BERKAHWIN KERANA ALLAH @ NAFSU ?
Isu cinta,
kasih sayang dan perkahwinan adalah isu sejagat yang tetap segar
sepanjang zaman.
Persoalan cinta, kasih sayang dan
perkahwinan tanpa ‘dicemari’ nafsu adalah konsep ideal, indah serta
menjanjikan kebahagiaan sejati yang ingin sekali dinikmati serta diaplikasikan
dalam kehidupan seharian. Kekeliruan melanda fikiran ketika kita mahu
mempraktik atau merealisasikannya dalam kehidupan seharian. Akal sering
tersilap menilai dan mata lahir pula sering tertipu. Garis pemisah antara niat
‘kerana Allah’ dan ‘kerana nafsu’ dalam proses membuat keputusan untuk
bernikah, sama ada ‘cinta sebelum nikah’ atau ‘cinta selepas nikah’ begitu
kabur kerana ia adalah ‘soal hati’ yang sukar dijangkau akal biasa dan mata
lahir.
Rumah tangga idaman,
Istilah ‘rumahtangga’ menggambarkan
rumah berserta keluarga yang menghuninya. Rumah sahaja adalah bangunan fizikal
yang tidak banyak maknanya tanpa manusia yang menghuninya. Keluarga tanpa rumah
tempat berlindung, walaupun rumah itu kecil atau dhaif, pasti tidak
lengkap dan sempurna. Rumah adalah keperluan untuk perlindungan dari hujan dan
panas, tempat istirehat fizikal, fikiran dan juga perasaan.
Dalam rumah terdapat beberapa… bilik
tidur, dapur, serambi, ruang tetamu, bilik bacaan, bilik air dan beberapa
bahagian tambahan yang lain. Sedar atau tidak, bilik air adalah keperluan yang
sangat kritikal dalam sebuah rumah. Bilik air mungkin tidak ‘popular’ dan bukan
pilihan utama untuk dijadikan tempat berlama-lamaan, namun kehidupan manusia
menjadi resah dan tidak selesa tanpa ‘mengunjunginya’. Kelegaan yang dirasa
selepas qadha hajat di bilik air memberi kesan kepada semua aktiviti yang
digemari dalam rumah tersebut.
Antara membina rumah
dan membina bina bilik air
Saya suka mengambil sebuah rumah
fizikal sebagai metafora untuk menggambarkan rumahtangga yang didirikan atas
niat ‘kerana Allah’ atau ‘kerana nafsu’. Ketika membina rumah, hasrat utama
adalah untuk ada tempat berlindung dari hujan dan panas, supaya keluarga dapat
hidup dengan selesa.
Keseluruhan bahagian rumah tersebut umpama rumahtangga
yang dibina. Tanpa bilik air pasti tidak lengkap. Namun tentu suatu yang tidak
kena jika rumah dibina dengan hasrat utamanya untuk membuat bilik air
semata-mata dan bahagian rumah yang lain sebagai sampingan. Metafora inilah
yang cuba saya gunakan untuk membezakan niat antara kahwin ‘kerana Allah’
dengan ‘kerana nafsu’.
Jika bilik air sebagai niat utama,
ini ibarat kahwin ‘kerana nafsu’. Jika demikian maka pembinaan ‘rumah’ itu
adalah semata-mata untuk buang air. Sebaliknya, jika niat utama adalah membina
sebuah rumah yang lengkap dengan semua bahagian termasuk bilik air, ini ibarat
niat kahwin ‘kerana Allah’. Dalam keadaan niat seperti ini, buang air adalah
pelengkap kepada keseluruhan fungsi utama rumah sebagai tempat perlindungan.
Niat ini lebih menyeluruh dan mengambil kira banyak faktor.
Tambahan lagi, manusia tidak membina
rumah bermula dengan membina bilik air, tetapi dimulakan dengan asas atau
foundation yang kukuh, lantai, dinding dan bahagian-bahagian utama. Begitu juga
dengan pembinaan rumahtangga – ia mesti bermula dengan asas yang cukup kukuh
supaya tidak mudah runtuh. Misi dan visi pembinaan rumahtangga seharusnya
diambil kira sejak dalam proses memilih pasangan.
Misi dan Visi
Perkahwinan
Ikatan perkahwinan merupakan ikatan
antara dua manusia berbeza jantina, maka semestinya ia mesti berlandaskan misi
dan visi penciptaan manusia itu sendiri iaitu sebagai hamba Allah dan khalifah
di mukabumi. Selaras dengan dua misi penciptaan manusia, maka misi dan visi
perkahwinan adalah sebagai pembentukan keluarga sebagai ‘team work’
melaksanakan misi hamba dan khalifah dalam perjalanan menuju akhirat. Inilah
asas yang paling kukuh dan niat yang paling murni ‘kerana Allah’. Ini bermakna
perkahwinan adalah suatu tanggungjawab.
Untuk memikul pertanggungjawan
sebagai hamba dan khalifah, pastinya pelbagai halangan, rintangan dan beban
yang terpaksa dipikul bersama. Oleh itu, sangat penting wujud rasa cinta dan
kasih sayang sebagai pengikat antara suami, isteri, anak-anak dan seluruh
keluarga. Cinta dan kasih sayang adalah anugerah dari Allah yang Ar Rahman dan
Ar Rahim kepada hamba-hamba-Nya. Ikatan rasa cinta dan kasih sayang menyebabkan
beban yang terpikul di bahu terasa ringan, kemarahan yang mungkin timbul antara
pasangan dapat diredakan dengan kemaafan.
