Hikmah di sebalik musibah -
ALLAH menjanjikan Syurga bagi hamba-NYA
yang menjalani hidup dengan baik. Hidup di dunia tidak akan sentiasa
menyenangkan. Setiap manusia digilirkan untuk merasai perkara yang disukai dan
yang dia benci. Ini kerana dunia adalah tempat ujian bagi manusia untuk
membuktikan siapa di kalangan hamba Allah yang benar imannya dan siapa yang berdusta.
Firman ALLAH, “Sungguh Kami telah
menguji orang-orang sebelum mereka, dan Allah pasti mengetahui orang-orang yang
benar dan Dia pasti mengetahui orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 3)
Imam Ibnu Katsir rh. menjelaskan
dalam tafsirnya: “(Agar dibezakan) orang yang benar dalam pengakuannya dari
orang yang dusta dalam ucapan dan pengakuannya. Sedangkan Allah SWT Maha
Mengetahui apa yang telah terjadi, yang sedang terjadi, dan yang akan terjadi.
Allah juga mengetahui cara terjadi sesuatu bila hal itu terjadi. Hal ini adalah
ijma’ para imam Ahlus Sunnah wal Jamaah.”
Antara bentuk ujian yang dihadapi
manusia adalah seperti firman Allah, “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan
kepadamu, dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.
Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu yang apabila
ditimpa musibah mereka mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi
raaji’uun (Sesungguhnya kita milik ALLAH dan kepadaNYA kita
dikembalikan).” Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat
dari Tuhan mereka, dan mereka itulah yang mendapat petunjuk.” (Al-BAqarah:
155-158)
Ayat ini menjelaskan bahawa orang
yang sabar ketika ditimpa musibah mendapat tiga keutamaan sekaligus; selawat
Allah, rahmat dan petunjukNya. Allah SWT tidak pernah mengumpulkan tiga
keutamaan sekaligus dalam satu ayat kecuali dalam ayat ini iaitu keutamaan bagi
orang yang sabar ketika mendapat musibah. Makna selawat Allah kepada orang yang
sabar ketika mendapat musibah adalah: Allah memuji orang tersebut di hadapan
para malaikatNya yang suci, hal ini sebagaimana yang dikemukakan oleh Abu
Al-‘Aliyah Al-Rayyahi rhm. (Syarh Al-Mumti’, Ibnu Al-Utsaimin)
Orang beriman percaya bahawa semua
takdir ALLAH itu baik dan ada hikmahnya, kerana Allah tidak menjadikan sesuatu
sia-sia. Mereka mengharap pahala dari-Nya dan hanya orang yang sabar dicukupkan
pahala tanpa batas, iaitu orang yang sabar semata-mata kerana Allah, bukan
kerana terpaksa. Ini kerana sabar yang diganjari pahala adalah sabar di awal
musibah.
Rasulullah SAW pernah melewati di
sebelah seorang wanita yang menangisi kematian anaknya. Baginda berkata
kepadanya, “Takutlah kepada Allah dan bersabarlah.” Wanita itu berkata, “Engkau
tidak rasa musibah yang aku alami.” Ketika Rasulullah SAW berlalu dari situ ada
sahabat berkata kepada wanita itu bahawa orang yang menasihati tadi adalah
Rasulullah SAW. Alangkah terkejutnya wanita itu, dia segera pergi ke rumah
Rasulullah SAW dan berdiri pintunya. Dia berkata, “Wahai Rasulullah, tadi aku
tidak mengenalmu. Sekarang aku sabar.” Rasulullah SAW bersabda, “Sabar itu di
awal musibah.” (Bukhari dan Muslim)
BERITA GEMBIRA BAGI ORANG YANG SABAR
DAN MENGHARAP PAHALA
Hikmah terbesar di sebalik musibah
adalah dihapuskan dosa dan diganjari pahala sehingga dia beroleh Syurga ALLAH
SWT. Nabi SAW bersabda, “Sungguh pahala yang besar bersama ujian yang besar.
