Contohi akhlak Rasullullah
DETIK kelahiran Rasulullah SAW pada
tanggal 12 Rabiulawal Tahun Gajah yang bersamaan 20 April tahun 571 Masihi
membawa 1,000 macam perubahan kepada kehidupan manusia.
Daripada penyembahan kepada batu dan
patung-patung ditukar kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT. Daripada sibuk
berperang sesama sendiri ditukar kepada menyibukkan diri dengan kerja-kerja
ibadah yang dituntut. Daripada bergelumang dengan dosa dan perlakuan mazmumah
jahiliah ditukar kepada berpegang dengan nilai akhlak Islam seperti saling
menghormati dan toleransi sesama manusia.
Kemudiannya setelah berjaya
membentuk kerajaan Islam di Kota Madinah, Rasulullah tidak menoleh ke belakang
lagi dalam membina nilai ketinggian Islam dan peradaban umatnya. Kesannya agama
Islam yang mulia berada pada kedudukan tertinggi sehingga tiada yang lebih
tinggi daripadanya. Umat Islam disegani dan dihormati malah penganut agama lain
juga diberi hak melaksanakan ajaran agama masing-masing selagi tidak memusuhi
Nabi SAW.
Dengan berkembangnya pelbagai
aktiviti keilmuan dan intelektual khususnya pada zaman Bani Umayyah dan
Abbasiyah Islam berada di kemuncak kegemilangan apabila ramai tokoh ilmuwan
Islam tersohor seperti al-Khawarizmi dalam bidang matematik, Ibnu Sina dalam
bidang kedoktoran, al-Razi atau dikenali sebagai Rhazes sebagai saintis dan
ramai lagi berjaya menghasilkan penemuan -penemuan baru yang kemudiannya dikaji
dan dibahaskan oleh ilmuwan dunia masa kini.
Persoalannya mengapa kini Islam
dihina dan umatnya tidak lagi dihormati? Mengapa Islam kembali dagang setelah
baginda Nabi Muhammad SAW dan para sahabat yang mulia meletakkan batu asas yang
kukuh kepada ketinggian martabat Islam dan ummah untuk selama-lamanya.
Hal ini boleh jadi berlaku
disebabkan umat Islam semakin jauh dari ajaran al-Quran dan sunah Rasulnya.
Lebih buruk lagi apabila terdapat segelintir yang ibarat menconteng arang ke
muka sendiri dengan terlibat melakukan pelbagai perbuatan buruk yang
mencemarkan maruah dan kesucian Islam.
Lihat sahaja bagaimana sambutan
tahun baru 2014 baru-baru ini yang dicemari dengan perbuatan keji berkhalwat,
bersekedudukan, berzina, berpesta arak yang sememangnya tidak bertepatan dengan
ajaran agama. Ia pastinya tidak tamat di situ kerana ada kemungkinan akan
melarat pula kepada jenayah pembuangan bayi, setelah mengandung dan malu untuk
bertanggungjawab dalam tempoh sembilan bulan yang akan datang. Akhirnya umat
Islam terus bergelumang dengan dosa dan maksiat dan hingga menjadikan Islam
terus dihina dan dipandang rendah.
Selain itu, masyarakat Islam masa
kini terlalu sibuk dengan pelbagai aktiviti yang melalaikan. Ada yang sibuk
bersembang di laman sosial, ada yang memuat naik gambar-gambar tidak senonoh,
bersembang dengan kata-kata lucah dengan alasan ingin berhibur dan memenuhkan
masa. Ada pula yang terlibat ajaran sesat sehingga sanggup membunuh dan
melakukan kegiatan jenayah.
Sehubungan itu, masyarakat Islam
diseru kembali berpegang dengan ajaran Islam dan melaksanakan segala kewajipan
agama. Pelaksanaan solat lima waktu sehari semalam juga dilihat mampu menjadi
benteng mencegah gejala negatif dan mungkar di kalangan umat Islam. Allah SWT
berfirman yang maksudnya;
"Bacalah serta ikutlah (wahai
Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran dan dirikanlah
sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada
perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih
besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang
kamu kerjakan".(Surah al-Ankabut:45)
Dalam hal ini, penulis amat
menyokong keputusan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
mengisytiharkan Jumaat sebagai hari kelepasan am bagi negeri itu dengan
bermulanya tahun baru ini. Ia dilihat sebagai lambang keprihatinan Tuanku
Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri untuk melahirkan ummah yang
berketerampilan dan bersahsiah unggul.
