Kesan Stress Kepada Kehidupan Manusia.
Stress atau tekanan perasaan telah mendefinisikannya
sebagai “suatu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh
sesuatu bebanan yang menimpanya.”( Dr. Hans Selye, ) (Dr. David B. Posen
(Lifestyle Counselor and Psychotherapist) ; Stress) ‘Bebanan’ ini boleh
wujud di dalam bentuk ancaman, cabaran ataupun apa-apa perubahan di dalam hidup
seseorang yang memerlukan pengubahsuaian yang selari dengannya. Ada tekanan
perasaan yang baik lagi positif dan ianya dinamakan sebagai “eustress” dan ada
pula yang buruk lagi negatif dan ia dinamakan sebagai “distress.”
Tekanan yang positif amat kita perlukan
di dalam hidup kita untuk menjadikan kita lebih berhati-hati, terangsang,
kreatif dan lebih memberikan tumpuan dan perhatian kepada apa yang sedang kita
lakukan. Sebenarnya banyak penemuan dan ciptaan oleh saintis-saintis telah
berlaku di saat mereka tertekan dengan masalah-masalah tertentu. Contohnya,
ketika Alexander Graham Bell sedang berusaha untuk membantu tunangnya, Mable
Hubbard, yang telah hilang pendengarannya, beliau telah berjaya mencipta telefon
yang telah meledakkan sistem telekomunikasi pada hari ini. (Stephen C. Phillips, The Ten Laws Of Success)
Apakah Yang Berlaku
Ketika Stress?
Ketika stress, badan kita akan mengeluarkan satu hormon
rangsangan yang bernama ‘adrenaline’ kedalam saluran darah kita. Hormon ini
bersama-sama dengan beberapa hormon yang lain akan menyebabkan beberapa
perubahan berlaku di dalam tubuh kita sebagai persiapan untuk melindungi kita.
Di antara perubahan-perubahan itu ialah denyutan jantung bertambah laju dan
tekanan darah akan meningkat (untuk mengepam lebihan darah kepada otak, otot
dan jantung); gula, lemak dan kolesterol di dalam darah akan bertambah (untuk
memberi lebihan tenaga kepada badan); pernafasan seseorang akan lebih laju
(untuk menyalurkan lebihan oksigen yang diperlukan) dan begitulah seterusnya.
Perubahan-perubahan ini berlaku secara tabii selari dengan keperluan tubuh kita
ketika itu. Walaubagaimanapun, jika stress atau tekanan berpanjangan di dalam
hidup kita dan kita pula tidak bijak untuk mengurusnya, ia akan bertukar
menjadi ‘distress’ yang boleh menyebabkan penyakit-penyakit tertentu menimpa
kita.
Tanda-Tanda / Gejala
Umum Stress ?
Manifestasinya adalah berbagai-bagai dan ia boleh
dikategorikan kepada empat bahagian :
Fizikal : Keletihan,
pening kepala, susah tidur, sakit-sakit badan terutamanya di kawasan bahu dan
belakang, degupan jantung yang kuat, sakit dada, meloya, ketar badan, sejuk
tangan dan berpeluh.
Mental : Hilang tumpuan, mudah lupa,
susah untuk membuat keputusan, tidak boleh berfikir, celaru pemikiran dan tidak
boleh berjenaka.
Emosi : Risau, sentiasa bimbang, sugul,
marah, mudah kecewa, sentiasa takut, sensitif, mudah hilang sabar dan panas
baran.
Perangai : Keluh-kesah,
lahir tabiat seperti menggigit kuku dan menggedik-gedikkan kaki, makan yang
berlebihan, merokok, minum arak, menjerit-jerit, maki hamun, mengungkit-ungkit
dan menyalahkan orang lain serta bertindak agresif.
Masalah Kesihatan Dan Penyakit-penyakit Yang Berpunca
Dari Stress
Sakit jantung dan angin ahmar (stroke).
