melainkan dengan Solat Tahajjud, Tilawah al-Quran, berdoa sambil mengharapkan rahmat dan bertaubat. Sa’id bin Musayyab berkata: “Barangsiapa yang berada pada waktu Isyak pada malam al-Qadar maka orang itu telah mendapat habuan dari kelebihan malam al-Qadar.” Manakala habuannya mengikut sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang bangun mendirikan sembahyang pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan harapan maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Rahmat Allah SWT telah turun kepada umat Nabi Muhammad SAW yang mengurniakan kelebihan suatu malam untuk mendapatkan ampunan dan pahala ibadah umpama 1,000 bulan. Pada malam ini Allah Taala mencari suara-suara hamba-Nya yang merintih, meminta dan mengharap. Sebagaimana sabda baginda SAW yang bermaksud: “Allah Taala turun ke langit dunia saat sepertiga malam terakhir, Allah menyeru: Adakah antara hamba-Ku yang meminta kepada-Ku supaya Aku memberinya? Adakah antara hamba-Ku yang meminta ampunan-Ku supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hamba-Ku yang berdoa supaya Aku memakbulkannya? (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Mengapa telinga, mata dan hati berat untuk menyahut seruan Allah Taala? Hasan Al-Basri pernah ditanya mengapa seseorang berat melakukan qiyamullail? Beliau berkata: “Demi Allah sungguh dosa-dosamu telah membelenggumu.” Al-Ghazali juga menyatakannya di dalam Ihya ‘Ulumuddin tentang persiapan untuk bangun sembahyang malam ialah jangan berbuat banyak maksiat pada siang hari kerana hati yang kotor dengan maksiat menyebabkan kelemahan pada tubuh badan.

Sesungguhnya orang-orang yang mahu mendapat kelebihan malam Al-Qadar sepatutnya melakukan persiapan yang hebat untuk memenangi malam itu. Umpama seorang mujahid Bani Israil yang bersedia ke medan pertempuran, dia bersabar selama seribu bulan dalam kesusahan. Mengapa kita menyerah kalah padahal peperangan yang kita hadapi kini hanya perang melawan diri sendiri yang malas dan lalai, tidak mahu bersyukur dan menyungkurkan wajah bersujud kepada Allah, diri yang dibelenggu hawa nafsunya sendiri. Ada apa dengan kita hari ini? Adakah kita tidak termasuk senarai hamba-hamba-Nya yang teruji? Alangkah ruginya tubuh badan yang sihat namun tidak dapat menjadi saksi kebaikan pada hari kiamat. Saksi yang membela tuannya, dengan apa mereka membela kita jika sedikit sahaja ibadat yang mampu dibuat.

Allah Taala menyuruh kita sentiasa menjadi mujahid-Nya, tak kira 1000 bulan atau hatta sepanjang kehidupan ini. Keperibadian hamba sebegini dibanggakan Allah Taala di dalam Al-Quran yang maksudnya: “Lambung mereka jauh daripada tempat tidurnya dan mereka selalu berdoa kepada Tuhannya dengan penuh rasa takut dan harap.” (Surah al-Sajadah ayat: 16)

Kemudian disebutkan lagi sifat-sifat mereka yang membuat Allah Taala mengasihani hamba-hamba ini, yang maksudnya. “Mereka membaca ayat-ayat Allah pada malam hari dan mereka bersujud.” (Surah Ali Imran ayat: 113)

Alangkah beruntungnya bila kita mampu istiqamah seperti Abdullah bin Umar RA. Beliau berkata: “Sewaktu aku masih bujang, aku tertidur di masjid, lalu bermimpi seperti halnya seorang yang tidur bermimpi. Aku melihat dua orang lelaki memegang kedua tanganku lalu mereka berdua membawaku menuju perigi yang sedang menggelegak, aku memperhatikannya dengan khusyuk lalu aku berasa amat takut. Mereka berdua berkata: Kamu jangan takut. Lalu aku mengambil sehelai kain sutera, setiap kali aku menunjuk ke suatu tempat yang berdekatan ‘Raudhatul Khadra’ kain itu terbang bersamaku. Aku menceritakan mimpiku ini kepada Hafsah binti Umar, isteri Rasulullah SAW, kemudian dia menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda bersabda yang maksudnya: “Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah bin Umar, sekiranya dia melakukan qiyamullail.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bagaimana perasaan anda jika Rasulullah SAW memuji dengan perkataannya; “Sesungguhnya anda lelaki terbaik, jika anda melakukan qiyamullail”? Malam ini jika anda bangun untuk qiyamullail ingatlah pujian Rasulullah SAW tadi. Baginda juga berpesan kepada Abdullah bin Amru bin al-‘Ash: “Wahai Abdullah! Janganlah kamu jadi seperti si fulan itu, dahulu dia sering melakukan sembahyang malam kemudian dia meninggalkannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Telah berapa malam kita berlalu tanpa qiyamullail? Tiadakah rasa menyesal pada diri kita yang melepaskan peluang mendapat rahmat dan ampunan-Nya? Mungkin 1000 malam telah dilalui hanya sekadar bermimpi bahkan terlepas hingga habis waktu Subuh. Alangkah baiknya sekiranya sepuluh malam terakhir ini boleh membayar kesilapan seumur hidup kita yang lalu. Betapa Allah SWT begitu Penyayang kepada hamba-Nya sehingga kita tidak seharusnya berputus asa

Nota: Petikan dari  artikel  Dr Juanda Jaya (Mufti Perlis)

0 comments:

Powered by Blogger.