Assalamualaikum,
Kini perlaksanaan hukum hudud kembali dipolemikan. Ada dua perkara yang perlukan ditekankan supaya umat Islam tidak terkeliru dan hilang perspektif. Pertama hudud atau hadd (batasan yang diletakkan oleh Allah - yang tidak bolih dilanggar) adalah syariat Allah SWT.
Hukumnya adalah wajib dan pertikai atau mengingkarinya bolih menjatuhkan seseorang kepada kekufuran. Tidak melaksanakan atas pelbagai sebab dan alasan tanpa mengingkarinya tidak menyebabkan kekufuran tetapi tidak melepaskan pemerintah untuk bersungguh-sungguh mencari jalan untuk melaksanakannya. Kedua, hudud meskipun adalah tuntutan syariat yang wajib ia perlu dilihat dalam perspektif Islam yang menyeluruh. Ia adalah sebahagian dari tuntutan perlaksanaan syariat yang lengkap (syumul) dan meliputi keseluruhan aspek kehidupan. Asasnya sudah pasti aqidah yang salimah (sempurna) dan tidak mungkin tertegak tanpa di sana berdirinya sistem akhlak dan sosial Islam. Ini bermakna penegakkan syariat Islam yang sempurna tidak terpisah dari dakwah ilallah - menyeru (dakwah) kepada Allah atau menyeru kepada Islam.
Dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, usaha mengajak kepada Islam adalah tanggungjawab asasi yang tidak diberikan perhatian. Jika diselidiki dengan adil, pasti kita akan sampai kepada satu kesimpulan iaitu penolakan masyarakat bukan Islam terhadap perlaksanaan hukum hudud ialah kerana mereka tidak memahami Islam. bagaimana mereka hendak meyakini sistem Islam sedangkan mereka tidak kenalpun apa itu Islam. Bagaimana pula mereka hendak mengenali sedangkan tiada siapa yang pernah menyampaikan kepada mereka tentang Islam itu. Yang mereka tahu Islam itu melayu dan melayu itu Islam dan kefahaman seperti ini tidak pernah berubah meskipun tanah air telah merdeka selama 54 tahun. Di kalangan umat Islam pula ada yang mempersendakan. Bahkan mereka ini bukan sahaja dari kalangan orang kebanyakkan tetapi sehingga tokoh dan negarawan. Jelaslah kejahilan tentang Islam yang syumul ini merata di dalam masyarakat sehingga setiap lapisan masyarakat tidak memahaminya. Justeru usaha untuk mengajak kepada penghayatan Islam yang syumul, di mana perlaksanaan hukum hudud ini adalah sebahagian darinya haruslah bermula dengan dakwah dan tarbiyah. Selagi umat islam yang sudah jauh dari kefahaman Islam yang benar ini tidak memahami hakikat Islam sebagai ad-deen yang syumul selagi itulah mereka akan menolak perlaksanaan hukum syariat.
Namun ini tidaklah pula bermakna Islam hanya ditegakkan sebagai hukum dan perundangan apabila semua umat Islam bersetuju dengan nya. Dari sudut pemerintahan, perlaksanaan syariat termasuk hukum hudud wajib dilaksanakan dan dikuatkuasakan meskipun ada pihak yang tidak bersetuju atau menentang. Sayidina Umar RA mengatakan 'Mereka yang tidak ditundukkan dengan al-Quran akan ditundukkan dengan pedang'. Ini menunjukkan golongan umara' (pemerintah) wajib melaksanakan pelbagai inisiatif dan prasarana (termasuklah memperkasakan fungsi mahkmaha syariah, menggubal atau mengkanunkan peruntukan undang-undang syariat) di samping terus mendidik masyarakat dan mengajak mereka supaya menghayati islam seperti yang dituntut di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Malangnya setelah 54 tahun, mereka yang diberikan amanat kepimpinan masih lagi memberikan alasan yang sama - iaitu kita hidup dalam masyarakat berbilang agama dan kaum dan umat Islam masih belum bersedia untuk menerima aspek-aspek 'yang ekstreme' (meminjam kata seorang pemimpin negara - yang mana kita amat dukacita apabila undang-undang Islam dikatakan ekstreme tetapi di masa yang sama menyorok di belakang istilah 'maqasid syariah'?).
Di sini saya ambil sedutan dari buku saya Jejak Risalah di nusantara Jilid 1 bab 12 - Perlaksanaan Undang-undang Islam. Apa yang hendak ditekankan ialah perlaksanaan hukum syariat yang meliputi hudud, qisas dan ta'zir telah dilaksanakan (walaupun tidak secara keseluruhan) sejak awal-awal berdirinay Islam sebagai hukum dan pemerintahan di tanah melayu. Dalam keadaan orang melayu masih menebal sisa-sisa pengaruh Hindu dan animismenya, telah ada peruntukan undang-undang syariat. Jelaslah tidak ada sebab lagi hari ini umat Islam memberi alasan demi alasan. Apa yang perlu dilakukan ialah berusaha ke arah perlaksanaannya dan berhenti mempolimikkannya atas sebab-sebab jangka pendek kepentingan politik kepartaian yang sempit.
Dr Hafidzi Mohd Noor
----------------------------------------------------------------------
12. Perlaksanaan undang-undang Islam
Pemerintahan Islam seringkali dikaitkan dengan perlaksanaan undang-undang
Islam sebagai salah satu ciri dari sistem pemerintahan tersebut. Apabila
kerajaan-kerajaan Islam muncul di Nusantara, ia tidaklah sekadar berajakan
seorang raja yang telah memeluk Islam, tetapi islam menjadi asas kepada
pemerintahan tersebut.
Salah satu dari kerajaan beraja yang mengkanunkan undang-undang syariat
ialah Kerajaan Melaka. Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka adalah
dua dokumen bertulis yang menunjukkan bahawa Undang-undang syariat termaktub
dalam sistem perundangan Melaka dan jajahan takluknya serta dikuatkuasakan
berdasarkan kepada fakta sejarah[1].
