Mengerjakan
Solat Tarawih Menurut Sunnah Nabi
Mengerjakan Solat Tarawih Menurut Sunnah Nabi
Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh berkat. Padanya terdapat
malam lailatulqadar iaitu satu malam yang lebih mulia dari seribu bulan.
Padanyalah diturunkan al-Qur’an yang dijadikan panduan bagi seluruh umat Islam.
Firman Allah S.W.T: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada
malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran
lailatulqadar itu? Lailatulqadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000
bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin TUHAN mereka
membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya).
Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” – Surah al-Qadr:
1-5.
Pada bulan Ramadan ini jugalah Allah melimpahkan kasih sayang-Nya
kepada seluruh hamba-hamba-Nya yang bertakwa. Ganjaran pahala kurniaan-Nya
untuk hamba-Nya yang beribadah pada bulan Ramadan juga berlipat kali ganda
melebihi bulan-bulan yang lain. Inilah bulan di mana pintu syurga dibuka
seluas-luasnya manakala pintu neraka ditutup serapat-rapatnya. Sabda Rasulullah
s.a.w. : “Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga akan dibuka.” –
Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1898.
Selanjutnya baginda bersabda: “Apabila masuk bulan Ramadan,
pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup.” – Hadis
riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1899.
Oleh itu, amat rugi sekiranya amalan ibadah yang kita kerjakan
pada bulan yang mulia ini tidak diterima oleh Allah kerana tidak menepati
kehendak-Nya. Untuk memastikan segala amal ibadah kita di terima oleh Allah, ia
perlu memenuhi dua syarat utama, iaitu:
1. Amal ibadah hendaklah dikerjakan semata-mata ikhlas kerana
Allah. Apa yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah tidak bercampur dengan unsur
syirik dan khurafat.
2. Amal ibadah itu juga hendaklah dikerjakan mengikuti (ittiba’)
sunnah Nabi s.a.w yang sahih. Haram sama sekali mencampur-adukkan ibadah dengan
perkara bid’ah.
Solat tarawih merupakan satu sunnah yang amat dituntut bagi
seluruh umat Islam untuk mengerjakannya pada malam bulan Ramadan. Sabda baginda
: “Sesiapa solat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan
ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” – Hadis
riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 759.
Berikut adalah tatacara mengerjakan solat tarawih menurut sunnah
Nabi s.a.w. :
1. Waktu untuk mengerjakan solat tarawih.
Solat tarawih adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam
pada bulan Ramadan, iaitu selepas mengerjakan solat Isyak dan sebelum masuk
waktu solat Subuh. Namun, waktu paling afdal untuk dilaksanakan solat tarawih
adalah sepertiga malam yang terakhir, iaitu bermula dari pukul 3.00 pagi
sehingga sebelum masuk waktu subuh. Sabda Rasulullah s.a.w: “Tuhan kita
Tabaraka wa Ta’ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika masih tinggal
sepertiga malam yang akhir. Allah berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku
pasti Aku akan makbulkannya, sesiapa yang meminta kepada-Ku pasti Aku akan
memberinya dan sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku pasti Aku akan
mengampunnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, no: 1145
Walau bagaimana pun, sekiranya dilakukan secara berjemaah di
masjid, umat Islam diperintahkan mengikut perbuatan imam serta waktu yang telah
ditetapkan oleh pihak masjid. Tetapi, ada baiknya juga sekiranya masjid-masjid
di Malaysia mempelbagaikan sunnah Nabi s.a.w berkaitan solat tarawih. Setidak-tidaknya sekali-sekala mengerjakan
majlis solat tarawih pada sepertiga malam yang akhir. Solat sunat tarawih ini
kebiasaannya digandingkan dengan solat sunat witir sebagai penutupnya.
2. Jumlah rakaat solat tarawih.
Cara mengerjakan qiyam Ramadan ini adalah sama dengan qiamullail.
Ia boleh dilakukan dengan dua rakaat dua rakaat dan ia tidak mempunyai batasan
jumlah rakaat yang maksimum. Malah, ia juga boleh digabungkan dengan hanya satu
rakaat solat sunat witir. Abdullah bin Umar r.a berkata: “Sesungguhnya seorang
lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Bagaimanakah cara melakukan solat malam?
