Siapa Lelaki Dayus Menurut Islam ?
Sebenarnya,
untuk memahami siapakah lelaki dayus perlu di Iagak panjang kerana terlalu banyak tanggung
jawab suami dan ayah terhadap ahli keluarganya. Cuma bagi memudahkan kefahaman,
tulisan ringkas ini akan fokus kepada satu isu terlebih dahulu. Iaitu siapa itu
lelaki dayus yang dimaksudkan oleh Nabi SAW tidak akan masuk syurga.
Nabi
SAW bersabda :-
ثلاثة لا ينظر الله عز وجل إليهم يوم
القيامة: العاق لوالديه، والمترجلة، والديوث. رواه أحمد والنسائي
Ertinya
: Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari
dikenakan azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu bapa, si
perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS" ( Riwayat Ahmad
& An-Nasaie: Albani mengesahkannya Sohih : Ghayatul Maram, no 278 )
Dalam
sebuah hadith lain pula :
ثلاثةٌ قد
حَرّمَ اللهُ - تَبَارَكَ وَتَعَالَى - عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ،
والدّيّوثُ الذي يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي .
Ertinya
: Tiga yang telah Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si
penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh
ahli keluarganya" ( Riwayat Ahmad )
Malah
banyak lagi hadith-hadith yang membawa makna yang hampir dengan dua hadith ini.
Secara ringkasnya, apakah dan siapakah lelaki dayus?
ERTI
DAYUS
Dayus
telah disebutkan dalam beberapa riwayat athar dan hadith yang lain iaitu :-
1)
Sabda Nabi : -
وعن عمار بن ياسر عن رسول الله قال ثلاثة
لا يدخلون الجنة أبدا الديوث والرجلة من النساء والمدمن الخمر قالوا يا رسول الله
أما المدمن الخمر فقد عرفناه فما الديوث قال الذي لا يبالي من دخل على أهله
Ertinya
: Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah SAW berkata :
" Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaiatu Si DAYUS, si
wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak" lalu sahabat
berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi
apakah itu DAYUS? , berkata nabi : "IAITU ORANG YANG TIDAK MEMPERDULIKAN
SIAPA YANG MASUK BERTEMU DENGAN AHLINYA (ISTERI DAN ANAK-ANAKNYA) - ( Riwayat
At-Tabrani ; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat)
Dari
hadith di atas, kita dapat memahami bahawa maksud lelaki DAYUS adalah si suami
atau bapa yang langsung tiada perasaan risau dan ambil endah dengan siapa
isteri dan anaknya bersama, bertemu, malah sebahagiannya membiarkan sahaja
isterinya dan anak perempuannya dipegang dan dipeluk oleh sebarangan lelaki
lain.
2)
Pernah juga diriwayatkan dalam hadith lain, soalan yang sama dari sahabat
tentang siapakah dayus, lalu jawab Nabi:-
قالوا يا
رسول الله وما
الديوث قال من
يقر السوء في
أهله
Ertinya
: Apakah dayus itu wahai Rasulullah ?. Jawab Nabi : Iaitu seseorang ( lelaki)
yang membiarkan kejahatan ( zina, buka aurat, bergaul bebas ) dilakukan oleh
ahlinya ( isteri dan keluarganya)
Penerangan
Ulama Tentang Lelaki Dayus
Jika
kita melihat tafsiran oleh para ulama berkenaan istilah Dayus, ia adalah
seperti berikut :-
هو الذي لا يغار على أهله
Ertinya
: "seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap
ahlinya (isteri dan anak-anaknya) (An-Nihayah,2/147 ; Lisan al-Arab, 2/150)
Imam
Al-‘Aini pula berkata : "Cemburu lawannya dayus" ( Umdatul Qari,
18/228 )
Berkata
pula An-Nuhas :
قال النحاس هو أن يحمي الرجل زوجته وغيرها
من قرابته ويمنع أن يدخل عليهن أو يراهن غير ذي محرم
Ertinya
: cemburu ( iaitu lawan kepada dayus ) adalah seorang lelaki itu melindungi
isterinya dan kaum kerabatnya dari ditemui dan dilihat (auratnya) oleh lelaki
bukan mahram " (Tuhfatul Ahwazi, 9/357)
Disebut
dalam kitab Faidhul Qadir :
فكأن الديوث
ذلل حتى رأى
المنكر بأهله فلا
يغيره
Ertinya
: Seolah-olah takrif dayus itu membawa erti kehinaan (kepada si lelaki)
sehingga apabila ia melihat kemungkaran (dilakukan) oleh isteri dan ahli
keluarganya ia tidak mengubahnya" ( Faidhul Qadir, 3/327 )
Imam
Az-Zahabi pula berkata :-
فمن كان
يظن بأهله الفاحشة ويتغافل لمحبته
فيها فهو دون
من يعرس عليها
ولا خير فيمن
لا غيرة فيه
Ertinya
: Dayus adalah sesiapa yang menyangka ( atau mendapat tanda) bahawa isterinya
melakukan perkara keji ( seperti zina) maka ia mengabaikannya kerana CINTAnya
kepada isterinya , maka tiada kebaikan untuknya dan tanda tiada kecemburuan (
yang diperlukan oleh Islam) dalam dirinya" ( Al-Kabair, 1/62 )
Imam
Ibn Qayyim pula berkata :-
قال ابن القيم وذكر الديوث في هذا وما
قبله يدل على أن أصل الدين الغيرة من لا غيرة له لا دين له فالغيرة تحمي القلب
فتحمى له الجوارح فترفع السوء والفواحش وعدمها يميت القلب فتموت الجوارح فلا يبقى
عندها دفع البتة
Ertinya
: Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat (protective)
atau kecemburuan ( terhadap ahli keluarga) , dan barangsiapa yang tiada
perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan
cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan
dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota
( terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak
kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.