Penulisan tentang pensejarahan Kerajaan Melaka amat sedikit memberikan tumpuan
kepada perkara ini berbanding aspek-aspek lain. Sebaliknya lebih banyak tumpuan
diberi kepada aspek lagenda seperti Hang Tuah dan kedudukannya sebagai simbol
kedaulatan Melayu dan cerita kiasan Puteri Gunung Ledang yang ditonjolkan aspek
dogengannya. Pelbagai saluran digunakan untuk mengenengahkan aspek tersebut
kepada rakyat sehingga dipersembahkan dalam bentuk filem, drama dan pementasan
seolah-olah itulah tinggalan yang utama dan anugerah Kerajaan Melaka kepada
pembentukan jatidiri bangsa Melayu. Kata-kata Hang Tuah ‘tidak hilang Melayu di
dunia’ dijadikan slogan untuk menjamin ‘survival’ dan ketuanan Melayu. Namun
bukan kepahlawanan Hang Tuah yang diperbesar-besarkan secara berlebihan yang
menjulang Kerajaan Melaka sehingga ia menjadi pusat serantau malah pusat
perdagangan antarabangsa. Melaka menjadi tumpuan dan masyhur kerana antara lain
ia adalah pusat penyiaran Islam, pusat pengembangan intelektual umat Islam
serantau dan sistem pentadbiran yang diasaskan di atas peraturan dan
perundangan Islam. Inilah yang
menjadikan Melaka tumpuan pedagang, misi-misi diplomatik dan para ulama.
Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka adalah ’legacy’
peninggalan Kerajaan Melaka yang tidak ternilai dan boleh dijadikan asas dalam
perlaksanaan syariat di negara-negara umat Islam di Asia Tenggara masa kini. Ia
adalah asas yang kukoh untuk menyemak semula undang-undang barat sekular yang
kini dilaksanakan sebagai undang-undang utama di Malaysia. Oleh kerana undang-undang
syariat telah dikanunkan dalam Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut, maka
syariat Islamlah yang menjadi landasan kepada sistem perundangan yang pertama
jauh sebelum Inggeris mengambil alih pentadbiran Tanah Melayu pada akhir kurun
ke 19M[2].
Ini juga bermakna Perlembagaan Malaysia yang dibentuk pada tahun 1957 harus
dilihat semula kerana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mana-mana
Undang-undang yang bertulis yang bertentangan yang digubal selepas hari
kemerdekaan dengan sendirinya terbatal. Kanun Melaka dan Undang-undang Laut
Melaka adalah undang-undang bertulis yang wujud lima kurun dahulu, sekaligus
memberi justifikasi yang cukup untuk menyemak Perlembagaan Malaysia dengan
mengambilkira peruntukan-peruntukan syariat yang pernah dikanun dan digunapakai
di zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Hukum Kanun Melaka memperuntukan undang-undang yang berkaitan dengan
tanggungjawab pemerintah dan pegawai kerajaan, larangan ke atas orang ramai,
hukuman ke atas kesalahan sivil dan jenayah, undang-undang keluarga, isu-isu
berkaitan ibadat dan muamalat yang dijelaskan dengan terperinci dan peraturan
yang berkaitan dengan pertanian. Undang-undang Laut Melaka pula memperuntukkan
perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan pelayaran dan perkapalan seperti
tanggungjawab Laksamana, peraturan pelayaran dan perdagangan, hukuman ke atas
kesalahan jenayah atau pelanggaran undang-undang Islam dan juga perkara-perkara
berkaitan dengan tindak-tanduk ketua-ketua perkapalan.
Bilakah Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka digubal? Menurut
Muhammad Yusof Hashim kedua-duanya mungkin digubal pada zaman pemerintahan
Sultan Iskandar Shah (1414 – 1424), Sultan Muhammad Shah (1424 – 1445) dan
Sultan Muzaffar Shah(1446 – 1459)[3].
Munurut Undang-undang Melaka, perkara 0.1 kedua-duanya dikumpulkan oleh pegawai
istana dan diperintahkan oleh Sultan Muzaffar Shah agar ianya ditulis sebagai
satu teks undang-undang sahaja bagi mengelak dari sebarang pertentangan akibat
dari pelbagai teks undang-undang yang ada di tangan pegawai-pegawai tersebut[4].
Apakah pula peruntukan-peruntukan yang berdasarkan syariat Islam yang
terdapat dalam kedua-dua undang-undang tersebut? Menurut Muhammad Yusuf Hashim
lagi, Undang-undang Laut Melaka hanya mempunyai satu peruntukan undang-undang
syariat iaitu artikel 2 di atas kesalahan zina iaitu hukuman mati yang telah
berkahwin dan seratus sebatan bagi yang masih bujang[5].
Lain-lain
kesalahan dijatuhkan hukuman menurut undang-undang adat, amalan dan
undang-undang setempat. Walaubagaimanapun pengaruh Islam ke atas Undang-undang
Laut Melaka begitu mendasar kerana peranan Laksamana atau ketua kapal adalah
diumpamakan imam dalam solat jamaah dan kelasi-kelasinya sebagai makmum[6].
Dalam Hukum Kanun Melaka pula 18 dari 44 peruntukan atau 41% adalah berdasarkan
syariat Islam. Pada beberapa bahagian dari Kanun tersebut ditegaskan sebagai
‘…mengikut ajaran dari al Quran dan jalan orang yang beriman dan bukan mereka
yang mengingkari perintah Allah’[7].
Peruntukan yang berdasarkan kepada syariat Islam adalah seperti berikut:[8]
Perkara 5:1.3 hukuman bagi qisas atau bunuh balas;
nyawa dengan nyawa.
Perkara 7:2
Hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri.
Perkara 8:2.3
Hukuman bagi qisas atau bunuh balas; nyawa dengan nyawa
(a) potong tangan
bagi kesalahan mencuri
(b) hukuman menurut
budibicara qadhi (hakim) bagi kesalahan mencuri yang dilakukan secara
berkumpulan.
