Kesalahan dan Kesilapan Suami Terhadap Isteri
Tanggungjawab
Suami
Dalam institusi perkahwinan, lelaki
ialah ketua keluarga sesuai dengan fitrah kejadiannya yang lebih gagah dan
beberapa kelebihan lain berbanding wanita. Tanggungjawab suami atau lelaki
sebagai ketua (pemimpin) kepada perempuan ditegaskan oleh Allah melalui
firman-Nya bermaksud:
“Lelaki ialah pemimpin bagi
perempuan oleh kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas
sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan
sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34)
Islam mensyaratkan lelaki sentiasa
menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap wanita. Sebagai pemimpin, lelaki
dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan
hidup untuk isteri dan anak mereka. Walaubagaimanapun, pada hari ini kita
melihat ramai suami yang semakin jauh dari tanggungjawab dan tugas
mereka yang sebenar. Mungkin, kerana itulah
banyak rumahtangga yang runtuh akibat kurangnya penghayatan
suami kepada nilai-nilai murni dalam baitul muslim yang dibina. Berikut
disenaraikan 10 kesalahan dan kesilapan yang sering dilakukan oleh suami
terhadap isteri mereka:
1. Tidak mengajarkan AGAMA dan HUKUM
syariat kepada isteri.
Banyak kita dapati para isteri tidak
mengetahui bagaimana cara solat yang betul, hukum haid & nifas,
bertingkahlaku/berperilaku terhadap suami secara tidak syar’ie dan tidak
mendidik anak-anak secara Islam. Bahkan ada yang terjerumus ke dalam pelbagai
jenis kesyirikan. Yang menjadi perhatian seorang isteri hanyalah bagaimana cara
memasak dan menghidangkan makanan tertentu, cara berdandan yang cantik dan
sebagainya. Tidak lain semua kerana tuntutan suami, sedangkan masalah AGAMA,
terutama ibadahnya tidak pernah ditanyakan oleh suami.
Allah Ta’ala berfirman yang
bermaksud:
“Wahai orang–orang yang beriman,
peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya
adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar,
keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yg di perintahkan-Nya kpd
mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintakan.” (Surah At-Tahrim:6)
Para suami hendaklah mengajarkan
agama kepada isteri mereka sama ada secara langsung ataupun melalui
perantaraan. Melalui perantaraan itu contohnya menghadiahkan buku-buku tentang Islam & hukum-hukumnya serta berbincang
bersama-sama, kaset/cd ceramah, mengajak isterinya menghadiri ke majlis-majlis
ILMU yang disampaikan oleh orang-orang yang berilmu dan sebagainya. (yang
paling praktikal, ajaklah solat berjemaah di rumah atau di surau/masjid). Maka,
amat penting bagi para suami untuk mempersiapkan diri dengan ilmu sebelum
membuat keputusan untuk melangkah ke alam rumahtangga.
2. Suka mencari kekurangan dan
kesalahan isteri.
Dalam suatu hadith riwayat Bukhari
& Muslim, Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam melarang lelaki yang
berpergian dalam waktu yang lama, pulang menemui keluarganya di waktu malam,
kerana dikhuatiri akan mendapati berbagai kekurangan isteri dan cela
isterinya. Bahkan suami diminta bersabar dan menahan diri dari kekurangan
yang ada pada isterinya, juga ketika isteri tidak melaksanakan kewajipannya.
Kerana suami juga mempunyai kekurangan dan celaan seperti sabda
Rasulullah:
“Janganlah seorang suami yang
beriman membenci isterinya yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu akhlak
darinya, dia pasti meredhai akhlak lain darinya.” {Hadith riwayat Muslim}
3. Memberi hukuman yang tidak sesuai
dengan kesalahan isteri.
Ini termasuk bentuk kezaliman
terhadap isteri, iaitu:
a) Menggunakan pukulan di tahap awal
pemberitahuan hukuman (sila rujuk Al-Quran, Surah An-Nisa : 34)
b) Mengusir isteri dari rumahnya
tanpa ada kebenaran secara syar’ie (sila rujuk Al-Quran, Surah Ath-Thalaq : 1)
c) Memukul wajah, mencela dan
menghina.