Baginda bersabda: Dua rakaat dua rakaat. Apabila engkau bimbang (waktu solat
Subuh akan masuk), laksanakan terus solat witir sebanyak satu rakaat.” – Hadis
riwayat al-Bukhari dalam kitab Sahihnya, no: 1137.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h menyatakan di dalam kitabnya
Majmu’ al-Fatawa, jilid 22, muka surat 272:
“Mengenai solat qiyam Ramadan (solat tarawih), Nabi s.a.w tidak
pernah menetapkan jumlah rakaatnya. Namun, baginda sendiri tidak pernah
mengerjakannya melebihi 11 atau 13 rakaat sama ada pada bulan Ramadan atau
bulan lain. Baginda melakukan solat qiyam dengan memanjangkan rakaatnya.
Apabila Umar r.a mengumpulkan orang ramai untuk melakukan solat tarawih secara
berjemaah yang diimami oleh Ubai bin Ka’ab r.a, dia (Ubai) telah
melaksanakannya bersama mereka sebanyak 20 rakaat kemudian diikuti solat witir
tiga rakaat. Beliau melakukan begitu sambil meringankan bacaan al-Quran selari
dengan kadar penambahan rakaat supaya ia lebih ringan (tidak terlalu panjang
solatnya) berbanding solat satu rakaat yang dipanjangkan rakaatnya. Setelah itu
sebahagian generasi salaf melaksanakan solat tarawih sebanyak 40 rakaat diikuti
solat witir sebanyak tiga rakaat. Sebahagian yang lain melaksanakannya sebanyak
36 rakaat diiuti tiga rakaat witir. Semua ini memang telah berlaku. Oleh itu,
sesiapa sahaja yang beribadah pada malam Ramadan dengan apa sahaja jumlah
rakaat, dia diira telah berbuat kebaikan. Paling afdal, perbezaan jumlah rakaat
dikira berdasarkan kepada keadaan orang-orang yang mengerjakan solat itu. Jika
keadaan mereka memungkinkan dilaksanakan solat tarawih dengan lama, ketika itu
lebih afdal melaksanakan solat tarawih dengan 10 rakaat diikuti tiga rakaat
witir sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi s.a.w dan salafussoleh.
Tetapi, jika tidak mungkin melaksanakan sedemikian, solat tarawih yang dilakukan sebanyak 20 rakaat lebih afdal dan itulah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam kerana yang demikian itu adalah dipertengahan antara sepuluh rakaat dan empat puluh rakaat. Manakala jika solat tarawih dilaksanakan sebanyak 40 rakaat atau lebih, terdapat perbezaan ulama mengenainya sama ada dibolehkan atau dimakruhkan. Hal ini ditegaskan oleh beberapa orang imam muktabar seperti Imam Ahmad bin Hanbal. Sesiapa yang beranggapan bahawa solat qiyam Ramadan (solat tarawih) mempunyai ketetapan jumlah rakaatnya daripada Nabi s.a.w tanpa boleh ditambah atau dikurangi jumlahnya, sebenarnya dia telah membuat satu kesilapan.”
Diharapkan kenyataan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah r.h ini akan
meredakan polemik yang sering berlaku di Malaysia tentang jumlah rakaat solat
tarawih sama ada 8 rakaat atau 20 rakaat. Ternyata kedua-duanya adalah benar di
sisi syarak. Namun begitu hendaklah ianya dilaksanakan dengan thumakninah,
bacaan yang tartil dan tidak tergesa-gesa. Tindakan sesetengah masjid yang
ingin mengejar 20 rakaat namun solat tarawih tersebut dikerjakan secara
gopoh-gapah adalah tidak wajar. Ingatlah bahawa rasulullah s.a.w. pernah
menegur seorang sahabat yang melakukan solat secara gopoh-gapah dan beginda
menyuruhnya untuk mengulangi solat.
Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata: Bahawa Nabi s.a.w masuk
masjid dan masuk pula seorang lelaki lalu melakukan solat. Kemudian dia datang
dan memberi salam kepada Nabi s.a.w.. Nabi s.a.w. membalas salamnya lalu
bersabda: “Kembalilah dan solatlah, kerana sesungguhnya engkau belum bersolat.”
Maka dia pun solat sekali lagi. Kemudian dia datang lagi dan memberi salam
kepada Nabi s.a.w., maka baginda bersabda: “Kembalilah dan solatlah, kerana
sesungguhnya engkau belum bersolat (tiga kali).” Lelaki itu berkata: “Demi zat
yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak dapat melakukan yang lebih baik
dari itu, maka ajarkanlah aku.” Baginda s.a.w.bersabda: “Apabila engkau berdiri
untuk solat maka takbirlah, kemudian bacalah yang mudah bagimu dari al-Qur’an.