Perkara 11:1
Kesalahan mencuri di rumah dikenakan hukuman potong tangan
Perkara 12:2 Hukuman rejam sehingga
mati bagi lelaki dan wanita
yang telah berkahwin yang melakukan
zina; jika masih bujang hukumannya ialah 80 sebatan.
Perkara 12:3 Hukuman
sebatan 80 kali bagi sesiapa yang membuat tuduhan zina tanpa sebarang saksi.
Perkara 14:1
Peraturan untuk membuat pertuduhan; yang membuat tuduhan dikehendaki bersumpah
dengan memegang mimbar masjid
Perkara 14:2
Hukuman kadhf; membuat kenyataan bersumpah dan bertaubat di depan qadhi
atas kesalahan menyetubuhi isteri orang.
Perkara 15:7
Peraturan bagi meminjam dan memberi pinjaman harta berdasarkan undang-undang ’iyyah.
Perkara 16:1.2
(a) Hukuman ke atas fitnah berdasarkan kepada fuduli
(c) Hukuman mati
bagi zina
(d) Syarat-syarat fuduli
Perkara 18:4
Hukuman bagi qisas atau balasan bagi kesalahan membunuh.
Perkara 25:1
Peruntukan bagi anak angkat: Hal-ehwal berkaitan anak angkat dari keluarga
terdekat (aqrab), wali mujbir, gaul az azhar, safratu’l-qsar.
Perkara 25:2
Syarat-syarat dan peraturan bagi perjanjian di antara dua pihak dengan
perkataan “Qibiltu tazwijaha”.
Perkara 26
Syarat-syarat untuk menjadi saksi yang sah di antara pihak-pihak yang membuat
perjanjian.
Perkara 27 Undang-undang
khiyyar atau hak untuk menamatkan perkahwinan, syarat-syarat bagi faskh.
Perkara 28:1
Undang-undang talak, raji’i, ba’in, syarat-syarat tempoh menunggu
sebelum berkahwin semula selepas cerai (beridah).
Perkara 30
Undang-undang dan peraturan perdagangan, syarat-syarat sah persetujuan jual
beli dan barang-barang yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan untuk jual
beli, larangan mengambil riba’
Perkara 32:2
Undang-undang suhl atau tuntutan harta, syarat-syarat untuk yang membuat
tuntutan dan yang menghadapi tuntutan atau mudda’i dan mudda’i’laihi.
Perkara 32:3
Syarat-syarat bagi menjadi penjamin yang sah.
Perkara 34:1
Undang-undang dan syarat-syarat untuk pemegang amanah.
Perkara 35
Undang-undang angkat sumpah, batas-batas di antara hak Allah dan hak manusia.
Perkara 36:1
Undang-undang murtad, dan samada seorang yang murtad bertaubat atau dijatuhkan
hukuman bunuh.
Perkara 36:2
Hukuman bunuh bagi muslim yang enggan sembahyang.
Perkara 37:1 (a) Undang-undang persaksian.
(b) Syarat-syarat
untuk menjadi saksi yang sah.
Perkara 37:2
(a) Syarat-syarat bagi menjadi saksi yang sah dalam kes perzinaan.
(b)
Syarat-syarat untuk menjadi saksi bagi kes-kes kesalahan mandatori (hadd)
dan kes yang melibatkan perawan (bikr) dan thayyi di kalangan wanita.
Perkara
38:1.2.3 Prosedur untuk membuat pertuduhan atau kenyataan bersumpah di masjid,
sebelum sembahyang Jumaat dan dari atas mimbar.
Perkara 38:4
Prosedur membuat tuntutan di hadapan qadhi. Syarat-syarat bagi hukuman yang
dijatuhkan oleh megistrate.
Perkara 39 (a)
Undang-undang qisas atas kesalahan membunuh.
(b) Hukuman
bagi orang Islam yang membunuh bukan Islam
(c) Hukuman bukan Islam yang membunuh bukan Islam
Perkara 40:1 Hukuman rejam hingga mati/sebatan bagi
kesalahan zina. Hukuman mandatori bagi penzina yang belum berkahwin.
Perkara 40:2 Hukuman bagi homoseks dan hubungan seks dengan
haiwan adalah sama seperti perzinaan. Hukuman juga berbeza mengikut budi bicara
hakim.
Perkara 43:5 Undang-undang qisas dalam kes-kes
perkosaan
Dari senarai di atas terdapat beberapa
peruntukan berulang seperti hukuman potong tangan bagi kesalahan mencuri iaitu
seperti pada Perkara 7:2, Perkara 8:3:2(b) dan Perkara 11:1. Peruntukan yang
berulang-ulang ini menunjukkan betapa seriusnya kesalahan mencuri dan penegasan
perlaksanaan hukum hudud ke atas kesalahan tersebut. Namun hakikatnya Hukum
Kanun Melaka bukanlah undang-undang yang berdasarkan syariah Islam sepenuhnya.
Undang-undang setempat atau undang-undang adat turut mendapat tempat dalam
Hukum Kanun Melaka. Seperti dalam kesalahan mencuri, meskipun ditegaskan pada
beberapa peruntukan mengenai perlaksanaan hukum hudud, namun ada beberapa
peruntukan lain di mana kesalahan mencuri tidak dikenakan hukuman potong
tangan. Pesalah boleh dikenakan hukuman yang lebih berat iaitu hukuman mati
atau hanya dikenakan bayaran denda[9].
Malah perlaksanaan hukum potong tangan bagi kesalahan mencuri hanya
dilaksanakan pada zaman pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Shah. Tidak ada bukti hukuman potong tangan dilaksanakan pada
zaman pemerintahan Sultan-sultan yang lain.