Ekpresi kasih sayang antara manusia
terluah dalam banyak bentuk termasuklah hubungan seksual yang dihalalkan
melalui akad ijab dan kabul. Persepsi ‘nafsu’ dalam kefahaman kebanyakan
manusia dikaitkan dengan hubungan seksual serta isu-isu berkaitan dengannya.
Dengan lafaz akad nikah, ekpresi kasih sayang dalam bentuk hubungan
seksual dihalalkan, malah diiktiraf oleh Allah sebagai ibadah dan pahala
kebajikan. Tanpa ijab kabul, hubungan seksual meyandang label jijik,
kotor dan hina.
Kerana Allah – merujuk
kepada peraturan-Nya
Niat ‘kerana Allah’ dalam percintaan
dan perkahwinan direalisasikan dengan merujuk kepada peraturan yang ditetapkan
oleh Allah s.w.t di setiap peringkat prosesnya. Keredhaan Allah sebagai asas
ketika memilih pasangan untuk membentuk ‘team work’ rumahtangga, patuhi segala
suruhan dan tinggalkan larangan termasuk dalam aspek pemenuhi tuntutan fitrah
keperluan seksual.
Khalifah-khalifah dan hamba-hamba
Allah yang lahir dari perkongsian hidup dalam perkahwinan tersebut adalah
tanggungjawab pasangan tadi supaya generasi baru ini membesar menjadi manusia
yang berfungsi menjadi pemakmur bumi, bukan perosak mukabumi.
Pencemaran dalam niat
Niat ‘kerana nafsu’ digambarkan oleh
keadaan dimana perkahwinan adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan fitrah
seksual. Sedar tak sedar, niat ‘menghalalkan’ hubungan seksual dalam ekspresi
cinta dan kasih sayang secara lahiriah kelihatan begitu ‘murni’. Ya,
sememangnya ini tidak salah… namun jika semata-mata kerana itu, ia ibarat
membina rumah bermula dengan membina bilik air sebagai asas utama.
Bagaimanapun, sekurang-kurangnya ada juga peraturan Allah yang diambil kira.
Rumahtangga begini tidak akan
kukuh, cepat runtuh, mudah goyah dan akab berkubur begitu sahaja. Persoalan
tanggungjawab dengan mudah akan diketepikan. Kebahagiaannya tidak
berpanjangan. Rumahtangga akan selalu bermandikan pergaduhan dan konflik.
Anak-anak yang lahir dalam suasana ini ini tidak berkembang menjadi khalifah
dan hamba Allah yang berfungsi untuk memakmurkan bumi, malah mungkin menjadi
generasi perosak muka bumi. Kesudahannya bukan syurga di akhirat malah
kesengsaraannya bermula di dunia lagi. Na’uzubillah!.
Kerana Nafsu semata –
membujur lalu melintang patah
Ekpresi cinta dan kasih sayang
atas dorongan nafsu semata-mata tergambar dalam kehidupan seharian ketika
peraturan Allah tidak diendahkan, batas hukum syarak diketepikan, sehingga
andai berlaku pertembungan antara hukum Allah dengan keinginan nafsu, hukum
Allah diketepikan dan tuntutan nafsu dipenuhi. Membujur lalu, melintang patah…
inilah gambaran niat semata-mata ‘kerana nafsu’. Anugerah cinta dan kasih
sayang dari Ar Rahman dan Ar Rahim dikhianati dengan ekspresi dalam bentuk
zina.
Sifat Maha Pengampun
Allah dijadikan pertaruhan dalam permainan nafsu
“Allah fahamm… kan dia yang ciptakan
kita. Lagipun Allah kan Maha Pengampun…” demikian kata-kata yang lahir dari
dorongan nafsu yang bertopengkan nama Allah.
Peluang taubat di eksploitasi
semahu-mahunya sehingga terlupa bahawa Allah juga ada sifat Maha Menghukum.
Dalam pengaruh nafsu, syurga dan neraka seolah-olah tidak wujud.
Semoga Allah melindungi kita dari
pengaruh cinta nafsu semata-mata.
Destinasi akhir
ekspresi cinta
Stesen terakhir cinta kerana Allah dalam ikatan rumahtangga adalah syurga yang
kekal abadi di akhirat. Sebaliknya, stesen terakhir cinta kerana nafsu adalah
neraka yang penuh siksaan. Allah serahkan pilihan di tangan kita yang diberi
selendang sebagai khalifah muka bumi.
Allah sediakan syurga untuk manusia
tinggal dan Dia ciptakan Neraka sebagai peringatan bahawa ada risiko menanti
jika manusia memilih untuk tidak tunduk kepada-Nya. Pilihan yang Allah buka
juga berlaku dalam soal ekpresi cinta dan kasih sayang… Semoga Allah memimpin
dan memberi taufik dan hidayah untuk kita menikmati anugerah cinta dari Dia
yang Ar Rahman dan Ar Rahim.
Sumber :
ILUVISALAM’
0 comments:
Post a Comment