Rasulullah sollallahu ‘alaihi
wasallam bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah engkau memberinya makan
jika engkau makan, memberinya pakaian jika engkau berpakaian, tidak memukul
wajah, tidak menjelek-jelekkan & tidak menghajar(boikot) kecuali di dalam
rumah.” (H.R. Ibnu Majah disahihkan oleh Syeikh Albani)
4. Culas dalam memberi nafkah kepada
isteri.
“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan
anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak
menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan
pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan
seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu
itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu
menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut
(jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan
penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah
berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu
hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya
bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang
patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah
sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah : 233)
Isteri berhak mendapatkan nafkah
dari suami, kerana dia telah membolehkan suaminya bersenang–senang kepadanya,
dia telah mentaati suaminya, tinggal di rumahnya, mengasuh dan mendidik
anak-anaknya. Dan jika isteri mendapati suaminya culas dalam memberi nafkah,
bakhil, tidak memberikan nafkah kepadanya tanpa ada pembenaran syar’ie, maka
dia boleh mengambil harta suami untuk mencukupi keperluannya secara ma’ruf
(tidak berlebihan) meskipun tanpa pengetahuan suaminya.
Sabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi
wasallam yang bermaksud:
“Jika seorang muslim mengeluarkan
nafkah untuk keluarganya sedangkan dia mengharapkan pahalanya, maka nafkah itu
adalah sedekah baginya.” (Muttafaq ‘alaih)
5. Sikap keras, kasar, tidak lembut
terhadap isteri.
Rasulullah sollallahu ‘alaihi
wasallam bersabda, maksudnya:
“Mukmin yang paling sempurna adalah
yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik
tehadap isteri-isterinya.” (Hadith riwayat at-Tirmidzi, disahihkan oleh Syeikh
Albani)
Seperti yang disabdakan oleh
Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam, seseorang suami itu haruslah berakhlak
baik, bersikap lembut dan tidak kasar terhadap isterinya. Hal ini kerana, suami
yang bersikap kasar pasti akan menggugat kebahagiaan hubungan antara dirinya
dengan isteri.
6. Suami sombong untuk membantu
isteri dalam urusan rumahtangga.
Sesetengah suami sombong dan malas
untuk membantu isteri dalam urusan rumahtangga. Disebabkan sikap ini,
sesetengah isteri merasa dirinya terbeban dan tertekan. Marilah contohi
Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam dalam melayani isterinya Aisyah r.ha.
Ketika Aisyah r.ha ditanya tentang
apa yang dilakukan Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam di rumahnya, beliau
menjawab:
“Beliau membantu pekerjaan isterinya
& jika datang waktu solat, maka beliau pun keluar untuk solat.” (Hadith
riwayat Bukhari)
7. Menyebarkan rahsia dan aib
isteri.
“Sesungguhnya diantara orang yang
paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seseorang yang
menggauli isterinya dan isterinya menggaulinya kemudian dia menyebarkan
rahsia-rahsia isterinya.” (Hadith riwayat Muslim)
Dalam hadith ini diHARAMkan seorang
suami menyebarkan apa yang terjadi antara dia dengan isterinya terutamanya di
tempat tidur. Juga diharamkan menyebutkan perinciannya, serta apa yang terjadi
pada isterinya baik berupa perkataan mahupun perbuatan lainnya.
8. Sikap terburu-buru dalam menceraikan
isteri.
Islam menganggap penceraian adalah
perkara besar yang tidak boleh diremehkan kerana penceraian akan menyeret
kepada kerosakan, kacau bilaunya pendidikan anak dan sebagainya. Dan hendaknya
perkataan cerai/talak itu tidak digunakan sebagai bahan gurauan/mainan. Kerana
Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud:
“Ada 3 hal yang kesungguhannya dan
gurauannya sama-sama dianggap sungguh-sungguh iaitu: NIKAH, TALAK (cerai) dan
RUJUK.” (Hadith riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah, dinilai “hasan”
oleh asy-Syeikh Albani)
Penceraian tidak boleh dijadikan
sebagai langkah pertama dalam penyelesaian perselisihan. Bahkan harus
diusahakan berbagai cara untuk menyelesaikannya, kerana kemungkinan besar akan
banyak rasa penyesalan yang ditimbulkan dikemudian hari kelak.