Dari sudut yang lain pula peruntukan undang-undang setempat memberi ruang
kepada hakim berdasarkan budibicara untuk memutuskan samada untuk menjatuhkan
hukuman mengikut hukum syara’ atau hukum adat. Dengan ini hakim akan mengambil
kira kesan-kesan sosial yang mungkin timbul jika hukum syariat dilaksanakan
sepenuhnya. Penggubal Hukum Kanun Melaka mengambil pendirian berkecuali dengan
harapan para hakim menjatuhkan hukuman yang setimpal berdasarkan prinsip
kebenaran (al-haq) dan keadilan.
Terdapat juga beberapa peruntukan yang menyediakan alternatif di antara
Undang-undang syariat dan undang-undang adat atau kompromi di antara keduanya
terutama yang melibatkan kesalahan jenayah yang membawa kepada hukuman bunuh.[10]
Hukum adat yang menyalahi syarak juga terdapat kepada
peruntukan yang melibatkan kes bunuh yang tertentu, kes menyetubuhi isteri
orang dan kes perkosaan. Bukan sahaja kesalahan tersebut tidak dikenakan
hukuman qisas dan hadd, malah dibezakan menurut status sosial sipelaku jenayah[11].
Membezakan hukuman menurut kedudukan sosial amat ditentang oleh Islam yang
tidak memilih bulu dalam melaksanakan tuntutan kebenaran dan keadilan. Ini
adalah berdasarkan kepada peristiwa yang pernah berlaku di zaman Nabi Muhammad
S.A.W di mana seorang bangsawan telah tsabit melakukan kesalahan mencuri.
Kaumnya telah memohon kepada Rasulullah S.A.W agar hukuman diringankan dan
diganti dengan bayaran denda. Rasulullah S.A.W amat murka dan mengatakan amalan
sebeginilah yang telah membinasakan umat terdahulu di mana jika orang miskin
dan hina di kalangan mereka melakukan kesalahan dihukum menurut undang-undang
Allah tetapi melepaskan golongan bangsawan dari hukuman tersebut. Kemudian
Rasulullah S.A.W berikrar jika anaknya Fatimah mencuri pastilah akan dijatuhkan
hukuman potong tangan.
Perlaksanaan undang-undang negeri atau adat yang bertentangan dengan hukum
syarak dalam Hukum Kanun Melaka boleh dilihat dari beberapa sudut. Yang pertama
orang Melayu sudah lama terdedah dengan hukum negeri atau hukum adat, samada
Adat Temenggung atau Adat Perpatih sebelum kedatangan Islam lagi. Apabila Islam
datang, tradisi dan adat mengalami satu proses rasionalisasi dan turut
digunapakai dalam perlaksanaan hukum dan undang-undang. Ungkapan ini jelas
tergambar kepada perbilangan di bawah
Adat bersendi hukum
Hukum bersendi syarak
Syarak bersendi kitabullah
Meski adat dikatakan bersendi syarak, hakikatnya banyak aspek dari hukum
adat yang bertentangan dengan syarak. Mungkin ianya boleh dilihat sebagai satu
proses evolusi berterusan ke arah perlaksanaan undang-undang syariat dalam
pelbagai lapangan hidup. Peruntukan-peruntukan yang bersandarkan hukum adat
dalam Hukum Kanun Melaka memberi pilihan kepada qadhi atau hakim untuk
memutuskan sesuatu hukuman ke atas masyarakat yang masih belum bebas dari
nilai-nilai dan tradisi lama berasaskan agama Hindu-Buddha. Namun apabila
undang-undang adat tidak lagi berupaya untuk memastikan kesejahteraan rakyat
maka undang-undang syariat dikuatkuasakan. Ini berlaku pada zaman pemerintahan
Sultan Alauddin Ri’ayat Syah di mana kejadian mencuri berlaku dengan
berleluasa, menyebabkan kerugian dan berlaku setiap malam tanpa henti. Apabila
hukuman potong tangan dikuatkuasakan tidak ada lagi kes kecurian dan Melaka
kembali aman[12].
Adalah amat menarik untuk membuat satu unjuran kepada perkembangan
perlaksanaan undang-undang syariat dalam senario tidak berlakunya penjajahan
Barat yang telah membantutkan proses tersebut dan meminggirkan undang-undang
syariat kepada juzuk-juzuk kecil dalam kehidupan seorang muslim. Potensi untuk
perlaksanaan undang-undang Islam secara lebih menyeluruh dapat diukur melalui
pengaruh Hukum Kanun Melaka dalam penggubalan undang-undang bertulis di Tanah
Melayu dan serantau seperti Undang-undang Kedah, Undang-undang 99 Perak,
Undang-undang Pahang, Undang-undang Johor , Hukum Kanun Datuk Star dan
Undang-undang Brunei.[13]
Isteri (Zuraidah Kornain) dan anak (Mohd Qayyim Hafidzi)
penulis bergambar pada papan tanda makam Sultan Alauddin Ri’ayat Syah, Sultan
Melaka yang terdapat di Pagoh, Johor. Baginda adalah Sultan yang menegakkan
sistem pemerintahan yang adil dan melaksanakan hukum syarak. (Gambarfoto ini
diambil pada tahun 1989)
Jika Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka ditulis pada zaman
Sultan Muzaffar Shah (1424 – 1444) dan terdapat dalam bentuk manuskrip, ada
satu lagi teks undang-undang yang lebih tua iaitu Batu Bersurat Terengganu yang
bertarikh 1303M[14].
Jika Undang-undang Melaka dapat dibaca dengan jelas dan terdapat pula sumber
bertulis yang lain terutama Sejarah Melayu yang membekalkan maklumat tambahan,
latar belakang serta perlaksanaan, keadaan yang sama tidak berlaku pada Batu
Bersurat Terengganu. Ia wujud sebagai bukti tunggal yang tidak disokong oleh
mana-mana inskripsi yang lain apatah lagi dokumen dalam bentuk manuskrip[15].
