Hari Raya Idilfitri :
Yang Perlu & Yang Jangan DiLakukan
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman www.zaharuddin.net
Asalamualaikum.
Semasa saya mencari idea untuk sama-sama ingat mengimati tentang amalan sunnah
di Hari raya idilfitri, tak semena-mena terbaca artikel di blog Dr Zaharuddin Abd
Rahman yang bertajuk : Hari Raya Idilfitri : Yang Perlu & Yang Jangan
Dilakukan. Isinya sungguh menarik dan banyak pengajaaran. Untuk faedah bersama
saya paparkan artikel berkenaan:
Bulan Ramadhan, sudah hampir tiba ke penghujungnya.
Bagi individu yang sedar serta menghayati ‘tawaran' bonus yang di berikan oleh
Allah SWT dan RasulNya di bulan Ramadhan, mereka sudah pasti akan merasa sedih
atau amat sedih dengan pemergiannya.
Sebaliknya orang yang tidak sedar atau
tidak ambil endah tentang kelebihannya pasti bergembira dan berpesta dengan
pemergian bulan hebat ini. Lebih malang lagi, pestanya yang dianjurnya
adalah jenis pesta hiburan yang sememangnya bertentangan dengan ruh dan
objektif Ramdhan.
Seolah-olah individu yang berpesta
maksiat di permulaan bulan Syawal ini ingin memaklumkan berkenaan ‘peperiksaan'
Ramadhannya telah mendapat keputusan ‘gagal', malah telah berjaya terkena doa
laknat oleh Malaikat Jibrail untuk mendapat 'kecelakaan', merbahayalah imannya
pada bulan-bulan yang mendatang. Nau'zubillah.
Ahhh.. apa peduli apa !..Kata
sebahagian mereka
Masalah pasti berterusan kerana
sebahagian besar dari mereka yang berpesta maksiat ini tidak mempunyai ilmu
bagi mengenal pasti perbezaan antara maksiat dan amal soleh, dosa dan pahala.
Malah tiada minat langsung untuk mengetahuinya.
"waste of time!!" katanya
lagi.
Padahal di bulan Ramadhan yang juga
digelar bulan Al-Quran, Allah SWT mengarahkan kita merujuk Al-Quran yang
fungsinya adalah sebagai Al-Furqan (Pemisah antara yang benar dan yang salah).
Malang bagi mereka yang masih tidak
mahu bernaung dengan petunjuk Al-Quran dan Al-Hadis dalam kehidupan hariannya
sejurus selepas Ramadhan ini.
Sebagaimana kata-kata hukama :-
الْقُرْآَنُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ فَمَنْ
جَعَلَهُ إِمَامَهُ قَادَهُ إلى الْجَنَّةِ وَمَنْ جَعَلَهُ خَلْفَهُ سَاقَهُ إلى
النَّارِ
Ertinya : "Al-quran itu boleh
memberi syafaat, barangsiapa yang mengambilnya sebagai pemandu (kehidupannya)
nescaya ia akan membawa ke Syurga dan barangsiapa yang meletakkannya di
belakangnya, nescaya ia akan mengheret orang itu ke Neraka" ( Riwayat
At-Tabrani, Ibn Hibban, 1/331 ; Ia sukar untuk dianggap sebagai hadis kerana
perawinya Al-Rabi' bin Badr yang dinilai Matruk ; Majma Az-Zawaid, 7/164)
BOLEHKAH BERSUKARIA DI MUSIM RAYA?
Jika demikian, adakah Muslim di tegah
untuk bersuka ria di hari raya dan hanya bersedih sahaja ?.
Jawapannya, bergembira di Syawal tidak
ditegah, malah Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan umat islam bergembira di
Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam
bentuk yang di terima Islam.
Nabi SAW juga pernah menegur kepada Abu
Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur
kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan
katanya :
دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد
Ertinya : "Biarkan ia ( wahai Abu
Bakar) kerana ini adalah hari raya" ( Riwayat Al-Bukhari)
Mukmin sebenar akan merasa gembira
kerana berterima kasih kepada Allah s.w.t atas kurniaan kesempatan dan peluang
untuk mereka mendapat keampunan di bulan Ramadhan.
Sudah tentu mukmin ini merasa puas
dengan usahanya yang berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada
Allah SWT semata. Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW :
من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ
سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ
Ertinya "Sesiapa yang merasa
gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan
dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ;
Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid,
1/86 )
Selain mengenangkan usaha berganda yang
telah dilakukan sewaktu Ramadhan, bergembira juga atas kejayaan membina
‘benteng kukuh' dari godaan Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa
"Puasa itu benteng" (Riwayat Al-Bukhari).
Kerana itu mereka menyambutnya dengan
kegembiraan.
MENGAPA ORANG MUKMIN TULEN BERSEDIH?
Jika tadi disebut mukmin gembira, kali
ini mengapa pula mukmin bersedih dengan pemergian Ramdahan?.