Stress akan menambahkan asid lemak (fatty acids) di dalam
darah dan bahan-bahan ini akhirnya akan bertukar menjadi lemak asli dan
kolesterol yang akan menutupi saluran pembuluh darah. Stress juga akan
meninggikan tekanan darah di samping memudahkan proses pembekuan darah. Semua
ini merupakan perubahan-perubahan yang boleh menyebabkan serangan sakit jantung
dan angin ahmar berlaku. (Health Education Associates, 1996; Stress and Heart
Disease)
Insomnia atau
susah tidur.
Stress boleh menyebabkan masalah susah tidur dan susah tidur
boleh menyebabkan stress, satu pusingan yang amat membinasakan. Di Amerika
saja, jumlah mereka yang diserangi masalah ini menghampiri jumlah 36 hingga
ke-62 juta orang. (Jeff Davidson, 1977; The Complete Idiot’s Guide To Managing
Stress)
Kencing manis.
Kesugulan dan tekanan hasil dari stress akan menambahkan
kadar gula di dalam darah dan ini boleh membawa kepada penyakit kencing manis
atau menerukkan keadaan pesakit yang telahpun mengidapnya. (Carol E. Watkins;
Northern County Psychiatric Associates; 1998)
Gastrik dan ulser.
Penyakit-penyakit pada sistem penghadaman seperti gastrik
dan ulser juga mudah berlaku keatas seorang yang mengidap stress disebabkan
oleh peningkatan pengeluaran asid ketika diserangi stress, terutamanya,
jika ia menyebabkan kemurungan dan kemarahan yang bersangatan. (Ballieux, R.E.,
1984; Breakdown in human adaptation to stress)
Infeksi atau jangkitan kuman.
Tekanan atau stress juga akan menyebabkan pengeluaran
bahan-bahan ‘catecholamines’ seperti ‘epinephrine’ dan ‘norepinephrine’ ke
dalam darah. Bahan-bahan ini berperanan melemahkan sistem pertahanan badan dan
ini sekaligus akan memudahkan kuman-kuman untuk menyerang dan menyebabkan
penyakit-penyakit. (Stress and the Immune System by Hannah Koenker, 1994)
Kajian juga telah menunjukkan bahawa keadaan stress akan meningkatkan peratus
kemungkinan seseorang itu dijangkiti kuman di sekitar 74 ke-90% dan dijangkiti
virus selsema di sekitar 27 ke-47%. Stress juga akan memudahkan virus yang
tidak aktif menjadi aktif semula. (Brosschot, J.F., Benschop, R.J., Godaert,
G.L.R., Olff, M., De Smet, M., Heijnen, C.J., Ballieux, R.E., 1994; Influence
of life stress on immunological reactivity to mild psychological stress:
Psychosomatic Medicine)
Asthma.
Ketika menghadapi stress, pesakit yang mengidap lelah akan
mudah diserangi oleh penyakit ini disebabkan oleh sistem pertahanan badan yang
menurun ketika itu, yang akan memudahkan reaksi-reaksi tertentu berlaku di
dalam darah yang akhirnya menyebabkan lelah. (Elliott G.R., Eisdorfer C., 1982;
Stress and Human Health)
Di samping itu, kajian telah menunjukkan bahawa stress juga
adalah penyebab kepada beberapa penyakit yang lain seperti darah tinggi, sakit
sendi (rheumatoid athritis), cirit-birit dan sakit usus (irritable bowel
syndrome and ulcerative colitis), mandul dan alahan kulit. (Dr. Maria A. Smith,
UTC School of Nursing; Advanced Pathophysiology: Stress & Disease, Chapter
9)
Allah berfirman: yang
bermaksud :
"Dan
sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan,
kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita
gembira kepada orang-orang yang sabar. (Yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa
musibah, mereka mengucapkan: 'Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan
kepada-Nya-lah kami kembali.' Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang
sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang
mendapat petunjuk." (Al-Baqarah 2:155-157)
Sumber: Dr. Danial
0 comments:
Post a Comment