Kesalahan dan Kesilapan Suami Terhadap Isteri
Tanggungjawab
Suami
Dalam institusi perkahwinan, lelaki
ialah ketua keluarga sesuai dengan fitrah kejadiannya yang lebih gagah dan
beberapa kelebihan lain berbanding wanita. Tanggungjawab suami atau lelaki
sebagai ketua (pemimpin) kepada perempuan ditegaskan oleh Allah melalui
firman-Nya bermaksud:
“Lelaki ialah pemimpin bagi
perempuan oleh kerana Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas
sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan
sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34)
Islam mensyaratkan lelaki sentiasa
menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap wanita. Sebagai pemimpin, lelaki
dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan
hidup untuk isteri dan anak mereka. Walaubagaimanapun, pada hari ini kita
melihat ramai suami yang semakin jauh dari tanggungjawab dan tugas
mereka yang sebenar. Mungkin, kerana itulah
banyak rumahtangga yang runtuh akibat kurangnya penghayatan
suami kepada nilai-nilai murni dalam baitul muslim yang dibina. Berikut
disenaraikan 10 kesalahan dan kesilapan yang sering dilakukan oleh suami
terhadap isteri mereka:
1. Tidak mengajarkan AGAMA dan HUKUM
syariat kepada isteri.
Banyak kita dapati para isteri tidak
mengetahui bagaimana cara solat yang betul, hukum haid & nifas, bertingkahlaku/berperilaku
terhadap suami secara tidak syar’ie dan tidak mendidik anak-anak secara
Islam. Bahkan ada yang terjerumus ke dalam pelbagai jenis kesyirikan. Yang
menjadi perhatian seorang isteri hanyalah bagaimana cara memasak dan menghidangkan
makanan tertentu, cara berdandan yang cantik dan sebagainya. Tidak lain semua
kerana tuntutan suami, sedangkan masalah AGAMA, terutama ibadahnya tidak pernah
ditanyakan oleh suami.
Allah Ta’ala berfirman yang
bermaksud:
“Wahai orang–orang yang beriman,
peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya
adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar,
keras dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yg di perintahkan-Nya kpd
mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintakan.” (Surah At-Tahrim:6)
Para suami hendaklah mengajarkan
agama kepada isteri mereka sama ada secara langsung ataupun melalui
perantaraan. Melalui perantaraan itu contohnya menghadiahkan buku-buku tentang Islam & hukum-hukumnya serta berbincang
bersama-sama, kaset/cd ceramah, mengajak isterinya menghadiri ke majlis-majlis
ILMU yang disampaikan oleh orang-orang yang berilmu dan sebagainya. (yang
paling praktikal, ajaklah solat berjemaah di rumah atau di surau/masjid). Maka,
amat penting bagi para suami untuk mempersiapkan diri dengan ilmu sebelum
membuat keputusan untuk melangkah ke alam rumahtangga.
2. Suka mencari kekurangan dan
kesalahan isteri.
Dalam suatu hadith riwayat Bukhari
& Muslim, Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam melarang lelaki yang
berpergian dalam waktu yang lama, pulang menemui keluarganya di waktu malam,
kerana dikhuatiri akan mendapati berbagai kekurangan isteri dan cela
isterinya. Bahkan suami diminta bersabar dan menahan diri dari kekurangan
yang ada pada isterinya, juga ketika isteri tidak melaksanakan kewajipannya.
Kerana suami juga mempunyai kekurangan dan celaan seperti sabda
Rasulullah:
“Janganlah seorang suami yang
beriman membenci isterinya yang beriman. Jika dia tidak menyukai satu akhlak
darinya, dia pasti meredhai akhlak lain darinya.” {Hadith riwayat Muslim}
3. Memberi hukuman yang tidak sesuai
dengan kesalahan isteri.
Ini termasuk bentuk kezaliman
terhadap isteri, iaitu:
a) Menggunakan pukulan di tahap awal
pemberitahuan hukuman (sila rujuk Al-Quran, Surah An-Nisa : 34)
b) Mengusir isteri dari rumahnya
tanpa ada kebenaran secara syar’ie (sila rujuk Al-Quran, Surah Ath-Thalaq
: 1)
c) Memukul wajah, mencela dan
menghina.