Di samping itu sebahagian dari Batu tersebut telah patah sebahagiannya dan
bahagian yang patah itu hilang tidak dapat dikesan. Batu itu juga serpih pada beberapa bahagian dan
tulisannya tidak dapat dibaca pada beberapa tempat. Namun yang menariknya Batu
tersebut menggariskan beberapa hukum-hukum syariat yang diguna pakai. Tiga
butiran undang-undang telah hilang bersama bahagian Batu yang tidak dapat
dikesan. Peraturan yang keempat ialah berkaitan hutang-piutang. Peraturan
kelima dan keenam tidak dapat dipastikan kerana sebahagian hurufnya telah
hilang. Cuma ia dapat dipastikan masih berkaitan muamalat.
Peraturan yang jelas terpelihara dan dapat dibaca dengan baik ialah
berkaitan zina, seperti berikut[16]:
“Orang berbuat bala cara laki laki perempuan setitah
Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu
Seratus ratun jika merdeka beristeri
Atawa perempuan bersuami ditanam hinggaka
Pinggang di hambalang dengan batu dimatikan.
Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian. Pertama tarikh yang terpahat
pada batu bersurat tersebut iaitu 1303M. Tarikh ini adalah mendahului
pengislaman Sultan Melaka iaitu sekitar 1404M selama seratus tahun. Ini
bermakna dalam konteks sejarah tanah Melayu, sistem pemerintahan Islam telah
lama berdiri di Kuala Berang jauh sebelum berdirinya sebuah kerajaan beragama
Islam di Melaka. Tarikh ini sebenarnya tidak begitu menonjol kerana pada waktu
yang sama berdiri sebuah Kerajaan beragama Islam di Samudera Pasai dengan
Islamnya raja Meurah Silu. Malah jauh lebih awal lagi iaitu sekitar 1136M raja
Kedah yang pertama masuk Islam. Yang menjadi perhatian di sini ialah warisan
Hindu-Buddha tergambar jelas pada tulisan pada Batu tersebut. Meskipun tulisan
jawi digunakan dan bukannya tulisan Melayu tua Pallava atau rencong, menunjukkan
pengaruh Arab yang kuat, namun istilah Hindu-Buddha iaitu ’Dewata Mulia Raya’
digunakan untuk merujuk kepada Tuhan atau Allah. Ini juga bukanlah satu
persoalan yang besar kerana banyak perkataan Sanskrit seperti ’syurga’,
’neraka’, ’pahala’ dan ’dosa’ menjadi sebahagian dari istilah yang
diIslamkan dan menerangkan konsep-konsep akidah Islam. Begitu juga
istilah-istilah yang digunakan oleh orang Melayu pada zaman pemujaan ruh nenek
moyang seperti ’sembahyang’ yang berasal dari ’sembah hyang’ atau menyembah
Sang Hyang atau moyang kini tidak membawa maksud selain dari solat. Jadi
penggunaan istilah ’Dewata Mulia Raya’ tidak menimbulkan sebarang masaalah.
Yang hendak ditonjolkan di sini ialah pengaruh Islam yang diperkirakan baru
bertapak di Kuala Brang dan istilah Hindu masih digunakan untuk menerangkan
konsep Tuhan, namun undang-undang Islam telah diistiharkan sebagai
Undang-undang negeri. Perentah raja dan rakyat supaya berpegang dengan ajaran
Islam dinyatakan dengan jelas seperti terjemahan yang diusahakan oleh Dato’
Haji Muhammad Saleh bin Haji Awang (MISBAHA)[17].
”Rasulullah berserta dengan
sahabat-sahabat atau Rasulullah dengan ruh-ruh yang suci.
Percaya keesaan Allah Subhanahu wa
Ta’ala, Tuhan yang Maha suci lagi Maha Tinggi menyuruh sekelian rakyat
berpegang teguh kepada ajaran-ajaran Agama Islam.
Berserta dengan penuh hormat pada
undang-undang, memerintah hamba-hamba Tuhan Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi.
Di negeri ini, mereka yang menerangkan
ajaran-ajaran Rasulullah salla Llahu alaihi wa sallam di muka bumi ini ialah
sekelian raja Mandalika.
Penerangan atau pemasyuran itu adalah
kewajipan yang mesti dijalankan oleh raja Mandalika yang berugama Islam.
Mengikut perintah Tuhan Yang Maha Suci
lagi Maha Tinggi dengan mengambil pandangan atau penentuan yang sebenar.
Di atas pengajaran-pengajaran itu di
negeri ini bagaimana yang dibentang atau diterangkan di dalam pemasyhuran itu
dan bila Seri Paduka.
Mula memerintah supaya membuat tulisan
ini di Negeri Terengganu maka masa itu ialah pada
Hari Jumaat yang pertama di dalam bulan
Rejab tahun saratan di zaman
Rasulullah telah berlalu tujuh ratus
dua tahun”
Satu perkara yang menarik lagi ialah apabila Kuala Brang dilihat dalam
konteks serantau pada tarikh yang tertera pada Batu tersebut. Kuala Brang atau
’Foloan’ iaitu nama yang dirujuk dalam tulisan-tulisan dari cina berada di
bawah jajahan takluk Majapahit pada pertengahan kurun ke 14 semasa era Patih
Gajah Mada dengan gagasan Imperialisme Nusantaranya. Dasar Majapahit ke atas
wilayah Islam dapat disimpulkan ke atas serangannya ke atas Kerajaan Islam
Samudera Pasai dan juga ke atas Giri yang menjadi pusat penyiaran agama Islam
di Jawa. Apakah Kuala Berang turut diserang Majapahit? Tiada petunjuk sejarah
untuk menafi atau menyokongnya. Yang pasti ialah Kuala Brang adalah sebahagian
dari jajahan takluk dan membayar ufti kepada Majapahit. Kuala Brang pada zaman
silam adalah sebuah pelabuhan yang besar. Daerah Kampung Buluh, di mana Batu
Bersurat ditemui, dalam Kuala Brang di masa dahulu ialah sebuah sungai yang
terbentang luas seperti laut. Penemuan sauh besi besar disitu membuktikan
perkara ini. Pengarang Cina, Chao Chu Fei yang menyusun catatan Ling Wai Tai
dalam tahun 1178M, menyebut bahawa Foloan sebagai sebuah pelabuhan teragung
atau Kerajaan Laut. Catatan itu juga menyebut mengenai hubungan dagang yang
terjalin di antara Foloan dengan Indo-china dan Srivijaya. Pemerentah Foloan
dilantik oleh Raja Srivijaya yang datang sebulan sekali ke Foloan untuk
menyembah patung Buddha di situ[18].
