Romantik
Itu Sunnah Nabi
Sebut saja romantik, anak muda mula
tertarik hati…mungkin yang diketahui romantik sesama ‘couple’…No..No..No..ini
romantik sesama pasangan suami isteri.. Apa lagi…Jom ramai-ramai kita pakat
kahwin. Isy..Isy..best oo kahwin…kalautak percaya..cubalah kahwin..hehehe..
Rasulullah SAW adalah gedung segala
sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing
baginda dengan didikan-Nya yang terbaik. Sehingga Allah berfirman kepada
baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat 4 bermaksud : “Dan
sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”.
Sifat-sifat yang sempurna inlah yang
membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka
mencintai baginda. Menmpatkan baginda tumpuan hati. Bahkan berapa ramai
yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan
akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda Nabi
SAW.sebagai
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan
di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti
satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah serikandi
rumahtangga baginda Nabi SAW. Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami
bernama
Muhammad bin Abdullah tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu
menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
Walaupun Rasulullah seorang panglima
perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih
sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya.
Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan
dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis
dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah
SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk
dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda
bersama isterinya seolah sedang menghayati novel cinta romantik.
Diberitakan bahawa Rasulullah pernah
bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan
bahawa Aisyah berkata bahawa : “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad
dari satu bekas air yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi bersama
Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah.
Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh
diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan
pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW
bermula dari sebelum keluar bekerja.
Sebagai contoh menghantar isteri
ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada
isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata “Jangan
terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu)”. Hadis
Bukhari dan Muslim. Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan.
Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “Nabi Muhammad SAW
duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri
baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga
naik atas unta”. Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu
kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala
membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan
Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah
seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Apabila waktu cuti hujung minggu atau
di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari
seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW
bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa “Rasulullah
apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan
berbincang-bincang dengannya”. Malah apabila baginda ingin keluar baginda
akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah
Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu
ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan
di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama.
(Hadis riwayat Muslim) Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan
suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya. Sepertimana dalam sahih
Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu
nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut
isterimu.” Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun
bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan.
Romantik sesama suami isteri ini
semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan
bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti,
sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita
lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa
segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
Sebenarnya, gambaran seorang suami
yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak
mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin
rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih
menghormati.
Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut
meluang masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari
diijabkabulkan.
Belaian terhadap isteri dapat
memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata
bahawa “ Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu
mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan
membelai mereka secara bergantian”. Adakalanya romantisnya Nabi SAW
sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan
isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa “Nabi
SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku
sedangkan aku dalam keadaan haid”. Bahkan amalan ini berlarutan sehingga
detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW. Aisyah berkata “ Ketika maut
menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku.” Ada suatu
hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu
mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung
Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa : “Baginda mendirikanku
di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu
Rasulullah SAW”. (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa
mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.
Rasulullah bukan seorang yang kaku
dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian
baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala
isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan,
baginda bukanlah sekadar pemerhati. Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan
dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa : Nabi Muhammad SAW adalah
orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut
dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim)
Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.
Baginda paling banyak bergurau senda
bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW)
kerumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk diantara Aisyah dan Saodah dan meletakkan
kaki beliau diatas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia
menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata : “(Demi Allah),
makanlah atau aku akan mengotori wajahmu”. Saodah menolak dengan berkata : Aku
tidak akan memakannya”. Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke
wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah
membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah
Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya) Kisah ini
merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah
memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung
Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga
Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat
Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan. Sehinggalah
ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan
manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang
bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar merah”. Membuatkan ikatan
itu lebih intim. Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja
“Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam
daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu
menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari
Nabi SAW.
Sesungguhnya bersikap romantis
sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat
memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini
suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan. Kepada suami, ayuh mengikut
petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik
dari mana datangnya sikap romantis seorang suami.
Adakah suami baru sahaja
selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet. Jawablah dengan manja.
Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada
hadis Nabi SAW
Sumber: Imam
Muda Asyraf
0 comments:
Post a Comment