Kemudian rukuklah hingga engkau tenang (thumakninah) dalam rukuk, kemudian
bangkitlah (iktidal) hingga engkau tegak (lurus) berdiri.Kemudian sujudlah
hingga engkau tenang (thumakninah) dalam sujud, lalu bangkitlah hingga engkau
tenang (thumakninah) dalam duduk (duduk antara dua sujud). Kemudian sujudlah
hingga engkau tenang (thumakninah) dalam sujud. Lakukan demikian dalam semua
solatmu.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no. 793.
Hanya sahaja Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat tarawih dan solat
qiamullail sebanyak 11 atau 13 rakaat sebagaimana hadis-hadis dibawah.
Abu Salamah r.a pernah bertanya kepada Aisyah r.a tentang solat
malam Rasulullah s.a.w di bulan Ramadan. Aisyah menjawab: “Rasulullah s.a.w
tidak pernah menambah rakaat solatnya di bulan Ramadan dan atau bulan lain
melebihi sebelas rakaat. Baginda solat empat rakaat, jangan engkau tanya betapa
bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian, baginda solat empat rakaat,
jangan engkau tanya betapa bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian,
baginda solat tiga rakaat (witir).” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam
Sahihnya, no: 1147.
Hadis di atas ini menunjukkan bahawa solat tarawih ini juga boleh
dikerjakan empat rakaat-empat rakaat. Ianya boleh dikerjakan sebagaimana
tatacara solat fardhu yang empat rakaat iaitu dengan dua tahiyat dan boleh juga
dikerjakan sebanyak empat rakaat sekaligus dengan hanya satu tahiyat sahaja.
Sekiranya ingin dilaksanakan dengan hanya satu tahiyat maka setiap rakaat
hendaklah dibaca surah-surah atau ayat-ayat dari al-Qur’an.
Aisyah r.a berkata:
“Biasanya Nabi s.a.w solat di malam hari sebanyak 13 rakaat
termasuk witir dan dua rakaat solat sunat fajar (solat sunat sebelum fardu
Subuh).” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1140.
3. Solat tarawih boleh dilaksanakan secara berjemaah atau
bersendirian.
Pada zaman Rasulullah s.a.w., baginda pernah mengerjakan solat
tarawih ini secara berjemaah bersama para sahabat baginda pada beberapa malam.
Kemudian baginda meninggalkannya lalu solat tarawih tersebut didirikan secara
bersendirian kerana takut ianya akan diwajibkan. Hal ini adalah sebagaimana
yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah r.a: Bahawasanya Nabi s.a.w. bersolat di
masjid, maka bersolat pulalah bersama-samanya beberapa orang. Pada malam yang
kedua baginda bersolat lagi, maka banyaklah orang-orang yang mengikuti
solatnya. Kemudian orang ramai berkumpul di masjid pada malam yang ketiga atau
yang keempat, tetapi Nabi s.a.w. bersabda: Aku telah melihat apa yang kamu
lakukan semalam. Tidak ada yang menghalangi aku keluar kepada kamu kecuali
kerana aku takut ia diwajibkan ke atas kamu. Kejadian itu berlaku pada bulan
Ramadhan. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya no: 1129
Bersolat tarawih secara bersendirian ini kekal sehingga pada zaman
‘Umar lalu beliau mengumpulkan orang ramai untuk mengerjakan solat tarawih ini
secara berjemaah. Daripada ‘Abdul Rahman bin ‘Abdul Qari yang berkata: Pada
satu malam di bulan Ramadan aku keluar bersama ‘Umar al-Khaththab r.a ke
masjid. Di dapati orang ramai berselerakan. Ada yang solat bersendirian,
ada
pula yang bersolat dan sekumpulan (datang) mengikutinya. ‘Umar berkata: “Jika
aku himpunkan mereka pada seorang imam adalah lebih baik.” Kemudian beliau
melaksanakannya maka dihimpunkan mereka dengan (diimamkan oleh) Ubai bin Ka’ab.