Rasulullah sollallahu ‘alahi
wasallam bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Iblis meletakkan
singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia mengutus para tenteranya. Maka
tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling besar fitnahnya
(penyesatannya). Maka datanglah salah satu tenteranya dan melapor: Aku telah
melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum melakukan apa-apa,
kemudian datanglah tentera yang lain dan melapor: Aku telah menggodanya hingga
akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka Iblis pun mendekatkan
tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera terbaik.” (Hadith
riwayat Muslim)
9. Berpoligami tanpa memperhatikan
ketentuan syari’at.
Bernikah untuk kedua kali, ketiga
dan keempat kali merupakan salah satu perkara yang Allah
syariatkan. Tetapi, terdapat sebahagian orang yang ingin menerapkan
syariat ini/telah menerapkannya tidak memperhatikan sikapnya yang tidak
memenuhi kewajipan serta tanggungjawab terhadap isteri. Terutama isteri
pertama dan anak-anaknya.
Dalam Surah an-Nisa, ayat 3, Allah
Ta’ala berfirman yang bermaksud:
“Kemudian jika kamu takut tidak akan
dapat berlaku adil, maka (kahwinlah) seorang sahaja.”
Memang benar berpoligami merupakan syariat
Islam, tetapi jika seseorang tidak mampu melaksanakannya dengan baik dan
tidak memenuhi syarat-syaratnya atau tidak boleh memikul tanggungjawabnya, hal
ini boleh menjurus kepada kerosakan sesebuah rumahtangga, menghancurkan masa
depan anak-anak dan menambah permasalahan keluarga dan juga kepada
masyarakat. Maka fikirkanlah akibatnya dan perhatikanlah dengan saksama
perkaranya sebelum membuat keputusan.
10. Lemah kecemburuan terhadap
isteri.
Para suami membiarkan keelokan,
keindahan dan kecantikan isterinya dinikmati dan dipertontonkan kepada bukan
mahram. Dia membiarkan isterinya mendedahkan aurat ketika keluar rumah, dan
membiarkan berkumpul dengan lelaki-lelaki bukan mahram. Bahkan ada sebahagian
suami bangga kerana memiliki isteri yang cantik dan boleh dinikmati oleh
pandangan kebanyakan orang. Padahal wanita dimata Islam adalah makhluk yang
sangat mulia, sehingga keindahan dan keelokannya hanya diperuntukkan atau
dikhususkan untuk suaminya sahaja dan tidak sesekali ‘dijaja’ ke mana-mana pun.
Seorang suami yang memiliki
kecemburuan terhadap isterinya tidak akan membiarkan isterinya berjabat tangan
dengan lelaki lain yang bukan mahram.
Perhatikan ancaman Rasulullah
sollallahu ‘alaihi wasallam terhadap lelaki yang tidak memiliki kecemburuan
terhadap keluarga (isteri):
“Tiga golongan yang Allah s.w.t
tidak akan melihat mereka pada hari kiamat iaitu seseorang yang derhaka kepada
kedua orang tuanya, wanita yang menyerupai lelaki dan ad-Dayyuts.” (Hadith
riwayat An-Nasa’i, dinilai ‘hasan’ oleh syeikh Albani, lihat ash-Shahihah :
674)
Ad-Dayyuts(dayus) itu ialah
LELAKI yang tidak memiliki kecemburuan terhadap keluarganya.
Maka, marilah sama-sama kita
beringat dan muhasabah diri sentiasa. Hal ini bukan hanya untuk para suami,
malah penting juga untuk mereka yang belum menjadi suami, agar persediaan
sebelum mendirikan baitul muslim itu lengkap.
Sumber: Syahirul
0 comments:
Post a Comment