Sabar
dalam Menghadapi Ujian itu Sukar Tetapi Indah
Sabar dalam menghadapi ujian itu
buahnya manis.
Masalah. Sebenarnya setiap orang
tidak akan terlepas daripada menghadapi masalah selagi hidup di dunia ini.
Sehingga wujudnya statement extreme yang menyatakan bahawa;
“hidup ni hanyalah untuk
menyelesaikan masalah.. lepas satu masalah selesai, masalah lain pulak yang
akan datang, penat! Seolah-olah hidup ini hanyalah untuk menyelesaikan masalah
semata-mata.”
Tidak dinafikan, perasaan sebegini
akan hadir dalam diri kita yang sudah terlalu penat dan lali berhadapan dengan
masalah. Apatah lagi masalah yang dihadapi itu terlalu berat dan sudah tidak
tertanggung lagi. Ungkapan sabar dan kata-kata semangat dari orang sekeliling
seolah-olah tidak punyai makna lagi. Sehingga kita merasa, tidak ada orang
dalam dunia ini yang paling besar masalahnya selain daripada kita. Masalah
kitalah yang paling besar dan berat sekali. Tidak akan ada orang yang memahami
apa yang kita rasa. Pandangan simpati daripada sahabat handai hanya sekadar
pandangan kosong yang tidak punyai apa-apa makna. Begitulah analogi
beratnya perasaan yang dirasa apabila diri ditimpa masalah. Apatah lagi apabila
masalah yang datang itu berangkai-rangkai. Belum selesai lagi satu masalah,
masalah lain pula yang datang. Kekadang mengundang sesak di dada dan rasa hidup
sudah tidak punya alasan lagi untuk merasa ceria dan gembira. Malah lebih
teruk, kita merasakan diri sudah tidak punyai apa-apa lagi, kesabaran menipis,
gunung berapi kemarahan mudah meletus dan kepercayaan bahawa Allah sentiasa
menolong hamba-hamba-Nya yang sabar sudah mulai goyah.
Maka, di sinilah hati dan fikiran
kita punyai peranan yang penting. Andai hati dan fikiran itu terpandu dan
sentiasa berfikiran positif dalam menghadapi kegawatan perasaan, hati, fikiran
malah tenaga yang dimiliki, untunglah. Tapi, seandainya fikiran dan perasaan
negatif sentiasa menyucuk minda dan menghasut hati, maka, rasa berputus asa
akan mudah untuk menjengah jendela hati yang terbuka. Sehingga pengharapan dan
keimanan kepada-Nya semakin menipis. Ditambah pula dengan amalan ibadah harian
yang kurang sempurna.
Teman, masalah itu adalah satu
bentuk ujian dan dugaan daripada Allah S.W.T. untuk kita membuktikan sejauh
mana kebenaran dan utuhnya akujanji iman kita kepada-Nya.
Firman-Nya yang bermaksud;
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum
sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada
orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan
(kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh
ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman
yang ada bersamanya; “bilakah (datangnya) pertolongan Allah?”. Ketahuilah,
sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang
teguh kepada agama Allah.)
(Al-Baqarah: Ayat 214)
Dan dalam firman-Nya yang lain;
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami
telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah
menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui
orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Al-Ankabut: Ayat 2 – 3)
Teman, diuji dengan ujian kepayahan
itu sangat sukar untuk dihadapi. Apatah lagi ujian berbentuk masalah itu datang
ke kamar diri tanpa mengetuk pintu. Apatah lagi andai kita diuji dengan sesuatu
masalah yang sangat sukar untuk diselesaikan. Terasa seolah-olah masalah yang
dihadapi tidak sekali-kali dapat diselesaikan dan tiada penghujungnya. Apatah
lagi ujian itu bertandang ke dalam diri dalam jangka masa yang lama. Bukan
sehari dua, bukan seminggu dua, bukan juga sebulan dua, tetapi bertahun-tahun.
Maka, kesabaran pasti akan menipis. Andai kata kita memang dianugerahkan
kesabaran yang tinggi; ketabahan yang luar biasa sekalipun, pasti terdetik
dalam hati kita untuk mempersoalkan kewajaran ujian yang dihadapi.
Ya.. kita memang manusia yang lemah,
manusia yang alpa, manusia yang lalai, malah manusia yang punyai nafsu.
