Thursday, July 24, 2014

Mewujudkan kepuasan hubungan suami isteri



Mewujudkan kepuasan dalam hubungan suami isteri


PERHUBUNGAN suami isteri mempunyai kualiti. Perhubungan itu mungkin baik dan intim, ataupun mungkin buruk dan penuh konflik, ataupun ia berada di antara kedua-dua. Kualiti perhubungan suami isteri tergambar pada ciri-ciri komunikasi yang berlaku antara mereka.
Kajian-kajian psikologi mendapati, seks bukanlah unsur wajib dalam keintiman. Ertinya, sepasang suami isteri yang banyak melakukan seks belum tentu menikmati hubungan yang sangat intim. Namun aktiviti seks yang berkualiti dapat meninggikan lagi keintiman yang sedia ada.
Cara-cara suami isteri berkomunikasi boleh menggambarkan keintiman dan kepuasan mereka terhadap satu sama lain dan terhadap perhubungan antara mereka berdua. Antara isi kandungan komunikasi orang yang puas terhadap diri pasangannya ialah;
1. Dia banyak memberitahu bahawa dia puas dengan apa yang diterimanya.
''Abang seronok dapat isteri pandai berjenaka macam Mah''.
''Saya puas dengan apa yang abang beri.''
2. Dia banyak mengucapkan penghargaan dan sanjungan terhadap pasangannya.
''Abang ni lawa, salah-salah macam pakar bedah.''
''Isteri abang ni cantiklah, kalau ada pengarah filem nampak Mah, mesti dia tawarkan Mah jadi heroin.''.
Komunikasi orang yang tidak puas akan menggambarkan perasaan itu. Dia akan berkomunikasi dengan gaya negatif. Antara isi kandungannya ialah:
1). Dia banyak merungut-rungut berkenaan sifat-sifat peribadi dan perbuatan pasangannya.
''Abang ni, balik saja, terus baca surat khabar. Sikit tak mahu tolong saya buat kerja. Kalau abang letih, saya pun letih juga. Bukan abang saja kerja. Saya pun kerja juga.''
''Apa kena awak ni? Muka macam mak nenek saja bila di rumah?''
2. Dia banyak mengkritik, menegur dan menasihati pasangannya.
''Sikap abang tu tak ikut ajaran nabi, tahu? tugas saya sebagai isteri cuma bersolek untuk menyukakan hati suami. Kerja-kerja rumah tak wajib isteri buat. Sebagai suami, abang wajib sediakan orang gaji untuk saya. Tak kiralah walau saya duduk rumah, sebab itu tugas suami.''
''Kenapa awak ikut perangai buruk mak awak yang suka buli bapa awak? Ingat! Saya ni bukan bapa awak. jangan cuba buli saya.''
3. Dia banyak menuduh dan mempersalahkan pasangannya.
''Cuba fikir sendiri, salah siapa?''
''Awak tak pernah peduli perasaan saya.''
Bagaimanakah caranya untuk mengetahui sama ada kita menikmati hubungan suami isteri yang intim? Keintiman boleh diukur dengan beberapa cara. Salah satu daripada cara itu ialah dengan melihat kehadiran aspek-aspek berikut di dalam perkahwinan itu:
1. Menikmati apa yang diharapkan
Di dalam semua perkahwinan, pihak suami dan pihak isteri mempunyai pengharapan ke atas satu sama lain dan ke atas perkahwinan mereka. Kepuasan perkahwinan sangat dipengaruhi oleh sejauh mana suami dan isteri menikmati apa yang mereka harapkan. Semakin banyak mereka mendapat apa yang diharapkan, semakin tinggi kepuasan yang mereka nikmati. Semakin kurang mereka mendapat apa yang diharapkan, semakin mendalam rasa tidak puas hati yang mereka alami.
2. Memahami hati sanubari
Sepasang suami isteri berasa intim apabila mereka berasa pasangannya tahu dan faham hati sanubarinya. Pasangan yang intim banyak berkongsi fikiran, perasaan, keyakinan, fantasi, angan-angan, minat, tujuan dan latar belakang. Jadi cuba fikirkan sama ada kita memahami pemikiran pasangan kita. Apabila kita bercakap dengan suami isteri yang intim, kita seperti bercakap dengan dua orang yang satu kepala. Mereka banyak bersetuju dan saling sokong-menyokong pendapat masing-masing. Salah satu faktor yang menyukarkan kita memahami pemikiran dan sanubari orang lain ialah perbezaan pengetahuan. Sebagai contoh, adalah sukar bagi seseorang yang berpendidikan sekolah menengah untuk memahami pemikiran seorang yang berkelulusan Ph.D. Keadaan bertambah sukar bagi si lulusan sekolah menengah untuk memahami apakah keyakinan-keyakinan, angan-angan dan fantasi si pemegang Ph.D. Di sinilah letaknya kepentingan seseorang itu supaya rajin membaca bahan-bahan ilmu sebagai cara mengurangkan jurang pengetahuan yang barangkali wujud antara dirinya dan pasangannya.
3. Mengambil berat
Pasangan yang intim saling mengambil berat berkenaan diri dan perasaan satu sama lain. Ramai suami isteri menyangka pasangan mereka boleh membaca apa yang ada dalam kepala mereka, jadi mereka tidak perlu memberitahunya lagi. Sangkaan itu salah. Orang lain tidak mungkin tahu apa yang ada dalam kepala kita. Ini menyebabkan orang lain mengagak-agak sahaja apa yang mereka patut buat, atau tidak patut buat untuk memuaskannya. Akibatnya, apabila agakan itu salah, mereka berasa orang itu tidak mengambil berat tentang dirinya.
4. Saling mempercayai
Mereka saling percaya-mempercayai akan cinta dan kesetiaan masing-masing. Mereka juga saling harap mengharapkan. Dan mereka mempunyai tekad dan komitmen untuk terus saling cinta-mencintai hingga akhir hayat. Berdasarkan ciri-ciri itu, jelaslah bukan semua perkahwinan menikmati keintiman. Malah tidak semua perkahwinan yang kekal merupakan perkahwinan yang intim.

