“Kita sangat perlu kepada redha atau
restu ibu bapa dalam semua perkara termasuk dalam membina rumah tangga,”
kata Ustaz Hj. Ahmad Shukri Yusoff, yang merupakan Ketua Unit
Syariah dan Penerangan Khas, Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, redha ibu bapa amat
penting kerana ia membekalkan kita keyakinan untuk melangkah ke alam
perkahwinan. Dan untuk mendapat redha ibu bapa, kita perlu menjaga hati mereka.
“Bayangkan kalau kita melangkah ke
alam perkahwinan tanpa doa, restu atau redha ibu bapa, maka di hati kecil kita
tidak akan ada keyakinan untuk menempuh alam yang baru itu,” ujar beliau.
Beliau berkata, perkahwinan
merupakan satu proses untuk menyempurnakan agama. Tetapi, soal beliau, “Adakah
sempurna agama jika sesuatu perkahwinan itu tidak mendapat restu ibu bapa?”
Katanya, perkahwinan yang dibina
atas dasar cinta semata-mata umumnya tidak akan kekal lama. “Kalau berkahwin
semata-mata kerana cinta, cinta boleh luntur. Kalau disebabkan dorongan
seksual, ia juga boleh berkurang. Kalau berkahwin kerana duit, ini juga mungkin
satu hari tidak stabil. Begitu juga kalau sebab kecantikan, kecantikan akan
pudar akhirnya. Sebab itu Nabi s.a.w. menekankan bahawa perkahwinan itu adalah
untuk menyempurnakan agama. Tanda kita betul-betul beragama, kita berkahwin
mengikut sunnah Nabi,” jelasnya dalam temubual di kediamannya di Bandar Baru
Bangi.
Dalam soal ini, katanya, ibu bapa
umumnya lebih tahu menilai kesesuaian calon menantu kerana mereka
melihat dari banyak aspek.
Jika Tak Direstui
Kesan yang jelas bagi perkahwinan
yang tidak direstui ibu bapa adalah gagal mendapat keberkatan.
Ustaz Ahmad
Shukri Yusoff berkata, hilangnya keberkatan menyebabkan timbul masalah silih
berganti dan timbul rasa tidak yakin dalam menghadapi masalah akibat tidak
mendapat doa dan redha ibu bapa tadi.
“Kalau ada restu ibu bapa, apabila
menghadapi sesuatu masalah, kita rasa yakin boleh menyelesaikannya walaupun
masalah itu nampak berat,” ujarnya. Katanya, perkahwinan itu sesuatu yang
membahagiakan tetapi tanpa redha ibu bapa maka lebih mudah berlaku huru-hara.
Sebaliknya dengan keredhaan ibu bapa, perkahwinan terasa lebih menyeronokkan.
“Kita sering membaca kisah rumah
tangga yang porak-peranda dan berlaku cerai-berai. Kalau dikaji, di hujungnya
kita akan dapati perkahwinan itu dulunya tidak mendapat keredhaan ibu bapa. Ada
yang disebabkan telah berlaku perkara tidak elok sebelum kahwin maka ibu bapa
terpaksa setuju mereka berkahwin walaupun hati kecil mereka tidak meredhainya,”
jelasnya.''
Ustaz Ahmad Shukri mengajak kita
merenung perkahwinan orang-orang dulu yang jodoh mereka betul-betul atas
pilihan ibu bapa. “Kita tengok jangka hayat rumah tangga mereka lebih
lama. Sekarang kahwin bermula dari cinta tapi peratus cerai tinggi. Hendak kata
tak kenal, sudah kenal. Hendak kata tak cinta sudah cinta. Di situ sebenarnya
peranan keredhaan ibu bapa. Keredhaan ibu bapa lebih kuat daripada cinta. Lafaz
cinta tidak sekuat keredhaan ibu bapa,” ungkap Ustaz Ahmad Shukri.
Apabila Ibu Bapa Diam
Diam ibu bapa dengan pilihan jodoh
anaknya mungkin menandakan mereka tidak bersetuju, cuma mereka tidak
menyuarakannya secara terus-terang. Menjelaskan perkara ini, Ustaz Ahmad Shukri
Yusoff berkata, “Diamnya itu mungkin tanda tidak setuju dengan pilihan anak
tetapi dia tidak kata tidak setuju sebab tidak mahu melukakan hati anak.”
