Sunday, November 30, 2014

KEPENTINGAN KHUTBAH NIKAH SEBAGAI PANDUAN UNTUK LAYARI BAHTERA PERKAHWINAN:



Khutbah Nikah Jadi Panduan Layari  Bahtera Perkahwinan.

 “Ramai pasangan utamakan majlis mewah, kurang prihatin matlamat kahwin ikut syariat”

APABILA tiba musim cuti sekolah ramai yang mengambil kesempatan mengadakan majlis kenduri perkahwinan kerana pada musim cuti sebegini saudara mara dan sahabat handai mempunyai kelapangan memeriahkan hari bersejarah itu.

Ramai juga pasangan muda-mudi berdebar menghadapi saat penting upacara akad nikah. Debaran itu kadangkala menyebabkan mereka tidak boleh menjawab soalan naib kadi. Pertanyaan popular seperti rukun nikah pun sering hilang daripada ingatan. Pada majlis perkahwinan perlu kita membezakan adat dan ibadat. Dari kaca mata Islam, akad nikah lebih penting daripada kenduri kerana saat menjadi suami isteri ialah tatkala lafaz ijab dan kabul sempurna.

Ketika itu bermula layar bahtera perkahwinan suami isteri dan keluarga perlu diacu mengikut hukum syarak. Berapa ramai pengantin baru dan ahli keluarga yang menghantar pengantin memberi tumpuan kepada khutbah nikah yang disampaikan jurunikah? 

Sebenarnya inti pati khutbah nikah amat bermakna dijadikan teladan dan sempadan dalam perkahwinan. Walaupun majlis perkahwinan dituntut dalam Islam, apalah gunanya jika wang dihabiskan untuk majlis mewah tetapi apabila hendak memulakan kehidupan seharian, raja sehari terpaksa meminjam dan meminta daripada orang lain. Ini membawa implikasi besar kerana menyara keluarga adalah tanggungjawab suami sepenuhnya. Tiada guna bermegah dengan majlis mewah tetapi perkahwinan tidak dapat bertahan kerana masalah kewangan.

Pengantin juga dinasihatkan mendalami ilmu agama, tanggungjawab dan peranan masing-masing. Kerukunan rumah tangga hendaklah sentiasa disemai dan dibajai supaya mekar dan mencapai matlamat perkahwinan iaitu mawaddah wa rahmah (berkasih sayang).

Memang tidak dinafikan sesebuah rumah tangga mesti diuji, anggaplah ujian sebagai pemangkin menambah kasih sayang antara suami isteri. Oleh itu, ketepikan ego dan dendam bagi memastikan layar bahtera rumah tangga dapat dilayari dengan baik dan terus berkekalan hingga ke Jannah. 

Dengan cara itu, segala masalah rumah tangga dapat diselesaikan dengan baik. Saling maaf-memaafkan penting bagi memastikan kasih sayang sentiasa dipupuk. Penting juga diingatkan kepada pengantin baru bahawa perceraian bukan suatu permainan, Kerana ianya merupakan satu perbuatan yang diharuskan tetapi dibenci oleh Islam.

Seperti pernikahan, perceraian membawa implikasi besar kepada pasangan dan keluarga. Perceraian adalah perkara halal yang amat dibenci Allah. Lafaz talak jangan sekali-kali dibuat mainan kerana walaupun tanpa niat ia mungkin membawa kesan gugurnya talak.

Apatah lagi jika dilafazkan berkali-kali yang mungkin membawa kepada perceraian tidak boleh dirujuk. Apabila perkara itu berlaku, penyesalan tidak bermakna lagi.

Perkara yang sering dilupakan pasangan pengantin ialah belajar ilmu agama walaupun sepatutnya bergelar suami atau isteri persoalan itu tidak perlu diungkit lagi. Namun, sebagai peringatan kita yang sering lupa, suami wajib mengajar sekurang-kurangnya ilmu fardu ain kepada isterinya.

Jika suami tidak mampu mengajar isterinya, hendaklah mencari pengajar. Juga amat baik jika suami meluangkan masa mendalami ilmu agama kerana jika ada masalah dalam keluarga, suami isteri boleh merujuk hakum hakam agama bagi mencari penyelesaian. Risiko perceraian akan dapat dikurangkan. Bagi orang Islam di Malaysia, ada undang-undang khusus berhubung perkahwinan dan perceraian. Undang-undang itu digubal bagi memelihara hak seperti mana dianjurkan Islam. Undang-undang itu dinamakan Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.