Boleh jadi sebelum ini terdapat
dalam kalangan pelajar yang bergegas ke sekolah ketika azan Jumaat
berkumandang. Kemungkinan juga terdapat pemandu bas sekolah dan kalangan
pekerja tidak menunaikan solat Jumaat kerana bimbang terlewat mahupun dilarang
oleh majikan masing-masing.
Akibatnya anak-anak membesar dalam
keadaan sudah terbiasa meninggalkan solat ditambah pula dengan ibu bapa yang
sengaja merelakannya lalu menyebabkan umat Islam terjebak melakukan perkara
mungkar kerana tiada perisai solat yang mampu menghalangnya.
Justeru, adalah baik sekali jika
cuti pada hari Jumaat boleh turut sama diikuti oleh syarikat-syarikat swasta
khususnya milik bumiputera di Johor bagi memberi kesempatan buat umat Islam
melaksanakan solat yang dituntut.
Soal pergi ke masjid atau tidak itu
bukan isunya, apa yang penting pihak pemerintah termasuk majikan telah
melaksanakan tanggungjawab dengan menyediakan ruang seluas-luasnya untuk solat
sehingga ramai yang dapat melakukannya dengan sempurna.
Umat Islam juga dilihat sudah jauh
menyimpang daripada mencontohi akhlak Nabi SAW. Terdapat sebilangan masyarakat
yang sengaja merosakkan peribadi dengan bersikap menyombong diri, enggan
menerima nasihat dan tunjuk ajar yang baik, keras hati selain selalu bertindak
tanpa mengikut pertimbangan akal yang waras dan ajaran Islam yang suci.
Pergaulan bebas tanpa sempadan, berpeleseran
ke sana ke mari, berdua-duaan, bercumbu-cumbuan di tempat sunyi semuanya bakal
mengundang padah apabila terjebak melakukan perbuatan dosa yang terkutuk.
Segelintir muslimah pula sudah
benar-benar terkesima dengan trend pakaian masa kini, lalu seluar dan baju
ketat yang menampakkan susuk badan menjadi pembalut diri. Ada pula yang sengaja
berskirt pendek, menampakkan bahagian dada seolah-olah begitu anggun dan
bergaya dipandang oleh orang di sekeliling mereka.
Oleh sebab jauhnya umat Islam
daripada ajaran Nabi Muhammad, diikuti dengan sikap buruk dan terlibat
melakukan pelbagai perkara dosa, Islam terus dihina, kalimah Allah yang mulia
menjadi rebutan, Nabi Muhammad menjadi bahan ejekan dan lawak jenaka, umat
Islam hilang kehebatan dan nilai ketinggian sehingga kemuliaan Islam semakin
tercabar.
Justeru bersempena sambutan Maulud
Nabi pada kali ini, umat Islam diseru untuk bangkit mempertahankan kesucian
Islam dan umatnya dengan kembali berpegang dengan ajaran al-Quran dan sunah
Rasul. Sesungguhnya tiada jalan pintas untuk masuk ke syurga dan berjaya
sebagai ummah yang dihormati dan disegani melainkan mengikut segala ketetapan
agama dan peraturan syariat.
Usah hanya berseronok merayakan hari
kelahiran baginda Nabi SAW yang tak ubah seperti sebuah pesta hari jadi lalu
segala macam juadah seperti nasi beriani dan kuih-muih menjadi habuan sedangkan
hati terus kosong daripada diisi dengan makanan rohani yang sangat diperlukan
masa kini.
Atau hanya bergelak ketawa mendengarkan ceramah agama yang tak ubah
seperti menyaksikan rancangan lawak jenaka di kaca televisyen.
Apa yang lebih penting ialah
bagaimana setiap individu muslim dapat mempraktikkan ajaran Nabi SAW dalam
kehidupan seharian. Tunjukkanlah juga rasa kasih sayang dan kecintaan yang
tidak berbelah-bahagi dengan memperbanyak mengucapkan selawat dan salam sebagai
tanda ingatan yang tidak putus-putus buat selama-lamanya.
Sumber:
Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Johor Bahru.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Johor Bahru.
0 comments:
Post a Comment