Saturday, August 30, 2014

TANDA PASANGAN IKHLAS BERCINTA:



Tanda pasangan ikhlas bercinta:

Suatu hari anda ditanya oleh pasangan, “Awak sayang saya ?” Hati si dia memang unik dan sulit dimengerti. Takkanlah saya tak sayang awak, anak-anak yang tujuh orang tu tak boleh jadi bukti ke? Sebenarnya apa yang anda telah capai bersama pasangan sekarang ini masih jauh dari matlamat perkahwinan. Jangan berpuas hati dulu dengan kebahagiaan kini, bahkan anda mesti sentiasa berwaspada, boleh jadi anda berdua kurang ikhlas mencinta.

Keikhlasan boleh luntur sedikit demi sedikit kerana sikap negatif masing-masing. Hari-hari dalam perkahwinan bagaikan melihat jatuhnya ‘snow ball’ yang mengutip satu-satu insiden buruk yang dilakukan kedua-dua pasangan. Bola salji itu semakin hari semakin besar dan akhirnya menghancurkan segala yang dibina. Tiada lagi keikhlasan mencintai satu sama lain, masing-masing telah berputus asa dan membiarkan sikap-sikap buruk pasangan menghantui diri.

Akibat hilang keikhlasan, hidup jadi tak berkat. Kasih sayang semakin luntur, hati anda menjerit: Suamiku tak sayang lagi atau isteriku tak cinta lagi. Pelik tapi benar, ada isteri yang menyuruh suami mencari yang baru semata-mata kerana malas melayan kerenah suami. Ada pula suami yang bosan hidup bersama lantas memisahkan diri dari keluarga, menyibukkan diri dengan kerjaya, tak mahu terlibat dengan urusan isteri dan anak yang selalu menyusahkan kononnya. Perkahwinan itu memang masih wujud tapi tidak bahagia, hilang kemanisannya, menanti pecah dan terbelah.

Oleh itu setiap pasangan mesti meneliti hati masing-masing, adakah masih wujud keikhlasan dalam mencintai? Berikut tanda-tanda ikhlas dalam perkahwinan.

1. Cinta dan benci kerana Allah SWT

Keikhlasan mesti dijaga, disemai dalam hati dan jangan dibiarkan mati. Suami dan isteri yang ikhlas berusaha mencintai kerana Allah dan membenci kerana Allah. Mereka mengambil berat tentang ‘konsep kahwin untuk ibadah’. Misalnya ketika melayan kerenah suami bukan kerana anda sayangkannya atau takut dia mencari yang lain, tetapi dengan niat kerana mahukan keredaan Allah. 

Suami yang memberi nafkah pun beriktikad bahawa Allah yang mewajbkannya memberi hak isteri, apabila dia menyimpan apa yang menjadi hak isteri maka dia telah berkhianat kepada Allah SWT. 

Dosa dan pahala hendaknya menjadi wali percintaan sepanjang masa. Mereka takut mengkhianati pasangan kerana takut kepada Allah SWT. Mereka saling menghormati dan menjaga hati kerana Allah, oleh sebab itu Allah menyatukan hati keduanya.

Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati mereka. Akan tetapi Allah telah menyatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Anfal ayat: 63)

2. Susah atau senang, cinta tak berubah.

Susah atau senang, sihat atau sakit, derita atau bahagia dijalani bersama dengan reda. Kadang-kadang apa yang kita anggap suatu keberuntungan boleh jadi membawa musibah begitu juga sesuatu yang pada pandangan mata kasar adalah musibah namun ia membawa nikmat pada akhirnya. Semasa susah, suami dan isteri berganding bahu menggalas cabaran untuk berjaya. Apabila sudah berjaya, masing-masing berubah sikap. Suami mula mencari cawangan baru, isteri pula mengada-ngada dengan perangai OKB (orang kaya baru).

Kalau diuji dengan kemiskinan mereka bersabar tetapi jika diuji dengan kekayaan jarang yang mampu bersabar. Ramai yang luntur iman jika hidup senang dan kembali ingat Tuhan apabila hidup susah. Al-Quran telah merakamkan seksaan bagi kaum yang bermaksiat ketika hidup dipenuhi kesenangan. 

“Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan serta merta. Maka ketika itu mereka terdiam berputus asa.” (Surah Al-An’am ayat: 44)

Susah atau senang hati mereka tidak pernah berubah, membajai cinta dengan iman dan takwa kepada Allah SWT.

3. Berdua atau sendiri, tetap setia.

Pernahkah anda melihat seorang suami yang dihadapan isteri nampak alim, berbudi bahasa lagi bersopan. Tetapi apabila dia bersendirian barulah nampak belangnya, buas nafsunya bak buaya darat. Isteri pun apa bezanya, jika bersama suami suka memuji tetapi di belakang suami selalu mengeji, mengaibkan perangai suami dalam majlis gossip sana-sini. 

Namun, bagi pasangan yang ikhlas tiada sifat munafik dalam diri mereka. Jika bersama semaraklah cinta, sendirian pun menggebu-gebu rindu di jiwa. Semakin lama terpisah semakin membeku kejujuran dalam hati mereka. Jujur dan setia kepada pasangan hanya dapat dibuktikan oleh orang yang merasai kehadiran Allah SWT. Dimana saja dia berada sesungguhnya Allah Maha Melihat, malaikat mencatat dan kitab sentiasa mengira hitungan pahala dan dosa. 

Berdua atau sendiri tidak selamat tanpa hati yang merasai pengawasan Allah. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya bumi menjadi saksi terhadap semua perbuatan manusia, baik lelaki mahu pun perempuan yang mereka lakukan di atasnya. Bumi mengatakan: Dia telah berbuat begini dan begitu pada hari ini dan hari itu. Inilah yang diberitakan bumi.” (Hadis riwayat Imam Al-Tirmizi)

Semua di sekeliling kita menjadi saksi apa yang dikata oleh lisan, dirasa oleh hati, difikir oleh akal dan dihembus-hembuskan oleh hawa nafsu

 Pengalaman Realiti Khidupan:
Saya sememengnya bersetuju dengan pendapat yang di utarakan oleh YBhg Dr. Juanda. Apa yang diamalkan dalam kehidupan kami suami isteri adalah didasarkan kepada ketaatan perintah Perintah Allah. Melakukan sesuatu untuk mendapat keredaan Allah dan menghindarkan diri dari melakukan sesuatu kemungkaran kerana takut kepada Allah. 

Jika sebegini prinsip suami isteri dalam melayari bahtera rumah tangga dan mengotakan segala cinta yang dilafaz dan dijanjikan semasa mula di ijabkabulkan dahulu, sudah pasti akan berkekalan, kerana masing-masing akan menjaga diri untuk sentiasa mentaati perentah Allah. Bila ini terjadi cinta suami isteri akan tetapi setia dan jitu sepanjang masa tanpa kira suasah dan senang. 

Saya dan isteri sendiri telah alami perkara ini, kerana pada awal perkahwinan kami saya yang sakit lutut, isteri yang sentiasa membantu dan menjaga saya. Setelah lebih 20 tahun kahwin isteri pula yang sakit (lumpuh sebela tubuh) saya dapat menerimanya kerana ia di anggap adalah ketentuan Allah. Sehingga kini saya menjaga isteri sakit hampir 15 tahun. ( membantu isteri dalam serba serbi kehidupan seharian) tetapi semarak cinta kami tetap kekal dan bahagia sepanjang masa. Malah kami rasakan sebagai pasangan yang baru kahwin, sentiasa mesra dan penuh dengan kasih sayang.

Keslimpulan dari isu-isu yang dikemukan oleh Dr. mempunyai kebenaran jika cinta suami isteri didasarkan kepada iman dan taqwa. Bila ada perasaan takut dan taat kepada perintah Allah, masing-masing suami dan isteri akan pastikan mereka sentiasa menjaga diri masing-masing dari terlibat daripada perbuatan yang di murkai Allah.

Sumber : Dr Juanda Jaya ( Mufti Perlis )


0 comments:

Powered by Blogger.