Kemudian aku keluar pada malam lain, orang ramai bersolat dengan imam mereka
(yakni Ubai bin Ka’ab). Berkata ‘Umar: “Sebaik-baik bidaah adalah perkara ini,
sedangkan yang mereka tidur (solat pada akhir malam) lebih dari apa yang mereka
bangun (awal malam).” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya no:
2010
Hadis-hadis di atas membuktikan Rasulullah s.a.w pernah
melaksanakan solat tarawih secara berjemaah dan juga bersendirian. Oleh itu,
kedua-duanya cara solat sama ada secara berjemaah atau sendirian adalah sunnah
Rasulullah s.a.w. Namun demikian menerusi hadis di bawah, Rasulullah s.a.w
menegaskan kelebihan mengerjakan solat tarawih secara berjemaah sehingga
selesai umpama mendapat ganjaran solat sepanjang malam dan inilah yang
sewajarnya cuba kita usahakan untuk mendapatnya pada bulan Ramadan yang penuh
berkat ini. Abu Dzar al-Ghafiri r.a berkata: “Kami berpuasa bersama Rasulullah
s.a.w pada bulan Ramadan. Baginda tidak mengerjakan solat (tarawih) bersama
kami sehingga tinggal lagi tujuh malam terakhir (bulan Ramadan). Lalu (pada
malam itu) baginda mengerjakan solat (tarawih) bersama kami sehingga sepertiga
malam. Kemudian, baginda tidak keluar mengerjakan solat (tarawih) bersama kami
pada malam yang keenam (sebelum akhir Ramadan). Kemudian, baginda mengerjakan
solat (tarawih) bersama kami pada pada malam kelima (sebelum akhir Ramadan)
sehingga seperdua malam. Aku (Abu Dzar) berkata: Ya Rasulullah! Alangkah
baiknya jika kamu memberi keringanan kepada kami untuk mengerjakan solat pada
sisa-sisa malam ini. Rasulullah s.a.w menjawab: Sesungguhnya sesiapa yang
mengerjakan solat tarawih bersama imam sehingga selesai, Allah menulis
(ganjaran) baginya umpama mengerjakan solat sepanjang malam.” – Hadis riwayat
al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 1587.
4. Bacaan dalam solat tarawih
Rasulullah s.a.w. tidak menetapkan bacaan ayat-ayat atau
surah-surah yang tertentu pada rakaat-rakaat yang tertentu mahupun pada
malam-malam yang tertentu untuk solat tarawih ini. Dalam hal ini imam diberikan
kebebasan sepenuhnya untuk memilih surah-surah yang hendak dibaca sesuai dengan
kemampuannya dan keadaan jemaah yang mengikutinya. Sekiranya para jemaah mempu
serta berkeinginan kepada bacaan yang panjang maka hendaklah solat tarawih
tersebut dipanjangkan bacaannya sebagaimana yang telah dilakukan oleh generasi
al-Salafussoleh. Namun demikian sekiranya solat tarawih tersebut dididirikan
dengan bacaan yang panjang akan menyebabkan para jemaah lari dari solat jemaah
maka hendaklah imam tersebut meringankan bacaannya.
5. Berzikir di antara solat-solat tarawih
Mereka yang mengerjakan solat tarawih ini akan berehat untuk menghilangkan penat diselang-selang solat tersebut. Dari tatacara inilah solat qiyam ramadhan mendapat gelaran tarawih. Para ulamak sepakat tentang disyari’atkan untuk istirehat setelah selesai mengerjakan empat rakaat. Amalan inilah yang telah diwarisi daripada generasi al-Salafussoleh dan ianya berkemungkinan didasari daripada perkataan ‘Aisyah r.a ketika menggambarkan tatacara solat tarawih Rasulullah s.a.w.: “Baginda solat empat rakaat, jangan engkau tanya betapa bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian, baginda solat empat rakaat, jangan engkau tanya betapa bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian, baginda solat tiga rakaat (witir).” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1147.
Mereka yang mengerjakan solat tarawih ini akan berehat untuk menghilangkan penat diselang-selang solat tersebut. Dari tatacara inilah solat qiyam ramadhan mendapat gelaran tarawih. Para ulamak sepakat tentang disyari’atkan untuk istirehat setelah selesai mengerjakan empat rakaat. Amalan inilah yang telah diwarisi daripada generasi al-Salafussoleh dan ianya berkemungkinan didasari daripada perkataan ‘Aisyah r.a ketika menggambarkan tatacara solat tarawih Rasulullah s.a.w.: “Baginda solat empat rakaat, jangan engkau tanya betapa bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian, baginda solat empat rakaat, jangan engkau tanya betapa bagus dan panjangnya solat baginda. Kemudian, baginda solat tiga rakaat (witir).” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahihnya, no: 1147.
