KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya
membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya
amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama
meningkatkan tahap kesihatan manusia.
SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib
dilakukan oleh setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut
kerohanian.
Bagaimanapun, pernahkah kita
berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud,
duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.
Adakah gerakan itu hanya sekadar
gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?
Kajian sains moden mendedahkan
bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan
kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata
memanfaatkan tubuh manusia.
Hasil kajian saintifik membuktikan
kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal
dan mental manusia.
.
|
Lebih membanggakan bukti itu
diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka
adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan
Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama
Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.
Penggerak kajian ini ialah Perdana
Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana
Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat
terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular,
komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.
Dr Wan Abu Bakar ketika
memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang
mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan.
Katanya, kajian itu cuba melihat apa
yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.
SOLAT
terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.
|
“Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian,
iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa
yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi
tubuh,” katanya.
Beliau berkata, hasil kajian
mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat
dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan
Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu
dan Inggeris.
Setakat ini, kajian itu adalah yang
pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada
beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang
dilakukan UM.
Seorang doktor perubatan dari
Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud.
Beliau mengambil sampel darah,
hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan
solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan
menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.
Kajian lain dilakukan oleh tiga
doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque
Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture)
solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.
Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian
sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru
bagi memperluaskan kajian itu.
Memperjelaskan kajian lanjutan itu,
Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji
ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.
“Kajian itu akan mengkaji isyarat
otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim
adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka
memahami bahasa al-Quran,” katanya.
Bagaimanapun, katanya sukar untuk
mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan
bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan
sampel adalah dari kumpulan tertentu.
Berbanding kajian awal yang mengesahkan
solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan
memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit.
Mengambil Erektil Disfungsi (ED)
atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan
bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin
mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.
Sumber : the
blog of my life
0 comments:
Post a Comment