Saturday, July 26, 2014

ISTERI YANG MEMBAHAGIAKAN SUAMI



Isteri yang Membahgiakan Suami” 

Part I (Bahagian 1)
Menyambut kepulangan suami dengan senyuman dan (1)wajah yang ceria, ditambah pula keikhlasan si isteri (2)berhias dan berwangian pasti melunakkan jiwa dan menggembirakan hati si suami yang dalam kepenatan seusai kerja atau berpergian yang lama.

Daripada Abu Dzar r.a. katanya Rasulullah s.a.w berkata kepadaku: “Janganlah kamu menganggap remeh dengan kebaikan yang kecil, kerana kebaikan yang kecil itu pun akan diberi pahala termasuk menunjukkan wajah yang ceria ketika bertemu dengan saudaramu.” HR Muslim.

Kenapa berhias? Daripada Ibnu Mas’ud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah Maha Indah dan menyukai keindahan.” HR Muslim.

Ungkapkan kata-kata yang menggembirakan hati suami (Suami ya, bukan lelaki lain) dengan (3)suara yang lembut dan sedap didengar – bukan dengan tempikan atau jerkahan, insha Allah bahtera yang dilayarkan itu sentiasa dalam keadaan aman. Pepatah Melayu ada berkata, bagaimana mahu menambat hati suami kalau bukan dengan (4)masakan isteri bukan bibik ? Menyediakan hidangan dengan penuh perhatian, keikhlasan serta kasih sayang insha Allah mampu mengeratkan ikatan.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah s.w.t suka kepada salah seorang kamu yang bekerja dengan berhati-hati.”
Kenapa suara yang lembut kepada suami sahaja? “Janganlah kamu melembutkan suara ketika berbicara sehingga boleh menimbulkan hal yang tidak baik kepada orang yang ada penyakit di dalam hatinya. Tetapi berkatalah dengan kata-kata yang baik.” [al-Anfal 8:30]

Part II (Bahagian 2)
Isteri yang (5)selalu bersederhana mampu membahagiakan suami, sedangkan kemampuan yang ada pada suami itu seharusnya diredhai oleh isteri. (6)Bersyukurlah dengan apa yang ada. Mana ada suami yang tidak mahu kebahagiaan untuk isteri dan anak-anaknya, malah perlu berbagi pula tanggungjawab dan kasih sayang terhadap ibu bapa. Kekayaan dunia takkan pernah mencukupi sekiranya mahu dikejar kerana,
\
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. aktanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Kekayaan yang sebenarnya bukanlah pada harta yang banyak tetapi kekayaan yang sebenarnya ialah pada ketenteraman jiwa.” HR Bukhari dan Muslim.

Abu Hurairah r.a katanya: bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Jika salah seorang dari kamu melihat seorang yang memperolehi harta dan rupa, maka hendaklah ia memandang orang yang di bawahnya.” HR Bukhari.

Kenapa perlu berbagi tanggungjawab? Rasulullah s.a.w bersabda: Diriwayatkan oleh Aisyah r.a.: “Aku pernah bertanya kepada baginda Rasul s.a.w. ‘Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri?’ Baginda Rasul s.a.w menjawab ‘Orang yang paling berhak ke atas isteri ialah suaminya.’ Kemudian aku bertanya: ‘Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?’ Baginda Rasul menjawab: ‘Orang yang berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.” HR Hakim dan Bazar.
Cukuplah dengan rumah yang bersih dan kemas, ceria dan menyenangkan. Tidaklah perlu begitu banyak perabot sehingga memeningkan serabut kepala. (7)Ucapkanlah kata terima kasih walau sekelumit pemberian daripada suami kerana yang namanya manusia itu pasti akan berasa gembira apabila dihargai.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Orang-orang yang tidak pandai berterima kasih kepada manusia ialah orang-orang yang tidak pandai bersyukur kepada Allah s.w.t.” HR Abu Daud, Tirmizi dan Ahmad
“Janganlah kamu melupakan kebaikan di antara kamu.” [al-Baqarah 2:237]

Part III (Bahagian 3)
Allah s.w.t telah menciptakan Lelaki dan Perempuan untuk saling mengenal dan dijadikan berpasangan untuk saling mendokong dalam usaha mengabdikan diri kepada Allah dan memakmurkan bumiNya (sebagai khalifah). Malah ada pepatah inggeris yang berbunyi, “Behind Every Successful Man There Is a Woman” menunjukkan peri pentingnya eksistensi wanita itu bagi membantu seseorang lelaki (pemimpinnya) mencapai kejayaan hidup di dunia mahupun di akhirat.
Allah s.w.t berfirman: “Kaum lelaki adalah pemimpin ke atas kaum wanita kerana Allah telah memberikan kelebihan kepada mereka berbanding dengan yang lainnya, juga kerana apa yang mereka nafkahkan dari harta benda mereka (kepada isterinya).” [an-Nisa' 4:34]

Lihat sahaja suri tauladan kita Rasulullah s.a.w yang mempunyai isteri sehebat Khadijah Khuwailid sehingga memberi kesan mendalam kepada baginda mengecapi kejayaan Islam di bumi Allah. Walau dalam keadaan susah dan senang, tetap setia di sisi Rasulullah (8)mengorbankan harta, masa, kehendak dan apa sahaja demi suami tercinta.

Allah telah menjanjikan syurga dan kelebihan yang tak terbanding bagi wanita yang mentaati dan membahagiakan suaminya.