Dalam hal ini, katanya, si anak
hendaklah cuba memahami isi hati ibu bapa dan menjaga hati mereka.Walaupun diam
ibu bapa mungkin juga menandakan mereka berfikir dan bersetuju tetapi si anak
perlu bertanya secara berhemah untuk memastikan ibu bapa betul-betul merestui
pilihannya. Katanya, lazimnya jika ibu bapa redha dengan pilihan anaknya,
mereka akan iringi dengan nasihatdan
kata-kata semangat.
“Tapi jika tiada respons atau hambar
saja, anak kena pastikan betul-betul untuk menjaga hati mereka,” ujarnya.
Beliau berkata, ada ibu bapa yang menuruti pilihan calon pasangan anaknya
setelah didesak atau dipujuk walaupun hati kecil mereka tidak benar-benar
meredhainya.
Bawa Berbincang
Hati sudah suka, pasangan ‘ideal’
sudah ditemui tapi ibu bapa pula tidak bersetuju. Bagaimana? Jalan terbaik
ialah bawa berbincang, kata Ustaz Ahmad Shukri Yusoff.'
“Itu perlunya syura atau
perbincangan. Tetapi apa yang berlaku hari ini adalah pertengkaran, bukan
perbincangan. Pertengkaran tidak mendatangkan natijah yang baik.” Katanya,
banyak masalah yang nampaknya berat dan tidak boleh diselesaikan tetapi apabila
dibawa berbincang, ia selesai akhirnya. Begitu juga dengan masalah pilihan
calon pasangan.
“Syura yang diadakan dalam keadaan
hati bersih dan baik, insya-Allah natijahnya baik,” katanya sambil menambah,
bukan ibu bapa saja perlu mendengar pandangan anak tapi anak juga perlu
bersikap terbuka dalam mendengar pandangan ibu bapa. Ustaz Ahmad Shukri
berkata, sikap
berterus-terang perlu ada dalam berbincang dan kalau perlu, si
anak boleh meluahkan perasaannya.
“Ada kes ibu bapa sayang pada
anaknya tapi kadang-kadang hendak kawal anaknya dalam semua perkara… Bagi anak,
dia rasa dikongkong. Dalam soal ini, ayah atau ibu jangan terlalu ketat sebab
Sayidina Ali k.w. menyarankan agar kita mendidik anak mengikut zamannya. Minat
dan citarasa tak sama. Bagi si anak, dia juga perlu cuba memahami ibu bapa,
kerana niat ibu bapa adalah untuk menjaga demi kebaikan anaknya.”
Menurutnya, jika si anak merasakan
ada kongkongan dalam memilih calon pasangan, dia perlu meluahkan isi hatinya
tetapi dengan cara yang tertib dan tenang. “Kalau anak diam dan simpan, tidak
selesai masalah juga. Memendam perasaan tidak boleh selesaikan masalah. Kena
ada proses berterus-terang. Kalau dipendam hingga rasa tertekan, nanti kita
akan sakiti hati ibu bapa pula apabila merasakan ibu bapa tidak memahami,”
tambahnya. Katanya, setiap masalah ada penyelesaiannya tapi cara
menyelesaikannya perlu betul.
Jaga Hati Mereka Sampai Bila-bila
Hati ibu bapa tetap perlu dijaga
sampai bila-bila walaupun seseorang itu sudah ada tanggungjawab lain dalam
rumah tangga yang dibina, kata Ustaz Ahmad Shukri Yusoff.
Katanya, bagi seorang wanita yang
sudah berkahwin misalnya, tanggungjawab untuk mentaati suami tidak mengurangkan
hak ibu bapanya untuk ditaati dan dijaga hati mereka. “Ada kes
anak perempuan yang bila sudah berkahwin, tidak balik jenguk ibu bapa
dan tidak hubungi mereka dengan alasan mentaati suami. Tidak dinafikan perlunya
taat pada suami tapi dalam masa yang sama dia ada tanggungjawab pada ibu bapa
yang hatinya perlu dijaga,” terang beliau.
Beliau menambah, tanggungjawab yang
dipikul sebagai isteri atau suami tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabai
dan melukakan hati ibu bapa dengan tidak membantu, menghubungi dan mengambil
tahu kehidupan mereka. Pendek kata, menurutnya, si anak tidak boleh mengambil
sikap, “Saya dah jadi isteri orang atau suami orang, tanggungjawab pada ibu
bapa dah kurang.”
“Dalam hidup ini, setiap sesuatu
akan dibalas. Jika kita menyakiti hati ibu bapa, apakah kita sanggup satu hari
nanti anak kita melakukan perkara yang sama pada kita pula?” soal beliau.
SUMBER : PAKARCINTA
0 comments:
Post a Comment