Rayakan Aidilfitri Dengan Takwa
Setelah berjaya menunaikan ibadat puasa selama sebulan pada
bulan Ramadhan dengan pelbagai ujian dan dugaan, umat Islam menyambut Hari Raya
Puasa atau Hari Raya Aidilfitri dengan penuh kemenangan dan kejayaan.
Hari Raya Puasa
atau Hari Raya Aidilfitri tentulah akan disambut dengan penuh meriah. Walau
bagaimanapun Islam melarang umatnya membazir dan berbelanja secara
berlebih-lebihan semasa menyambut hari
perayaan ini.
Firman Allah SWT yang bermaksud: ”…dan janganlah engkau
membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang
yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan sedang syaitan itu pulaadalah
makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya” (al-Israa’:26-27)
Oleh itu umat Islam mestilah menyambut Hari
Raya Aidilfitri dengan penuh bermakna melakukan perkara-perkara kebaikan dan
meninggalkan perkara-perkara mungkar . Amalan
pada malam Hari Raya Aidilfitri adalah disunatkan supaya membanyakkan amalan
berzikir.Takbir raya eloklah dilakukan di mana sahaja dan pada sebarang waktu, sama ada selepas
sembahyang fardhu, ketika menziarahi saudara-mara, menerima tetamu dan
sebagainya.
Secara
khususnya waktu takbir Hari Raya Aidilfitri bermula dari sejak matahari
terbenam pada akhir bulan Ramadhan.
Takbir Hari
Raya Aidilfitri adalah disunatkan bertakbir pada sepanjang malam hari raya
tersebut sama ada dirumah, masjid,surau
dan sebagainya. Di setengah
kampung dan tempat, amalan bertakbir sudah menjadi kebiasaan dan tradisi yang
baik yang diikuti dengan majlis tahlil serta berkunjung ke rumah-rumah jiran
atau saudara-mara bagi merapatkan silatul rahim di samping menjamu hidangan
yang disediakan.
Amalan dan
nilai murni menyambut hari raya Aidilfitri seperti ini wajarlah dikekalkan.
Daripada Abu Umamah RA, daripada Rasulullah SAW sabdanya:” Sekiranya
mengerjakan amal ibadat pada malam Hari
Raya (Aidifitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata,
hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati
(orang-orang yang kufur ingkar) pada hari itu” (HR Ibnu Majah)
Sembahyang sunat hari raya disyariatkan
selepas hijrah. Dalam hal ini Anas bin Malik berkata; Rasulullah SAW datang ke
Madinah ketika itu penduduk Madinah telah mempunyai dua hari besar yang
sentiasa mereka rayakan. Lantaran itu
Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya
Allah SWT telah menggantikan dua hari
itu dengan yang lebih baik bagi kamu, iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha”
(HR: Ahmad, Abu Daud, Nassa’ei dan Al-Baihaqi)
Allah SWT. berfirman yang maksudnya:
“…Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan
Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan
supaya kamu bersyukur”
(Al-Baqarah:
185)
Jelaslah bahawa Hari Raya Aidilfitri adalah
hari kebesaran untuk mengagungkan Allah dan bersyukur atas segala nikmat dan
petunjuk yang diberikan-Nya. Antara cara kesyukuran yang patut ditunjukkan
ialah kesederhanaan dalam apa juga keadaan
ketika menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri tanpa pembaziran, boros, atau
menunjuk-nunjuk.
Amalan dan
nilai murni yang wajar dilakukan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri ialah
menghidupkan malam dengan ibadat. Antara
ibadat tersebut ialah banyakkan berzikir, istighfar,bersedekah, membaca
al-Quran dan memuji kebesaran Allah SWT. Manakala amalan yang baik sebelum
menunaikan sembahyang hari raya disuruh mandi bersugi (membersihkan gigi) dan
memakai wangi-wangian. Disunatkan menjamah makanan sebelum pergi ke masjid
untuk menunaikan sembahyang sunat hari raya Aidilfitri.
Sewajarnya
dalam mengerjakan sembahyang Aidilfitri atau berziarah kita disuruh memakai
pakaian yang bersih dan cantik. Hassan bin Ali berkata, “Rasulullah SAW.
menyuruh kami memakai pakaian yang paling bagus dan baik serta memakai minyak
wangi yang paling bermutu bergantung kepada kemampuan kami”.
Amalan mulia
ini haruslah digalakkan kepada umat Islam kerana ia menunjukkan kebersihan dan
kegembiraan ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Buraidah berkata; “Rasulullah
SAW tidak berangkat menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri sebelum baginda SAW
makan. Sebaliknya untuk sembahyang Aidilfitri, Rasulullah SAW tidak makan
sebelum selesai mengerjakan sembahyang. Setelah selesai sembahyang, barulah
Rasulullah SAW Memakan hati binatang yang telah dimasak iaitu kurbannya”.
Pelbagai amalan
yang baik boleh dilakukan sempena Hari Raya Aidilfitri antaranya menggeratkan
hubungan silaturahim dengan berkunjung ke rumah saudara mara, sahabat handai
dan jiran tetangga. Menziarahi kubur juga digalakkan dilakukan pada hari raya
Aidilfitri seperti yang lazim dilakukan oleh umat Islam di negara ini, sebagai
mengingati mereka yang telah pergi.
Kesimpulannya, sambutan Hari Raya Aidilfitri bolehlah dilakukan
mengikut tradisi dan budaya Melayu serta berlandaskan Islam dengan melakukan
sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri dan kemudian ziarah-menziarahi sesama
sanak saudara, sahabat handai juga jiran tetangga untuk mengukuhkan silatul rahim
di kalangan umat Islam dan sebagai tanda kesyukuran kehadrat Allah atas segala
nikmat-Nya serta meraikan kejayaan menunaikan sebulan berpuasa dalam bulan
Ramadhan.
Oleh: Aminudin Mansor
JAKIM
0 comments:
Post a Comment