Seks
semasa hamil
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
ADALAH sesuatu yang normal bagi
suami isteri Memikirkan kesan hubungan kelamin ke atas janin mereka apabila
seseorang wanita disahkan hamil dan bakal bergelar ibu buat kali pertama.
Dalam pada kehamilan memberikan satu
dimensi baru kepada kehidupan seksual pasangan, namun bagi sesetengah yang
lainnya pula, ia menimbulkan beberapa masalah dan memerlukan perhatian.
Adakah selamat untuk melakukan
hubungan seks semasa hamil?. Tidakkah nanti suami akan memberikan tekanan
berlebihan ke atas perut isteri? Isteri mungkin kurang selesa malah berasa
sakit, Bolehkah tusukan zakar membahayakan janin?
Bagaimana pula dengan orgasma?
Adakah ia boleh menyebabkan keguguran atau kelahiran pramatang?, Sebarang
jangkitan kepada bayi? merupakan antara soalan lazim yang sering
berlegar-legar di fikiran.
Tidak kurang juga yang berasa pelik
dan segan untuk meneruskan hubungan intim kerana merasakan seolah-olah bayi
dalam kandungan tahu aktiviti apa yang sedang mereka lakukan.
Malulah, nanti baby nampak abah
punya, ujar seorang ibu yang naif sambil tersenyum simpul menceritakan kembali
pengalamannya mengandung anak sulung.
Keinginan terhadap seks juga boleh
jadi turun naik dari bulan ke bulan atau trimester ke trimester.
Selain nafsu si isteri yang
berubah-ubah mengikut hormonnya terutama ketika mengalami alahan mengandung,
dorongan seks sang suami pula ada yang semakin bertambah selari dengan perubahan
fizikal pasangannya.
Ada sesetengah lelaki yang merasakan
perut isteri yang memboyot tampak seksi dan erotik. Mereka juga lebih
terangsang apabila mencuba teknik-teknik hubungan kelamin yang berbeza.
Kecualilah doktor menasihatkan anda
sebaliknya disebabkan oleh kehamilan yang berisiko tinggi, seks semasa hamil
adalah selamat sehinggalah air tetuban pecah saat mahu bersalin.
Dan seperti suami isteri lain yang
bakal menjadi ibu bapa, anda mungkin mempunyai beberapa pertanyaan berkaitan
tahap keselamatan melakukan seks dan apakah yang normal dan tidak normal bagi
kebanyakan pasangan.
Kemusykilan anda dijawab oleh Pakar
Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam
Selangor, Dr. Norleen Mohd. Salleh.
Seks semasa hamil selamat dilakukan
sekiranya tiada kontraindikasi dari aspek perubatan seperti pendarahan awal
semasa hamil yang disebabkan oleh sematan uri pada bahagian bawah rahim
(plasenta previa).
Masalah perubatan lain termasuklah
asma atau lelah yang tidak terkawal atau masalah jantung yang tidak
menggalakkan ibu melalui aktiviti fizikal yang berat termasuk hubungan kelamin.
Selalunya doktor yang merawat akan
memberi nasihat yang sewajarnya, ujar beliau.
Menurutnya, jika kehamilan mengalami
pendarahan dan doktor bimbang tentang kesihatan janin, hubungan kelamin tidak
digalakkan kerana faktor fizikal dari tusukan semasa hubungan kelamin boleh
membawa kepada keguguran.
Kepercayaan turun-temurun
mengatakan hubungan kelamin boleh mencederakan bayi dan air mani menyebabkan
kecacatan adalah tidak benar.
Ini kerana, bayi terasing dan
selamat di dalam selaput karung tetuban yang terletak di dalam rahim, sedangkan
tusukan organ lelaki semasa hubungan kelamin hanya sampai paras liang vagina
dan pangkal rahim belum terbuka sebelum waktu kelahiran.
Namun, ujar Dr. Norleen, air mani
lelaki ada mengandungi bahan prostaglandin yang mempunyai ciri-ciri merangsang
kontraksi atau pengecutan berlaku.
Bahan ini merupakan bahan yang sama
terkandung di dalam pengubatan pil yang digunakan untuk tujuan cetusan sakit
bersalin (induction of labour) oleh kebanyakan doktor.
Jadi, kemungkinan berlaku kontraksi
pramatang atau kontraksi palsu jika hubungan kelamin dilakukan sebelum bayi
matang.
Perlu juga dimaklumkan bahawa tahap
prostaglandin di dalam air mani tidak begitu tinggi sehingga begitu mudah boleh
menyebabkan kontraksi setiap kali bersama suami.