Akta itu digubal dan diluluskan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri seluruh negara. Penting bagi suami isteri mengetahui hak dan tanggungjawab mereka mengikut undang-undang.

Undang-undang itu mengawal peraturan dan tatacara sebelum perkahwinan, ketika dalam perkahwinan dan selepas perkahwinan dibubarkan. Ketahuilah hak masing-masing supaya apabila berlaku masalah, mudah mencari jalan penyelesaian atau sekurang-kurangnya bersedia menghadapinya.

Sudah tentu kursus perkahwinan beberapa hari terlalu singkat untuk mendedahkan perkara sebenar kepada pengantin. Kursus itu hanya memberi lontaran idea dan gambaran kasar alam perkahwinan secara teori. Ia tidak mencukupi bagi mengeratkan simpulan ikatan pernikahan antara kedua pasangan.

Sentiasalah berbincang dalam semua perkara walaupun dalam isu dianggap remeh. Hormati pasangan. Semakin hari tanggungjawab semakin berat dan jika kita tidak mendekatkan diri kepada Allah, pasti Allah tidak membantu kita meringankan beban berkenaan.

Jangan akhiri pernikahan yang suci di Mahkamah Syariah atau tempat tidak sepatutnya. Pernikahan yang disulami adat dan ibadat jangan dinodai dengan perceraian. Jika tidak dapat dielakkan, lakukanlah ia dengan penuh hormat dan rasa tanggungjawab.

Artikeli ini juga diharapkan dapat memberi sedikit pedoman buat kita yang sudah bergelar ibubapa untuk tidak meletakkan anak-anak kita yang bakal dan sudah berkahwin dalam keadaan serba salah. Biarlah mereka melayari bahtera perkahwinan mereka tanpa perlu dicampuri urusan mereka. Perlu diingat, antara yang (mungkin bagi sesetengah majlis) telah terlafaz adalah seperti berikut:

“Adalah saya ………………………………wali kepada …………………………dari saat ini menyerahkan tanggungjawab nafkah, pemeliharaan, keselamatan, kasih sayang dan tanggungjawab agama Islam kepada kamu ………………………… sebagai suami yang sah.

Semoga diberkati oleh Allah s.w.t ke atas kamu dan orang yang di bawah tanggungan kamu, serta zuriat keturunan kamu. Amin.’

Diikuti dengan Lafaz Penerimaan Tanggungjawab seperti berikut :

“Dengan ini saya …………………………suami yang sah kepada ……………………… bersyukur kepada Allah s.w.t. di atas anugerah nikmat iman, Islam, kesihatan dan isteri serta berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan majils akad nikah ini.

OIeh itu mulai saat ini, saya menerima tanggungjawab sebagal suami kepada isleri saya ……………………………… dan akan berusaha dengan sebaik-baiknya untuk menjalankan tugas sebagai suami seperti berikut :

·         Memberi nafkah zahir dan batin
·         Pemeliharaan dan perlindungan yang sempurna
·         Keselamatan yang terjamin
·         Memberi bimbingan dan panduan ke jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t.

Saya mengharapkan doa restu dari semua pihak terutama kedua ibubapa dan kedua ibubapa mertua saya. Sekian, terima kasih.”

Melainkan pasangan tersebut melanggari hukum dan batas akidah, syariah mahupun insiden-insiden yang bakal meruntuhkan rumahtangga mereka dek pengurusan hal-hal dalaman keluarga kecil mereka, biarlah mereka menguruskan rumahtangga mereka. Biarlah mereka menguruskan anak mereka / cucu anda.

Ketahuilah, antara faktor yang menyebabkan pasangan bercerai yang bukan disebabkan orang luar dan pasangan itu sendiri adalah ibubapa dan mertua yang terlalu mencampuri urusan rumahtangga anak menantu.

Adakah anda sanggup menjadi punca penceraian tersebut semata anak anda perlu memenuhi kehendak anda seorang? Adakah anda sanggup menjadi punca suami gagal menjalankan tanggungjawab terhadap isteri dan anaknya? Adakah anda sanggup menjadi punca isteri gagal menjalankan tanggungjawab kepada suami dan anaknya?

Baca, renungkan dan fikirkan…

Wallahualam…

Sumber: OnDaStreet.

0 comments:

Powered by Blogger.