Tidak disyari’atkan ada bacaan zikir-zikir, selawat-selawat
mahupun doa-doa yang tertentu semasa waktu istirehat ini. Namun demikan
sewajarnya tempoh tersebut dipergunakan untuk membaca ayat-ayat suci al-Qur’an,
zikir-zikir, doa-doa dan selawat yang sabit daripada hadis-hadis Nabi secara
bebas tanpa penetapan bacaan atau kaifiat yang tertentu. Hanya sahaja yang
lebih menepati sunnah adalah zikir, doa atau selawat tersebut dilakukan secara
sendirian dan dengan suara yang perlahan. Tatacara berzikir sebeginilah yang
diperintahkan oleh Allah S.W.T. sebagaimana firman-Nya:
“Sebut serta ingatlah Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri
disertai perasaan takut (melanggar perintahnya) di samping tidak menguatkan
suara, iaitu di pada waktu pagi dan petang. Janganlah engkau termasuk
orang-orang yang lalai.” – Surah al-A’raaf:205.
Berdasarkan ayat di atas, dapatlah kita fahami bahawa Allah
sendiri telah memerintahkan kita sebagai hamba-Nya agar berzikir kepada-Nya
dengan suara yang perlahan atau untuk lebih spesifik hanya diri sendiri yang
mendengar zikir tersebut.
Selanjutnya Allah S.W.T. berfirman: “Apabila hamba-hamba-Ku
bertanya kepadamu mengenai Aku, (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku
(Allah) sentiasa hampir (dengan mereka). Aku perkenankan permohonan orang yang
berdoa apabila Dia berdoa kepada-Ku. Oleh itu, mereka hendaklah menyahut
seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan mereka hendaklah beriman kepada-KU
supaya mereka menjadi baik serta betul.” – Surah al-Baqarah: 186.
Mengenai sebab penurunan ayat ini, al-Qurtubi telah menyatakan di
dalam kitabnya Tafsir al-Qurthubi, jilid 1, muka surat 219:
Daripada al-Sholah bin Hakim bin Mu’awiyah bin Haidah al-Qusyairi,
daripada ayahnya, daripada datuknya, bahawa ada seorang Arab Badwi berkata
kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah! Apakah Rabb kami berada dekat dengan kami
sehingga memadai hanya kami bermunajat (berbisik) kepada-Nya atau Dia berada
jauh sehingga kami perlu menyeru-Nya (dengan suara kuat)? Baginda hanya berdiam
diri. Tidak berapa lama kemudian, Allah turunkan ayat di atas ‘wa idza sa’alaka
‘ibadi ‘anni fainni qorib’. Setelah itu, dinyatakan pula satu riwayat daripada
Ahmad daripada Abu Musa al-Asya’ari r.a, dia telah berkata: Kami pernah bersama
Nabi s.a.w dalam satu peperangan. Setiap kali kami melalui jalan mendaki atau
menurun di suatu lembah, kami akan mengeraskan suara melaungkan takbir. Lalu
baginda mendekati kami seraya bersabda: “Wahai sekalian manusia! Kasihanilah
diri kamu semua kerana kamu tidak berdoa kepada sesuatu yang tuli dan bukan
kepada sesuatu yang berada jauh. Sesungguhnya yang kamu seru itu lebih dekat
berbanding seseorang antara kamu daripada tengkuk unta yang dinaikinya. Wahai
Abdullah bin Qais, bagaimana jika aku ajarkan kepadamu satu kalimah daripada
khazanah syurga, iaitu la haula wa la quwwata illa billah.”
Demikianlah beberapa tatacara solat tarawih yangdiambil dari
hadis-hadis Rasulullah. Semoga ianya dapat dijadikan pedoman bagi kita semua
untuk melaksanakan solat tarawih ini sebagaimana yang telah diajarkan oleh
baginda. Sesungguhnya mencontohi solat Rasulullah s.a.w. telah diwajibkan oleh
baginda sendiri sebagaimana sabdanya: Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu
melihat aku bersolat. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, no. 631.
Apatah lagi mencontohi Rasulullah s.a.w. adalah bukti yang jelas
yang menunjukkan kecintaan kita kepada Allah S.W.T. sebagaimana firman-Nya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah
daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan
(ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. – ali ‘Imraan (3) : 31
Semoga dengan kesungguhan kita dalam mencontohi Rasulullah s.a.w
kita akan termasuk dalam golongan yang mendapat rahmat Allah dan segala dosa
kita diampunkan oleh-Nya.
Artikel
ini disedikan: Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
0 comments:
Post a Comment