Thursday, July 10, 2014

MASUK SYURGA KERANA RAHMAT ALLAH DAN AMAL SOLEH YANG DIKERJAKAN




Masuk Syurga Kerana Rahmat Allah dan Amal Saleh Yang Dikerjakan

Apabila kita menjadikan syurga Allah sebagai tumpuan, nescaya kesempitan ataupun kelapangan dunia ini tiada bezanya. Orang yang mengejar syurga merasakan ringan segala bentuk bencana yang menimpanya, begitu juga jika nikmat datang mencurah-curah tiadalah terasa hatinya terlalu gembira. Semuanya serba terkawal dalam suasana hati yang tenang dan reda. Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Supaya kamu tiada berdukacita terhadap apa yang luput darimu dan supaya kamu tidak terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu.” Surah al-Hadid: Ayat 23.

Akan tetapi jika tumpuan hanya diarahkan kepada dunia semata-mata, sungguh kita akan berasa letih dan penat mengejarnya. Segala usaha terasa tak berbaloi dengan hasil yang serba kurang dan tidak memuaskan hati. Setiap kali memperoleh kejayaan pada satu sisi, maka di sisi yang lain nampak sungguh kekurangannya. Ada orang yang mengejar karier dan mampu berada di tangga teratas dalam kerjayanya, namun keluarga terpaksa dikorbankan. Begitulah dunia yang serba terbatas.
Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Sesungguhnya perumpamaan kehidupan di dunia ini seperti air yang turun dari langit, maka tumbuh daripadanya tanaman yang dimakan manusia dan haiwan ternakan. Dan ketika bumi telah berhias indah sehingga penduduknya merasa telah berkuasa sepenuhnya, tiba-tiba datanglah bencana yang kami turunkan pada waktu malam dan siang hari.” Surah Yunus: Ayat 24.

Tiada yang kekal dalam kenikmatan selagimana kita masih hidup di atas dunia. Tetapi tidak mustahil memperoleh kebahagiaan di dunia yang berlanjutan hingga ke akhirat. Jika kebahagiaan dunia yang kita cari, jadikanlah gambaran syurga sentiasa tersemat di dalam hati. Rasulullah SAW sering menceritakan nikmat syurga kepada para sahabat baginda supaya mereka lebih bersungguh-sungguh beramal saleh. Mana mungkin ada insan yang beramal semata-mata kerana cinta pada Allah tanpa mengharapkan syurga-Nya. Hal ini adalah penyelewengan pemahaman yang tidak pernah diajarkan oleh Rasulullah SAW. 

Tugas seorang hamba adalah beribadat kepada Allah SWT untuk mendapatkan keredaan dan ganjaran daripada-Nya. Persoalannya, dengan apakah syurga dapat dimiliki? 

1. Rahmat Allah SWT.
Hanya dengan rahmat Allah SWT manusia selamat dunia dan akhirat. Bagaimana mungkin amalannya boleh menjamin dirinya layak untuk memiliki syurga Allah SWT? Sepertimana sabda baginda SAW yang bermaksud: “Seseorang dari kalian tidak akan masuk syurga kerana amalnya, dia akan memasukinya kerana rahmat Allah.” Para sahabat bertanya: Dan termasuk Engkau juga wahai Rasulullah? Baginda bersabda: ”Ya, termasuk aku kecuali Allah telah menyelimutiku dengan rahmat-Nya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Mengapa berasa hebat dengan amal yang banyak sedangkan kita tidak tahu adakah amal itu diterima atau ditolak? Penyakit orang yang beramal biasanya ujub dan riyak. Melihat orang lain sedikit amalan daripada dirinya lalu timbul kesombongan dalam hati dan suka merendah-rendahkan mereka. Hanya amal yang ikhlas dan mengikut Sunnah sahaja yang diterima Allah sebagai amal saleh. Betapa ruginya manusia yang beramal tetapi mendapati amalannya itu seperti debu ditiup angin. Allah berfirman yang maksudnya: ”Katakanlah (Wahai Muhammad) Apakah akan kami terangkan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi amalannya? Iaitu orang-orang yang telah menyia-nyiakan amalannya dalam kehidupan ini sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.” Surah al-Kahfi: Ayat 103-104.

2. Amal saleh menentukan tingkatan syurga yang layak diduduki.
Al-Imam Ibnu al-Qayyim mengemukakan pandangan tentang firman Allah SWT yang bermaksud: ”Dan itulah syurga yang diwariskan kepada kalian disebabkan amal-amal yang dahulu kalian kerjakan.” Surah al-Zukhruf: Ayat 72. Jika ayat ini digandingkan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: ”Tidak masuk syurga salah seorang dari kamu dengan amalnya melainkan dengan rahmat Allah.” Kedua-duanya kelihatan seolah-olah bercanggah satu dengan yang lain, namun al-Imam Ibnu al-Qayyim menegaskan maksud keduanya adalah benar. Allah SWT memasukkan mereka ke syurga kerana rahmat-Nya tetapi bukan bermakna amal saleh yang telah dilakukan itu tiada berguna sama sekali, bahkan penghisaban akan dilakukan untuk menentukan di manakah tempat yang layak diduduki, kerana syurga ada lapan pintu dan tingkat yang masing-masing mempunyai kelebihan. Orang yang terbaik dan terbanyak amalannya tentulah menjadi jiran kepada para Nabi dan syuhada’ di dalam Jannatul Firdaus, sedangkan yang lebih rendah dari mereka akan menduduki tingkatan syurga di bawahnya.

Hujah ini menolak anggapan orang yang hanya memegang prinsip percaya kepada Allah SWT tetapi meninggalkan apa yang difardukan dalam beribadat. Bagi mereka, sembahyang boleh ditinggalkan, tidak mengapa asalkan hati beriman kepada Allah Yang Maha Penyayang. Sesungguhnya iman mereka telah tertolak, bagaimana mungkin Allah SWT merahmati mereka jika diri mereka suka bermaksiat dengan meninggalkan perintah Allah SWT dan ternyata iman mereka itu hanyalah omong kosong dan permainan belaka. Mereka mahu menipu Allah SWT sedangkan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Sebagai hamba-Nya yang saleh kita beribadat dengan satu matlamat mendapatkan rahmat-Nya demi syurga yang dijanjikan
 
Petikan artikel : Dr Junda Jaya,

0 comments:

Powered by Blogger.