Talak
Dalam Islam:
Perkahwinan adalah salah satu syariat yang
menghalalkan perhubungan diantara lelaki dan perempuan. Dengan ikatan akad
nikah maka halallah hubungan suami isteri dalam serba serbi mengikut keperluan
kehidupan sebagai manusia termasuk hubungan seks.
Tujuan perkahwinan adalah untuk membentuk keluarga
yang sah dalam masyarakat. Sungguhpun begitu dalam menempuh kehidupan akan
berlaku perselisihan faham dan perkelahian di antara suami dan isteri. Islam menyediakan
beberapa syarat jika suami isteri ingin menamatkan perkahwinan merekak jika
mereka telah tiadak dapat bersama dan tiada persefahaman lagi, untuk itu lelaki
di beri kuasa untuk mencaraikan atau “talak” terhadap isterinya dengan beberapa
sayarat:
Lafaz talak terbahagi kepada dua:
- Talak Sharih
- Talak Kinayah.
Talak Sharih membawa maksud
"nyata" atau "jelas". iaitu talak yang diucapkan oleh suami
kepada isterinya dengan kalimah yang jelas dan terang, lafaz seumpama ini hanya
membawa maksud penceraian dan tiada pengertian yang selainnya, seperti kalimah
"Talak" atau "Cerai".
Contoh lafaz yang Sharih:
- Aku ceraikan kau dengan talak satu
- Aku telah melepaskan (menjatuhkan) talak untuk engkau
- Hari ini aku ceraikan kau
- Jika suami melafazkan talak dengan mengunakan kalimah yang "Sharih" seumpama di atas ini, maka talak dikira jatuh walaupun tanpa niat dan saksi.
Sementara Talak Kinayah pula membawa
maksud kalimah yang secara tidak langsung yang mempunyai dua atau lebih
pengertiannya. Umpamanya jika suami melafazkan kepada isterinya perkataan:
- Aku tak nak kau lagi, kau boleh balik ke rumah orang tua kau
- Pergilah engkau dari sini, ke mana engkau suka
- Kita berdua sudah tiada apa-apa hubungan lagi
- Lafaz-lafaz seumpama ini termasuk dalam kategori Kinayah, jika suami tidak berniat untuk menceraikan isterinya maka talak tidak jatuh, tetapi jika sebaliknya iaitu suami mempunyai niat menceraikan isterinya ketika melafazkan kalimah ini, maka talak dikira jatuh.
Bagi pasangan yang meragui akan
lafaz yang telah diucapkan oleh suami, mereka hendaklah menghubungi pihak
Mahkamah bagi mendapatkan pengesahannya. Begitu juga bagi pasangan yang ingin
merujuk semula, mereka perlulah melaporkan perkara ini ke Mahkamah Syariah bagi
mendapatkan nasihat selanjutnya.
Jenis-jenis Talak
Terdapat beberapa jenis talak di
dalam perceraian, jenis-jenis talak ini boleh dikategorikan seperti berikut:
- Talak Raj'ie
- Talak Battah
- Talak Bain
- Menjatuhkan talak tiga sekaligus
- Talak Sunni
- Talak Bid'i
1. Talak
Raj'ie
Talak Raj'ie membawa maksud talak
yang boleh dirujuk semasa isteri di dalam iddah dengan lafaz-lafaz tertentu,
iaitu pasangan tidak dikehendaki melalui majlis pernikahan atau ijab dan kabul.
Talak yang dilafazkan oleh suami hanya di kira Raj'ie jika ia merupakan talak
yang pertama atau talak yang kedua.
2. Talak
Battah
Talak Battah adalah talak yang
dilafazkan oleh suami kepada isterinya buat selama-lamanya, umpamanya perkataan
suami kepada isterinya,
"Aku ceraikan kau buat selama-lamanya"
Menurut pandangan Imam Syafi'e talak
seumpama ini hanya jatuh menurut niatnya, jika suami berniat satu maka talak
hanya disabitkan satu, tetapi jika dia berniat tiga maka talak dikira jatuh
tiga.
3. Talak
Bain
Talak Bain ini terbahagi kepada dua
bahagian:
Talak Bain
Kubra
Talak Bain
Sughra.
Talak Bain Kubra adalah talak yang
telah berlaku kepada pasangan tersebut sebanyak tiga kali. Iaitu suami telah
menceraikan isterinya sebanyak tiga kali. Pasangan ini tidak boleh rujuk atau
bernikah semula buat selama-lamanya, melainkan isteri tersebut menikahi lelaki
lain dan mereka hidup sebagai suami isteri yang sah. Jika ditakdirkan isteri
ini berpisah atau suaminya yang kedua itu meninggal dunia, maka barulah suami
pertamanya berhak menikahi bekas isterinya ini.
Talak Bain Sughra adalah talak yang
telah diucapkan oleh suami kurang daripada tiga kali, tetapi pasangan tidak
boleh "Rujuk" kembali melainkan dengan pernikahan yang baru, walaupun
isterinya di dalam iddah. Sebahagian dari talak Bain Sughra adalah:
Talak yang diputuskan oleh Hakam
Talak melalui Khulu'
Talak yang difasakhkan oleh Hakim
4.
Menjatuhkan Talak Tiga Sekaligus
Di zaman Nabi saw dan Abu Bakar ra,
talak yang dijatuhkan tiga dalam satu waktu dihukum hanya jatuh sekali sahaja.
Tetapi semasa Sayyidina Umar Ibnu Khattab ra menjadi Khalifah, beliau telah
menghukumkan jatuh ketiga-tiga talak sekaligus. Keputusan ini dibuat oleh
Sayyidina Umar kerana di zamannya ketika itu masyarakat amat mempermudahkan
lafaz talak yang dibuat.
Bila berlaku perkara seumpama ini
Hakim Mahkamah akan membicarakan kes pasangan yang terbabit dan memutuskan
hukum talaknya.
5. Talak
Sunni
Talak Sunni adalah talak yang
mengikut sunnah Nabi saw, iaitu seorang suami menceraikan isterinya di saat ia
telah suci dari haid dan sebelum mereka bersatu, lalu suami melafazkan talak di
hadapan dua orang saksi.
6. Talak
Bid'i
Talak Bid'i adalah talak yang
diucapkan oleh suami ketika isteri dalam keadaan berikut:
- Talak diucapkan oleh suami sedang isteri uzur (haid).
- Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam nifas.
- Talak diucapkan oleh suami sedang isteri dalam keadaan suci tetapi suami telah bersatu dengannya.
Wallahu’alam.
Sumber:
panduan asas islam untuk kita
0 comments:
Post a Comment