“Apabila seorang isteri menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, menjaga kehormatannya dan menghormati suaminya, maka akan dikatakan kepadanya, masuklah kamu ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang kamu sukai.” [HR Ahmad]

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sekiranya aku dibenarkan menyuruh seseorang untuk sujud kepada orang yang lain tentulah akan aku suruh seorang isteri sujud kepada suaminya.” [HR Tirmizi, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah]

Sewaktu suami marah, sejukkanlah ia dengan senyuman atau berdiam dengan sabar. Ungkapkan kata-kata yang menggembirakan hatinya. (9)Jangan sekali-kali menunjukkan kesombongan pada suami atau mencaci, mengkritik dan merendah-rendahkannya sekalipun suami itu tidaklah seorang yang sempurna. Sekiranya kesalahan itu jatuh pada diri isteri, maka ia (10)perlu meminta maaf dengan ikhlas dan menyesali perlakuan atau kata-kata yang tidak disukai suami. (11)Berlapang dada terhadap kekurangan suami. Sekiranya hendak menegur sebarang kesilapan suami, pilihlah masa yang sesuai – bahagiakan hatinya, masakkan makanan yang digemarinya, permudahkan urusannya, kemudian luahkan dalam keadaan yang tenang. Sekiranya suami seorang yang memahami, dia akan menerima dengan hati yang lapang. Mana mungkin manusia itu sempurna?
“Patuhlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan jangan berselisih pendapat kerana itu akan menyebabkan kamu gagal serta kalah dan hilanglah kekuatan kamu. Oleh kerana itu banyaklah bersabar kerana Allah s.w.t sentiasa bersama orang-orang yang sabar.” [al-Anfal 8:46]
Part IV (Bahagian 4)
Dalam apa keadaan sekalipun, baik ketika suami berkeadaan sihat mahupun sakit, (12)isteri yang setia mampu menyejukkan keadaan rumah tangga. Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w menyukai sifat setia ini sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan Aisyah r.a, katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya setia kepada janji adalah sebahagian daripada iman.” [Hakim dan Baihaqi]
“Manakala para isteri yang solehah ialah wanita-wanita yang patuh dan taat serta dapat menjaga diri ketika suaminya tidak ada di rumah sebagaimana penjagaan yang telah diberikan oleh Allah.” [an-Nisa' 4:34]
Perkara yang perlu menjadi perhatian di sini, sebagaimana seorang isteri yang Wajib (13)menjaga hak dan kehormatan suami dapat disimpulkan seperti berikut:
  1. Memelihara rahsia-rahsia suami
  2. Memelihara anak2 dan tanggungjawabnya
  3. Memelihara harta dan miliknya
  4. Memelihara harga diri dan maruah suami
  5. Memelihara hubungan baik dengan saudara mara dekat dan jauh suami
  6. Tidak membenarkan orang yang tidak disukai suami (tanpa izin suami) masuk ke rumah
Wanita tak dapat lari daripada bersifat cemburu, namun haruslah cemburu yang bertempat. Apabila rasa cemburu wujud, bincangkan dengan suami, pastikan keraguan tersebut dileraikan dengan baik.
Diriwayatkan daripada Jabir r.a. menerusi Anbrah r.a. katanya: Baginda Rasul s.a.w telah bersabda: “Sebahagian perasaan cemburu itu adalah disukai Allah sedangkan sebahagian yang lain amat dimurkai-Nya. Perasaan cemburu yang disukai Allah ialah perasaan cemburu dan keraguan (memastikan), sedangkan perasaan cemburu yang dimurkai Allah ialah perasaan cemburu tidak dalam keraguan (memastikan).” [Tirmizi dan Ahmad]

Diriwayatkan daripada al-Hammah dari Abdullah bin Mas’ud berkata: Bahawa baginda Rasul s.a.w telah bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menjadikan rasa cemburu di dalam hati kaum wanita dan Allah jugalah yang menjadikan kaum lelaki diwajibkan pergi berperang. Oleh itu sesiapa di antara kaum wanita yang sabar dan berusaha mencari keredhaan Allah maka ia memperoleh pahala seperti lelaki yang mati syahid.” [Buku Ahkamun Nisa' halaman 82]
Part V (Bahagian 5)
Bagi penutup entri ini, suka untuk saya berkongsi sebuah hadis yang agak panjang, sebagai kesimpulan untuk isteri yang mahu membahagiakan suaminya:
Diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal r.a. katanya: Baginda Rasul s.a.w telah bersabda: “Seorang isteri yang beriman kepada Allah tidak dibenarkan memasukkan seseorang ke dalam rumah suaminya jika orang tersebut tidak disukai oleh suaminya. Seorang isteri tidak dibenarkan keluar rumah jika hal itu tidak disukai oleh suaminya. Seorang isteri tidak dibenarkan patuh kepada sesiapa pun di rumahnya kecuali kepada suaminya. Seorang isteri tidak boleh menjauh dari tempat tidur suaminya dan tidak boleh menyakiti hatinya di tempat tidur. Sekiranya suami merasa dizalimi ataupun tersinggung maka isteri hendaklah berusaha untuk melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan suaminya reda dan memaafkan. Dan jika suami menerima maka isteri tersebut telah mendapat hadiah dan nikmat paling besar. Mudah-mudahan Allah s.w.t akan menerima permintaan maafnya dan sekaligus menghapuskan dosanya. Lain halnya jika suami belum dapat memaafkannya namun permintaan maaf dari isteri tersebut jelas sudah sampai kepada Allah s.w.t.” [HR Hakim]
Ingatlah bahawa:
“Apabila seorang isteri menunaikan solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan, menjaga kehormatannya dan menghormati suaminya, maka akan dikatakan kepadanya, masuklah kamu ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang kamu sukai.” [HR Ahmad]
Berbahagialah dengan janji-janji Allah. Sesungguhnya tidak ada janji yang lebih benar daripada janji Allah s.w.t.
Wallah a’lam
 Sumber :Mohammed Abdul Halim

0 comments:

Powered by Blogger.