Secara
ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan kemudahan
yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan dirindui dan di
tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah :-
1) Peluang untuk meraih ke Syurga yang
terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga
dibuka, pintu neraka ditutup dan Syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa
bimbang akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya.
2) Tawaran pengampunan dosa-dosa silam
bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana
Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di
akhir Ramadhan.
3) Kemaqbulan doa yang hebat ketika
berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih.
Berlalulah tawaran ini dengan pemergian Ramadhan.
4) Peluang mempertingkat taqwa, iman
dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman
Allah SWT.
5) Peluang terbesar di Malam al-Qadar
yang amat istimewa. (Rujuk artikel lepas)
Hasil dari sebab inilah, kita dapati
ramai ulama silam disifatkan amat sedih dengan pemergian Ramadhan, terutamanya
apabila memikirkan samada akan dapat bertemu lagi pelaung sehebat Ramadhan di
tahun hadapan.
TAMATNYA SIRI YANG DIMINATI
Bagi sesiapa yang ingin memahaminya
dengan lebih lagi. Cuba anda bayangkan anda meminati sebuah rancangan drama di
televisyen yang disiarkan tepat jam 5-6 petang setiap hari.
Rancangan yang tidak pasti akan ada
ulangannya atau tidak ini, sudah anda ikuti siri-sirinya sejak sekian lama,
tiba-tiba dengan sebab jem yang teruk di jalanan, anda terlepas dari
menyaksikannya. Anda juga tidak pasti bagaimana atau samada anda boleh
mendapatkan rancangan ulangannya. Demikian juga anda pasti merasakan sedih
kerana rancangan kegemaran anda sudah hampir berakhir. Sedangkan anda masih
belum puas menontonnya dan menikmatinya.
Sebagaimana perasaan hiba dua ibubapa
yang ingin berpisah dengan anak kesayangannya setelah selesai musim cuti
hariraya.
Dan sebagaimana sedinya ibubapa En
Jazimin dan isterinya berpisah dengan buah hati mereka Al-Marhumah Nurin Jazlin
buat selama-lamanya.
Demikianlah para mukmin soleh dengan
Ramadhan, tamatnya siri hebat ramadhan ini amat memilukan bagi mereka yang
hatinya bersinar dengan cahaya iman.
RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA
Di hari mulia Syawal ini pula, umat
Islam adalah amat digalakkan untuk :-
1) Mandi sunat hari raya sebelum
keluar menunaikan solat sunat idil fitri .
Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr
berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat
sebelum keluar solat hari raya".
2) Menjamah makanan sebelum keluar.
Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin
Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak
keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji
kurma..."
3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan
memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;
Seharusnya umat Islam jangan terlalu di
sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir
ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci
oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di
hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar
untuk mengimamkan solat hari raya.
4) Mengucapkan selamat dan mendoakan
antara satu sama lain
;
Tiada masalah untuk menggunakan apa jua
kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang
digunakan di zaman baginda SAW adalah "Taqabbalallahu minna wa
minkum" ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di
Ramadhan) kami dan kamu".
Disebut dalam sebuah riwayat :
قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد
فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك
Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu
Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda
"taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu
minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )
5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;
Walaupun demikian, perlulah mengikut
kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.
Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian
orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup
aurat memang di haramkan di dalam Islam).
6) Menukar jalan ke tempat solat (balik
dan pergi)
;
Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a
yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan
pulang apabila di hari raya" (Riwayat Al-Bukhari)
7) Berziarah dan merapatkan hubungan
baik (ukhuwwah) sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.
Nabi pernah bersabda :
مَن
سَرّه أن يُبسط له في رزقه ، وأن يُنسأ له في أثره ؛ فَلْيَصِل رَحِمَه
Ertinya : Barangsiapa yang suka untuk
diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka
hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya ( Riwayat
Al-Bukhari & Muslim)
RINGKASAN KESILAPAN DI HARI RAYA
Dalam pada masa yang sama, secara amat
ringkas saya sertakan beberapa kesilapan kesilapan kerap di musim perayaan :-
1) Sentuhan ; Berjabat tangan di
antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan.
Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik
dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.
2) Aurat & Ipar ; Ipar duai
yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah.
Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya
berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa
menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat
aurat yang terdedah.
3) Wangian Wanita ; Kaum wanita
memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah
mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.
4) Pakaian Wanita ; Pakaian yang
mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak
ramai.
5) Kubur ; Berkumpul beramai-ramai
di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca
Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas
di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar
kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)
6) Meninggalkan solat ; kerana terlalu
sibuk beraya di sana sini.
7) Dosa Bertempoh ; Kembali melakukan
dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya
diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang
menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali.
Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon
dan 'chat', berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain.
Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah
dibuangnya jauh-jauh.
0 comments:
Post a Comment