Dayus
adalah dosa besar
Ulama
Islam juga bersetuju untuk mengkategorikan dayus ini dalam bab dosa besar,
sehingga disebutkan dalam satu athar :
لَعَنَ اللَّهُ الدَّيُّوثَ ( وَاللَّعْنُ
مِنْ عَلَامَاتِ الْكَبِيرَةِ فَلِهَذَا وَجَبَ الْفِرَاقُ وَحَرُمَتْ
الْعِشْرَةُ)
Ertinya
: Allah telah melaknat lelaki dayus ( laknat bermakna ia adalah dosa besar dan
kerana itu wajiblah dipisahkan suami itu dari isterinya dan diharamkan bergaul
dengannya) (Matalib uli nuha, 5/320 )
Walaupun
ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia cukup untuk
menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan lelaki ini.
Petikan
ini pula menunjukkan lebih dahsyatnya takrifan para ulama tentang erti dayus
dan istilah yang hampir dengannya :
والقواد عند العامة السمسار في الزنى
Ertinya
: Al-Qawwad ( salah satu istilah yang disama ertikan dengan dayus) di sisi umum
ulama adalah broker kepada zina" (Manar as-sabil, 2/340 , rawdhatul
tolibin, 8/186 )
Imam
Az-Zahabi menerangkan lagi berkenaan perihal dayus dengan katanya :-
الديوث وهو الذي يعلم بالفاحشة في أهله
ويسكت ولا يغار وورد أيضا أن من وضع يده على امرأة لا تحل له بشهوة
Ertinya
: Dayus, iaitu lelaki yang mengetahui perkara keji dilakukan oleh ahlinya dan
ia sekadar senyap dan tiada rasa cemburu ( atau ingin bertindak), dan termasuk
juga ertinya adalah sesiapa yang meletakkan tangannya kepada seorang wanita
yang tidak halal baginya dengan syahwat" (Al-kabair, 1/45 )
Cemburu
Dituntut Islam & Jangan Marah
Ada
isteri yang menyalahkan suami kerana terlalu cemburu, benar cemburu buta memang
menyusahkan, memang dalam hal suami yang bertanya isteri itu dan ini menyiasat,
saya nasihatkan agar isteri janganlah memarahi suami anda yang melakukan
tindakan demikian dan jangan juga merasakan kecil hati sambil membuat
kesimpulan bahawa suami tidak percaya kepada diri anda. Kerap berlaku, suami
akan segera disalah erti sebagai ‘tidak mempunyai kepercayaan' kepada isteri.
Sebenarnya,
kita perlu memahami bahawa ia adalah satu tuntutan dalam Islam dan menunjukkan
anda sedang memiliki suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.
Selain
itu, bergembiralah sang suami yang memperolehi isteri solehah kerana suami
tidak lagi sukar untuk mengelakkan dirinya dari terjerumus dalam lembah
kedayusan. Ini kerana tanpa sebarang campur tangan dan nasihat dari sang
suami, isteri sudah pandai menjaga aurat, maruah dan dirinya.
Nabi
SAW bersabda :
من سعادة
ابن آدم المرأة
الصالحة
Ertinya
: "Dari tanda kebahagian anak Adam adalah memperolehi wanita solehah (
isteri dan anak)" ( Riwayat Ahmad, no 1445, 1/168 )
Memang
amat beruntung, malangnya tidak mudah memperolehi isteri solehah di zaman
kehancuran ini, sebagaimana sukarnya mencari suami yang tidak dayus. Sejak
dulu, agak banyak juga email dari pelbagai golongan muda kepada saya menyebut
tentang keterlanjuran mereka secara 'ringan' dan 'berat', mereka ingin
mengetahui cara bertawbat.
'Ringan-ringan'
Sebelum Kahwin
Jika
seorang bapa mengetahui 'ringan-ringan' anak dan membiarkannya, ia dayus.