Rasulullah sollallahu ‘alaihi
wasallam bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah engkau memberinya makan
jika engkau makan, memberinya pakaian jika engkau berpakaian, tidak memukul
wajah, tidak menjelek-jelekkan & tidak menghajar(boikot) kecuali di dalam
rumah.” (H.R. Ibnu Majah disahihkan oleh Syeikh Albani)
4. Culas dalam memberi nafkah kepada
isteri.
“Dan
ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi
orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah
memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah
diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan
seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan)
seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan
yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu
menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh mereka
sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika
kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada
salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan
cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah,
sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan.” (Surah
Al-Baqarah : 233)
Isteri
berhak mendapatkan nafkah dari suami, kerana dia telah membolehkan suaminya
bersenang–senang kepadanya, dia telah mentaati suaminya, tinggal di rumahnya,
mengasuh dan mendidik anak-anaknya. Dan jika isteri mendapati suaminya culas
dalam memberi nafkah, bakhil, tidak memberikan nafkah kepadanya tanpa ada
pembenaran syar’ie, maka dia boleh mengambil harta suami untuk mencukupi
keperluannya secara ma’ruf (tidak berlebihan) meskipun tanpa pengetahuan suaminya.
Sabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi
wasallam yang bermaksud:
“Jika
seorang muslim mengeluarkan nafkah untuk keluarganya sedangkan dia mengharapkan
pahalanya, maka nafkah itu adalah sedekah baginya.” (Muttafaq ‘alaih)
5. Sikap keras, kasar, tidak lembut
terhadap isteri.
Rasulullah sollallahu ‘alaihi
wasallam bersabda, maksudnya:
“Mukmin yang paling sempurna adalah
yang paling baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik
tehadap isteri-isterinya.” (Hadith riwayat at-Tirmidzi, disahihkan oleh Syeikh
Albani)
Seperti
yang disabdakan oleh Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam, seseorang suami
itu haruslah berakhlak baik, bersikap lembut dan tidak kasar terhadap
isterinya. Hal ini kerana, suami yang bersikap kasar pasti akan menggugat
kebahagiaan hubungan antara dirinya dengan isteri.
6. Suami sombong untuk membantu
isteri dalam urusan rumahtangga.
Sesetengah
suami sombong dan malas untuk membantu isteri dalam urusan rumahtangga.
Disebabkan sikap ini, sesetengah isteri merasa dirinya terbeban dan tertekan.
Marilah contohi Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam dalam melayani isterinya
Aisyah r.ha.
Ketika
Aisyah r.ha ditanya tentang apa yang dilakukan Rasulullah sollallahu ‘alaihi
wasallam di rumahnya, beliau menjawab:
“Beliau
membantu pekerjaan isterinya & jika datang waktu solat, maka beliau pun
keluar untuk solat.” (Hadith riwayat Bukhari)
7. Menyebarkan rahsia dan aib
isteri.
“Sesungguhnya diantara orang yang
paling buruk kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat adalah seseorang yang
menggauli isterinya dan isterinya menggaulinya kemudian dia menyebarkan
rahsia-rahsia isterinya.” (Hadith riwayat Muslim)
Dalam
hadith ini diHARAMkan seorang suami menyebarkan apa yang terjadi antara dia
dengan isterinya terutamanya di tempat tidur. Juga diharamkan menyebutkan
perinciannya, serta apa yang terjadi pada isterinya baik berupa perkataan
mahupun perbuatan lainnya.
8. Sikap terburu-buru dalam
menceraikan isteri.
Islam
menganggap penceraian adalah perkara besar yang tidak boleh diremehkan kerana
penceraian akan menyeret kepada kerosakan, kacau bilaunya pendidikan anak dan
sebagainya. Dan hendaknya perkataan cerai/talak itu tidak digunakan sebagai
bahan gurauan/mainan. Kerana Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam telah
bersabda yang bermaksud:
“Ada 3 hal yang kesungguhannya dan
gurauannya sama-sama dianggap sungguh-sungguh iaitu: NIKAH, TALAK (cerai) dan
RUJUK.” (Hadith riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah, dinilai “hasan”
oleh asy-Syeikh Albani)
Penceraian
tidak boleh dijadikan sebagai langkah pertama dalam penyelesaian perselisihan.