Semua ini menimbulkan tanda tanya mengenai banyak perkara. Jika hukum Islam
dilaksanakan pada awal kurun ke 14, bilakah sebenarnya agama Islam sampai ke
situ? Siapakah yang membawa agama Islam di Kuala Brang? Mungkinkah ia
disebarkan oleh pedagang Arab yang berulang alik ke Cina sejak kurun pertama
hijrah lagi? Atau mungkinkah ia disebarkan oleh usaha dakwah dari utara samada
Champa atau tanah besar Cina sendiri. Kesemua ini tiada jawapan sehingga
petunjuk baru mengenai sejarah pengislaman Kuala Brang atau Terengganu ditemui.
Penemuan Batu Bersurat Terengganu adalah satu anugerah yang sangat penting
dalam pengkajian sejarah Nusantara kerana ia memberi motivasi ke arah
menghidupkan semula peradaban dan perundangan Islam di rantau Alam Melayu.
Penemuan ini juga memberi satu isyarat mungkinkah tempat-tempat lain juga telah
dilaksanakan hukum syariat sebagaimana halnya di Kuala Brang pada awal kurun ke
14? Persoalan ini hanya boleh dijawab sekiranya ditemui pula
tinggalan-tinggalan berupa inskripsi di masa akan datang.
Bukti sejarah dari Melaka dan Kuala Brang membawa kepada beberapa
kesimpulan. Pertama pemerintahan Islam berdiri bersama dengan Undang-undang
Syariat. Samada Undang-undang itu dilaksanakan sebahagian atau bercampur-campur
dengan Undang-undang adat ia tetap membuktikan bahawa hukum-hakam syara’
merupakan aspek perundangan negeri yang penting. Kedua peruntukan-peruntukan
Undang-undang Islam yang turut meliputi kesalahan jenayah menunjukkan
Negeri-negeri di Tanah Melayu telah mencapai tahap kemajuan yang membanggakan
apabila syariat di daulatkan lebih dari 500 tahun lalu. Kini setelah Tanah
Melayu melalui fasa penjajahan, Undang-undang Syariat dipinggirkan dan diganti
dengan Undang-undang Sivil yang diwarisi dari penjajah British. Ketiga
perlaksanaan Undang-undang Islam berlaku dalam sebuah negeri kosmopolitan.
Melaka adalah Pelabuhan utama dan Pusat perdagangan antarabangsa yang
dikunjungi oleh pelbagai bangsa dan agama. Namun Undang-undang yang satu
digunapakai untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan pedagang asing. Kuala Brang
juga dikenalpasti sebagai pelabuhan penting yang dikunjungi oleh pedagang asing
dari Cina dan barat. Ini adalah hujah yang penting bagi menyokong perlaksanaan
Undang-undang Syariat di negara-negara umat Islam di Asia Tenggara terutama
Malaysia. Masyarakat majmuk dan kepelbagaian kaum samasekali bukan alasan untuk
tidak melaksanakan Undang-undang Islam malah sebagai sebab yang cukup baik
untuk melaksanakannya.
[1] Hukum Kanun Melaka juga dikenali
sebagai Undang-undang Darat Melaka dan Risalat Hukum Kanun, di samping 46
salinan dengan pelbagai tajuk iaitu Undang-undang Melaka, Undang-undang Negeri dan
Pelayaran, Surat Undang-undang, Kitab Undang-undang, Undang-undang Raja Melaka,
dan Undang-undang Sultan Mahmud Shah, Kitab Hukum Kanun dan Surat Hukum Kanun. Empat puluh
enam salinan tersebut tersimpan dalam pelbagai versi seperti Undang-undang
Melaka versi Aceh, versi Patani, Undang-undang Islam dan Johor, sebanyak lima
salinan versi yang panjang, enam salinan versi yang lebih pendek dan versi dari
salina yang tercerai-berai. Lihat Muhammad Yusuf Hasyim Ibid., hlm. 154.
Undang-undang Laut Melaka juga dikenali sebagai Adat Pelayaran Melaka, Kitab
Peraturan Pelayaran dan Hukum Undang-undang Laut. Rujukan mengenai Hukum Kanun
Melaka dan Undang-undang Laut Melaka boleh didapati dari Liaw Yock Fang, 1973.
Satu catatan tentang Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Melayu lama Dewan
Bahasa. Vol 17, hlm. 420 – 424; Liaw Yock Fang, 1976. Undang-undang Melaka.
The Laws of Malacca. Bibliotheca Indonesica 13. The Hague; Liaw Yock Fang,
1983. The Undang-undang Melaka. Sandhu, K.S. and Wheatley, P. (eds.) Melaka:
The transformation of a Malay Capital. C. 1400 – 1980. Oxford University
Press, hlm. 180 – 194 ; Winstedt, R.O., dan
Josselin de Jong, P.E., 1956. The Maritime laws of Malacca JMBRAS. Vol.
XXIX. Pt 3, hlm. 22 – 59.
[4] Sejarah Melayu menyebut “Sebermula adalah Sultan Muzaffar Shah di atas kerajaan
itu, terlalu baik budi pekerti baginda dengan adilnya dan murah serta ampun
periksa dengan saksama pada mengasihi rakyat baginda; dan bagindalah menyuruh
membuat kitab undang-undang supaya jangan bersalahan lagi segala hukum menteri.
Lihat Salalatus Salatain. Abdul Samad Ahmad. op. cit., hlm. 86 –
87.