Perasaan sebegitu adalah normal teman. Normal kerana manusia memang dilahirkan
sebegitu. Pada saat ini, janganlah sekali-kali melayan prasangka-prasangka
buruk yang timbul di dalam hati. Didiklah hati, nafsu dan fikiran untuk
bersabar. Bagaimana untuk meningkatkan kesabaran? Perkara sabar bukanlah senang
untuk dilaksanakan sebagaimana ia senang untuk diperkatakan. Sabar itu sukar.
Apatah lagi apabila nafsu sentiasa membelai diri kita yang negatif sehingga
kita tegar untuk meremehkan urusan ibadah kepada-Nya. Kesannya, nipislah iman
kita yang sedia nipis itu.
Teman, sesungguhnya kita memang
sudah sedia maklum. Tiada jalan lain untuk menangani masalah yang dihadapi,
tiada cara lain yang ada untuk meningkatkan kesabaran dan memperkukuhkan iman
di dalam diri selain dari mendekatkan diri kita kepada Allah. Tiada jalan lain
selain daripada menjaga hubungan kita dengan Allah S.W.T. Pencipta kita yang
Maha Agung. Pencipta kita yang Maha Lembut, Maha Pemurah, Maha Pengasih dan
Maha Penyayang. Sungguh. Tiada cara lain selain daripada menjaga hubungan kita
dengan Allah S.W.T.
Firman-Nya yang bermaksud;
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan
dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin
hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar);
dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahu akan tiap-tiap sesuatu)”
(At-Taghaabun: Ayat 11)
Pada saat kesabaran dan iman makin
menipis, maka dirikanlah solat dan berdoalah kepada-Nya agar kita sentiasa
dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang tinggi untuk menghadapi ujian dan
dugaan-Nya. Mohonlah kepada-Nya untuk membantu kita untuk terus istiqamah dalam
beribadah kepada-Nya, diberi kekuatan untuk bermujahadah melawan segala jenis
nafsu. Kerana, sesungguhnya hanya Dia yang Maha Pelindung dan Maha Mengabulkan
doa-doa hamba-Nya. Gunalah slogan yang popular itu; “lawan tetap lawan!”
dalam bermujahadah. Iman manusia seperti kita memang sentiasa fluctuate.
Jangan risau, apa yang perlu dilakukan ialah berusaha dengan jalan yang sabar.
Firman-Nya yang bermaksud;
“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk
menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan
bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah
menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”
(Al-Baqarah: Ayat 153)
“Dan mintalah pertolongan (kepada
Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya
sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang
khusyuk.”(Al-Baqarah: Ayat 45)
Dari itu, jagalah hubungan kita
dengan Allah S.W.T maka insya Allah Dia akan menjaga dan menolong kita.
Insya Allah, keyakinan dan keimanan kepada-Nya juga akan dapat dipertingkatkan.
Titipkanlah doa di akhir setiap solat agar Dia memberikan kekuatan kepada kita
untuk terus istiqamah dalam beribadah serta kekuatan untuk bermujahadah melawan
kemungkaran.
~Dunia ini merupakan neraka bagi
orang yang beriman dan syurga bagi orang-orang yang ingkar.
~Sesungguhnya ujian yang hebat hanya
diberikan kepada orang-orang yang hebat. Maka, bertuahlah orang-orang yang
menerima ujian yang maha hebat dan dapat menempuhinya dengan sabar dan jayanya
kerana ia merupakan satu latihan dan persediaan untuk mereka menjadi orang yang
lebih hebat.
~Sentiasalah berfikiran positif dan
berada bersama dengan mereka yang berfikiran serta mempunyai sikap yang
positif. Ia akan membantu kita untuk menjadi lebih positif dalam
mengharungi ujian kehidupan.
~Perspektif yang positif ini memang
ubat yang mujarab dalam menghadapi ujian kehidupan, malah ia akan membantu kita
untuk mencerap hikmah yang diperolehi daripada setiap ujian. Anggaplah ujian
dan dugaan yang diberikan itu sebagai kafarah kepada dosa-dosa kita. Insya
Allah kita akan lebih redha dan bersyukur dalam menghadapi ujian kesukaran
apatah lagi ujian kesenangan dalam kehidupan.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud;
“Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi
diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jamaah hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke
dalam syurga-Ku.”
(Al-Fajr: Ayat 27 – 30)
Semoga kita semua sentiasa dalam
redha dan limpahan rahmat-Nya..a. Sentiasa sabar dalam menempuh ujian-Nya aamiin~
Sumber: blog
ungu levender
0 comments:
Post a Comment