Bahkan harus diusahakan berbagai cara untuk menyelesaikannya, kerana
kemungkinan besar akan banyak rasa penyesalan yang ditimbulkan dikemudian hari
kelak.
Rasulullah sollallahu ‘alahi
wasallam bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya
Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut), kemudian ia mengutus para
tenteranya. Maka tentera yang paling dekat dengan Iblis adalah yang paling
besar fitnahnya (penyesatannya). Maka datanglah salah satu tenteranya dan
melapor: Aku telah melakukan ini dan itu, maka Iblis berkata: Engkau belum
melakukan apa-apa, kemudian datanglah tentera yang lain dan melapor: Aku telah
menggodanya hingga akhirnya aku menceraikannya dengan isterinya. Maka Iblis pun
mendekatkan tentera syaitan ini di sisinya lalu berkata: Engkau tentera
terbaik.” (Hadith riwayat Muslim)
9. Berpoligami tanpa memperhatikan
ketentuan syari’at.
Bernikah
untuk kedua kali, ketiga dan keempat kali merupakan salah satu perkara yang
Allah syariatkan. Tetapi, terdapat sebahagian orang yang ingin
menerapkan syariat ini/telah menerapkannya tidak memperhatikan sikapnya yang
tidak memenuhi kewajipan serta tanggungjawab terhadap isteri. Terutama isteri
pertama dan anak-anaknya.
Dalam Surah an-Nisa, ayat 3, Allah
Ta’ala berfirman yang bermaksud:
“Kemudian jika kamu takut tidak akan
dapat berlaku adil, maka (kahwinlah) seorang sahaja.”
Memang
benar berpoligami merupakan syariat Islam, tetapi jika seseorang tidak mampu
melaksanakannya dengan baik dan tidak memenuhi syarat-syaratnya atau tidak
boleh memikul tanggungjawabnya, hal ini boleh menjurus kepada kerosakan
sesebuah rumahtangga, menghancurkan masa depan anak-anak dan menambah
permasalahan keluarga dan juga kepada masyarakat. Maka fikirkanlah akibatnya dan
perhatikanlah dengan saksama perkaranya sebelum membuat keputusan.
10. Kurang perasaan cemburu terhadap
isteri.
Para
suami membiarkan keelokan, keindahan dan kecantikan isterinya dinikmati dan
dipertontonkan kepada bukan mahram. Dia membiarkan isterinya mendedahkan aurat
ketika keluar rumah, dan membiarkan berkumpul dengan lelaki-lelaki bukan
mahram. Bahkan ada sebahagian suami bangga kerana memiliki isteri yang cantik
dan boleh dinikmati oleh pandangan kebanyakan orang. Padahal wanita dimata
Islam adalah makhluk yang sangat mulia, sehingga keindahan dan keelokannya
hanya diperuntukkan atau dikhususkan untuk suaminya sahaja dan tidak sesekali
‘dijaja’ ke mana-mana pun.
Seorang suami yang memiliki perasaan
cemburu yang tinggi terhadap isterinya tidak akan membiarkan isterinya berjabat
tangan dengan lelaki lain yang bukan mahram.
Perhatikan ancaman Rasulullah
sollallahu ‘alaihi wasallam terhadap lelaki yang tidak merasa cemburu terhadap
keluarga (isteri):
“Tiga
golongan yang Allah s.w.t tidak akan melihat mereka pada hari kiamat iaitu
seseorang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, wanita yang menyerupai lelaki
dan ad-Dayyuts.” (Hadith riwayat An-Nasa’i, dinilai ‘hasan’ oleh syeikh Albani,
lihat ash-Shahihah : 674)
Ad-Dayyuts(dayus) itu ialah
LELAKI yang tidak meraai cemburu terhadap keluarganya.
Maka,
marilah sama-sama kita beringat dan muhasabah diri sentiasa. Hal ini bukan
hanya untuk para suami, malah penting juga untuk mereka yang belum menjadi
suami, agar persediaan sebelum mendirikan baitul muslim itu lengkap.
Sumber: Syahirul
0 comments:
Post a Comment