[5] Bagi
pesalah bujang setelah menjalani sebatan, mereka dipaksa kahwin. Jika enggan
mereka didenda sebanyak satu tahil dan satu paha emas. Lihat Wnstedt, R.O. dan Josselin de Jong.
P.E. de, op. cit., hlm. 32.
[9] Sebagai contoh Perkara 7:2
memperuntukan; “Dalam kes seorang pencuri, dia boleh ditangkap dan dibunuh, atau dia boleh membayar denda, separuh darinya kepada
menteri dan separuh lagi kepada yang empunya barang yang dicuri, oleh kerana
menteri tidak mengetahui nilainya. Di bawah undang-undang Allah seorang pencuri
tidak dikenakan hukuman mati, tetapi dipotong tangannya”. Perkara 11:2 pula
memperuntukan “Seseorang yang bersalah mencuri hasil pertanian seperti tebu,
pisang, buah pinang, daun sireh dan lain-lain buah-buahan tidak dikenakan
hukuman potong tangan tetapi akan didenda sepuluh tahil emas oleh hakim dan apa
yang dicurinya akan digantung pada lehernya dan dia akan diarak keliling kota.
Jika ia telah memakan buah-buahan tersebut, dia akan diperintahkan oleh hakim
untuk membayar nilai barangan yang dicuri dan ditambah dengan denda sebanyak
sepuluh tahil emas. Begitu juga Perkara 11:3 bagi kesalahan mencuri sampan dan
Perkara 11.4 bagi kesalahan mencuri kerbau, biri-biri dan kambing.
Kesalahan-kesalahan ini hanya melibatkan bayaran mengikut nilai barangan yang
dicuri atau denda yang ditentukan jumlahnya.Lihat Muhammad Yusuf Hasyim.
op. cit., hlm. 163.
[10] Ibid.,
hlm. 160, sebagai contoh Perkara
12:2. “Tidak dibenarkan seseorang memaksa dirinya ke atas orang lain
(memperkosa). Jika seorang wanita merdeka diceroboh maruahnya, hakim akan
dimaklumkan, dan akan memerintahkan tertuduh untuk mengahwini wanita tersebut.
Jika tertuduh enggan, dia akan didenda tiga tahil dan satu paha emas atau yang
bersamaan dengan nilai maskahwin yang sesuai dengan rakyat. Berdasarkan hukum
Allah, jika ia seorang penzina, dia akan direjam. Jika dia belum berkahwin, dia
akan menerima 80 sebatan. Itulah undang-undangnya sehingga hukuman dijatuhkan.”
[11] Ibid.,
hlm. 174, sebagai contoh Perkara
12:3 Hukum Kanun Melaka mengatakan: “Undang-undang berkaitan mereka yang
membuat tuduhan zina palsu, mengikut Undang-undang Allah akan dikenakan 80 kali
sebatan. Jika dibawah
undang-undang Statut dia akan didenda sebanyak 10 tahil emas. Jika yang menuduh
seorang pemilik hamba, dia akan didenda sebanyak dua tahil dan satu paha atau
separuh dari jumlah itu. Jika tuduhan tersebut sahih dia tidak akan dikenakan
sebarang hukuman. Jika yang membuat tuduhan adalah hamba kepada tuannya, dia
akan didenda separuh dari jumlah itu”.
[12] Sejarah Melayu menyebut “Maka titah
baginda (Sultan Alaudin Ri’ayat Shah) kepada Seri Maharaja: Jikalau orang mendapat
harta orang, jika tiada dipulangkannya pada yang empunya, disuruh baginda
kudung tangannya; jikalau tiada bertemu dengan yang empunya harta, ke balai
itulah dihantarkan. Maka di dalam negeri Melaka itu,
jikalau harta orang gugur di jalan atau pekan, maka dicarinyalah di balai itu;
dan apakala didapati pula oleh orang, maka adalah tergantung di balai itu;
demikianlah peribadi Sultan Alaudin Riayat Shah. Wa’llahu a’lamu bi’l-sawab,
wa ilaihi’l-marji’u wa’al ma’ab. Lihat Sulalatus Salatin. Abdul Samad Ahmad.
op. cit., hlm.175. Tentang ketegasan Seri Maharaja menangani masalah
pencuri yang berleluasa disebut oleh Sejarah Melayu seperti berikut “Semenjak
itu (peristiwa Sultan Alaudin Riayat Shah sendiri yang mengejar dan membunuh
pencuri pada malam hari) maka kawal Seri Maharajapun terlalu keras. Jika
bertemu dengan orang berjalan dibunuhnya, tiada ditangkapnya lagi. Pada suatu
malam Seri Maharaja berkawal, bertemu dengan seorang pencuri; maka diparang
oleh Seri Maharaja dengan pedang bertupai, putus bahunya; maka tersampai pada
alang kedai itu. Telah hari siang maka perempuan yang punya kedai itupun hendak
membuka kedai, maka dilihatnya lengan orang tersampai pada alang kedainya itu;
maka iapun terkejut, lalu menjerit. Maka daripada hari itulah datang kepada akhirnya,
tiada pencuri lagi dalam negeri Melaka.
[13] Winstedt,
R.O., 1928. Kedah Laws. JMBRAS. Vol. VI. 2, hlm. 5; Jakeman, R.W., 1951. The Pahang Kanun of the Sultan Abdul Ghaffur, another text.
JMBRAS. XXIV. Pt. 3, hlm. 1510 -1.; Kempe, J.E. and Winstedt, R.O., 1948. A
Malay Legal Digest JMBRAS XXI. 1, hlm. 1 – 24.; Winstedt,R.O., 1952. A
Malay legal miscellany JMBRAS XXVI. Pt. 1, hlm. 1 – 19; Abu Hassan bin Mohd
Sham, 1972. Undang-undang Melaka dan Undang-undang Brunei yang di bawah
pengaruhnya M.A. thesis, Malay Studies Department, University of Malaya;
J.R. Logan, 1855. A translation of the Malay Laws of the Principality of
Johore. JIA no. 9, hlm. 71 – 95.
