WAHAI SUAMI DI MANAKAH SYURGA MU?
Perkahwinan merupakan suatu tuntutan
agama dalam meraikan fitrah makhluk ciptaan-Nya. Perkahwinan merupakan satu
jalan mencapai keredhaan Allah dalam menuju syurga-Nya. Allah memerintahkan
hamba-hamba-Nya untuk berkahwin seperti firman-Nya:
“Dan kahwinlah orang bujang (Lelaki
atau perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu,
lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah swt akan memberikan kekayaan
kepada mereka dari limpa kurnia-Nya, kerana Allah swt Maha Luas (rahmat-Nya dan
limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui” (Surah An-Nur 24:32)
Kekayaan yang dianugerahi Allah ini
bukan semata-mata dalam konteks wang ringgit dan harta, tetapi kekayaan diri
yang merasakan diri cukup dengan nikmat-nikmat Allah yang seterusnya
mendekatkan kita dengan syurga-Nya. Tanyalah pasangan yang telah berkahwin,
pasti mereka berasa nikmat Allah itu meliputi mereka kerana isteri itu tidak
lain tidak bukan adalah anugerah Allah.
Dan kekayaan melalui nikmat itulah
yang Allah rakamkan dalam Firman-Nya yang bererti:
|
|
“Dan di antara tanda-tanda
kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri,
supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di
antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar
terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir. ” (QS. 30:21)
Teringat saya akan skrip dialog yang
dipetik dari filem ‘Sepi’ arahan Khabir Bhatia
“Isteri bukan hak milik, tetapi
anugerah”
Dialog itu cukup melekat dalam hati
saya semenjak itu dan sering membuatkan saya terfikir-fikir. Dijadikan isteri
itu sebagai anugerah bukan hak milik. Seseorang hanya akan merasa kaya apabila
di merasakan dirinya mendapat anugerah yang istimewa dari Allah. Dan rasa kekayaan
itulah yang dirasai apabila isteri itu dilihat sebagai anugerah Yang Maha Esa.
Namun, sebaliknya jika kita merasakan isteri itu hak milik, maka kita tidak
pernah akan merasa cukup dengan kemilikan itu, dan sentiasa merasa berwaspada
akan kehilangannya.
Disebalik anugerah Allah itulah kita
akan mendapatkan syurga. Hadith Rasulullah s.a.w sentiasa mengingatkan kita
bahawa terlalu banyak kebaikan yang Allah ganjarkan kepada mereka yang
berkahwin, sehingga disebut Rasulullah telah sempurna separuh dari agama, maka
sebahagianlah disuruh kita bertaqwa. Mengapa begitu besar ganjaran Allah
disebalik anugerah itu yang sudah pastinya bukan sekadar mengkayakan kita
didunia, malah menambah saham akhirat dengan lipat kali ganda? Jika ditanyakan
pasangan yang berkahwin, sudah pasti mereka akan katakan, terlalu banyak
peluang membuat kebaikan kepada isteri dan anak-anak yang seterusnya
menjanjikan syurga.
Sering lelaki dan suami merasakan
bahawa dialah ketua dan dialah yang paling tinggi kedudukannya didalam
keluarga. Sehingga isteri itu perlu taat kepadanya. Ayat syurga isteri itu
bergantung pada redha suami menjadikan suami kadangkala lupa bertanya diri
dimana pula syurganya?
Pernahkah suami bertanya dimana
syurganya didalam rumah tangga?
Sungguh Allah itu Maha Adil. Dia
tidak menjadikan wanita itu sebagai kaum lemah yang mana kedudukannya di
akhirat bergantung pada redha suami hanya untuk didominasi dan dipergunakan
lelaki.
Rasulullah SAW dalam hadisnya
bermaksud:
“Bila isteri itu mengerjakan
sembahyang lima waktu, berpuasa bulan Ramadan, memelihara kemaluannya dan
mematuhi suruhan dan larangan suaminya, maka akan dimasukkan dia ke dalam
syurga.” (riwayat Abu Hurairah)
Mematuhi suruhan dan larangan suami
dijadikan syarat Allah yang terakhir dalam hadith itu untuk wanita menjejaki
syurga. Namun, Allah tidak menjadikan kewajipan itu semata-mata sia-sia kerana
jaminan syurga itu bersifat mutual. Syarat ke syurga tidak hanya diletakkan
kepada isteri, tetapi juga diletakkan kepada suami, sebagai bukti keadilan
Allah.
Lantaran itu, Rasulullah SAW
bersabda dalam hadisnya bermaksud:
“Sebaik-baik kamu adalah yang
terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap
keluargaku”. (Riwayat At-Tirmizi)
Tidak sekadar itu, Rasulullah dalam
hadith lainnya menyebut:
“Mukmin yang paling sempurna imannya
ialah yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling baik diantara kamu adalah
orang yang paling baik melayani isterinya”. (Riwayat At-Tirmizi)
Subhanallah, itulah bukti keadilan
Allah agar kaun hawa tidak ditindas oleh lelaki yang ego mengatakan dialah
ketua yang harus ditaati isterinya sedangkan dia melayani isteri dengan buruk.
Syurga yang dijanjikan Allah kepada
isteri bersifat mutual kepada suami sekiranya dia melayani isterinya dengan
baik. Jangan hanya sibuk memperingati isteri berkenaan syurganya, sebaliknya
berfikirlah dimana syurgamu wahai suami dalam rumah tanggamu. Sudahkan kita
melayani isteri kita sebaiknya dan memuliakannya sebagai seorang isteri dan ibu
kepada anak-anak kita. Jangan hanya mempersoalkan hak-hak kita yang perlu
dipenuhi isteri, sebaliknya tanyakan hak-hak isteri yang masih belum kita
sempurnakan dan tunaikan.
Tulisan ini tidak lain dan tidak
bukan sebagai peringatan kepada diri, andai nanti disaat terleka dan terlupa
untuk bertanya dan bermuhasabah dimana syurgaku.
Sumber: http://www.ataphijau.com/
0 comments:
Post a Comment