Jangan hairan, tetapi kaedah
tradisional ini juga yang masih diamalkan untuk ibu hamil yang lebih hari untuk
merangsang pembukaan pangkal rahim sebelum doktor menjalankan prosedur cetusan,
jelas beliau.
Selain faktor-faktor yang disebut di
atas, keadaan lain di mana doktor melarang hubungan kelamin adalah jika ibu
senang mengalami kontraksi pramatang dan kelahiran pramatang.
Lain-lain situasi termasuklah ibu
mengandung kembar dan ibu yang hamil dan mengalami servikal yang tidak kompeten
dan memerlukan pangkal rahim diikat seperti prosedur MacDonalds stitch dan
pemecahan air tetuban sebelum waktunya.
Larangan ini adalah untuk
mengelakkan dari berlakunya kelahiran pramatang dan jangkitan selepas selaput
tetuban pecah.
Akibat perubahan hormon, jelas Dr.
Norleen, ibu-ibu turut mengalami kesan psikologikal dan mental yang agak ketara
pada sesetengah kes.
Umpamanya, awal mengandung bila si
ibu mengalami mual dan muntah yang teruk. Apabila ini berlaku, mereka cenderung
menyalahkan suami kerana menyebabkannya mengandung.
Mood swing atau perubahan angin
semasa hamil juga agak kerap terjadi. Kemudian, apabila bakal ibu tadi melihat
perubahan bentuk badan, payu dara dan peningkatan berat badan, rasa rendah diri
mereka terus menular, katanya.
Keinginan seks juga, terang Dr.
Norleen, boleh jadi berubah-ubah atas sebab perubahan hormon yang sama iaitu
mungkin meningkat atau menurun.
Justeru, peranan suami untuk memberi
perhatian yang lebih dan sokongan moral amat penting pada masa-masa ini.
Tambahnya: Kejang anggota badan
adalah salah satu gejala yang amat kerap menjadi aduan. Ini dapat dikurangkan
dengan pengambilan suplemen kalsium.
Gejala simpul
biawak/mengkarung/ular adalah gejala kejang yang paling menyakitkan di mana
masalah ini memang boleh berlaku semasa atau selepas hubungan kelamin atau
semasa meneran di saat kelahiran bayi.
Ditanya sama ada perlu dilakukan
pengubahsuaian posisi, Dr. Norleen mengulas, di saat akhir kehamilan, dengan
keadaan ibu yang tentunya sarat, posisi ibu di bawah masih merupakan yang
paling selesa.
Walau bagaimanapun, posisi reverse
missionary atau lateral (sisi) masih popular bagi mereka yang belum begitu
sarat keadaannya.
Jika tiada halangan dari aspek
perubatan, tidak ada sebab kenapa hubungan kelamin tidak diteruskan kerana
ikatan suami isteri akan lebih akrab sementara menunggu cahaya mata yang bakal
lahir.
Perasaan negatif di mana ibu sering
berasa dirinya sudah tidak cantik akan secara semula jadi ditepis dan saat ini
perlu digunakan sepenuhnya oleh si suami untuk membelai dan memanjakan isteri,
katanya.
Namun, kekerapan menjalin hubungan
kelamin semasa hamil tidak berkaitan secara langsung dengan susah atau
senangnya proses kelahiran ibu kerana banyak faktor lain yang akan
menyumbangkan seperti saiz pelvis ibu, berat anak dan kedudukan kepala anak.
Selepas kelahiran, dari aspek
perubatan juga keperluan agama, tempoh pantang adalah selama lebih kurang 40
hingga 44 hari.
Amal ibadat serta hubungan kelamin
boleh diteruskan selepas waktu ini melainkan jika darah nifas masih belum
kering. Doktor akan pastikan ibu membuat rawatan susulan selepas sebulan dan
kesihatan fizikal ibu akan dinilaikan masa ini.
Dr. Norleen membuat saranan berikut:
Pasangan suami isteri perlu berbincang sepanjang waktu hamil terutama mereka
yang hamil buat pertama kali untuk mengenali perubahan pada ibu juga keperluan
hubungan kelamin dan kekerapan.
Semua ini patut diajukan kepada
doktor berserta lain-lain kemusykilan sebagai persiapan tanpa rasa segan silu.
Segala masalah peringkat awal
kehamilan, boleh dikesan seawal enam minggu kehamilan. Jadi sejurus selepas
kehamilan disahkan, buatlah temu janji dengan doktor agar masalah boleh dikesan
dan ditangani dari awal kehamilan
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 comments:
Post a Comment