Apabila Allah mencintai seseorang, Dia memberi ujian kepadanya, siapa yang
redha maka Allah redha padanya, dan siapa yang murka maka Allah murka
padanya.” (Sahih. Riwayat Al-Tirmidzi)
Dari Anas bin Malik, Nabi SAW
bersabda, “Apabila Allah menginginkan kebaikan pada hambaNya, disegerakan
baginya hukuman di dunia. Dan apabila Allah menginginkan keburukan pada
hambanya, ditahan baginya balasan dosanya hingga akan disempurnakan pada hari
kiamat.” (Hasan sahih. Riwayat Al-Tirmidzi)
Wuhaib bin Al-Ward rh. berkata,
“Apabila ALLAH SWT ingin memuliakan hambaNya, Dia menimpakan kepadanya sesuatu
yang tidak disukainya, kesakitan pada tubuhnya, dan ketakutan (yang menghapus
dosanya), sehingga kematian datang kepadanya dan dia masih memiliki dosa,
kematian dijadikan sangat sukar baginya disebabkannya (untuk menghapus dosa
yang masih berbaki), menyebabkan dia bertemu ALLAH tanpa dosa. Dan apabila
seseorang itu tidak bernilai pada ALLAH (disebabkan keingkarannya), ALLAH
menjadikannya sihat, meluaskan tujuan hidupnya dan menjadikan dia merasa aman
(ganjaran kebaikan yang dilakukannya dibalas ketika di dunia). Hingga kematian
datang dan dia masih ada sisa kebaikan (yang belum dibalas), maka kematian dijadikan
ringan baginya disebabkan kebaikannya, dan dia bertemu ALLAH tanpa
apa-apa.” (Al-Mujalasah wa Jawahir Al-Ilmi)
Rasulullah SAW bersabda: “Ujian
selalu bersama orang beriman lelaki dan perempuan, baik pada diri, anak dan
hartanya, sampai dia bertemu Allah dalam keadaan tidak mempunyai satu kesalahan
pun.” (Sahih. Riwayat Al-Tirmidzi)
Betapa manusia sangat memerlukan
ampunan dari Allah, kerana setiap anak Adam tidak lepas dari dosa. Jadi mengapa
harus mengeluh apabila ditimpa musibah? Jauhilah ucapan yang dimurkai,
hindarilah mengeluh dan mengadu kepada manusia kerana mengeluh kepada makhluk
adalah perbuatan hina. Sebaliknya mengadulah pada ALLAH sebagaimana yang
diucapkan oleh Nabi Yaakub, “Sungguh aku mengadu kesusahan dan kesedihanku
hanya kepada ALLAH.” (Yusuf: 86)
Nabi SAW berkata, “Mereka (para
Nabi) sangat gembira dengan musibah seperti kalian gembira dengan
kemudahan.” (Sahih. Riwayat Ahmad). Mengapa tidak, “Tidaklah
seorang muslim terkena musibah penyakit atau yang lainnya kecuali Allah menghapuskan
kesalahannya seperti pokok menggugurkan daun-daunnya.” (Bukhari dan
Muslim). Bahkan Nabi berkata, “Manusia pada hari Kiamat menginginkan
kulitnya dipotong-potong dengan gunting ketika di dunia kerana melihat betapa
besarnya pahala orang yang tertimpa musibah di dunia.” (Sahih.
Riwayat Baihaqi)
Ketahuilah, Allah tidak sesekali
menimpakan ujian kecuali sesuai kemampuan hambaNya. “Allah tidak membebani
seseorang kecuali dengan apa yang dia mampu.” (Al-Baqarah: 286). Allah
juga berfirman, “Tiada satu musibah yang menimpa di bumi dan dirimu melainkan
telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sungguh
demikian itu mudah bagi Allah, supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang
hilang darimu dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang
diberikan-Nya kepadamu. (Al-Hadid: 22-23)
Nabi SAW bersabda dalam hadis qudsi:
“Allah SWT berfirman, “Wahai anak Adam, jika engkau bersabar dan mengharap
pahala sejak awal tertimpa musibah maka Aku tidak rela memberi pahala untukmu
selain Syurga.” (Hasan. Riwayat Ibnu Majah)
Jika dibanding ujian yang kita
hadapi, tidaklah ia lebih berat dari apa yang menimpa umat Islam terdahulu,
yang digergaji kepalanya hingga terbelah dua, disikat badannya dengan sikat
besi sehingga nampak tulangnya, Sumayyah yang ditusuk kemaluannya hingga tembus
ke punggungnya oleh Abu Jahal, dan banyak lagi. Mereka diuji sesuai tahap
keimanan dan darjat mereka, dan kita diuji sesuai tahap keimanan kita.
Hendaklah kita bersyukur selama mana ujian itu tidak menimpa agama dan tidak
membuat kita berburuk sangka kepada ALLAH. Sabda Rasulullah, “Janganlah kamu
mati kecuali dalam keadaan berbaik sangka kepada Allah.” (Riwayat
Muslim)
Sumber : Dr.
Fathul Bari Mat Jahya
0 comments:
Post a Comment