Ingin saya tegaskan, seorang wanita dan lelaki yang telah 'ringan-ringan' atau
'terlanjur' sebelum kahwin di ketika bercinta, tanpa tawbat yang sangat serius,
rumah tangga mereka pasti goyah. Kemungkinan besar apabila telah berumah
tangga, si suami atau isteri ini akan terjebak juga dengan 'ringan-ringan'
dengan orang lain pula.
Hanya
dengan tawbat nasuha dapat menghalangkan aktiviti mungkar itu dari melepasi
alam rumah tangga mereka. Seterusnya, ia akan merebak pula kepada anak-anak
mereka, ini kerana benih 'ringan-ringan' dan 'terlanjur' ini akan terus merebak
kepada zuriat mereka. Awas..!!
Dalam
hal ini, semua suami dan ayah perlu bertindak bagi mengelakkan diri mereka
jatuh dalam dayus. Jagalah zuriat anda.
Suami
juga patut sekali sekala menyemak hand phone isteri, beg isteri dan lain-lain
untuk memastikan tiada yang diragui. Mungkin ada isteri yang curang ini dapat
menyembunyikan dosanya, tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan
tertangkap jua. Saya tahu, pasti akan ada wanita yang kata.
"habis,
kami ini tak yah check suami kami ke ustaz?"
Jawabnya,
perlu juga, cuma topic saya sekarang ni sedang mencerita tanggung jawab suami.
Maka perlulah saya fokus kepada tugas suami dulu ye.
Cemburu
seorang suami dan ayah adalah wajib bagi mereka demi menjaga maruah dan
kehormatan isteri dan anak-anaknya.
Diriwayatkan
bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi
قَالَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ : لَوْ
رَأَيْتُ رَجُلاً مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ
، فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللّهِ صلى الله عليه على آله وسلم فَقَالَ :
أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ ؟ فَوَ الله لأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ ، وَالله
أَغْيَرُ مِنّي ، مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ الله حَرّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ
مِنْهَا وَمَا بَطَن.
Ertinya
: Berkata Ubadah bin Somit r.a : "Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk
bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku", maka
disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu nabi memberi respond :
"Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh
Sa'ad ? , Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama)
berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan Allah
itulah maka diharamkan setiap perkara keji yang ternyata dan
tersembunyi.. ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )
Lihat betapa Allah dan RasulNya inginkan para suami dan
ayah mempunyai sifat protective kepada ahli keluarga dari melakukan sebarang
perkara keji dan mungkar, khasnya zina.
BILA
LELAKI MENJADI DAYUS?
Secara mudahnya cuba
kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila :-
1) Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati
oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.
2)
Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama
dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa
yang menghantar.
3)
Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat
(terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang
menyebabkan aurat terlihat.
4)
Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman
lelaki bukan mahramnya.
5)
Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah
kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.
6)
Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai
pakaian yang seksi di luar rumah.
7)
Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan
lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia
bukan mahram.
8)
Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan
lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah
semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.
9)
Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan
sempurna.
10)
Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab
yang diiktoraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang
sepertinya.
11)
Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa
terdesak dan keperluan yang tiada pilihan. Jikalau WUJUD terdesak atau
tiada pilihan atau ada kes khas kesihatan yang memerlukan atau tiada kemampuan
kewangan sangat, ada keringanan dan bukan dayus.
12)
Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati bahagian dalam kawasan
aurat oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang
mempunyai doktor wanita. Tiada pula terdesaknya keadaan.
13)
Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat
tanpa sebarang cemburu.
14)
Membiarkan isteri kerap berdua-duan dengan pemandu kereta lelaki tanpa
sebarang pemerhatian.
Terlalu
banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit
kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara
terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah
bertanggungjawab dan tidak sabit 'dayus' kepada dirinya.
Mungkin
kita akan berkata dalam hati :-
" Jika
demikian, ramainya lelaki dayus di kelilingku"
Lebih
penting adalah kita melihat, adakah kita sendiri tergolong dalam salah satu
yang disebut tadi.
Awas
wahai lelaki beriman..jangan kita termasuk dalam golongan yang berdosa besar
ini.
Wahai
para isteri dan anak-anak perempuan, jika anda sayangkan suami dan bapa anda,
janganlah anda memasukkan mereka dalam kategori DAYUS yang tiada ruang untuk ke
syurga Allah SWT.
Sayangilah
dirimu dan keluargamu. Jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.
Akhirnya,
wahai para suami dan ayah, pertahankan agama isteri dan keluargamu walau
terpaksa bermatian kerananya. Nabi SAW bersabda :
من قتل
دون أهله فهو
شهيد
Ertinya
: "Barangsiapa yang mati dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya,
maka ia adalah mati syahid" ( Riwayat Ahmad , Sohih menurut Syeikh Syuaib
Arnout)
Sumber:
Zaharuddin Abd Rahman
0 comments:
Post a Comment