[14] Menurut Prof. Syed Muhammad Naquib
al-Attas, tarikh yang terpahat pada Batu Bersurat itu ialah pada hari Jumaat
awal Rejab tahun 702Hijrah atau bersamaan 22 Februari 1303. Lihat Syed
Muhammad Naquib al-Attas, 1970. The correct date of the Terengganu
Inscription. Muzium Negara, Kuala Lumpur, hlm. 23.; Ustaz Haji Muhammad
Khair bin Haji Taib, seorang ahli falak Melayu yang terkenal, menyatakan bahawa
awal Rajab tahun 702 itu jatuh pada hari Selasa bersamaan 19 Februari 1303, ini
bermakna hari Jumaat pertama bulan Rajab 702 bersamaan 22 Februari 1303. Lihat
Haji Muhammad Saleh bin Haji Awang, 1983. Sejarah
Darul Iman hingga 1337H = 1918M. Utusan
Publications and Distributors Sdn Bhd., hlm. 71; Kajian-kajian awal tentang
Batu Bersurat oleh penjajah Barat boleh dirujuk dalam Peterson, M.H.S.,
1924. An early inscription from Terengganu. JMBRAS Vol II. Pt. 2;
Blagden, C.O., 1924. A note on the Terengganu Inscription JMBRAS. Vol
XXII. Pt. 3, C.O. Blagden telah mengusulkan beberapa tarikh yang mungkin iaitu
702 atau 708, 720 – 728 dan 780 – 789. Walaubagaimanapun tahun 702H adalah
disepakati oleh sarjana terkemudian sebagai tarikh yang tepat.
[15] Batu
Bersurat Terengganu pertama kali ditemui pada tahun 1887M ditebing sebuah
sungai berhampiran Kampung Buloh, Kuala Brang. Batu itu kemudiannya dipindahkan
ke Surau Tok Abdul Rashid dan dijadikan sebagai pelapik tempat orang membasuh
kaki sebelum naik ke masjid. Pada tahun 1902 seorang ahli perniagaan Sayid
Husein ketika ia singgah untuk bersembahyang zuhur. Batu ini kemudian dibawa ke
Kuala Terengganu dan dipersembahkan kepada Sultan Zainal Abidin III. Batu ini
kemudiannya dibawa ke Singapura untuk bahan kajian dan kini menjadi eksibit
tetap Muzium Negara, Kuala Lumpur. Lihat Dato’ Haji Muhammad Saleh bin
Haji Awang, op. cit., hlm. 45 – 52.
[16] Ibid,
hlm. 70 – 71, teks asal muka dua
atau ‘tampang B’ pada Batu Bersurat sebagaimana yang dibacakan oleh En. Hamdan
Hassan dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur dalam Seminar Kedatangan Islam ke
Terengganu ialah seperti berikut:
‘Keluarga di benua jauh jika (mintakan bahagian)
Datang berikan. Keempat (derma*) orang berpiutang
Jangan mengambillan (laba jika ambil) hilangkan emas
Kelima derma barang orang (laki-laki) merdeka
Jangan mengambil tukul (buat pakai) emas
Jika
ambil hilangkan emas. Keenam derma barang.
Orang berbuat balacara laki-laki perempuan satitah
Dewata Mulia Raya jika merdeka bujang palu
Seratus rotan.Jika merdeka beristeri
Atau perempuan bersuami ditanam hinggakan
Pinggang di hambalang dengan batu matikan
Jika ingkar (balacara) hambalang jika anak Mandalika**.’
*derma adalah perkataan sanskrit
bermaksud undang-undang.
**Mandalika bermasud raja yang
memerintah.
[18] Catatan Chao Chu Fei “Selama empat hari
perjalanan dari Ling ya su chie (Langkasuka) seseorang boleh sampai ke
Kerajaan Foloan. Perjalanan
ke Foloan boleh juga dibuat ikut jalan darat. Dua buah patung Buddha telah
terbang (didatangkan) ke negeri itu... Hasil keluaran negeri itu termasuklah
‘su’ dan ‘chan’ (kayu gaharu), kayu laka, gading dan diperniagakan dengan
bangsa asing untuk mendapatkan emas, perak, proselin, besi, arak, beras, gula
dan gandum. Tiap-tiap tahun kerajaan Foloan menghantar ufti kepada Kerajaan San
fo chih (Sriwijaya). Negeri itu (Foloan) berjiran dengan Peng heng
(Pahang), Teng ya nu (Terengganu) dan Chi lan tan (Kelantan) dan
negeri-negeri itu bersamaan keadaannya... Tiap-tiap tahun raja dari San fo
chih datang menghormati patung Buddha di negeri itu dengan membakar
kemenyan di hadapan patung Buddha yang mereka pandang suci itu; Pada abad ke 13
(tahun 1226) seorang lagi penulis Cina Chua Ju kua menyebut salah sebuah dari
negeri takluk San fo chih ialah Tengya nung (Terengganu); Dalam
abad ke 14 seorang lagi pengembara Cina Wang Ta yuan menyebut sebuah negeri Ting
chia lu dalam catatannya Tao i Chih leo pada tahun 1349. Negeri Ting
chia lu digambarkan sebagai sebuah pulau berbentuk segi tiga tercerai dari
jiran-jiran oleh sebatang sungai. Hasil keluaran negeri yang disenaraikan ialah
kayu laka, kapur,barus, lilin,lebah dan kulit penyu serta ditukar dengan
porselin warna biru dan putih, kapas chanceng (Annam – sekarang Vietnam),
sutera merah jenis lembut, timah, berjenis-jenis arak dan lain-lain. Dikutip
oleh Buyong (hj.) Adil, 1982. Sejarah Terengganu, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur, hlm. 6 – 9.
Sumber:
Posted by Dr Hafidzi Mohd Noor
0 comments:
Post a Comment