Harapan suami dan isteri tidak pernah betul-betul serupa, tetapi ada jenis-jenis harapan yang biasanya serupa antara suami isteri. Mengikut kajian, harapan-harapan itu ialah;
1. Harapan akan dapat menikmati keintiman. Harapan ini sangat penting, di mana masing-masing berharap akan dapat menikmati hubungan yang amat intim sebagai suami isteri. Maka disyorkan supaya suami isteri belajar teknik-teknik mencipta keintiman.
2. Harapan sama-sama dapat menikmati rasa kepuasan di dalam perkahwinannya. Harapan ini juga sangat penting peranannya. Kepuasan perkahwinan ada pada kejayaan memberi kepada pasangan apa yang diharapkan olehnya dan menerima daripadanya apa yang diharapkan. Kepuasan dan keintiman tidak datang daripada harta, pangkat, rupa paras dan lain-lain seperti itu. Walaupun nampaknya ini mudah, ramai suami dan ramai isteri berasa mereka tidak menerima apa yang mereka harapkan. Perasaan seperti itu menghalang munculnya rasa puas dan intim dalam perkahwinan. Rasa puas datang daripada beberapa punca. Sumber yang paling utama ialah apabila kita mendapat apa yang diharapkan daripada pasangan kita. Tetapi ini bermakna pasangan kita mesti lebih dahulu thau apa yang kita harapkan daripadanya. Jikalau kita tidak memberitahu kepadanya apa yang kita harapkan, bagaimanakah dia akan tahu apa yang dia perlu berikan kepada kita supaya kita puas. Sebagai contoh, seorang suami yang berpendidikan tinggi mengharapkan isterinya yang lulus sekolah menengah akan suka membaca. Dia membawa sama isterinya apabila pergi ke kedai buku, mendengar ceramah, dan mengadakan satu bilik bacaan khas di dalam rumahnya. Dia menyangka isterinya akan faham-faham sendiri bahawa dia mahu isterinya suka membaca. Apa terjadi ialah sebaliknya. Si isteri tidak faham bahawa suaminya mahu dia membaca, jadi si isteri tidak juga mahu membaca. Si isteri juga berasa bosan kerana terpaksa duduk mendengar ceramah yang dia tidak faham dan tidak diminatinya. Dia juga merungut mengatakan buku-buku di dalam bilik bacaan sumainya itu hanya membuang duit dan menyemakkan rumah sahaja. Satu lagi punca kepuasan ialah apabila kita berasa bahawa kita mendapat banyak faedah dan ganjaran daripada perkahwinan kita itu dan daripada pasangan kita. Ertinya kita berasa kita menerima lebih banyak daripada apa yang kita sendiri berikan dan sumbangkan. Ertinya, kita berasa seolah-olah perkahwinan kita itu banyak menguntungkan kita. Dalam keadaan begitu kita mempunyai dorongan dan motivasi untuk meneruskan perkahwinan itu kerana ia menguntungkan kita. Semakin kita berasa kita mendapat keuntungan yang tinggi, semakin tinggi rasa kepuasan yang kita alami. Semakin kita berasa perkahwinan itu merugikan kita, semakin kita tidak puas. Bagaimanakah rasa untung itu boleh timbul di hati kita? Ia timbul daripada perbandingan yang kita buat. Pertama, kita membandingkan apa yang kita sendiri sumbangkan dan berikan dengan apa yang disumbangkan dan diberikan oleh pasangan kita. Adakah kita berasa kita yang lebih banyak memberi? Kedua, kita bandingkan juga apa yang kita terima dengan apa yang diterima oleh pasangan kita. Adakah kita rasa dia yang lebih banyak menerima? Kalau kita berasa sumbangan kita adalah kurang daripada apa yang disumbangkan oleh pasangan kita, tetapi apa yang kita terima adalah lebih banyak daripada apa yang diterima oleh pasangan kita, maka kita berasa kita untung. Keadaan itu akan menimbulkan rasa puas di hati kita. Kalau kita berasa kita lebih banyak memberi sumbangan berbanding dengan sumbangan pasangan kita, tetapi dia menerima lebih banyak, maka kita berasa kita rugi. Keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas di hati kita. Implikasi situasi ini ialah, untuk memberikan kepuasan kepada pasangan, buat supaya dia berasa seolah-olah dengan mengahwini kita, dia sangat untung. Caranya ialah dengan memberikan kepadanya ''apa''yang dia mahu.
Sebagai contoh, jikalau seseorang lelaki mahukan isteri yang mahir mengurut egonya, maka urutlah egonya. Itu saja. Gunakan teknik-teknik yang diterangkan didalam siri ini. Kajian juga mendapati wujudnya perkaitan yang kuat antara rasa puas dengan persetujuan di atas harapan masing-masing pihak. Dalam lain perkataan, adakah suami isteri mengharapkan perkara-perkar yang sama? Semakin suami dan isteri sama-sama setuju berkenaan perkara-perkara yang mereka harapkan, semakin tinggi rasa kepuasan yang mereka nikmati di dalam perkahwinan mereka. Semakin mereka berbeza pendapat semakin mereka tidak berasa puas. Implikasi perkara ini ialah, untuk menikmati keintiman dan kepuasan hidup bersuami isteri, jangan suka berbeza pendapat dan citarasa dengan pasangan kita. Kita perlu belajar menyukai apa yang dia sukai dan membenci apa yang dia benci. Mudah saja. Jangan sekali-kali memusuhi dan membenci kesukaan dan kesayangannya. Sebagai contoh, kalau dia suka memancing, jangan dibenci joran dan kailnya. Jangan pula bermusuhan dengan emak bapak dan adik beradiknya. Mereka itu kesayangannya.
Orang yang berasa puas akan mempunyai dorongan dan motivasi untuk meneruskan perhubungan yang ada dan untuk memupuk lagi perhubungan itu supaya tambah memuaskan kedua-dua belah pihak. Jadi, rasa puas adalah pendorong paling kuat mengapa orang mahu mengekalkan hubungan mereka, ataupun mahu mengakhirinya.

0 comments:

Powered by Blogger.